Showing posts with label Dr. Asri. Show all posts
Showing posts with label Dr. Asri. Show all posts

06 November 2010

DR. ASRI JAWAB "DINASOUR PKR"

Salam 2 all.

Elok tengah teman sibuk menyiarkan tulisan seorang pembaca lamanweb Konsensus Bebas tentang kritikan Manuty dan lain-lain balaci Anwar terhadap teguran Dr. Asri menasihatkan Anwar supaya mengundur diri secara terhormat, Dr. Asri sendiri telah menjawab kritikan itu. Teman tak bercadang nak tulis lebih, mike semua baca sendiri lah yop. Tapi yang syoknya teman tengok Dr. Asri melabel dema ni sebagai "dinasour" kerana tak boleh nak terima kritikan. Macam tu lah yop, bila dipuji dema kembang hidung sampai lubang hidung KingKong pun nampak kecik. Tapi kena tegur sikit, mike semua paham sendiri lah.

Adios amigos. Grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
28 Zul Qaedah 1431
06 Nov 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@

DINASOUR PKR ENGGAN TERIMA HAKIKAT
Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
(dipetik daripada lamanweb MalaysiaKini.com bertarikh 06.11.2010)

Selepas saranan beliau supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' mengundang kritikan sebilangan pemimpin kanan PKR, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini membidas sikap tidak berlapang dada pemimpin pembangkang.

Dr Mohd Asri berkata kenyataan beliau Isnin lalu itu menyebabkan terdapat pemimpin PKR yang "melenting, buruk sangka dan membuat anggapan yang bukan-bukan".

"Apabila saya menyatakan banyak dinosaur politik dalam BN dan Pakatan Rakyat yang perlu memberi ruang kepada orang lain, dan saya sebut nama YB DSAI (Anwar) sebagai contoh, seperti biasa mereka melenting, buruk sangka dan membuat anggapan yang bukan-bukan.

"Saya kata bahawa, jika tidak berlaku perubahan; momentum politik yang berkesan akan habis dan politik berkualiti akan sukar dicapai," katanya.

"Sebagai rakyat bawahan yang melihat permainan politik dalam negara ini, dengan sikap 'buta warna parti', saya dapat rasakan sejauh manakah pertarungan itu di sudut ketangkasan dan 'manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat'.

"Momentum sesebuah aliran politik bukan selamanya. Rakyat bukan sahaja akan terikat dengan 'kenangan semalam', sebaliknya mereka juga terikat dengan 'realiti hari ini' dan 'impian masa depan'," tulisannya dalam blognya pagi ini.

Dr Mohd Asri turut meminta pemimpin Pakatan yang tidak bersetuju dengannya merujuk kepada sebuah analisis berita yang mendakwa gabungan PAS, DAP dan PKR mula hilang momentum selepas kekalahan di DUN Galas dan Batu Sapi kelmarin.

Tokoh agama itu mengingatkan, momentum sesebuah aliran politik tidak akan kekal selamanya kerana rakyat bukan sahaja akan terikat dengan 'kenangan semalam'.

Sebaliknya, tambah Dr Asri, mereka juga terikat dengan 'realiti hari ini' dan 'impian masa depan'.

"Sebab itu, jangan hairan jika 'momentum Barack Obama' boleh surut dalam hanya masa dua tahun apabila dilihat gagal merealisasikan impian rakyat seperti yang dijanjikan," katanya sambil membandingkan dengan kepimpinan presiden Amerika Syarikat itu.

Sehubungan itu, kata Dr Mohd Asri, jika perkara tersebut berterusan, Pakatan Rakyat akan hilang momentumnya disebabkan pelbagai perkara.

"Salah satunya ubat bagi saya; keperluan 'mentajdidkan' (memperbaharui) pemain utama. Jika tidak, mungkin negara kita hilang keseimbangan politik antara pemerintah dan pembangkang!" tegasnya.

"Jika hendak jadi penguasa, kena belajar berlapang dada dengan rakyat jelata. Bukan semua yang berbeza itu menzalimi anda!".

MENJAWAB MANUTY!

Salam 2 all.

Saya sangat tertarik dengan respon seorang pembaca yang menulis kep lamanweb Konsensus Bebas mengenai kenyataan Dr. Muhammad Nor Manuty, ahli MPT PKR yang juga rakan kroni Anwar (kenyataan beliau saya siarkan dibawah yang disiarkan oleh MalaysiaKini hari ini). Manuty yang juga dikenali sebagai seorang agamawan dikalangan ahli PKR telah membidas Dr. Asri yang menegur Anwar dan menasihatkan beliau supaya berundur. Mereka bukan sahaja tidak menjawab kritikan dan teguran Dr. Asri itu dengan baik dan berilmiah, tetapi terus melabel teguran itu dengan pelbagai label, suatu petunjuk bahawa mereka sudah ketandusan jawapan.

Apa pun eloklah dibaca komen penulis yang memanggil dirinya Pandak Tukan ini, dan moga ada menafaatnya bagi mereka yang ada sekelumit aqal dan keimanan.

Adios amigos.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
28 Zul Qaedah 1431
06 Nov 2010


Surat terbuka kepada Dr. Muhammad Nur Manuty


Sabtu, 06 November 2010

Menjawab kepada Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi, Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BiPPA), PKR bertarikh 4 November 2010:

1. Kritikan terhadap Anwar Ibrahim tidak semestinya ditafsirkan sebagai suatu serangan peribadi semata-mata. Anwar Ibrahim bukan insan maksum yang sepi dari segala kelemahan dan kekhilafan.

Kejujuran Dr. Asri membuat saranan untuk Anwar berundur dari politik hanya boleh dinilai oleh rakyat dan bukan oleh tuan punya badan atau kroni yang berkepentingan. Gesaan Dr. Asri ini timbul dari hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Anwar untuk membawa perubahan.

Anwar kini nampak ketara kepada rakyat sebagai sebahagian daripada status quo. Politik Baru mendesak kepada watak baru dan persekitaran baru. Keputusan pilihan raya kecil di Galas dan Batu Sapi sedikit sebanyak mencerminkan sentimen rakyat.

2. Tidak dapat dinafikan Anwar Ibrahim memainkan peranan besar dalam pembentukan Pakatan Rakyat. Tempat beliau dalam sejarah politik Malaysia terjamin. Tetapi untuk mencanangkan bahawa kejayaan Pakatan Rakyat di PRU 12 semata-mata kerana kewibawaan dan keupayaan Anwar adalah satu pendekatan yang amat cetek.

Pakatan Rakyat berjaya di PRU-12 kerana platformnya disambut oleh gelombang rakyat yang dahagakan reformasi. PAS dan DAP disatukan oleh kebencian bersama terhadap BN. Demi political expediency, PAS dan DAP melayan mimpi Anwar untuk menjadi Perdana Menteri

3. Keberkesanan kepimpinan bukan terletak kepada usia, karisma atau kepetahan berpidato. Politik ceramah sudah ketinggalan zaman. Keberkesanan kepimpinan terletak kepada tindakan politik. Apabila tindakan politik tidak seimbang, yang menonjol hanya retorik janggal. Apabila moral diragui; "karisma, amanah, keberanian, kegigihan dalam perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat, mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga, kesediaan berkorban, memiliki kebijaksanaan (hikmah) dan ketahanan fizikal" menjadi subjektif.

4. Keputusan Anwar Ibrahim untuk menyertai UMNO pada tahun 1982 masih lagi dipersoalkan oleh rakyat hingga ke hari ini. Anwar dilihat sebagai haiwan politik yang hanya ingin memperalatkan UMNO untuk menjadi Perdana Menteri. Dengan memandang ke belakang (hindsight), terbukti Anwar telah mengamalkan politik kotor semasa menjadi pemimpin UMNO. Penglibatan beliau dalam kes Realmild dan usaha beliau untuk menjadikan Biro Tata Negara sebagai jentera politik peribadi memperkukuhkan persepsi rakyat yang Anwar adalah sebahagian daripada status quo.

Hanya setelah dipecat daripada kabinet dan UMNO, Anwar memasyhurkan Deklarasi Permatang Pauh. Rakyat menyahut laungan reformasi bukan semata-mata untuk membela Anwar tetapi rakyat benar-benar dahagakan perubahan.

Sebagai mangsa kerakusan kuasa Mahathir, rakyat menaruh harapan tinggi kepada Anwar untuk berubah dan membawa kepada perubahan. Malangnya, budaya politik ala-UMNO telah menebal di jiwa dan jasad Anwar Ibrahim.

5. Dr. Asri telah menjelaskan bahawa saranan untuk berundur dari politik ditujukan kepada semua pemimpin politik yang telah luput tarikhguna.

"Kemiskinan rakyat yang masih berleluasa di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, masalah rasuah yang semakin membarah, keruntuhan moral (akhlak) dan pelbagai penyakit sosial yang semakin kronik, penyalahgunaan kuasa yang berwewenang, hutang negara yang semakin bertambah, track rekod kerendahan moral dan akhlak" hanya boleh diselesaikan oleh Politik Baru dengan watak baru dan persekitaran baru; bukan oleh seorang pemimpin yang sedang bergelumang dengan isu-isu moral dan akhlak.

6. Seruan Dr. Asri ialah manifestasi sentimen rakyat yang menuntut perubahan. Jika kritikan Dr. Asri terhadap pemerintah disambut dengan sorak gemuruh, begitu juga, seruan Dr. Asri untuk mencanang lanskap politik baru harus diterima dengan dada yang lapang.

7. Anwar Ibrahim diminta berundur kerana beliau kini dianggap sebagai satu beban dan liabiliti kepada reformasi tulen. Anwar Ibrahim telah menjelma sebagai bagasi lebihan kepada kemaraan gerakan reformasi ke Putrajaya.

Pandak Tukan
06 November 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@

PKR menyifatkan pandangan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menyeru agar Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' adalah "manifestasi suara ketakutan pimpinan negara terhadap fenomena kebangkitan rakyat". Malah Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR, Dr Muhammad Nur Manuty mempertahankan ketuanya dengan berkata serangan peribadi pelbagai bentuk kepada Anwar "bukanlah sesuatu yang memeranjatkan". NONE "Keberkesanan kepemimpinan seseorang itu tidak boleh diukur dari segi usia semata-mata. "Hakikatnya kepemimpinan itu hendaklah dilihat dari segi karisma, amanah, keberanian, kegigihan dalam perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat, mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga, kesediaan berkorban, memiliki kebijaksanaan (hikmah) dan ketahanan fizikal. "Inilah antara sifat yang dimiliki dan dihayati oleh DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai pemimpin yang diiktiraf dan dihormati oleh kawan dan lawan dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan semalam. Muhammad Nur mengulas kenyataan Dr Mohd Asri yang berkata sudah sampai masanya untuk ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' kerana banyak rentak tari politiknya makin 'tidak seimbang'. dr asri zainul abidin mufti perlis and putrajaya pantun Menulis dalam blognya Isnin lalu, di bawah tajuk 'Politik kita memerlukan anjakan baru', Dr Mohd Asri menegaskan "politik kita memerlukan watak-watak baru yang bernas, matang dan tangkas". Kritikan pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga turut ditolak oleh ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin yang menyifatkannya sebagai satu "kenyataan yang pelik dan tidak berpijak pada realiti politik" semasa tanah air. Sementara itu, menjawab kritikan balas selepas saranan kerasnya itu, Dr Mohd Asri menegaskan cadangannya adalah "hak rakyat" kepada pemimpin. Menurutnya, tegurannya itu bukan satu perkara baru kerana sebelum ini beliau pernah mencadangkan perkara sama kepada mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui sebuah pantun. "Freedom of expression (kebebasan bersuara) yang dilaungkan oleh sesetengah pihak tidak memberi makna jika hanya mereka setuju suara mereka dan menghalang suara orang lain," coretnya dalam blog sambil menafikannya sebagai satu pandangan agama.


03 November 2010

ADDEENUL NASIHAH

(Gambar hiasan: beginilah berakhirnya Firaun yang begitu angkuh dan sombong terhadap ALLAH. Moga menjadi iktibar kepada insan yang punya walau sekelumit keimanan)

Salam 2 all.

Sebuah akhbar telah menyiarkan lapuran dibawah mengenai nasihat Dr. Asri dan saya sendiri kepada Anwar khususnya.

Agama itu nasihat. Begitu pesan Rasulullah saw. Sebenarnya kita semua mengasihani Anwar. Dikala umurnya sudah memasuki "zon maut" saperti yang disabdakan Nabi saw, diwaktu alam kubur sudah mula menggamit, dalam usia yang beliau sepatutnya lebih menumpukan masa dan tenaga membuat persediaan ke alam barzakh, dalam keadaan anak cucu mengharapkan dapat meluang masa bermesra dengan atuknya; namun Anwar masih bergelumang dalam dunia politik yang penuh dengan pembohongan dan putar belit, berhadapan dengan pertuduhan liwat yang memungkinkan beliau menghabiskan sisa umurnya disebalik tembok dan tirai besi.

Nasihat saya kepada Anwar, yang sudah itu sudahlah. Pintu taubat terbuka luas kepada hamba yang mengharapkan maghfirah Yang Maha Esa. Letakkanlah keyakinan sepenuhnya kepada ALLAH, dan bertaqwalah dengan sebenarnya kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan membuka laluan dan ruang yang tidak pernah terfikir pun oleh kita.

Moga ALLAH mengampunkan segala kesilapan dan kelemahan saya. Wallahua'lam dan wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
26 Zul Qaedah 1431
03 Nobv 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@

DR ASRI NASIHATKAN ANWAR BERUNDUR DARI POLITIK
ZUL NOORDIN NASIHATKAN PAS KELUAR PAKATAN

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini tidak banyak menyentuh fasal Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau tiba-tiba menasihatkan Ketua Pembangkang itu sudah sampai masanya bersara dari politik kerana zaman Anwar sudah berlalu dam perlu diganti pemimpin baru.

Antara alasan beliau, generasi baru tidak akan terus bertahan untuk melihat ‘story-design’ politik yang sama selain bagi mewujudkan pembangkang yang lebih berkualiti dan berkesan.

“Saya rasa beliau perlu menerima hakikat ini. Demikian setiap kita ada hari datang dan hari pergi. Biarlah kita datang disambut mesra, dan kita pergi diucapkan terima kasih dan hormat, bukan dipaksa keluar,” tulis Dr Asri di blognya.

Menurutnya lagi, politik negara memerlukan watak-watak baru yang bernas, matang dan tangkas yang disifatkan oleh sarjana politik Islam sebagai mempunyai ‘al-quwwah’ (kemampuan) dan al-Amanah (amanah).

“Mereka yang berteraskan politik idea dan nilai, bukan politik duit, atau politik taukeh. Maka semua ahli politik yang merasakan zaman mereka sudah habis, berilah laluan kepada mereka yang baru demi untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Dr. Asri berkata, samada di pihak pembangkang ataupun kerajaan, hal yang sama mesti dilakukan.

Katanya, ramai pelakon veteran sudah tidak sesuai menjadi ‘hero’ dalam pentas baru politik hari ini dan biarlah mereka tersimpan dalam diari sejarah politik negara dengan kadar sumbangan yang sudah dibuat.

Menariknya, pandangan beliau supaya Anwar berundur dari politik turut disokong ahli parlimen Bebas Kulim Bandar Bharu Zulkifli Noordin.

Malah menurut Zulkifli, beliau sendiri sudah beberapa kali menasihatkan Anwar bermuhasabah diri dan menyelesaikan masalah peribadi yang sedang dia hadapi.

“Setelah melihat sendiri bagaimana Anwar sanggup menggadai agama dengan mengheret saya kehadapan Lembaga Disiplin kafir untuk membicarakan saya dalam isu kalimah Allah,”.

“Di depan mata saya juga, Anwar sanggup mengenepikan persahabatan dia dengan Datuk Seri Zahrain selama 30 tahun hanya untuk membodek Lim Kit Siang dan anaknya, saya melihat Anwar bukan lagi Anwar yang kita kenal,” ulas Zulkifli di blognya.

Beliau juga berharap kepimpinan PAS dapat melihat bahawa mereka sedang mempercatur nasib umat Islam dan agama apabila berterusan bersekongkol dengan Anwar.

“Takkan mereka tidak dapat melihat lagi sandiwara Anwar? Kalau Konspirasi 16 Sept pun Anwar boleh bohong mereka bulat-bulat, apa lagi bukti yang mereka mahu?”

“Kalau sudah dibuktikan PAS hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh Anwar, pun masih lagi terkial-kial nak menari ikut rentak Anwar, saya tidak tahu apa lagi yang kepimpinan PAS mahu buktikan?,” soalnya.

Menurut Zulkifli di Pulau Pinang, Anwar langsung tidak menghormati PAS.

Satu-satunya ADUN PAS, Salleh Man pun tidak diberi muka, hanya kerana mahu menjaga Kit Siang dan Lim Guan Eng.

"Dan kami semua pun tahu bahawa Anwar cukup tidak selesa dengan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan ketrampilan "talibannya",” ujar beliau yang dipecat daripada PKR beberapa bulan lalu.

Katanya, PAS sebuah parti yang besar, keahlian ramai, jentera mantap dan petugas yang sangat komited boleh berdiri sendiri tanpa Anwar.

“Kepada Anwar, terimalah nasihat daripada Dr. Asri dengan hati terbuka. Berlapang dadalah. Mungkin sudah taqdir Allah jawatan Perdana Menteri bukan milik Anwar. Dan menjadi Perdana Menteri bukanlah segala-galanya di muka bumi ini,” ujarnya.

01 November 2010

DR. ASRI NASIHAT ANWAR BERUNDUR!

Salam 2 all.

Saya tertarik dengan ulasan sahabat saya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (dah Professor Madya sekarang yop) di www.drmaza.com yang menasihatkan Anwar supaya berundur dari dunia politik.

Saya sendiri telah beberapa kali menasihatkan Anwar supaya bermuhasabah diri dan menyelesaikan masalah peribadi yang sedang dia hadapi. Setelah melihat sendiri bagaimana Anwar sanggup menggadai agama dengan mengheret saya kehadapan Lembaga Disiplin kafir untuk membicarakan saya dalam isu kalimah ALLAH, dan melihat depan mata saya bagaimana Anwar sanggup mengenepikan persahabatan dia dengan Dato' Seri Zahrain selama 30 tahun hanya untuk membodek Kitsiang dan anak lelakinya, saya melihat Anwar bukan lagi Anwar yang kita kenal.

Atau apakah ALLAH sekadar mahu umat Islam melihat warna sebenar Anwar, wallahua'lam, saya pun tak tahu. Tetapi saya berharap kepimpinan PAS khususnya dapat melihat bahawa mereka sedang mempercaturkan nasib umat Islam dan agamanya bila berterusan bersekongkol dengan Anwar. Takkan mereka tidak dapat melihat lagi sandiwara Anwar? Kalau Konspirasi 16 Sept pun Anwar boleh bohong mereka bulat-bulat, apa lagi bukti yang mereka mahu? Kalau sudah dibuktikan PAS hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh Anwar, pun masih lagi terkial-kial nak menari ikut rentak Anwar, saya tidak tahu apa lagi yang kepimpinan PAS mahu buktikan?

Jelas di Pulau Pinang dimana Anwar langsung tidak menghormati PAS. Satu-satunya ADUN PAS, YB Ustadz Salleh Man pun tidak diberi muka, hanya kerana mahu menjaga Kitsiang & anak lelakinya. Dan kami semua pun tahu bahawa Anwar cukup tidak selesa dengan YB Tuan Guru Haji Hadi dengan ketrampilan "talibannya"!!

Tepuk dada tanyalah iman. PAS sebuah parti yang besar, keahlian ramai, jentera mantap dan petugas yang sangat komited. PAS boleh berdiri sendiri tanpa Anwar apatah lagi Kitsiang & anak lelakinya! Percayalah, selagi kita memenuhi syarat mendapat nasrullah, pasti ALLAH akan membantu kita.

Dan kepada Anwar, terimalah nasihat daripada Dr. Asri dengan hati terbuka. Berlapang dadalah. Mungkin sudah taqdir ALLAH jawatan Perdana Menteri bukan milik Anwar. Dan menjadi Perdana Menteri bukanlah segala-galanya dimuka bumi ini. Fikirkan dan renungkanlah nasihat beliau itu.

Wallahua'lam & wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
24 Zul; Qaedah 1431
01 Nov 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
(Dari www.drmaza.com)

Politik Kita Memerlukan Anjakan Baru
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Saya rasa politik kita memerlukan nafas baru. Seperti mana UMNO memperkatakan keperluan anjakan baru dalam politik mereka, demikian saya fikir pihak pembangkang pun perlu mula memperkatakan hal yang sama. Saya seperti kebanyakan rakyat marhaen yang hanya ingin melihat kesejahteraan negara berteraskan kerajaan yang amanah dan pembangkang yang berkualiti. Sudah banyak diperkatakan, dikritik dan diulas mengenai kerajaan hari ini. Kita jangan lupa pembangkang juga perlu untuk diberikan penilaian tentang peranan mereka yang diberi amanah dalam Parlimen kita. Ini kerana dalam konteks politik kita kualiti kerajaan dan pembangkang menjaga kemaslahatan negara. Ada beberapa perkara yang mungkin perlu dinilai:

1. Kita perlu politik idea iaitu politik yang berteraskan kebijaksaan dan pemikiran yang bernas dalam memajukan masyarakat dan negara. Kita tidak mahu politik sekadar kutuk-mengutuk, maki-memaki dan hina menghina tanpa sebarang cadangan yang membina dan memajukan pemikiran rakyat. Kita mahu ahli-ahli politik kita berkualiti sehingga kita rasa mereka layak mewakili kita atas kebolehan kepimpinanan mereka yang berteras ilmu dan budi.

2. Justeru, politik kita memerlukan watak-watak baru yang bernas, matang dan tangkas. Mereka yang disifatkan oleh sarjana politik Islam sebagai mempunyai ‘al-quwwah’ (kemampuan) dan al-Amanah (amanah). Mereka yang berteraskan politik idea dan nilai, bukan politik duit, atau politik taukeh. MAKA, semua ahli politik yang merasakan zaman mereka sudah habis, berilah laluan kepada mereka yang baru demi untuk kebaikan rakyat. Samada di pihak pembangkang ataupun kerajaan, hal yang sama mesti dilakukan. Ramai pelakon veteran sudah tidak sesuai menjadi ‘hero’ dalam pentas baru politik hari ini. Biarlah mereka tersimpan dalam diari sejarah politik kita dengan kadar sumbangan yang telah dibuat. Jika Tun Abdulllah pun bersara, makin mereka yang ‘sewaktu’ dengannya dalam pembangkang pun perlu bersara. Kata-kata Prof A. Aziz Bari mungkin patut dinilai semula.

3. Di samping menghormati sumbangan, saya rasa Ketua Pembangkan DSAI, sudah sampai masanya untuk bersara ‘politik’. Sudah banyak rentak tari politiknya yang makin tidak ‘seimbang’. Zamannya mungkin makin menyusur pergi. Saya tidak fikir generasi baru terus bertahan untuk melihat ‘story-design’ politik yang sama. Berilah peluang untuk beliau berundur dengan aman. Demi untuk mengujudkan pembangkang yang lebih berkualiti dan berkesan. Saya rasa beliau perlu menerima hakikat ini. Demikian setiap kita ada hari datang dan hari pergi. Biarlah kita datang disambut mesra, dan kita pergi diucapkan terima kasih dan hormat, bukan dipaksa keluar.

Maaf atas pandangan ini. Saya insyaAllah, tiada apa-apa kepentingan kedudukan ataupun jawatan atas pandangan yang seperti ini. Saya tahu sesetengah pembangkang cepat ‘melenting jika ada pandangan yang mereka tidak setuju. Namun, mereka kena ingat banyak pandangan yang saya tajam terhadap kerajaan, alhamdulillah mereka tidak melenting, sebaliknya berinteraksi dengan baik.

23 October 2010

FITNAH DARI TIMUR TENGAH


(Dr. Fathul Bari mengetuai 40 ulama' muda menyertai UMNO menyerahkan borang keahlian kepada YAB Perdana Menteri disaksikan oleh YAB TPM)

Salam 2 all.

Saya menerima beberapa email dan sms daripada beberapa sahabat yang berada di Timur Tengah hari ini yang menyampaikan berita dua tiga ekor Pak Jangoat yang sedang melawat negara Arab membawa cerita fitnah dalam ceramah disana mendakwa saya telah cuba membawa rakan saya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyertai UMNO.

Salah satu email tersebut berbunyi "Pak Jangoat itu menceritakan bagaimana ramainya ejen UMNO berjumpa dengan Dr. Asri untuk menjemput beliau menyertai UMNO. Sampai Bukit Aman pun ada. Antara yang paling awal berjumpa Dr. Asri ialah Zul Noordin". Dan banyak lagilah fitnah dan cerita karut yang dibawa oleh Pak Jangoat-Pak Jangoat ni.

Saya telah menghantar mesej kepada Pak Jangoat-Pak Jangoat tersebut meminta kasahihan berita itu namun mereka tidak memberi sebarang respon, mungkin takut fitnah dan pembohongan mereka terbongkar. Lalu saya hubungi beberapa sahabat yang menghadiri majlis teresbut dan mereka mengakui mendengar sendiri kenyataan Pak Jangoat tersebut! Sampai ada yang siap bersumpah mengakui kebenaran berita itu!!

Oleh itu saya tiada pilihan selain menjawab fitnah dan pembohongan Pak Jangoat ini secara terbuka. Saya sebenarnya bukan jenis suka nak melayan fitnah dan pembohongan saperti ini, ngabih boreh je kata orang Nogori. Buang ayaq lioq kata orang Kedah. Wasting time kata awe Kelate! Tetapi kerana ini membabitkan silaturahim dan hubungan saya dengan rakan saya Dr. Asri, saya memilih untuk menjawabnya secara terbuka. Semoga ALLAH memberikan keampunan kepada saya atas salah silap dan kelemahan saya ini.

Pertama, jelas Pak Jangoat ni tidak pernah membaca pendirian saya yang telah disiarkan diblog ini, dan disiarkan secara meluas juga di akhbar-akhbar cetak dan siber termasuk MalaysiaKini, Malaysian Insider, Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, New Straits Times, dan di TV3, RTM dan lain-lain.

Saya dengan jelas menolak cadangan Dr. Asri untuk menyertai UMNO atau mana-mana parti politik termasuk PAS. Ini adalah kerana dengan kedudukan dan status beliau sebagai bekas Mufti yang diterima pelbagai lapisan masyarakat, adalah merugikan jika beliau menyertai mana-mana parti politik. Kalau beliau sertai UMNO, ahli dan penyokong PAS akan menolak beliau. Kalau beliau menyertai PAS, ahli dan penyokong UMNO akan mengenepikan beliau. Apatah lagi arus kuat diperingkat akar umbi yang memandang serong kepada Dr. Asri dengan label Wahabbi.

Malah beliau pernah ditangkap kerana mengajar tanpa tauliah oleh Jabatan Agama Islam Selangor. Dan beliau memang tidak diberi tauliah dan dilarang berceramah kerana label Wahabbi yang melekat didahi beliau. Malah semasa memegang jawatan Mufti Perlis pun ada pendudukPerlis yang membantah sikap beliau yang dikatakan terlalu ekstrem dalam fahaman Wahabi, sehingga pernah kain rentang dan sepanduk dipasang mengutuk Dr. Asri.

Oleh itu, saya berpendapat adalah tidak wajar Dr. Asri menyertai mana-mana parti politik. Apatah lagi jika dilihat senario politik hari ini dimana didepan mata kita, ulama' dan agamawan pun boleh terbalik. Terpaksa berkompromi dan memberi diskaun sana sini. Sehingga sanggup meninggalkan perjuangan mendirikan daulah Islamiyah dan melaksanakan syariat Islam termasuk hudud, qisas dan ta'zir. Nama ALLAH pun boleh dijual beli sebagai bahan komoditi politik murahan!

Pandangan ini telah saya nyatakan dengan jelas didalam blog saya ini. Sesiapa yang berminat bolehlah melayari semula tulisan tersebut.

Jadi apabila saya mendapat maklumat 40 orang lebih ulama' muda dijangka menyertai UMNO, saya lantas berjumpa sendiri dengan Dr. Asri. Pertemuan berlaku di Restoran Seri Pan Pacific Hotel, kerana itu tempat kegemaran Dr. Asri makan minum jika di Kuala Lumpurkerana beliau pun tinggal disebuah kondominium mewah bersebelahan Pan Pacific milik seorang pemimpin kanan UMNO. Memang disitulah tempat menginap Dr. Asri apabila berada di Kuala Lumpur. Pada saya tidak salah bagi Dr. Asri tinggal di kondo mewah milik pemimpin UMNO atau makan direstoran UMNO. Eh, tidor sebantal sekatil dengan DAP pun halal, takkan dok kondo orang UMNO haram kot?

Pada saya yang salah nya ialah jika beliau mahu menyertai UMNO. Apabila berjumpa, saya terkejut diberitahu bahawa beliau dan sahabatnya Dr. Fathul Bari Mat Jahaya (anak mantan Mufti Perlis) adalah antara perancang utama untuk 40 ulama' muda ini menyertai UMNO! Malahan malam pertemuan saya dengan Dr. Asri itu berlaku beberapa ketika sebelum pengumuman mereka menyertai UMNO diisytihar dihadapan PM di PWTC.

Lalu saya menegaskan kepada Dr. Asri bantahan saya untuk beliau menyertai UMNO. Dan saya berikan sebab-sebabnya saperti yang telah saya sebut.

Malahan saya tahu YAB PM tidak bersetuju mengenai cadangan Dr. Asri menyertai UMNO. Dan jawapan daripada YAB PM sangat jelas dan tegas, beliau bersetuju dengan pandangan saya bahawa adalah tidak wajar untuk Dr. Asri menyertai mana-mana parti politik samada UMNO, PAS atau alain-lain. Kata YAB PM, eloklah Dr. Asri saperti keadaan sekarang, tidak terikat dengan politik kepartian. Malahan YB Tun Dr. Mahathir, mentor Dr. Asr sendiri telah membuat kenyataan membantah Dr. Asri daripada menyertai UMNO atau mana-mana parti politik lain. Jadi konsensus pandangan masa itu ialah tidak bersetuju Dr. Asr menyertai UMNO, walaupun ada dikalangan pemimpin UMNO termasuk mentor Dr. Asri iaitu Dato' Seri Shahidan Kassim yang mahu beliau menyertai UMNO. Itu tidak salah, sebagaimana ramai pemimpin PAS dan PKR juga mahukan Dr. Asri menyertai PAS ataupun PKR.

Dan pada malam pertemuan itu, saya telah menyampaikan pandangan jelas dan tegas saya sindiri dan ramai pihhak lain termasuk YAB PM kepada Dr. Asri, eloklah jangan sertai mana-mana parti politik, samada UMNO ke, PAS ke atau lain-lain! Jangan libatkan diri dalam politik kepartian!

Itulah mesej jelas yang telah saya nyatakan kepada Dr. Asri malam itu. Malahan saya meminta beliau supaya jangan hadir pun majlis perisytiharan kemasukan ke UMNO oleh Dr. Fathul dan 40 rakan ulama' muda yang lain, kerana khuatir ianya akan membawa fitnah!

Dan pada malam itu kami berbincang panjang tentang beberapa perkara menyentuh tentang keadaan umat Islam, politik cacamerba orang Melayu, kelamkabutnya PAS-UMNO hari ini, dan Dr. Asri juga menceritakan beberapa perkara tentang Anwar yang saya sendiri pun tidak tahu, tetapi setelah diberitahu menguatkan keyakinan saya bahawa Anwar memang tidak layak menjadi pemimpin negara. Apa butiran yang kami bincang tidak perlu saya dedahkan, tetapi cukup memberikan saya kefahaman tentang watak dan pendirian sebenar Dr. Asri sendiri tentang beberapa perkara dan isu yang dihadapi, samada peribadi atau lain-lain.

Sebenarnya hubungan saya dengan Dr. Asri sudah lama, sejak beliau belum bergelar doktor pun. Masih lagi ustad biasa aje pun. Kami menjadi akrab semasa saya sibuk bergelut menangani isu murtad yang berlaku khususnya murtadnya Nor Aishah Bukhori tahun 1997. Ingin saya tegaskan memang ada pendirian dan pendapat Dr. Asri yang saya tidak setuju dan bantah, namun itu tidak bermakna persahabatan dan silaturrahim mesti diputuskan. Yang mana saya tidak bersetuju, saya akan nyatakan terus kepada beliau tanpa perlu saya nak dedahkan kepada umum kecuali jika perlu. Itu etika persahabatan dengan beliau yang saya pegang, kecuali kalau keadaan memerlukan saya sebut kepada umum barulah akan saya lakukan, itupun setelah berbincang dan berhubung dengan beliau.

Sebab itu kepada Pak Jangoat-Pak Jangoat yang sedang membuat lawatan ke Timur Tengah itu, janganlah cuba nak bawa fitnah dan pembohongan. Kalau rasa pungkok tu boleh tahan dibakar panas api neraka, maka teruskanlah. Tetapi kalau api mancis pun tak tahan, nasihat saya hentikanlah pembohongan dan fitnah itu. Dunia sekarang sudah kecil dan tanpa sempadan. Jangan ingat kita kelentong dan fitnah orang dihujung dunia orang sini tak tahu. Hanya dengan satu klik, seluruh dunia akan tahu. Takkanlah kerana nak cari glamer dan populariti duniawi, kita sanggup melakukan pembohongan dan penipuan. Takde kelas lah kalau macam tu Pak Jangoat oii!! Janganlah jadi macam budak ingusan tadika!!

Apapun yang kamu nak buat Pak Jangoat, bagi saya hubungan saya dengan Dr. Asri tetap baik, dan moga begitulah hendaknya dipelihara ALLAH. Saya tetap menghormati belaiu sebagai rakan dan ilmuan, walaupun banyak perkara dan pendirian beliau yang tidak saya setujui. Namun kalau ALLAH mentaqdirkan sebaliknya, saya pasti akan menerimanya dengan keredhaan insyallah. Yang baik itu datangnya dari ALLAH, yang tidak adalah kelemahan saya sendiri. Semoga ALLAH mengampuni saya atas kelemahan dan kesilapan saya.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
14 Zul Qaedah 1431
22 Okt 2010