Showing posts with label Konsensus Bebas. Show all posts
Showing posts with label Konsensus Bebas. Show all posts

06 November 2010

MENJAWAB MANUTY!

Salam 2 all.

Saya sangat tertarik dengan respon seorang pembaca yang menulis kep lamanweb Konsensus Bebas mengenai kenyataan Dr. Muhammad Nor Manuty, ahli MPT PKR yang juga rakan kroni Anwar (kenyataan beliau saya siarkan dibawah yang disiarkan oleh MalaysiaKini hari ini). Manuty yang juga dikenali sebagai seorang agamawan dikalangan ahli PKR telah membidas Dr. Asri yang menegur Anwar dan menasihatkan beliau supaya berundur. Mereka bukan sahaja tidak menjawab kritikan dan teguran Dr. Asri itu dengan baik dan berilmiah, tetapi terus melabel teguran itu dengan pelbagai label, suatu petunjuk bahawa mereka sudah ketandusan jawapan.

Apa pun eloklah dibaca komen penulis yang memanggil dirinya Pandak Tukan ini, dan moga ada menafaatnya bagi mereka yang ada sekelumit aqal dan keimanan.

Adios amigos.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
28 Zul Qaedah 1431
06 Nov 2010


Surat terbuka kepada Dr. Muhammad Nur Manuty


Sabtu, 06 November 2010

Menjawab kepada Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi, Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BiPPA), PKR bertarikh 4 November 2010:

1. Kritikan terhadap Anwar Ibrahim tidak semestinya ditafsirkan sebagai suatu serangan peribadi semata-mata. Anwar Ibrahim bukan insan maksum yang sepi dari segala kelemahan dan kekhilafan.

Kejujuran Dr. Asri membuat saranan untuk Anwar berundur dari politik hanya boleh dinilai oleh rakyat dan bukan oleh tuan punya badan atau kroni yang berkepentingan. Gesaan Dr. Asri ini timbul dari hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Anwar untuk membawa perubahan.

Anwar kini nampak ketara kepada rakyat sebagai sebahagian daripada status quo. Politik Baru mendesak kepada watak baru dan persekitaran baru. Keputusan pilihan raya kecil di Galas dan Batu Sapi sedikit sebanyak mencerminkan sentimen rakyat.

2. Tidak dapat dinafikan Anwar Ibrahim memainkan peranan besar dalam pembentukan Pakatan Rakyat. Tempat beliau dalam sejarah politik Malaysia terjamin. Tetapi untuk mencanangkan bahawa kejayaan Pakatan Rakyat di PRU 12 semata-mata kerana kewibawaan dan keupayaan Anwar adalah satu pendekatan yang amat cetek.

Pakatan Rakyat berjaya di PRU-12 kerana platformnya disambut oleh gelombang rakyat yang dahagakan reformasi. PAS dan DAP disatukan oleh kebencian bersama terhadap BN. Demi political expediency, PAS dan DAP melayan mimpi Anwar untuk menjadi Perdana Menteri

3. Keberkesanan kepimpinan bukan terletak kepada usia, karisma atau kepetahan berpidato. Politik ceramah sudah ketinggalan zaman. Keberkesanan kepimpinan terletak kepada tindakan politik. Apabila tindakan politik tidak seimbang, yang menonjol hanya retorik janggal. Apabila moral diragui; "karisma, amanah, keberanian, kegigihan dalam perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat, mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga, kesediaan berkorban, memiliki kebijaksanaan (hikmah) dan ketahanan fizikal" menjadi subjektif.

4. Keputusan Anwar Ibrahim untuk menyertai UMNO pada tahun 1982 masih lagi dipersoalkan oleh rakyat hingga ke hari ini. Anwar dilihat sebagai haiwan politik yang hanya ingin memperalatkan UMNO untuk menjadi Perdana Menteri. Dengan memandang ke belakang (hindsight), terbukti Anwar telah mengamalkan politik kotor semasa menjadi pemimpin UMNO. Penglibatan beliau dalam kes Realmild dan usaha beliau untuk menjadikan Biro Tata Negara sebagai jentera politik peribadi memperkukuhkan persepsi rakyat yang Anwar adalah sebahagian daripada status quo.

Hanya setelah dipecat daripada kabinet dan UMNO, Anwar memasyhurkan Deklarasi Permatang Pauh. Rakyat menyahut laungan reformasi bukan semata-mata untuk membela Anwar tetapi rakyat benar-benar dahagakan perubahan.

Sebagai mangsa kerakusan kuasa Mahathir, rakyat menaruh harapan tinggi kepada Anwar untuk berubah dan membawa kepada perubahan. Malangnya, budaya politik ala-UMNO telah menebal di jiwa dan jasad Anwar Ibrahim.

5. Dr. Asri telah menjelaskan bahawa saranan untuk berundur dari politik ditujukan kepada semua pemimpin politik yang telah luput tarikhguna.

"Kemiskinan rakyat yang masih berleluasa di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, masalah rasuah yang semakin membarah, keruntuhan moral (akhlak) dan pelbagai penyakit sosial yang semakin kronik, penyalahgunaan kuasa yang berwewenang, hutang negara yang semakin bertambah, track rekod kerendahan moral dan akhlak" hanya boleh diselesaikan oleh Politik Baru dengan watak baru dan persekitaran baru; bukan oleh seorang pemimpin yang sedang bergelumang dengan isu-isu moral dan akhlak.

6. Seruan Dr. Asri ialah manifestasi sentimen rakyat yang menuntut perubahan. Jika kritikan Dr. Asri terhadap pemerintah disambut dengan sorak gemuruh, begitu juga, seruan Dr. Asri untuk mencanang lanskap politik baru harus diterima dengan dada yang lapang.

7. Anwar Ibrahim diminta berundur kerana beliau kini dianggap sebagai satu beban dan liabiliti kepada reformasi tulen. Anwar Ibrahim telah menjelma sebagai bagasi lebihan kepada kemaraan gerakan reformasi ke Putrajaya.

Pandak Tukan
06 November 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@

PKR menyifatkan pandangan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menyeru agar Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' adalah "manifestasi suara ketakutan pimpinan negara terhadap fenomena kebangkitan rakyat". Malah Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR, Dr Muhammad Nur Manuty mempertahankan ketuanya dengan berkata serangan peribadi pelbagai bentuk kepada Anwar "bukanlah sesuatu yang memeranjatkan". NONE "Keberkesanan kepemimpinan seseorang itu tidak boleh diukur dari segi usia semata-mata. "Hakikatnya kepemimpinan itu hendaklah dilihat dari segi karisma, amanah, keberanian, kegigihan dalam perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat, mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga, kesediaan berkorban, memiliki kebijaksanaan (hikmah) dan ketahanan fizikal. "Inilah antara sifat yang dimiliki dan dihayati oleh DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai pemimpin yang diiktiraf dan dihormati oleh kawan dan lawan dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan semalam. Muhammad Nur mengulas kenyataan Dr Mohd Asri yang berkata sudah sampai masanya untuk ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' kerana banyak rentak tari politiknya makin 'tidak seimbang'. dr asri zainul abidin mufti perlis and putrajaya pantun Menulis dalam blognya Isnin lalu, di bawah tajuk 'Politik kita memerlukan anjakan baru', Dr Mohd Asri menegaskan "politik kita memerlukan watak-watak baru yang bernas, matang dan tangkas". Kritikan pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga turut ditolak oleh ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin yang menyifatkannya sebagai satu "kenyataan yang pelik dan tidak berpijak pada realiti politik" semasa tanah air. Sementara itu, menjawab kritikan balas selepas saranan kerasnya itu, Dr Mohd Asri menegaskan cadangannya adalah "hak rakyat" kepada pemimpin. Menurutnya, tegurannya itu bukan satu perkara baru kerana sebelum ini beliau pernah mencadangkan perkara sama kepada mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui sebuah pantun. "Freedom of expression (kebebasan bersuara) yang dilaungkan oleh sesetengah pihak tidak memberi makna jika hanya mereka setuju suara mereka dan menghalang suara orang lain," coretnya dalam blog sambil menafikannya sebagai satu pandangan agama.


26 October 2010

PENGKHIANAT KEWANGAN


Salam 2 all.

Saya terkejut apabila membaca Lapuran Audit Negara 2009 yang dibentangkan di Parlimen semalam yang saperti biasa mengandungi pelbagai butiran tentang salahlaku kewangan, penyalahgunaan dan penyelewengan, dan kadang-kadang penipuan wang rakyat oleh beberapa jabatan dan agensi kerajaan. Apa yang saya kesalkan penyalahgunaan, penyelewengan, penipuan dan lain-lain ini kadang-kadang sehingga memudharatkan rakyat. Dan ini antara punca menimbulkan kebencian rakyat kepada Kerajaan!

Contohnya sekretariat Konsensus Bebas telah meneliti Lapuran Audit Negara 2009 dan mendapatiadanya kes-kes melibatkan beberapa syarikat pembekal makanan swasta yang didapati membekalkan makanan dan bahan makanan yang tidak menepati piawaian dan spesifikasi kontrak. Kes-kes tersebut membabit pembekalan makanan kepada murid-murid sekolah di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT), hospital dan kem tentera.

Beberapa buah sekolah telah dibekalkan makanan yang kualitinya tidak mematuhi spesifikasi kontrak, manakala beberapa hospital pula telah dibekalkan makanan yang kualitinya, menurut laporan audit tersebut, boleh membawa keracunan makanan dan lain-lain penyakit. Di kem tentera pula, bahan makanan yang dibekalkan sudah basi atau kuantiti yang berlebihan telah dipesan.

Kami mengutuk sekeras-kerasnya sikap tamak dan tidak bermoral pembekal-pembekal yang terbabit. Kanak-kanak sekolah diberikan makanan yang tidak berkhasiat, pesakit di hospital yang masih belum pulih dan menghadapi penyakit berisiko tinggi disuap makanan yang boleh menyebabkan keracunan, dan anggota tentera yang kita harapkan untuk bergadai nyawa demi kedaulatan negara telah diberi layanan yang sungguh buruk dengan dibekalkan makanan basi.

Konsensus Bebas juga mengkritik pihak pengurusan di sekolah, hospital dan kem tentera yang terbabit, yang sepatutnya memastikan bekalan yang diterima memenuhi spesifikasi pesanan. Perkara ini dikesan oleh Jabatan Audit Negara apabila mendapati pihak pengurusan tidak menjalankan kewajipan mereka untuk menjaga kebajikan anak murid, pesakit dan perajurit dari segi kualiti makanan. Sikap lepas tangan dan sambil lewa ini mestilah dihenti dan dibasmikan mulai sekarang.

Kementerian-kementerian Pelajaran, Kesihatan dan Pertahanan mestilah mengambil langkah serta-merta untuk menyiasat dan menghukum sesiapa yang telah mengabaikan tanggungjawab mereka dalam perkara ini. Di samping itu, semua sekolah di bawah RMT, hospital dan kem tentera mestilah diperiksa untuk memastikan kes yang serupa tidak terjadi. Murid-murid sekolah, pesakit hospital dan anggota tentera kita semuanya mestilah diberi makanan yang berkhasiat dan baik kualitinya. Mereka tidak sepatutnya dibiarkan menjadi mangsa ketamakan sesetengah pihak. Tidak ada gunanya Ketua Audit Negara membuat laporan sekiranya tidak ada apa-apa tindakan susulan oleh pihak-pihak yang berwajib.

Kami juga mengucapkan syabas kepada Ketua Audit Negara kerana tekad dan ikhlas dalam menunaikan tanggungjawabnya untuk mengutarakan apa-apa kepincangan yang didapati dalam sektor awam.

Kami di Konsensus Bebas juga berharap pihak berkuasa saperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan meneliti lapuran tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengheret mereka yang bertanggungjawab ke Mahkamah untuk dikenakan hukuman setimpal. Pada saya, mereka yang terlibat ini adalah pengkhianat negara yang perlu dikenakan hukuman berat.

Hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kerana pengkhianat-pengkhianat dan penyangak-penyangak ini, kelak nanti rakyat akan menghukum Kerajaan di pilihanraya nanti. Oleh sebab itu, adalah penting Kerajaan memberi perhatian serius kepada penyalahgunaan dan penyelewengan wang negara ini dan jangan sampai rakyat seolah-olah Kerajaan tidak mampu berbuat apa-apa, dan lebih malang jika ianya menimbulkan persepsi Kerajaan bersekongkol dengan pengkhianat-pengkhianat dan penyangak-penyangak ini.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin

Selasa

17 Zul Qaedah 1431

26 Okt 2010

19 June 2010

BERTAUBATLAH ANWAR!

Salam 2 all.

Saya melahirkan rasa terkejut dengan tindakan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang melenting dalam sidang akhbarnya Khamis lepas apabila menyuruh seorang wartawan "shut up" apabila ditanya tentang dimana bukti dakwaannya bahawa kami Ahli Parlimen bebas kononnya dibayar RM2juta.

Saudara Tukimin mengemukakan pertanyaan beberapa kali kepada Dato' Seri Anwar supaya mengemukakan bukti tohmahan tersebut. Bukan sahaja beliau tidak menjawab, sebaliknya beliau berpusing dan berputar kepada isu lain.

Dan apabila Tukiman tegas dengan soalannya mahukan bukti dakwaan tersebut, Dato' Seri Anwar menyuruh beliau diam, awak "shut up". Dan kenyataan itu disiar keseluruh dunia melalui media siber dan arus perdana.

Dato' Seri Anwar perlu faham bahawa selepas konspirasi beliau mengenai rancangan merampas Putrajaya pada 16 September 1998 didedahkan kepada umum oleh YB Dato' Seri Zahrain didalam Parlimen, rakyat sudah mula sangsi dan hilang kepercayaan kepada beliau. Sehingga Dato' Seri Zahrain berucap didalam Parlimen baru-baru ini meminta Dato' Seri Anwar supaya tidak menjadikan jawatan Ketua Pembangkang sebagai Ketua Pembohong!

Sebenarnya kami telah memberi peluang yang banyak kepada beliau. Sejak Dato' Seri Anwar membuat tohmahan tersebut semasa Kongres Khas PKR di Kota Bharu beberapa minggu lepas, kami mengambil sikap berdiam diri kerana tahu ianya gimik politik beliau sahaja. Tetapi apabila beliau membuat kenyataan itu di Parlimen, kami telah mencabar belaiu supaya mengemukakan bukti.

Bukan sahaja beliau tidak menjawab, sebaliknya menuduh Dato' Seri Zahrain ada rumah elok dan kereta baru! Sedangkan beliau sendiri pun ada rumah baru yang bernilai berjuta dan mengguna kereta baru yang harganya saya ingat boleh ternganga rakyat dibuatnya.

Saya sendiri dalam sidang akhbar dihari yang sama menjawab tohmahan beliau dengan bertanya adakah masuk akal saya yang dipecat juga turut dibayar RM2juta. Takkanlah bodoh sangat orang nak bayar saya untuk dipecat. Kalau PKR dibayar untuk pecat saya itu kan lebih menasabah. Tapi untuk orang bayar saya supaya dipecat?! Samada yang bercakap tu akal terencat atau...faham-faham sajelah!

Sebab itu kami Ahli Parlimen Konsensus Bebas memahami soalan wartawan tersebut meminta bukti dakwaan beliau tersebut kerana rakyat sudah hilang kepercayaan. Kita tidak mahu politik negara ini berubah menjadi politik fitnah dan pembohongan semata-mata kerana ideologi "matlamat menghalalkan cara"; politik sempit untuk merampas Putrajaya dengan apa cara sekalipun. Politik "cakap tak serupa bikin!!"

Oleh itu, saya mendesak Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Ketua Pembangkang bersikap ikhlas dan jujur dan berhenti daripada amalan politik sempit matlamat menghalalkan cara ini. Hormatilah amanah yang diberikan dengan jawatan Ketua Pembangkang tersebut. Gunakanlah amanah jawatan itu untuk memperjuangkan kepentingan dan kebajikan rakyat!

Saya tidak mahu Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadikan kami Ahli Parlimen Konsensus Bebas sebagai modal politik beliau untuk mengalih pandangan rakyat umum dari masalah sebenar yang dihadapi beliau dan Pakatan Rakyat. Konsensus Bebas bersimpati dengan pelbagai masalah yang beliau hadapi hari ini iaitu kelemahan PKR, kepimpinan beliau yang mula dipersoalkan, peningkatan prestasi cemerlang YAB Perdana Menteri dan sudah tentu yang paling besar ialah kes perbicaraan beliau meliwat Saiful Bukhari.

Saya ingin menasihatkan Dato' Seri Anwar, sudah sudahlah tu; bertaubatlah!

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
07 Rejab 1431
19 Jun 2010

*Gambar menunjukkan adengan Anwar memarahi wartawan Tukimin dan menyuruh beliau "shut up!"

10 June 2010

KONSENSUS BEBAS


Salam 2 all.

Penubuhan KONSENSUS BEBAS

Dengan amanah dan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, dengan ini diumumkan penubuhan “KONSENSUS BEBAS” sebagai wadah rasmi sepakat kami sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Konsensus Bebas membentuk satu blok bebas di Parlimen yang efektif, bebas dan nonpartisan. Menzahirkan pandangan serta tindakan politik secara bebas tanpa dibelenggu oleh kongkongan batasan politik kepartian dalam menyampaikan pendirian dan dasardasar politik sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Kami percaya pembentukan Konsensus Bebas merupakan persetujuan terbaik antara kami sebagai wakil rakyat untuk membawa isu-isu rakyat dan negara secara kolektif dan efektif. Dengan persetujuan ini Konsensus Bebas yakin untuk berperanan secara berkesan menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen walaupun tidak dinaungi oleh mana-mana Parti politik.

Konsensus Bebas komited sebagai satu persetujuan Ahli Parlimen Bebas dengan rakyat. Menjalankan amanah sebagai ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat untuk berusaha memajukan negara. Memastikan rakyat terus menikmati hidup secara harmoni, berkualiti dan sejahtera di Malaysia.

Pilihanraya Umum 2008 menyerlahkan harapan rakyat untuk perubahan yang telah pun dikecewakan oleh parti-parti politik. Konsensus Bebas berusaha untuk mengembalikan harapan dan keyakinan tersebut. Konsensus Bebas berperanan bukan untuk kepentingan politik tetapi kepentingan rakyat dan negara.

Landskap politik negara sudah banyak berubah dan mencerminkan kematangan proses demokrasi di Malaysia. Sudah sampai masanya pemimpin-pemimpin politik serta parti politik di Malaysia menghormati rakyat dengan meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan Parti atau kepentingan pemimpin-pemimpin Parti. Rakyat sama sekali tidak boleh dipermainkan oleh retorik-retorik politik atau politik cakap tidak serupa bikin.

Parti-parti politik hari ini dilihat lebih mementingkan agenda parti manakala pemimpinpemimpin parti cenderung merebut kuasa. Rakyat menjadi mangsa kepada perebutan jawatan dan pangkat. Politik kepartian semakin tidak sihat lebih memperlihatkan pergeseran politik kerana perebutan kuasa dan jawatan, dihodohkan lagi dengan budaya ampu-mengampu dalam parti. Reformasi yang dituntut rakyat semakin terpesong.

Walaupun Konsensus Bebas berpendirian menerima realiti politik kepartian, namun untuk menjadi Ahli Parlimen yang efektif dan berkesan bukan terletak pada parti yang diwakili tetapi terletak pada kesungguhan dan kejujuran dalam berpolitik.

Sebagai wadah yang bebas Konsensus Bebas memberi jaminan tidak akan menyebelahi mana-mana pihak baik parti kerajaan atau parti pembangkang. Konsensus Bebas akan sentiasa berpendirian bebas berasaskan kepada aspirasi rakyat dan negara.

Konsensus Bebas akan memberi fokus kepada pembentukan dasar-dasar yang meletakkan keutamaan rakyat. Isu-isu rakyat dan isu-isu negara akan dibawa dengan lebih inovatif berteraskan semangat reformasi tulin, jujur untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara madani.

Konsensus Bebas menawarkan kepada rakyat satu suara efektif di parlimen.

YB DATO SERI ZAHRAIN MOHAMED HASHIM
Member of Parliament for Bayan Baru

YB WEE CHOO KEONG
Member of Parliament for Wangsa Maju

YB ZULKIFLI BIN NOORDIN
Member of Parliament for Kulim Bandar Bharu

YB TAN TEE BENG
Member of Parliament for Nibong Tebal

YB MOHSIN FADZLI SAMSURI
Member of Parliament for Bagan Serai

————————————— K B —————————————

Rasional Logo Konsensus BEBAS (diatas):

The Konsensus Bebas logo embodies the desire of its Members of Parliament to present issues of national and public interest collectively and effectively by being an effective, independent and non-partisan Parliamentary bloc.

The logo consists of basic shapes that lock on and support each other to form a hibiscus image, symbolising the interests of the rakyat and the nation.

The clean, modern look of the Konsensus Bebas logo with its bright, bold colours represents the innovative and modern way of presenting issues of national interest, based on the true and honest spirit of reformation, and with sincerity in making Malaysia a progressive nation, signified by the upward leap of the stamen.

The word BEBAS is rendered in bold to emphasize the independence of its members from partisan politics.