Showing posts with label Soalan Parlimen. Show all posts
Showing posts with label Soalan Parlimen. Show all posts

09 September 2011

SOALAN PARLIMEN


ZULKIFLI BIN NOORDIN

AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR-BAHARU

SOALAN-SOALAN PARLIMEN (LISAN & BERTULIS)

SESI MESYUARAT KE 3, PENGGAL KE 4, PARLIMEN KE 12

SOALAN JAWAB LISAN

SOALAN 1 (03.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:

1. apakah status/ tindakan terkini berkaitan lapuran polis oleh ahli DAP bernama Razali dan lapuran akhbar Utusan Malaysia mengenai rancangan pihak tertentu untuk menubuhkan sebuah Negara Kristian;

2. adakah lapuran mengenai cubaan atau rancangan menubuhkan Negara Kristian itu benar?

3. apakah tindakan yang telah dan akan diambil terhadap Church of Our Lady Fatima Brickfield dan mereka yang terlibat dalam kes memurtadkan Azlina Jailani @ Lina Joy?

SOALAN 2 (04.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan:

1. apakah status siasatan dan tindakan terkini yang diambil berkaitan isu fahaman pluralisma dan ucapan YB Permatang Pauh di London School of Economic pada 18.03.2008 yang jelas menunjukkan beliau mempunyai ciri menerima dan menganut fahaman pluralisma;

2. adakah Kerajaan bercadang mengeluarkan fatwa mengharamkan anutan fahaman pluralisma/ liberalisma dan mengambil tindakan memulihkan aqidah penganut fahaman sesat ini?


SOALAN 3 (05.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan:

1. Apakah langkah yang diambil memandangkan serangan terhadap aqidah dan syariat Islam semakin melampau akhir-akhir ini saperti isu dakyah Gereja Methodist, dakyah kristian dikalangan guru-guru tuisyen, munculnya laman-laman web yang menghina Islam dan banyak lagi?

2. Bila Kerajaan bercadang menubuhkan Pusat Pemulihan Aqidah di setiap negeri bagi membendung krisis aqidah umat Islam ini?

SOALAN 4 (06.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan:

1. apakah pendirian Kerajaan mengenai fatwa oleh Mufti Kerajaan DAP Pulau Pinang yang mengharamkan bacaan Al Quran pada waktu suboh? Adakah perkenan YDP Agong diperolehi sebelum fatwa itu dikeluarkan?

2. apakah status siasatan dan tindakan yang diambil terhadap seorang bernama Zakaria Bin Ahmad yang didalam khutbah Jumaat mendoakan Ketua Menteri DAP Pulau Pinang dan meninggalkan doa untuk YDP Agong?

SOALAN 5 (10.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan:

1. Mengapa Pusat Zakat/ Baitulmal, yang begitu agresif/ pro aktif dalam mengutip zakat, tidak mengambil sikap agresif/ pro-aktif dalam agihan zakat saperti mencari/ mengesan para asnaf terutama fakir miskin yang layak;

2. Adakah Kerajaan menyedari kegagalan Pusat Zakat/Baitulmal terutama dalam hal agihan telah diambil kesempatan oleh pihak bukan Islam untuk menyebarkan dakyah mereka?

3. Adakah Kerajaan bercadang mengadakan audit syariah bagi semua kutipan/agihan zakat?

SOALAN 6 (11.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:

1. Adakah Kerajaan sudah mengenalpasti dan mengambil tindakan terhadap pihak yang memberikan maklumat bohong dan palsu kepada akhbar Kompas Indonesia sehingga mereka menerbitkan berita pembohongan mengenai YAB Perdana Menteri & YABhg Datin Sri Rosmah Mansor?

SOALAN 7 (12 .10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Dalam Negri menyatakan:

1. Apakah status terkini dan tindakan yang telah diambil mengenai lapuran polis Dengkil Repot/ 001196/09 mengenai perbuatan jenayah rogol seorang pensyarah keatas seorang pelajar UPM?

2. Bilakah pertuduhan merogol akan dikenakan terhadap perogol tersebut?

3. Adakah pengadu diberi maklum mengenai perkembangan dan status aduannya?

SOALAN 8 (13.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:

1. apakah tindakan dan langkah yang telah, sedang dan akan diambil terhadap penganjur himpunan haram 09 Julai;

2. bilakah pertuduhan jenayah terhadap Mohamad bin Sabu yang membawa cerita palsu dia dilanggar kenderaan PDRM pada 09 Julai itu akan dibawa?

3. apakah status dan tindakan terhadap penama Suhardi yang terlibat dalam himpunan haram itu dan isu kematian Allahyarham Baharudin yang diputarbelit itu?

SOALAN 9 (17.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Perdana Menteri menyatakan:

1. adakah Kerajaan bercadang menjadikan tarikh 13 Mei sebagai “Hari Mahabbah” atau “Hari Perpaduan” dan menyiarkan tanpa tapisan semua kisah sebenar dan gambar-gambar peristiwa 13 Mei 1969 supaya rakyat sedar bahaya politik perkauman dan agama?

2. adakah Kerajaan bercadang membuka Kertas Putih untuk mengenal pasti punca dan dalang peristiwa 13 Mei 1969?

SOALAN 10 (18.10.2011)

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Perdana Menteri menyatakan:

1. adakah Kerajaan bercadang membawa pertuduhan jenayah lapuran palsu terhadap YB Permatang Pauh berkaitan lapuran polis beliau membabitkan sebuah videoklip;

2. adakah Kerajaan bercadang membawa pertuduhan syarie terhadap YB Permatang Pauh berkaitan pendedahan didalam videoklip tersebut?

3. adakah satu Suruhanjaya DiRaja/ Jawatankuasa Siasatan akan ditubuhkan untuk mendapatkan perisytiharan kehakiman & perundangan identiti pelaku-pelaku dalam videoklip tersebut?


SOALAN JAWABAN BERTULIS

SOALAN 1

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Pengangkutan menyatakan:

1. adakah Kerajaan bercadang mengarahkan/ menasihatkan pemegang konsesi lebuhraya tol utama untuk tidak mengenakan tol diwaktu puncak saperti cuti perayaan, ataupun semasa lebuhraya tersebut dalam proses baikpulih yang menganggu kelancaran perjalanan?

2. apakah punca kegagalan Ops Sikap dan apa tindakan yang akan diambil untuk mengatasi kadar kemalangan/ kematian dijalanraya yang terlalu tinggi?

SOALAN 2

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Pelajaran menyatakan:

1. adakah Kerajaan bercadang melaksanakan penyelidikan holistik dan menyeluruh bertujuan memansuhkan secara beransur-ansur sekolah-sekolah bukan aliran kebangsaan yang didapati lebih memudaratkan dan menyebabkan polarisasi agama dan kaum semakin menebal dikalangan pelajar?

2. apakah Kerajaan menyedari terdapat guru-guru yang memutar fakta sejarah negara dan menyebarkan dakyah agama bukan Islam dikalangan pelajarnya?

SOALAN 3

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Penerangan, Komunikasi & Warisan menyatakan:

1. apakah Kerajaan menyedari program dan perancangan semangat 1-Malaysia terlalu menumpu kepada bangsa Melayu, Cina & India, dan seolah-olah mengenepikan kaum bumiputera yang lain termasuk mayarakat Orang Asli dan penduduk Sabah & Sarawak?

2. adakah Kerajaan bercadang menyiarkan lebih banyak filem arkib mengenai sejarah hitam negara saperti 13 Mei, Bukit Kepong dan lain-lain agar rakyat mendapat gambaran sebenar fakta sejarah negara dan tidak mudah diputarbelit oleh pihak tertentu.

SOALAN 4

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Pembangunan Luar Bandar & Kemajuan Wilayah menyatakan:

1. apakah Kerajaan bercadang melaksanakan skim perumahan luar bandar (saperti Skim Perumahan Generasi-2 Felda) untuk generasi kedua luar bandar,, kampung dan desa termasuk dikawasan Parlimen Kulim Bandar Baharu yang menghadapi masalah perumahan yang kritikal;

2. apakah tindakan yang diambil mengenai cubaan pihak tertentu mengeluarkan borang pemilikan tanah bagi warga Felda/ Felcra sebagai umpan undi jika mereka memenangi Pilihanraya Umum akan datang?

SOALAN 5

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Perdana Menteri menyatakan:

1. apakah status projek pembinaan Menara Warisan;

2. apakah ada jaminan projek Menara Warisan akan memberi keutamaan kepada professional (saperti akitek, jurutera dan lain-lain) dan kontraktor Melayu/ Bumiputera dalam perlaksanaannya;

3. bagaimana PNB bercadang mendapatkan modal untuk menampung kos pembinaan, dan adakah Kerajaan perlu memberi jaminan liabiliti?

4. adakah Menara Warisan itu akan disewakan atau digunapakai oleh PNB?

Sekian terima kasih.

Yang benar

Zulkifli bin Noordin

Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu

Jumaat: 09 Syawal 1432 / 09 Sep 2011


*Nota: soalan-soalan diatas adalah tertakluk kepada penerimaan, penolakan, pindaan atau perubahan mengikut peraturan dan syarat-syarat Dewan Rakyat dan kepada keperluan yang berkaitan. Teks yang berkuatkuasa adalah saperti teks yang diterima dan diterbitkan oleh Dewan Rakyat semasa persidangan nanti insyallah.

17 March 2011

1-MALAYSIA

(Bersama Sheikh Dr. Yusuf Islam melawat Parlimen Malaysia semalam)

Salam 2 all.

Hari ini teman membangkitkan isu konsep 1-Malaysia didalam Parlimen melalui Soalan Lisan. Soalan teman, yang disenaraikan dalam no.2, berbunyi saperti berikut:

a. adakah Kerajaan bercadang mengolah semula konsep 1-Malaysia supaya tidak diputarbelitkan oleh pihak tertentu sehingga memberi persepsi mengelirukan kepada rakyat dengan penafsiran yang berbeza dan pelbagai; dan

b. adakah Kerajaan bercadang membuat re-branding kepada konsep saperti Malaysian-First dengan prinsip "Negara DiDahulukan, Rakyat DiUtamakan" dimana setiap rakyat mendahulukan negara dan Kerajaan pula mengutamakan rakyat dalam semua dasar dan perancangan.

Agak mengejutkan kerana soalan teman itu dijawab sendiri oleh YAB Perdana Menteri sendiri. Namun kalangan di Parlimen menyatakan kesediaan YAB Dato' Sri Najib menjawab sendiri soalan ini menunjukkan kesungguhan beliau dalam isu berkaitan konsep 1-Malaysia (sila lihat dibawah untuk intipati jawapan YAB Perdana Menteri)

Sebenarnya teman mengemukakan soalan ini atas beberapa sebab.

1. Konsep 1-Malaysia ini telah dikelirukan, kekadang sehingga ke peringkat begitu serius. Contohnya iklan Hari Raya yang cacamerba, iklan Lebai Santa. Sambutan 'ibadah 'eidulfitri dengan Tok Lebai kayuh basikal terbang macam santa dengan bunga lotus dan pelita. Rojak habis sehingga ke peringkat menghina Islam.

2. Kekadang, iklan televisyen itu sehingga menjadi "plastik". Contohnya iklan dimana 3 sekawan Melayu, Cina & Punjabi ke warung rakan mereka seorang India. Pakej 1-Malaysia cantik punya. Siap order teh-tarik 1-Malaysia. Bila si melayu minta tolong rakan punjabinya dengan kata "kita kan kawan", terus sipunjabi jawab "siapa kata kita kawan, kita adik beradik". Aisey yop, kot ya pun nak bodek janganlah over sangat. Satu senario yang tak realistik langsung..satu plastik!

3. Konsep 1-Malaysia ini juga telah melahirkan terlalu banyak persepsi. Contohnya bagi kalangan orang Melayu, 1-Malaysia bermaksud tiada lagi sekolah aliran Cina, Tamil dan lain-lain contohnya. Bagi bukan Melayu pula, 1-Malaysia bermakna tiada lagi hak istimewa orang Melayu. Artikel 153 patut dihapuskan. Samarata, samarasa!

Begitulah kekeliruan dan cacamerba yang lahir akibat kekeliruan terhadap konsep 1-Malaysia. Dan teman menyatakan kepada YAB Perdana Menteri bahawa Konsep 1-Malaysia telah gagal melahirkan warganegara dan rakyat yang sayang dan cintakan negara.

Contohnya masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang masih memburuk-burukkan negara semasa berada diluar negara. Malahan ada yang sampai berbohong. Semasa teman ke beberapa negara contohnya di Washington, New York menghadiri Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu, lawatan kerja di Turkey dan lain-lain. Teman terperanjat mendengar dari beberapa pemimpin negara tertentu yang jelas telah dibohongi dengan beberapa fakta yang tidak betul, sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan dan negara kita.

Sedangkan yang teman hairan, mengapa kita tidask boleh mengambil YBM Tengku Razaleigh Hamzah, yang tidak pernah memburukkan negara semasa berada diluar walaupun beliau pernah ada krisis besar dengan mantan PM sehingga negara hampir pecah dua! Beliau berlawan didalam negara, sehingga UMNO pernah diisytiharkan haram. tetapi bila YBM Ku Li berada diluarnegara, beliau tetap mempertahankan negara dan kepimpinan negara.

Selanjutnya kenapa kita tidak mengambil contoh daripada bekas Presiden Israel Moshe Kastav ataupun Perdana Menteri Itali Berlusconi, yang walaupun berhadapan dengan tuduhan merogol atau punya hububngan sulit dengan gadis bawah umur, mereka melawan di Mahkamah negara masing-masing. Kita tidak pernah pulak mendengar Kostav atau Berlusconi berkempen keluar negara meminta bantuan Amerika atau Australia, apatah lagi Yahudi (walaupun Kostav adalah Presiden Israel sebuah negara Yahudi).

Jadi rumusannya, teman mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri supaya Kerajaan mengkaji semula konsep 1-Malaysia ini supaya bersesuaian dengan konsep "Malaysian-First", dengan prinsip "Negara DiDahulukan, Rakyat DiUtamakan".

Adios amigos, grasias senor.

Wallahua'lam & Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin

Khamis

12 Rabi'ul Akhir 1432

17 Mac 2011

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

(Jawapan YAB Perdana Menteri kepada isu diatas)

Ada pihak bimbang kejayaan 1Malaysia

KUALA LUMPUR 17 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penerimaan rakyat yang semakin meningkat terhadap gagasan 1Malaysia menyebabkan ada pihak bimbang dan sentiasa mencari muslihat untuk menimbulkan penafsiran yang berbeza serta mengelirukan mengenainya.

Perdana Menteri berkata, pihak tersebut juga akan sentiasa mencari jalan untuk memutarbelitkan fakta, mengaburkan perkara yang jelas dan menggelapkan yang terang demi mewujudkan modal politik yang boleh ditabur kepada rakyat.

"Sudah tentu kejayaan gagasan 1Malaysia kurang disenangi oleh pihak tertentu yang hanya memikirkan manfaat politik yang dapat diraih apabila berlaku persengketaan dan perselisihan faham antara kaum.

"Golongan ini tidak perlu dipedulikan, yang jelas sebilangan besar rakyat menerima 1Malaysia sebagai konsep yang mengeratkan talian muhibah di kalangan semua kaum selain menyemarakkan semangat cinta kepada negara. Inilah matlamat utama gagasan ini diperkenalkan," katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim-Bandar Baharu) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengolah semula konsep 1Malaysia supaya tidak diputarbelitkan oleh pihak tertentu sehingga memberi persepsi mengelirukan kepada rakyat dengan penafsiran yang berbeza dan pelbagai.

Perdana Menteri menambah, sejak pelancaran gagasan 1Malaysia sebaik sahaja beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 3 April 2009, penerimaan rakyat terhadap gagasan itu amat memberangsangkan.

"Pada peringkat awal ada pihak yang cuba memanipulasikan 1Malaysia bagi mewujudkan polemik demi kepentingan politik mereka, namun dengan penjelasan yang terperinci di pelbagai peringkat, penerimaan yang amat baik jelas kelihatan di kalangan rakyat," katanya.

Menjawab soalan tambahan Zulkifli yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membuat penjenamaan 1Malaysia kepada konsep Malaysian-First dengan slogan 'Negara Didahulukan, Rakyat Diutamakan', Perdana Menteri berkata, penjelasan lebih terperinci mengenai 1Malaysia perlu diberi keutamaan.

"Saya anggap walaupun kita telah banyak beri penjelasan dan penerimaan pun semakin ketara, tetapi penjelasan demi penjelasan perlu diberikan supaya kita sampai ke satu peringkat di mana gagasan ini difahami sepenuhnya," katanya.

Perdana Menteri berkata, pemahaman terhadap 1Malaysia perlu dihubungkaitkan dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' iaitu prinsip yang boleh membawa kekuatan kepada negara.

Menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mengenai langkah kerajaan bagi menghadapi pihak-pihak yang mahu menjejaskan perpaduan negara, Najib berkata, golongan itu tidak dapat dielakkan.

"Dalam sebuah masyarakat yang begitu kompleks, memang akan ada masalah. Sebab itu kita ada 1Malaysia iaitu nilai yang boleh dihayati setiap rakyat untuk mengurangkan masalah antara kaum," katanya.