01 November 2010

DR. ASRI NASIHAT ANWAR BERUNDUR!

Salam 2 all.

Saya tertarik dengan ulasan sahabat saya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (dah Professor Madya sekarang yop) di www.drmaza.com yang menasihatkan Anwar supaya berundur dari dunia politik.

Saya sendiri telah beberapa kali menasihatkan Anwar supaya bermuhasabah diri dan menyelesaikan masalah peribadi yang sedang dia hadapi. Setelah melihat sendiri bagaimana Anwar sanggup menggadai agama dengan mengheret saya kehadapan Lembaga Disiplin kafir untuk membicarakan saya dalam isu kalimah ALLAH, dan melihat depan mata saya bagaimana Anwar sanggup mengenepikan persahabatan dia dengan Dato' Seri Zahrain selama 30 tahun hanya untuk membodek Kitsiang dan anak lelakinya, saya melihat Anwar bukan lagi Anwar yang kita kenal.

Atau apakah ALLAH sekadar mahu umat Islam melihat warna sebenar Anwar, wallahua'lam, saya pun tak tahu. Tetapi saya berharap kepimpinan PAS khususnya dapat melihat bahawa mereka sedang mempercaturkan nasib umat Islam dan agamanya bila berterusan bersekongkol dengan Anwar. Takkan mereka tidak dapat melihat lagi sandiwara Anwar? Kalau Konspirasi 16 Sept pun Anwar boleh bohong mereka bulat-bulat, apa lagi bukti yang mereka mahu? Kalau sudah dibuktikan PAS hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh Anwar, pun masih lagi terkial-kial nak menari ikut rentak Anwar, saya tidak tahu apa lagi yang kepimpinan PAS mahu buktikan?

Jelas di Pulau Pinang dimana Anwar langsung tidak menghormati PAS. Satu-satunya ADUN PAS, YB Ustadz Salleh Man pun tidak diberi muka, hanya kerana mahu menjaga Kitsiang & anak lelakinya. Dan kami semua pun tahu bahawa Anwar cukup tidak selesa dengan YB Tuan Guru Haji Hadi dengan ketrampilan "talibannya"!!

Tepuk dada tanyalah iman. PAS sebuah parti yang besar, keahlian ramai, jentera mantap dan petugas yang sangat komited. PAS boleh berdiri sendiri tanpa Anwar apatah lagi Kitsiang & anak lelakinya! Percayalah, selagi kita memenuhi syarat mendapat nasrullah, pasti ALLAH akan membantu kita.

Dan kepada Anwar, terimalah nasihat daripada Dr. Asri dengan hati terbuka. Berlapang dadalah. Mungkin sudah taqdir ALLAH jawatan Perdana Menteri bukan milik Anwar. Dan menjadi Perdana Menteri bukanlah segala-galanya dimuka bumi ini. Fikirkan dan renungkanlah nasihat beliau itu.

Wallahua'lam & wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
24 Zul; Qaedah 1431
01 Nov 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
(Dari www.drmaza.com)

Politik Kita Memerlukan Anjakan Baru
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Saya rasa politik kita memerlukan nafas baru. Seperti mana UMNO memperkatakan keperluan anjakan baru dalam politik mereka, demikian saya fikir pihak pembangkang pun perlu mula memperkatakan hal yang sama. Saya seperti kebanyakan rakyat marhaen yang hanya ingin melihat kesejahteraan negara berteraskan kerajaan yang amanah dan pembangkang yang berkualiti. Sudah banyak diperkatakan, dikritik dan diulas mengenai kerajaan hari ini. Kita jangan lupa pembangkang juga perlu untuk diberikan penilaian tentang peranan mereka yang diberi amanah dalam Parlimen kita. Ini kerana dalam konteks politik kita kualiti kerajaan dan pembangkang menjaga kemaslahatan negara. Ada beberapa perkara yang mungkin perlu dinilai:

1. Kita perlu politik idea iaitu politik yang berteraskan kebijaksaan dan pemikiran yang bernas dalam memajukan masyarakat dan negara. Kita tidak mahu politik sekadar kutuk-mengutuk, maki-memaki dan hina menghina tanpa sebarang cadangan yang membina dan memajukan pemikiran rakyat. Kita mahu ahli-ahli politik kita berkualiti sehingga kita rasa mereka layak mewakili kita atas kebolehan kepimpinanan mereka yang berteras ilmu dan budi.

2. Justeru, politik kita memerlukan watak-watak baru yang bernas, matang dan tangkas. Mereka yang disifatkan oleh sarjana politik Islam sebagai mempunyai ‘al-quwwah’ (kemampuan) dan al-Amanah (amanah). Mereka yang berteraskan politik idea dan nilai, bukan politik duit, atau politik taukeh. MAKA, semua ahli politik yang merasakan zaman mereka sudah habis, berilah laluan kepada mereka yang baru demi untuk kebaikan rakyat. Samada di pihak pembangkang ataupun kerajaan, hal yang sama mesti dilakukan. Ramai pelakon veteran sudah tidak sesuai menjadi ‘hero’ dalam pentas baru politik hari ini. Biarlah mereka tersimpan dalam diari sejarah politik kita dengan kadar sumbangan yang telah dibuat. Jika Tun Abdulllah pun bersara, makin mereka yang ‘sewaktu’ dengannya dalam pembangkang pun perlu bersara. Kata-kata Prof A. Aziz Bari mungkin patut dinilai semula.

3. Di samping menghormati sumbangan, saya rasa Ketua Pembangkan DSAI, sudah sampai masanya untuk bersara ‘politik’. Sudah banyak rentak tari politiknya yang makin tidak ‘seimbang’. Zamannya mungkin makin menyusur pergi. Saya tidak fikir generasi baru terus bertahan untuk melihat ‘story-design’ politik yang sama. Berilah peluang untuk beliau berundur dengan aman. Demi untuk mengujudkan pembangkang yang lebih berkualiti dan berkesan. Saya rasa beliau perlu menerima hakikat ini. Demikian setiap kita ada hari datang dan hari pergi. Biarlah kita datang disambut mesra, dan kita pergi diucapkan terima kasih dan hormat, bukan dipaksa keluar.

Maaf atas pandangan ini. Saya insyaAllah, tiada apa-apa kepentingan kedudukan ataupun jawatan atas pandangan yang seperti ini. Saya tahu sesetengah pembangkang cepat ‘melenting jika ada pandangan yang mereka tidak setuju. Namun, mereka kena ingat banyak pandangan yang saya tajam terhadap kerajaan, alhamdulillah mereka tidak melenting, sebaliknya berinteraksi dengan baik.

No comments: