03 December 2013

ALAHAI KAZIM!

Lawatan Najib ke Gaza pada 10 Rabi'ul Awal 1434/22 Jan 2013 membuka lembaran baru dunia Islam


Salam 2 all.

Saya sangat-sangat bersimpati dengan nasib pendakwah terkenal Ustaz Kazim Elias yang kini menjadi bahan cercaan, maki hamun dan kata nista oleh para peliwat democrazy dan pasrasit yang sedang kepanasan setelah Dato' Sri Najib mengumumkan perlantikan Ustaz Kazim Elias sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT) baru-baru ini.

Sejak pengumuman tersebut, serangan tak berhenti-henti dikenakan terhadap Ustaz Kazim Elias. Pelbagai gelaran diberikan kepada beliau; barua UMNO, anjing salakan BN, babi, dan macam-macam lagi, tak termasuk sudah dihukum masuk neraka (macam syurga tu bapak dema punya yop).

Pada saya, ini sebenarnya menggambarkan betapa gelisah, resah dan paniknya para peliwat democrazy dan pasrasit ini dengan perlantikan Ustaz Kazim ke kedudukan yang sangat tinggi didalam hieraki kepimpinan UMNO hanya dalam sekelip mata!


1. AHLI PAS DALAM KEPIMPINAN UMNO?

Ini adalah kerana perlantikan tersebut membuktikan betapa terbuka dan komitednya Dato' Sri Najib dalam melaksanakan transformasi politik yang menjadi teras kepimpinannya. Bukti jelas politik cakap serupa bikin.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah UMNO dimana bukan sahaja Presiden mengambil langkah berani melantik personaliti luar UMNO ke dalam MT, malah ianya suatu tindakan 'diluar kotak - outside the box' apabila Dato' Sri Najib melantik seorang ahli PAS kedalam kepimpinan tertinggi UMNO.

Saya tidak pernah dengar mana-mana parti politik didunia ini yang melakukan sedemikian. Namun Dato' Sri Najib dengan penuh keyakinan membuat suatu perubahan yang diluar pemikiran politik konservatif dan tradisional.

2. DASAR WASATHIYAH

Kedua, perlantikan Ustaz Kazim membuktikan keseriusan Dato' Sri Najib dalam menerapkan dasar dan pendekatan wasathiyah. Ustaz Kazim sudah memang dikenali sebagai seorang tokoh pendakwah sederhana yang mempunyai pendekatan tersendiri yang menjadi magnet dakwah kepada golongan muda terutamanya. Kalau diukur daripada hadirin dalam program ceramah beliau, kita dapat lihat kehadiran oleh mereka yang tidak termasuk dalam kategori 'jemaah tradisional' dalam ceramah agama.

Pendekatan Ustaz Kazim juga tidak seperti penceramah pembangkang yang lain yang hanya dipenuhi dengan maki hamun, kutuk mengutuk, melabel musuh dengan pelbagai panggilan yang menghina, dan lebih seronok dengan jumlah derma jihad yang bakal dikutip!

Selain Ustaz Kazim, Dato' Sri Najib juga melantik Dr. Asyraf Wajidi Dasuki, seorang lulusan Ijazah Doktor Falsafah dengan pengalaman khusus dalam perbankan Islam. Beliau kini adalah Pengerusi Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM).

Perlantikan mereka ini membuktikan betapa serius Dato' Sri Najib dalam melaksanakan dasar wasathiyah didalam kepimpinannya. Pendekatan wasathiyah ini, yang menjadi teras kepada gerakan Global Movement of Moderates yang diilhamkan oleh Dato' Sri Najib sudah diterima oleh masyarakat dunia termasuk negara-negara barat.

3. HAMAS & KHALED MISY'AL

Selanjutnya, buat pertama kali tokoh gerakan Hamas daripada Palestin, saudara Khaled Misy'al dijemput hadir dalam Perhimpunan Agong UMNO.

Khaled Misy'al, tokoh pejuang Palestin
Siapa yang tidak mengenali Khaled Misy'al. Tokoh hebat Palestin yang menjadi mimpi ngeri bagi yahudi zionis dan dunia barat. Beliau pernah menjadi mangsa cubaan membunuh dengan racun oleh zionis di Jordan! Malah beliau masih didalam senarai untuk dihapuskan sehingga kini.

Apabila beliau menerima jemputan menghadiri Perhimpunan Agong UMNO, dan sudahpun berada dibumi Malaysia, ini merupakan satu kejutan besar. Beliau tidak pernah keluar jauh daripada Ibu Pejabat Hamas di Doha Qatar kerana ancaman terhadap nyawa dan keselamatannya.

Dan siapa yang tidak mengenali Hamas dan Kerajaan Palestin di Gaza dibawah pimpinan saudara Ismael Haniyeh.

Hamas, Khaled Misy'al, Ismail Haniyeh, Gaza! Ini semua tokoh pejuang Islam yang dilabel sebagai teroris, pengganas dan macam-macam label lagi. Mereka musuh utama yahudi zionis, musuh utama dunia barat!

Dan Dato' Sri Najib mengambil langkah berani menjemput Khaled Misy'al hadir sebagai tetamu kehormat Perhimpunan Agong UMNO tahun 2013 ini!

Keberanian Dato' Sri Najib bukan sekadar kata-kata. Beliau pemimpin bukan arab pertama yang melawat Gaza dan menjejakkan kaki dibumi anbiya' itu selepas diserang oleh Israel awal tahun ini. Bukan itu sahaja, beliau pemimpin dunia pertama menziarahi bumi berdarah Gaza membawa bersama seluruh ahli keluarganya termasuk Datin Sri Rosmah dan anak-anak!

Ini membuktikan keazaman dan komitmen Dato' Sri Najib untuk menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang bukan sahaja inklusif, malah bersedia menjadi pemangkin kepada kesatuan ummah dan ukhwah Islamiyyah diperingkat kebangsaan dan antarabangsa!

4. SIAPA LEBIH ISLAMIK 

Perlantikan Ustaz Kazim Elias ke MT UMNO membuka pekong betapa tidak Islamiknya PAS:

Tiba-tiba keluar berita menyatakan bahawa Ustaz Kazim Elias telah dipecat daripada PAS atas alasan memudaratkan PAS, terutama tindakan beliau mempersoalkan persekongkolan PAS dengan DAP dan PKR. Ustaz Kazim langsung tidak diberi notis, tidak diberi surat tunjuk sebab, tidak dipanggil menghadiri apa-apa prosiding disiplin, tidak diberi peluang bela diri dan tidak diberi peluang menjawab apa-apa pertuduhan. Tau-tau dipecat.

Itu pun Ustaz Kazim kata dia hanya tahu telah dipecat melalui media!

Ajaran Islam mana yang mengajar PAS boleh pecat orang tanpa notis, tanpa hak bersuara, tanpa hak bela diri? Kitab mana yang PAS ikut untuk mengambil tindakan yang langsung tidak Islamik?

Sekurang-kurangnya semasa nak pecat Anwar Ibrahim, UMNO memberi peluang seluas-luasnya kepada Anwar untuk membela diri didalam mesyuarat MT!

Perkara yang sama berlaku kepada Dato' Dr. Hasan Ali, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan Exco Hal Ehwal Islam Kerajaan Negeri Selangor. Dipecat tanpa notis, tanpa hak bela diri. Tau-tau kena pecat!

Begitu juga apa yang berlaku kepada Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang dipecat daripada keanggotaan Majlis Syura' PAS tanpa notis dan tanpa peluang bela diri! Hanya kerana dilihat mesra BN, kerana gambar beliau bersama PM dan ulama' Masjidil Haram disiarkan, gambar beliau bersama PM dan Ismael Haniyeh dan pimpinan Kerajaan Palestin-Gaza disiarkan! 

5. AKHLAK BURUK
PM bersama 40 'Ilmuan Muda Islam yang menyertai UMNO

Ustaz Kazim Elias menceritakan bagaimana sebaik sahaja perlantikan beliau ke MT diumumkan, dan belum pun beliau menerima perlantikan itu; beliau menerima pelbagai macam kata-kata nista, maki hamun dan cacian. Beliau diberi gelaran anak haram, ulama' babi, ustaz khinzir, barua UMNO, penjilat Najib dan macam-macam lagi.

Malah ada yang mereke-reka cerita konon Ustaz Kazim menelefon mereka dan menceritakan bagaimana beliau mendapat habuan dan imbuhan atas perlantikan tersebut. Agamawan pun dah pandai berbohong!

Jelas mereka yang mendabik dada konon Islamik sebenarnya membawa akhlak dan perangai yang hanya memalukan Islam; yang akan membuatkan iblis dan syaitan menyeringai kegirangan!

RUMUSAN

Saya berpendapat perlantikan Ustaz Kazim Elias, dan beberapa tokoh Islam lain termasuk pimpinan muda terutama personaliti luar UMNO membuktikan pendekatan terbuka dan inklusif yang diambil oleh Dato' Sri Najib dalam memacu UMNO untuk bersedia menghadapi cabaran alaf baru politik negara.

Ini adalah satu transformasi politik yang berani dan berfikiran 'diluar kotak'.

Saya percaya Dato' Sri Najib sedia maklum bahawa PRU-13 membuktikan Tsunami Cina telah berlaku dimana pengundi kaum Cina menunjukkan penolakan total terhadap UMNO dan BN. Walaupun telah diberi pelbagai macam ganjaran, bantuan dan insentif, ternyata pengundi Cina terbuai hanyut dengan janji palsu pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Melayu-Islam yang ditunjangi UMNO.

Saya percaya Dato' Sri Najib sedar bahawa walaupun kelihatan seperti kaum lain diberi keutamaan dan dimanjakan lebih sebelum PRU-13, namun pengundi Melayu tetap setia dengan UMNO dan memberikan mandat baru dengan tambahan kerusi kepada UMNO. Orang Melayu tetap bersama UMNO, dan tidak memilih untuk mengkhianati bangsanya sendiri.

Sebab itu Dato' Sri Najib menyedari bahawa untuk UMNO kembali kuat dan bersedia menghadapi PRU-14 nanti, UMNO perlu memperkasakan dirinya dengan kekuatan perjuangan Melayu-Islam. Tidak cukup sekadar perjuangan untuk Melayu sahaja, tetapi mesti ditunjangi dengan kekuatan Islam.

Sebab itu beliau melakukan transformasi politik yang berani dengan berfikiran luar kotak melantik tokoh-tokoh dan personaliti Melayu-Islam luar UMNO kedalam kepimpinan UMNO dan arus perdana kerajaan.

Bukan itu sahaja, beliau membawa perjuangan UMNO untuk Melayu-Islam ke peringkat global dengan mendakap para pejuang Islam daripada luar termasuk daripada dunia Palestin, walaupun beliau sedar dan insaf bahawa Hamas dan Gaza adalah musuh nombor satu bagi dunia zionis dan cauvinis barat.

PAS sebagai sebuah parti politik orang Melayu yang berlabelkan Islam sepatutnya mengambil kesempatan ini untuk bersama dengan kepimpinan Dato' Sri Najib demi untuk memperkasa, memartabat dan mengangkat darjat bangsa Melayu-Islam bukan sahaja di perinkat kebangsaan, malah ke pentas antarabangsa!

Kepada Ustaz Kazim, terima lah perlantikan ke MT UMNO itu dengan hati terbuka demi untuk membantu UMNO memperkasa dan memartabatkan bangsa Melayu-Islam. Anggaplah segala caci-maki, kutuk mengutuk, maki hamun yang diterima sebagai dugaan seorang da'i. Sedangkan Rasulullah saw sendiri sampai mengalir darah untuk menyebar risalah Islam, apatah lagi kita pengikutnya.

Ingatlah pesan ALLAH didalam Surah Al-Ankabut: 2-3, 'apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan 'kami telah beriman', dan mereka tidak di uji? Dan sungguh, kami telah menguji orang sebelum mereka, maka ALLAH pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang berdusta'.

Ujian bagi seseorang pejuang Islam itu adalah sunnatullah. Ia bertujuan untuk mengangkat martabatnya, menambahkan pahala dan menghapuskan segala dosanya insya ALLAH.

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
29 Muharam 1435
03 Dis 2013

No comments: