02 December 2013

MEMPERKASA MAHKAMAH!

Mahkamah Rayuan Malaysia telah menyelamatkan aqidah umat Islam daripada penghinaan atas kalimah ALLAH
Salam 2 all.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali baru-baru ini dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM20 ribu ringgit atas sabitan pertuduhan menghina Mahkamah. Blogger Zainudin Salleh yang didakwa menulis artikel yang menghina Mahkamah tersebut dikenakan hukuman 4 minggu penjara.

Kedua-dua mereka memohon penangguhan perlaksanaan hukuman tetapi ditolak oleh Hakim Louis O'Hara. Datuk Ibrahim Ali telah menjalani hukuman tersebut dan membayar denda RM20 ribu itu. Manakala blogger Zainudin dihantar terus ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Permohonan penghinaan Mahkamah ini difailkan oleh peguam Anwar Ibrahim dalam kes berkaitan tuntutan saman malu keatas akhbar Utusan Malaysia.

Blogger Zainduin dikatakan menulis artikel yang menghina Hakim Datuk VT Singham yang menghakimi kes itu. Artikel itu disiarkan dalam laman sesawang yang dikawal oleh Zainudin tetapi menggunakan nama dan lambang Perkasa.

Datuk Ibrahim Ali disabitkan kesalahan bukan kerana beliau terlibat dalam penulisan itu atau membenarkan penyiarannya, tetapi atas kapasiti beliau sebagai Presiden Perkasa, walaupun beliau menegaskan laman web itu bukan dibawah kendalian Perkasa, sebaliknya milik Zainudin, seorang ADT Perkasa yang mempunyai dan menguasai kata-laluannya.

Satu implikasi yang serius daripada sabitan terhadap Datuk Ibrahim Ali ini ialah seorang Presiden atau ketua sesuatu pertubuhan atau parti, atau ketua mana-mana organisasi termasuk syarikat korporat dan lain-lain boleh dikenakan hukuman semata-mata kerana ada artikel atau tulisan atau bahan disiarkan di akhbar atau media parti atau pertubuhan tersebut, yang boleh ditakrif sebagai menghina Mahkamah! Walaupun bukan dia yang menulis, atau disiarkan dengan kebenarannya.

Cuba bayang kalau pertubuhan sebesar UMNO, atau PAS. Kalau ada artikel dalam UMNO Online, atau Harakahdaily yang ditakrif sebagai menghina Mahkamah, maka Dato' Sri Najib atau Datuk Seri Hadi Awang boleh dikenakan hukuman menghina Mahkamah walaupun bukan mereka yang ucapkan atau tulis atau memberikan kebenaran menyiarkannya!

Apa pun, itu adalah salah satu alasan yang dicadang akan dikemukakan didalam rayuan oleh Datuk Ibrahim Ali ke Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan Hakim Louis O'Hara; iaitu adakah seseorang Presiden atau ketua mana-mana parti atau pertubuhan boleh disabitkan dengan kesalahan menghina Mahkamah kerana sesuatu siaran di media atau akhbar parti atau pertubuhan mereka atas alasan kedudukan mereka sebagai Presiden atau ketua?

Namun yang ingin saya tumpukan disini ialah beberapa isu yang berbangkit daripada sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadap Datuk Ibrahim Ali dan Zainudin iaitu:

1. adakah kesalahan menghina Mahkamah lebih serius daripada menghina Raja-Raja Melayu? Saya bertanya soalan ini kerana 20 Nov 2013 Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu mensabitkan Rutinin Suhaimin, seorang warga Malaysia daripada Ranau, Sabah yang didakwa dibawah Seksyen 233 (1) (9) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menghina Sultan Perak empat tahun lalu.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM50,000-00 atau kedua-duanya sekali, namun Hakim Ummu Kalthom Abdul Samad menjatuhkan Rutinin dengan hukuman denda RM15,000-00.

Saya tidak mempertikaikan hukuman keatas Rutinin itu kerana itu adalah hak dan bidangkuasa Mahkamah berdasarkan fakta dan keterangan yang dibentangkan dihadapan Hakim.

Apa yang saya ingin sebut ialah membuat perbandingan hukuman diantara menghina Tuanku Raja-Raja Melayu dan Mahkamah. Jangan lupa yang melantik para Hakim di Mahkamah ialah Raja-Raja Melayu!

Kalau menghina Tuanku Sultan Perak dikenakan hukuman denda RM15,000-00, saya jangkakan hukuman kerana menghina Mahkamah akan lebih kurang daripada itu!

Sebaliknya kerana dakwaan menghina Mahkamah, Datuk Ibrahim Ali dijatuhkan hukuman denda RM20,000-00 dan blogger Zainudin dijatuhkan hukuman penjara 4 minggu!

Mungkin sudah tiba masanya peruntukkan khas dibuat didalam undang-undang termasuk Kanun Kesiksaan dan lain-lain undang-undang yang berkaitan bahawa bagi sabitan kesalahan menghina Raja-Raja Melayu hukuman mandatori mestilah penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun!

2. mengapa dan kenapa sehingga kini mereka ini tidak dikenakan tindakan menghina Mahkamah?

a. Anwar Ibrahim - dalam menghadapi pertuduhan meliwat stafnya Saiful Bukhari Azlan, Anwar telah membuat kenyataan berikut, 'keluhuran Mahkamah telah terjejas dan memperlihatkan gejala-gejala sandiwara dimana skripnya telah pun dirangka dan hukumannya telah termaktub. Saya nyatakan sedemikian kerana sebagai seorang Hakim yang mengadili perbicaraan ini, anda telah menunjukkan sikap anda yang berat sebelah itu. Saya nyatakan sedemikian kerana anda enggan menarik diri walaupun bukti sikap berat sebelah anda sebagai Hakim terhadap saya menggunung banyaknya. Saya menegaskan sedemikian kerana anda membiarkan segala pencerobohan yang melanggar peraturan dan prosedur manakala anda tidak menghiraukan bantahan saya mengenai kecurangan Pendakwa. Sedangkan penyelewengan serta kecurangan itu pastinya membuatkan seorang Hakim yang adil menyedari akan niat jahat pihak Pendakwaan'.


Pada saya kenyataan diatas, yang dibuat dihadapan Hakim Datuk Zabidi semasa perbicaraan adalah prima facie satu penghinaan kepada Hakim dan Mahkamah yang bersidang. Sudah wajar satu tindakan penghinaan Mahkamah patut diambil. Sebaliknya bukan sahaja tiada sebarang tindakan, malah Anwar akhirnya dibebaskan oleh Mahkamah daripada pertuduhan meliwat Saiful Bukhari!

b. Karpal Singh - dalam kes yang sama, dihadapan Hakim yang sama, peguam Anwar Karpal Singh terang-terang memanggil Hakim dengan kata-kata 'you are a liar!'. Menuduh seorang Hakim sebagai pembohong adalah prima facie satu penghinaan terhadap Hakim dan Mahkamah. Sepatutnya satu tindakan penghinaan terhadap Mahkamah diambil terhadap Karpal Singh, namun seperti juga dalam kes Anwar, langsung tiada sebarang tindakan diambil.

c. Chua Jui Meng - Naib Presiden PKR ini yang ternyata tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes tuntutan penggunaan kalimah ALLAH oleh gereja Titular Archbishop Kuala Lumpur telah mengeluarkan satu twit bertarikh 14.10.2013 berbunyi 'Did d judges of d Ct of Appeal overlook firman Allah in Al Ankabut 29:46, Al Imran 3:64 in d Koran. Do they submit to God or to men?'.

Jelas kenyataan tersebut adalah satu penghinaan kepada Mahkamah, kerana ketiga-tiga Hakim yang berugama Islam tersebut dipersoalkan aqidahnya - iaitu adakah mereka 'submit' (menyembah) kepada Tuhan atau manusia? Gambaran diberi seolah-olah Hakim-Hakim tersebut menyembah kepada manusia kerana konon Surah Ali-Imran: 64 kata Chua Jui Meng dalam twitnya menyatakan, 'katalah Hai Ahli Kitab marilah (berpegang) kepada 1 kalimat....bahawa tidak kita sembah kecuali Allah'.

Mempersoalkan aqidah seseorang Islam adalah sesuatu yang sangat serius, kerana mempunyai unsur-unsur syirik atau riddah. Apatah lagi kepada Hakim Mahkamah Rayuan YA Datuk Seri Apandi Ali, YA Datuk Zawawi dan YA Datuk Abdul Aziz yang membicara kes kalimah ALLAH tersebut.

Namun tiada sebarang tindakan penghinaan terhadap Mahkamah telah diambil terhadap Chua Jui Meng sehingga ke hari ini!


RUMUSAN

Saya tidak mempersoalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Ibrahim Ali dan blogger Zainudin oleh Hakim Louis O'Hara. Itu adalah dalam bidangkuasa beliau, dan kedua-dua mereka sudahpun mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Elok kita menunggu perbicaraan rayuan tersebut dan melihat keputusan Mahkamah Rayuan nanti.

Apa yang saya sarankan disini ialah untuk kita memperkasa dan menjaga maruah institusi Mahkamah, kuasa dan bidangkuasa untuk mengenakan tindakan penghinaan terhadap Mahkamah adalah sesuatu yang perlu ada.

Namun tindakan seperti itu hendaklah dibuat without fear or favor kepada mana-mana pihak. Jangan nanti rakyat merasakan bahawa ada golongan manusia di bumi Malaysia ini seolah-seolah mendapat layanan berbeza dengan orang lain.

Justice must not only be done, it must also be seen to be done!

Ini ungkapan yang sudah terlalu banyak kali kita dengar. Kita berharap ianya akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan tanpa pilih bulu, pilih warna, pilih kulit.

Satu perkara yang ingin juga saya catat disini ialah apa juga hukuman yang dikenakan terhadap Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan blogger Zainudin, kami di Perkasa bersyukur mereka tidak dihukum kerana meliwat sesiapa, atau menabur spender dimana-mana, atau memberi tazkirah kepada bini orang jam 0300 pagi. Alhamdulillah.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
28 Muharam 1435
02 Dis 2013

Nota: Perkasa telah menubuhkan satu Tabung Pembelaan Presiden Perkasa (TPPP) yang dipengerusikan oleh Sdr Muhammad Zahid Md. Arip, ADT Perkasa yang juga Mursyidul Am TIBAI. Tujuan Tabung ini adalah untuk membiayai kos guaman bagi rayuan yang akan dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan. Untuk butiran lanjut, sila hubungi sekretariat TPPP 03-40445102.

No comments: