23 November 2010

ANAK MEMALI DIANIAYA!?

Salam 2 all.

Dalam keghairahan beberapa pihak untuk mempolitikkan isu Memali, mengutip derma atas simpati orang ramai terhadap mangsa Memali, malah ada yang "menunggang" atas kesyahidan 14 penduduk kampung Memali termasuk Assyahid Ustadz Ibrahim Libya, namun keluarga mangsa Memali sendiri diketepikan, malah dianiaya dan dianaktirikan.

Sala seorang anggota keluarga mangsa Memali, Cikgu Zainon Ismail atau lebih dikenali dengan nama penanya CN Al Afghan telah melahirkan rasa kecewa yang amat sangat terhadap tindak-tanduk segelintir pihak yang menafikan hak dan kebajikan keluarga mangsa Memali, termasuk berkaitan dengan isu Tabung Memali (untuk kupasan saya sila rujuk kembali artikel bertajuk "Memali" bertarikh 19.11.2010).

Cikgu Zainon turut ditemani oleh anak Allahyarham Ustadz Ibrahim Libya iaitu Mohd. Irsyad Zamani Bin Ibrahim dan beberapa orang ahli PAS semasa membuat kenyataan tersebut (lapuran penuh kenyataan beliau sila rujuk lampiran dibawah). Cikgu Zainon adalah bekas tahanan ISA, dan berkahwin dengan salah seorang mangsa Memali. Beliau adalah antara mujahidin Melayu yang terlibat dalam Perang Afghanistan melawan Rusia.

Sebenarnya isu Tabung Memali dan lain-lain isu kebajikan keluarga Memali telah lama timbul. Malah sehingga ada lapuran polis dibuat mengenainya. Saya difahamkan pihak berkuasa meminta pihak-pihak menyelesaikannya secara baik.

Saya menasihatkan pihak kepimpinan PAS supaya menyelesaikan perkara ini secara baik sebelum ianya terdedah dan mendatangkan aib dan memalukan pihak PAS. Saya sendiri pernah didatangi beberapa orang mangsa Tabung Memali semasa pulang ke kampung di Baling meminta pandangan dan nasihat untuk membawa isu ini ketengah. Mereka membawa dokumen dan bukti yang cukup jelas. Buat masa ini saya tidak bercadang mengambil tindakan selanjutnya, tetapi jika pihak tersebut tidak mahu menyelesaikannya secara baik, mungkin pihak mangsa tiada pilihan melainkan membawa perkara ini ke peringkat selanjutnya.

Sebenarnya ada beberapa isu yang lain berkaitan kewangan yang perlu diselesaikan oleh kepimpinan PAS, termasuk isu Tabung Kohilal. Beberapa ahli yang menabung di Kohilal telah merujuk kes mereka kepada saya untuk meminta nasihat guaman. Saya cuma sekadar menjawab bahawa saya pernah terlibat dengan kes Kohilal dan saya tahu beberapa kepincangan yang berlaku. Saya tidak bercadang mendedahkan apa-apa buat masa ini, tetapi saya menasihatkan pihak berkaitan supaya jangan memandang remeh isu ini. Ramai ahli dan penabung yang tertanya-tanya apa jadi dengan pelaburan dan saham mereka. Ada antara mereka orang kampung, yang sanggup bersengkang mata mengikat perut untuk menabung dan melabur didalam Kohilal, dengan tujuan bukan sahaja sebagai simpanan hari tua, tetapi beranggapan mereka sedang membantu perjuangan membawa mereka ke syurga. Kasihanilah orang-orang kampung yang miskin ini.

Dari ALLAH kita datang, kepada ALLAH kita kembali. Yakinlah kita akan berjumpa dengan ALLAH dan dipertanggungjawabkan dengan urusan kita didunia ini. Kamu boleh berselindung disebalik janggut kita, atau serban jubah kamu, kamu boleh bersembunyi dibalik takbeer sehingga pecah kerongkong, kamu boleh membelit ayat-ayat ALLAH dan sirah Nabawi, tetapi percaya dan yakinlah, ALLAH Maha Mengetahui!!

Wallahua'lam & wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
15 Zulhijjah 1431
23 Nov 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

BALING 22 Nov. - Penulis buku "Air Mata di Bumi Memali" kesal dengan sikap pemimpin Pas yang melarang ahlinya membeli buku tersebut ketika majlis memperingati 25 tahun Memali diadakan di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, buku yang banyak mendedahkan penyelewengan Tabung Memali itu oleh pihak tertentu dalam Pas telah dihalang dan disekat daripada dijual kepada orang ramai pada majlis berkenaan.

Penulis buku itu, CN Al-Afghani atau nama sebenarnya, Zainon Ismail berkata, tindakan penganjur majlis iaitu Dewan Pemuda Pas Pusat melarang orang ramai membeli buku berkenaan membuktikan mereka sebenarnya takut dengan pendedahan penyelewengan yang dilakukan oleh pihak tertentu dalam Pas itu daripada terbongkar.

"Saya kecewa dengan halangan pihak berkenaan untuk mengedarkan buku ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Hadir sama anak Ibrahim Libya, Mohd. Irsyad Zamani Ibrahim, 28, dan beberapa ahli Pas.

Majlis memperingati 25 tahun Memali itu diadakan selama tiga hari yang berakhir semalam dan majlis penutupnya disempurnakan oleh Mohd. Sabu.

Tabung tersebut dilancarkan oleh Pas selepas peristiwa berdarah Memali pada November 1985 yang menyaksikan 14 orang awam dan empat anggota polis terbunuh ketika operasi menahan guru agama, Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya dilakukan oleh pihak berkuasa atas dakwaan terbabit dengan kegiatan ekstremis.

Tambah Zainon, halangan penjualan buku itu menunjukkan sikap tidak adil kepimpinan Pas terhadap kebebasan bersuara dan mahu melindungi salah laku pemimpin yang berkenaan.

''Jika penyelewengan itu dilakukan oleh pemimpin UMNO atau Barisan Nasional (BN), mereka akan menelanjangi habis-habisan tetapi jika dilakukan oleh pemimpin Pas sendiri, mereka akan cuba menutup dan menganggapnya fitnah.

"Inilah sikap double standard dalam Pas yang cuba melindungi pemimpin berkepentingan,'' tegasnya.

Zainon juga mencabar pihak yang tidak berpuas hati dengan pendedahan buku tersebut dan menganggapnya sebagai fitnah, menggunakan saluran undang-undang untuk mengambil tindakan.

Bekas guru itu juga mencabar pihak berkenaan mengadakan forum di pentas terbuka untuk memberi penjelasan tentang dakwaan penyelewengan wang anak-anak yatim dan ibu tunggal yang telah disalahgunakan pihak berkenaan.

Tegasnya, Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen yang mewakili Pas perlu telus dalam hal itu kerana jika tidak, mereka tidak layak untuk bercakap dan mempertikaikan salah laku pihak lain.

No comments: