

Salam 2 all.
Koperal Jenain Subi, 48 tahun, daripada IPD Shah Alam dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam sebentar tadi dan dikenakan pertuduhan menurut Seksyen 304A Kanun Kesiksaan kerana menyebabkan kematian Allahyarham adik Aminulrasyid Amzahdengan pertuduhan "kamu telah, diantara jam 1.10 pagi dan 2 pagi Isnin 12 Jamadil Awal 1431 / 26 April 2010 menyebabkan kematian Allahyarham adik Amnulrasyid Amzah di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, Shah Alam".
Seksyen 304A Kanun Kesiksaan adalah peruntukkan kesalahan menyebabkan kematian dengan cuai dimana "barangsiapa menyebabkan kematian seseorang dengan melakukan apa-apa perbuatan gopoh, atau cuai tidak terjumlah kepada mematikan orang dengan salah, hendaklah disiksa dengan penjara selama yang boleh sampai 2 tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya".
Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Duzuki Mokhtar. Koperal Jenain, yang diwakili peguam Salim Bashir tidak mengaku salah terhadap tuduhan dan minta dibicarakan. Memandangkan ini adalah kesalahan yang boleh dijamin, Timbalan Pendakwa Raya telah menwarkan jaminan berjumlah RM35,000-00. Namun dibantah oleh peguam Salim Bashir yang meminta ianya dikurangkan. Akhirnya Hakim M Gunalan membenarkan Koperal Jenain diikatjamin RM10,000 dengan seorang penjamin. Kes ini akan disebut semula pada 10 Julai 2010.
Dengan pertuduhan terhadap Koperal Jenain ini, saya berpendapat pihak Polis sepatutnya
mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada ibu dan keluarga Allahyarham adik Aminulrasyid kerana menuduh Allahyarhman sebagai penjenayah semasa memberikan kenyataan awal berkenaan kes ini. Kenyataan inilah yang menyebabkan ibu dan keluarga Allahyarham berasa sangat terkilan dan sedih. Oleh itu saya sarankan YB Menteri menasihatkan pihak polis supaya menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada ibu dan keluarga Allahyarham secara terbuka.
Saya juga mencadangkan supaya cara perlantikan anggota, latihan asas serta latihan dalam perkhidmatan pasukan polis dikaji semula. Saya berasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem yang diamalkan setakat ini kerana kalau seorang anggota yang agak senior saperti Koperal Jenain dan seorang anggota yang masih mentah saperti dalam kes di Negeri Sembilan baru-baru ini boleh melepaskan tembakan kepada orang awam tanpa sebab yang menasabah. Apakah "Standard Operating Procedure" bagi penggunaan senjata api dikalangan anggota polis; dan kajian perlu dibuat samada SOP senjata api ini perlu dikaji semula.
Apa yang penting, kita mesti mencari jalan keseimbangan diantara keperluan keselamatan awam dan keselamatan anggota pasukan polis dalam memastikan usaha pencegahan dan pembenterasan jenayah akan dapat dilaksanakan dalam keadaan "win-win situation". Kita juga tidak mahu dalam keadaan kita terlalu menjaga keselamatan awam dan individu, akhirnya menyebabkan pasukan keselamatan kita dikompromi sehingga mereka menjadi takut dan ragu-ragu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Kita tidak mahu suasana saperti disesetengah negara maju yang kononnya terlalu menekankan hak individu, akhirnya pasukan polis mereka menjadi hampir lumpuh dan tidak berupaya mengekang kegiatan jenayah; hanya kerana hak individu penjenayah sudah terlampau hebat diberikan.
Apa pun, saya berharap episod sedih kematian Allahyarham adik Aminulrasyid akan menjadi pengajaran buat kita semua. Disatu pihak, kita perlu melihat semula cara penjagaan dan pengawasan anak-anak yang semakin rapuh didalam masyarakat kita; dan diwaktu yang sama keperluan mempunyai pasukan polis yang mesra rakyat dan tidak menjadi "polis koboi" bertindak mengikut sesuka hati mereka.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Isnin
26 Jamadil Awal 1431
10 Mei 2010
*Gambar atas kanan "Perjalanan Terakhir Allahyarham Adik Aminulrasyid Amzah" pada hari Isnin 12 Jamadil Awal 1431 / 26 April 2010.
*Gambar atas kiri: Koperal Jenain Subi dan Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah.