Showing posts with label PUSAT KHIDMAT KBB. Show all posts
Showing posts with label PUSAT KHIDMAT KBB. Show all posts

09 September 2011

SOALAN PARLIMEN


ZULKIFLI BIN NOORDIN

AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR-BAHARU

SOALAN-SOALAN PARLIMEN (LISAN & BERTULIS)

SESI MESYUARAT KE 3, PENGGAL KE 4, PARLIMEN KE 12

SOALAN JAWAB LISAN

SOALAN 1 (03.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:

1. apakah status/ tindakan terkini berkaitan lapuran polis oleh ahli DAP bernama Razali dan lapuran akhbar Utusan Malaysia mengenai rancangan pihak tertentu untuk menubuhkan sebuah Negara Kristian;

2. adakah lapuran mengenai cubaan atau rancangan menubuhkan Negara Kristian itu benar?

3. apakah tindakan yang telah dan akan diambil terhadap Church of Our Lady Fatima Brickfield dan mereka yang terlibat dalam kes memurtadkan Azlina Jailani @ Lina Joy?

SOALAN 2 (04.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan:

1. apakah status siasatan dan tindakan terkini yang diambil berkaitan isu fahaman pluralisma dan ucapan YB Permatang Pauh di London School of Economic pada 18.03.2008 yang jelas menunjukkan beliau mempunyai ciri menerima dan menganut fahaman pluralisma;

2. adakah Kerajaan bercadang mengeluarkan fatwa mengharamkan anutan fahaman pluralisma/ liberalisma dan mengambil tindakan memulihkan aqidah penganut fahaman sesat ini?


SOALAN 3 (05.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan:

1. Apakah langkah yang diambil memandangkan serangan terhadap aqidah dan syariat Islam semakin melampau akhir-akhir ini saperti isu dakyah Gereja Methodist, dakyah kristian dikalangan guru-guru tuisyen, munculnya laman-laman web yang menghina Islam dan banyak lagi?

2. Bila Kerajaan bercadang menubuhkan Pusat Pemulihan Aqidah di setiap negeri bagi membendung krisis aqidah umat Islam ini?

SOALAN 4 (06.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan:

1. apakah pendirian Kerajaan mengenai fatwa oleh Mufti Kerajaan DAP Pulau Pinang yang mengharamkan bacaan Al Quran pada waktu suboh? Adakah perkenan YDP Agong diperolehi sebelum fatwa itu dikeluarkan?

2. apakah status siasatan dan tindakan yang diambil terhadap seorang bernama Zakaria Bin Ahmad yang didalam khutbah Jumaat mendoakan Ketua Menteri DAP Pulau Pinang dan meninggalkan doa untuk YDP Agong?

SOALAN 5 (10.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan:

1. Mengapa Pusat Zakat/ Baitulmal, yang begitu agresif/ pro aktif dalam mengutip zakat, tidak mengambil sikap agresif/ pro-aktif dalam agihan zakat saperti mencari/ mengesan para asnaf terutama fakir miskin yang layak;

2. Adakah Kerajaan menyedari kegagalan Pusat Zakat/Baitulmal terutama dalam hal agihan telah diambil kesempatan oleh pihak bukan Islam untuk menyebarkan dakyah mereka?

3. Adakah Kerajaan bercadang mengadakan audit syariah bagi semua kutipan/agihan zakat?

SOALAN 6 (11.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:

1. Adakah Kerajaan sudah mengenalpasti dan mengambil tindakan terhadap pihak yang memberikan maklumat bohong dan palsu kepada akhbar Kompas Indonesia sehingga mereka menerbitkan berita pembohongan mengenai YAB Perdana Menteri & YABhg Datin Sri Rosmah Mansor?

SOALAN 7 (12 .10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Dalam Negri menyatakan:

1. Apakah status terkini dan tindakan yang telah diambil mengenai lapuran polis Dengkil Repot/ 001196/09 mengenai perbuatan jenayah rogol seorang pensyarah keatas seorang pelajar UPM?

2. Bilakah pertuduhan merogol akan dikenakan terhadap perogol tersebut?

3. Adakah pengadu diberi maklum mengenai perkembangan dan status aduannya?

SOALAN 8 (13.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:

1. apakah tindakan dan langkah yang telah, sedang dan akan diambil terhadap penganjur himpunan haram 09 Julai;

2. bilakah pertuduhan jenayah terhadap Mohamad bin Sabu yang membawa cerita palsu dia dilanggar kenderaan PDRM pada 09 Julai itu akan dibawa?

3. apakah status dan tindakan terhadap penama Suhardi yang terlibat dalam himpunan haram itu dan isu kematian Allahyarham Baharudin yang diputarbelit itu?

SOALAN 9 (17.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Perdana Menteri menyatakan:

1. adakah Kerajaan bercadang menjadikan tarikh 13 Mei sebagai “Hari Mahabbah” atau “Hari Perpaduan” dan menyiarkan tanpa tapisan semua kisah sebenar dan gambar-gambar peristiwa 13 Mei 1969 supaya rakyat sedar bahaya politik perkauman dan agama?

2. adakah Kerajaan bercadang membuka Kertas Putih untuk mengenal pasti punca dan dalang peristiwa 13 Mei 1969?

SOALAN 10 (18.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Perdana Menteri menyatakan:

1. adakah Kerajaan bercadang membawa pertuduhan jenayah lapuran palsu terhadap YB Permatang Pauh berkaitan lapuran polis beliau membabitkan sebuah videoklip;

2. adakah Kerajaan bercadang membawa pertuduhan syarie terhadap YB Permatang Pauh berkaitan pendedahan didalam videoklip tersebut?

3. adakah satu Suruhanjaya DiRaja/ Jawatankuasa Siasatan akan ditubuhkan untuk mendapatkan perisytiharan kehakiman & perundangan identiti pelaku-pelaku dalam videoklip tersebut?


SOALAN JAWABAN BERTULIS

SOALAN 1

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Pengangkutan menyatakan:

1. adakah Kerajaan bercadang mengarahkan/ menasihatkan pemegang konsesi lebuhraya tol utama untuk tidak mengenakan tol diwaktu puncak saperti cuti perayaan, ataupun semasa lebuhraya tersebut dalam proses baikpulih yang menganggu kelancaran perjalanan?

2. apakah punca kegagalan Ops Sikap dan apa tindakan yang akan diambil untuk mengatasi kadar kemalangan/ kematian dijalanraya yang terlalu tinggi?

SOALAN 2

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Pelajaran menyatakan:

1. adakah Kerajaan bercadang melaksanakan penyelidikan holistik dan menyeluruh bertujuan memansuhkan secara beransur-ansur sekolah-sekolah bukan aliran kebangsaan yang didapati lebih memudaratkan dan menyebabkan polarisasi agama dan kaum semakin menebal dikalangan pelajar?

2. apakah Kerajaan menyedari terdapat guru-guru yang memutar fakta sejarah negara dan menyebarkan dakyah agama bukan Islam dikalangan pelajarnya?

SOALAN 3

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Penerangan, Komunikasi & Warisan menyatakan:

1. apakah Kerajaan menyedari program dan perancangan semangat 1-Malaysia terlalu menumpu kepada bangsa Melayu, Cina & India, dan seolah-olah mengenepikan kaum bumiputera yang lain termasuk mayarakat Orang Asli dan penduduk Sabah & Sarawak?

2. adakah Kerajaan bercadang menyiarkan lebih banyak filem arkib mengenai sejarah hitam negara saperti 13 Mei, Bukit Kepong dan lain-lain agar rakyat mendapat gambaran sebenar fakta sejarah negara dan tidak mudah diputarbelit oleh pihak tertentu.

SOALAN 4

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Pembangunan Luar Bandar & Kemajuan Wilayah menyatakan:

1. apakah Kerajaan bercadang melaksanakan skim perumahan luar bandar (saperti Skim Perumahan Generasi-2 Felda) untuk generasi kedua luar bandar,, kampung dan desa termasuk dikawasan Parlimen Kulim Bandar Baharu yang menghadapi masalah perumahan yang kritikal;

2. apakah tindakan yang diambil mengenai cubaan pihak tertentu mengeluarkan borang pemilikan tanah bagi warga Felda/ Felcra sebagai umpan undi jika mereka memenangi Pilihanraya Umum akan datang?

SOALAN 5

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Perdana Menteri menyatakan:

1. apakah status projek pembinaan Menara Warisan;

2. apakah ada jaminan projek Menara Warisan akan memberi keutamaan kepada professional (saperti akitek, jurutera dan lain-lain) dan kontraktor Melayu/ Bumiputera dalam perlaksanaannya;

3. bagaimana PNB bercadang mendapatkan modal untuk menampung kos pembinaan, dan adakah Kerajaan perlu memberi jaminan liabiliti?

4. adakah Menara Warisan itu akan disewakan atau digunapakai oleh PNB?

Sekian terima kasih.

Yang benar

Zulkifli bin Noordin

Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu

Jumaat: 09 Syawal 1432 / 09 Sep 2011


*Nota: soalan-soalan diatas adalah tertakluk kepada penerimaan, penolakan, pindaan atau perubahan mengikut peraturan dan syarat-syarat Dewan Rakyat dan kepada keperluan yang berkaitan. Teks yang berkuatkuasa adalah saperti teks yang diterima dan diterbitkan oleh Dewan Rakyat semasa persidangan nanti insyallah.

12 April 2011

MASJID TAMAN KENARI

(Risalah permohonan sumbangan pembinaan Masjid Kariah Taman Kenari Kulim)

Salam 2 all.

Teman ingin memanjangkan permohonan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Masjid Kariah Taman Kenari, Kulim yang memohon sumbangan pembinaan sebuah Masjid baru bagi kariah Taman Kenari.

Bagi mereka yang berminat memberi sumbangan, bolehlah berbuat sedemikian dengan menghubungi terus Ahli Jawatankuasa Pembangunan Masjid Kariah Taman Kenari, 240, Jalan Kota Kenari 2, Kota Kenari, 09000 Kulim (H/p: 016-4160074/ Tel/Fax:04-4905404) atau melalui akaun Masjid Taman Kenari Bank Islam Malaysia Berhad Akaun No: 02057010019390.

Insyallah selain memberi sedikit sumbangan, teman akan usahakan peruntukkan melalui Kerajaan Persekutuan bagi membantu memberikan sumbangan bagi pembinaan Masjid ini. Harap-harap Kerajaan Persekutuan bersedia membantu insyallah.

"Bandingan (derma/sumbangan) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH, ialah sama saperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan ingatlah, ALLAH akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan ALLAH Maha luas (rahmat) kurniaanNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya" (Al-Baqarah: 261).

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
08 Jamadil Awal 1432
12 Apr 2011

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
(Surat permohonan sumbangan oleh AJK Masjid Taman Kenari)

Ruj Kami: Dlm Masjid 70/007/17 (6602)

Assalammu'alaikum warahmatullah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah, Pengasih lagi Mengasihani. Kami bagi pihak Jawatankuasa Pembinaan Masjid dan seluruh anak kariah Taman Kenari memberi penghormatan sepenuhnya diatas jasa baik pihak tuan, sudi kiranya menghulurkan infaq fisabilillah dan turut membantu membiayai operasi institusi agama Islam ke arah membina generasi soleh.

2. Sehubungan dengan itu, pihak Jawatankuasa Pembangunan Masjid Kariah Taman Kenari, Kulim, Kedah sedang giat berusaha melakukan kutipan dana bagi menyiapkan pembinaan masjid yang bernilai RM3,334,094-25;

3. Untuk makluman tuan, kutipan dana yang terkumpul dan telah dibelanjakan berjumlah RM948,886-15 dan baki berjumlah RM2,385,208-10 masih diperlukan bagi menyiapkan pembinaan Masjid ini.

4. Besarlah harapan kami, sudi sekiranya permohonan kami ini mendapat perhatian dan sokongan padu dari pihak tuan, dan semoga segala bentuk kerjasama dan usaha yang dilakukan pihak tuan kami dahului dengan ucapan "jazakumullah hu khairan jaza".

Ya ALLAH kami mohon dan merayu
"Mudahkanlah bagi kami segala urusan kami, janganlah Engkau susahkan atas kami
Wahai Tuhan sempurnakan bagi kami dengan kebajikan.

MEMBINA GENERASI SOLEH PEMBANGUN NEGARA

Sekian terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

tt
EN. SEHABUDDIN BIN HJ. ABDULLAH
Bendahari
Masjid Kariah Taman Kenari
09000 Kulim
Tel: 04-490 5404
Tel: 016-4160074

18 September 2010

PENEMPATAN ANAK YATIM


Salam 2 all.

Saya telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan beberapa rumah penempatan anak-anak yatim di sekitar Lembah Kelang bagi tujuan memberikan penempatan bagi anak-anak yatim daripada kawasan Parlimen Kulim Bandar Bharu.

Alhamdulilah beberapa rumah penempatan anak-anak yatim ini bersedia mengambil beberapa orang anak yatim daripada Kulim Bandar Bharu dengan syarat saperti berikut:

1. Keutamaan diberi kepada anak yatim piatu (yang kehilangan ibu bapa) walaupun mereka yang yatim boleh juga memohon;

2. Keutamaan juga diberi kepada anak yatim perempuan (walaupun yang lelaki boleh juga memohon);

3. Umur pemohon mestilah diantara 06-18 tahun;

4. Pemohon yang layak dan diterima masuk akan diberi kemudahan asrama tempat tinggal, makan minum dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya dan persekolahan disekolah-sekolah yang dikenalpasti (dengan perbelanjaan ditanggung penuh oleh penganjur);

5. Bagi yang kurang berkemampuan menghantar anak-anak yatim ini ke Kuala Lumpur, penganjur bersedia menyediakan pengangkutan untuk mengambil mereka dengan tanggungan penganjur sepenuhnya.

6. Pihak penganjur berharap anak-anak yatim ini dapat mendaftar dan masuk ke rumah penempatan ini secepat mungkin untuk membolehkan urusan persekolahan dilakukan segera bagi sesi persekolahan 2011.

Bagi yang berminat, sila hantarkan maklumat yang dperlukan iaitu nama, nombor pengenalan, alamat dan butir-butir keluarga serta pengesahan status samada daripada Ketua Kampung, pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Kulim-Bandar Bharu, pejabat Pegawai Daerah Kulim atau Bandar Bharu, imam masjid kariah berdekatan atau YB Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim atau Bandar Bharu.

Maklumat yang telah lengkap hendaklah dihantar ke:

Zulkifli Bin Noordin
Tingkat 7, Wisma Yakin,
Jalan Masjid India,
50100 Kuala Lumpur

atau melalui email zul4kulim@gmail.com, atau melalui telefon 03-26936190 dan fax 03-26936255.

Semoga usaha yang sedikit ini akan dapat membantu golongan yang sangat diistimewakan oleh ALLAH dan Rasul saw ini.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
09 Syawal 1431
18 Sept 2010

25 May 2010

KULIM BANDAR BHARU

Salam 2 all.

Alhamdulillah sejak kebelakangan ini saya telah mengadakan beberapa mesyuarat dan perbincangan dengan beberapa agensi dan pihak Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pembangunan dan perkhidmatan bagi rakyat Kulim Bandar Bharu.

Pertama, saya telah memohon untuk pembinaan Klinik 1-Malaysia di kawasan DUN Bandar Bharu. Klinik berkonsepkan sama saperti klinik masyarakat ini bertujuan untuk memberi khidmat kesihatan kepada rakyat bawahan khususnya golongan miskin. Perkara ini juga akan dibangkitkan didalam sidang Parlimen akan datang dalam sidang Penggal Ketiga Mesyuarat Kedua bermula 07.06.2010. Saya juga sedang mengadakan perbincangan dengan rakan di DUN Bandar Bharu untuk mengenal pasti kawasan yang bersesuaian untuk didirikan Klinik 1-Malaysia ini, walaupun saya lebih berminat untuk ianya didirikan di kawasan Selama. Apa pun, saya akan memantau perkara ini dan sebarang tindakan susulan akan saya maklumkan.

Kedua, saya juga telah membuat permohonan untuk pembinaan sebuah masjid baru bagi kawasan DUN Bandar Bharu. Ini adalah kerana pusat pentadbiran daerah Bandar Bharu telah berpindah daripada Bandar Bharu ke Serdang. Saya telah dimaklumkan mengenai kawasan yang bersesuaian yang telah dikenal pasti, cuma peruntukkan untuk pembinaan belum diperolehi. Insyallah saya sedang mengusahakan agar dapat Kerajaan Persekutuan membantu memandangkan kerajaan negeri tiada peruntukkan. Insyallah kita berdoa agar dapat sebuah masjid baru didirikan di Serdang sebagai Masjid utama dibawah DUN Bandar Bharu.

Saya juga telah mengadakan rundingan dengan beberapa orang rakan yang mempunyai asrama dan penginapan untuk anak-anak yatim. Saya telah mendapat tempat untuk beberapa orang anak yatim terutamanya anak-anak perempuan umur lingkungan 3-10 tahun untuk menginap di asrama tersebut yang terletak di Lembah Klang. Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat anak-anak yatim yang memerlukan, khususnya bagi kawasan Parlimen Kulim Bandar Bharu, sila salurkan maklumat itu terus kepada saya. Saya difahamkan oleh penganjur pembiayaan bagi anak-anak yatim ini termasuk tempat tinggal, makan minum, persekolahan dan lain-lain keperluan. Pendekkata, anak-anak yatim ini akan ditanggung sepenuhnya. Apa yang menarik perhatian saya ialah asrama anak yatim ini berteraskan kepada pendidikan Islam.


Insyallah dalam masa terdekat ini saya akan turun ke kawasan ladang di Dublin dan yang berdekatan untuk meninjau masalah masyarakat disana, khususnya masyarakat India. Saya dimaklumkan ada beberapa masalah timbul berkaitan kebajikan mereka, termasuk ada sedikit masalah mengenai kad pengenalan dan lain-lain. Sedih juga mengenag ada diantara mereka masih menghadapi masalah kad pengenalan.


Adios amigos. Grasias.

Wassalam.


Zulkifli Bin Noordin
Selasa
11 Jamadil Akhir 1431
25 Mei 2010

11 March 2010

PEMBANGUNAN DESA KG. KEDA

Salam 2 all.

Alhamdulillah berita baik buat penduduk Kg. Keda Dingin dibawah Parlimen Kulim Bandar Bharu.Saya dimaklumkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar & Wilayah bahawa Kampung Keda Dingin dibawah Parlimen Kulim Bandar Bharu adalah antara 50 kampung seluruh negara yang terpilih untuk program keupayaan komuniti di bawah Program Tindakan Desa (PTD). Program komuniti tersebut akan dibuat menerusi Institut Kemajuan Desa (Infra) melalui peruntukkan pakej Ransangan Ekonomi Kedua (PRE-2).

Sebenarnya semasa sesi sidang Parlimen tahun lepas saya telah berbincang dengan YB Menteri untuk menimbang memberikan peruntukkan pembangunan kepada beberapa kampung di bawah Parlimen Kulim Bharu. Saya ingatkan Menteri tidak akan pertimbangkan sebab kawasan adalah milik pembangkang. Rupanya kementerian telah meluluskannya pada bulan Januari lepas, cuma baru ini saya dimaklumkan. Biasalah kita pembangkang selalu tahu yang last, itu pun kalau dia nak bagitahu.

Tetapi apa pun saya mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri dan para pegawai Kementerian khususnya unit Institut Kemajuan Desa (Infra) atas kelulusan tersebut. Dibawah projek ini, pembangunan Kg. Keda Dingin diberikan peruntukkan sebanyak RM215,600-00 dan disalurkan saperti berikut:

1. Projek tanaman jagung berkelompok RM80,000-00;
2. Pusat mencuci kenderaan RM65,600-00;
3. Bengkel mengecat kenderaan & kimpalan RM70,000-00.

Saya percaya penduduk Kg. Keda Dingin akan dapat memenafaatkan peruntukkan tersebut untuk pembangunan kampung dan memajukan komuniti. Kepada kampung-kampung lain dibawah Parlimen Kulim Bandar Bharu, insyallah saya akan berusaha untuk mendapatkan peruntukkan atau geran pembangunan lain daripada mana-mana Kementerian yang ada untuk menafaat pembangunan dan kemajuan kampung dan desa.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
25 Rabi'ul Awal 1431
12 Mac 2010

27 January 2010

MASALAH PENYELENGGARAAN DI KBB

Salam 2 all.

Saya menerima banyak aduan tentang masalah penyelenggaraan, penyucian longkang, kutipan sampah dan pemotongan rumput di kawasan Kulim Bandar Bharu. Saya telah turun melihat sendiri dan mendapati memang terdapat masalah tersebut. Sebenarnya ini bukan sahaja masalah di Kulim Bandar Bharu, tetapi hampir seluruh negeri Kedah.

Saya telah mengadakan perbincangan dengan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kulim Tuan Fuzi Mohiden dan pihak Majlis Daerah Bandar Bharu yang telah memaklumkan bahawa perkhidmatan penyelenggaraan, penyucian longkang, kutipan sampah dan pemotongan rumput tidak lagi dilaksanakan oleh MPK dan MDBB, sebaliknya diberikan kepada kontraktor yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Dalam kes kawasan Kulim Bandar Bharu, kontrak diberikan kepada syarikat E-Idaman Sdn. Bhd. Saya telah mengadakan perbincangan dengan pihak E-Idaman untuk mengenal pasti masalah dan jalan penyelesaiannya. En. Sharafi yang mewakili syarikat E-Idaman telah memaklumkan kepada saya bahawa syarikat sedang menyusun semula jadual kerja dan logistik yang berkaitan, termasuk menyerap semua kakitangan MPK yang mahu meneruskan tugasan yang sama.

Setelah berbincang, En. Sharafi menyatakan bahawa pihak syarikat akan mengadakan satu kaedah gerak-gempur dimana seluruh kerja penyelenggaraan akan dibuat dengan membahagikan kawasan Kulim Bandar Bharu kepada 7 sektor, dan tiap-tiap sektor akan mengandungi beberapa kawasan yang dinamakan menurut taman atau kampung masing-masing. Satu jadual kerja sudahpun dibuat, dimana pada hari yang ditetapkan, seluruh kakitangan yang terlibat akan turun ke lokasi disektor yang dikenal pasti untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan menyeluruh. Kesemua kerja gerak-gempur ini akan bermula bulan Februari ini, dan dijangka selesai pada penghujung Februari. Jadual kerja itu akan dipamerkan di pejabat MPK dan MDBB. Saya akan melampirkan jadual tersebut sebaik sahaja menerimanya daripada pihak syarikat E-Idaman.

Setakat ini, saya difahamkan lokasi yang akan terlibat bagi Parlimen Kulim Bandar Bharu adalah Taman Orkid, Taman Melor, Taman Dahlia, Taman Anggerik, Taman Kekwa, Taman Cempaka, Taman Melor Indah, Taman Desa Impian, Taman Kempas Merah, Taman Bukit Kulim, Taman Bunga Mawar, Taman Bukit Awi, Taman Khir Johari, Taman Saga, Kg. Baru Mahang, Taman Seri Kulim, Jalan Pegawai, Jalan Tunku Bendahara, Jalan Menteri, Jalan Bukit Awi, Taman Tunku Putra 1-5, Taman Darul Aman/Bukit Besar, Taman Bidara, Taman Rambai, Taman Indah, Taman Desa Kasturi/Melati, Taman Jati, Taman Petaling Indah, Taman Petaling Jaya, Taman Kemuning, Taman Seri Petaling.

Bagi kawasan Bandar Bharu pula, antara kawasan yang dikenal pasti ialah Jalan Kong Koi, Jalan Permatang Pasir/Jalan Sekolah Cina, Jalan Sekolah Cina/Lorong Rumah Penghulu, Bulatan ke Jambatan, Jln Syariah, Kawasan Nuri/ Padang Awam, Stor/Kolej Komuniti, Tmn Berlian Indah 1, Tmn Berlian Indah 1&2, Tmn Berlian Indah 3, Tmn Permata, Taman Cahaya Intan, Taman Cahaya Nilam, Jalan Utama, Bagan Samak, Gerai 12 Unit, Jalan Masjid, Jalan Balai, Persisiran Sungai Kerian, Taman Cempaka, Jalan Raya Besar, Sempadan ke Jalan Mahang dan Rancangan Perumahan Awam.

Senarai saya berikan disini tidak menyeluruh, dan termasuk juga kawasan dengan Parlimen Padang Serai. Saya akan senaraikan seluruh kawasan yang terlibat secara terperinci serta jadual kerjanya dalam masa terdekat ini. Insyallah jika tiada aral melintang, program gerak-gempur ini akan dimulakan pada hari Ahad ini 16 Safar 1431/ 31 Januari 2010 di kawasan Junjong. Selepas itu ianya akan dimulakan mulai Isnin 17 Safar 1431/ 01 Februari 2010.

Saya berharap penduduk kawasan dan lokasi yang terlibat dapat turun beramai-ramai membantu pihak Syarikat E-Idaman dan MPK/MDBB bagi program ini pada masa, tempat dan tarikh yang dijadualkan nanti.

Bagi pihak Majlis Perbandaran Kulim, Majlis Daerah Bandar Bharu dan Syarikat E-Idaman, saya sebagai Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu meminta maaf kepada para penduduk kawasan Kulim Bandar Bharu yang menjalani ketidakselesaan akibat perkhidmatan penyelenggaraan, perkhidmatan, pemotongan rumput, penyucian longkang dan pemungutan sampah yang tidak memuaskan. Saya berharap tuan/puan memahami bahawa pihak MPK/MDBB dan syarikat E-Idaman sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki keadaan, dan saya berharap para penduduk akan membantu dan memberi kerjasama dalam mencapai matlamat projek gerak-gempur ini. Sekiranya ada apa-apa maklumat, cadangan atau aduan, sila kemukakan kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen saya di Taman Kota Kenari atau hubungi terus MPK/ MDBB ataupun syarikat E-Idaman Sdn. Bhd. sendiri.

Sekian wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
12 Safar 1431
27 Januari 2010