Jah, hang jadi MB nanti jangan lupa hantar lauk ke Penjara Kajang tau! Kebuloq aku nanti! |
Panas!!! Panas!!! Panas!!!
Maklumat daripada rakan-rakan dalam pimpinan PKR memberitahu bahawa malam ini 24 Ramadhan 1435 bersamaan 21 Julai 2014 adalah malam terakhir bagi Tan Sri Khalid Ibrahim bersemayam di Istana MB Selangor.
Kata mereka Anwar Ibrahim dah panggil mesyuarat Biro Politik PKR malam ini yang dijangka akan memutuskan mendesak Tan Sri Khalid meletakkan jawatan sebagai MB dan mengumumkan Wan Azizah, isteri Anwar yang juga Presiden PKR akan ditabalkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.
Kata dema Anwar dah nekad kali ni. Dan dia tidak peduli kalau anak emas kesayangan dia Azmin Ali nak merajuk pun. Dengar kabar Azmin dah berada di Mekah, mungkin membawa hati yang duka lara agaknya.
Saya faham betapa desperado dan terdesaknya Anwar sekarang.
Rayuan kes liwat dia akan didengar tidak lama lagi oleh Mahkamah Persekutuan. Ini adalah pusingan akhir proses rayuan. Jika dia gagal mengenepikan sabitan kesalahan meliwat Saiful dan hukuman penjara yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan dikekalkan, Anwar akan terus dibawa ke Penjara Kajang daripada Mahkamah.
Ini yang menggerunkan Anwar. Apatah lagi peguam utama dia mendiang Karpal Singh sudah tiada. Degupan jantung Anwar rasanya sudah nak meletop!
Pada saya sifir politik Anwar mudah dibaca. Perlantikan Wan Azizah adalah sebagai satu tekanan politik kepada proses perundangan dan kehakiman, selain ianya juga satu insurans politik bagi Anwar.
Cuba bayang. Bukan mudah bagi mana-mana Mahkamah untuk mensabit dan menghukum Anwar ke penjara dalam keadaan dia adalah Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen merangkap Ketum PKR, suami kepada Presiden PKR yang juga ADUN Kajang. Dan sekarang jadi suami bakal YAB Menteri Besar Selangor.
Boleh bayang tekanan politik yang akan dihadapi oleh Mahkamah?
Diwaktu yang sama, jika Mahkamah Persekutuan menolak rayuan dia dan Anwar disumbat ke Penjara Kajang untuk tempoh 5 tahun atau lebih, ini bermakna Anwar akan dok dalam Penjara Kajang sehingga 2019. Bermakna Anwar akan terlepas PRU-14 yang dijangka pada tahun 2018.
Kalau bukan Wan Azizah MB sekarang, sebaliknya Azmin Ali, boleh bayang apa akan berlaku jika Pakatan DAP-PKR-PAS menang lagi, na'zubillah. Azmin bukan sahaja akan terus menjadi MB, malah dia boleh gunakan kedudukan, kuasa dan pengaruhnya sebagai MB untuk mencabar jawatan Presiden PKR melawan Wan Azizah.
Azmin akan menjadi terlalu berkuasa. Mungkin semua kroni-kroni Anwar-Azizah akan diketepikan sebagai calon PRU-14, termasuk anak mereka Nurul Izzah yang juga Naib Presiden. Dan bayangkan kalau semua orang-orang Azmin yang naik.
Boleh bayang kegentaran dan keketaran Anwar jika itu berlaku?
Silap-silap Anwar boleh reput terus dalam Penjara Kajang. Mungkin termakbul Langkah Kajang Anwar - tapi dalam Penjara Kajang lah!
Sebab itu Anwar tiada pilihan. Tan Sri Khalid wajib dinyahkan sekarang! Sebab itu Wan Azizah mesti menjadi MB Selangor sekarang! Tak boleh tidak, mesti! Wajib!
Jadi apa pilihan yang ada pada Tan Sri Khalid?
Pertama Tan Sri Khalid mesti segera sedar bahawa dia sekarang dianggap oleh penyokong Anwar-Azizah sebagai penderhaka dan musuh nombor wahid bagi Istana Segambut.
Takkan Tan Sri Khalid tak nampak lagi.
Tan Sri merupakan satu-satunya MB yang tiada kuasa politik setelah dilucutkan daripada jawatan Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Selangor.
Kedua, panglima-panglima kanan Tan Sri Khalid sudah disiat-siut. Faekah sudah digantung, Mustafa sudah dilambung. Ini adalah dua orang kanan kepercayaan Tan Sri Khalid yang sudah tidak berada dalam arus perdana PKR setelah digantung keahlian.
Ketiga, DAP sudah mula membenci Tan Sri Khalid kerana dilihat rapuh dan goyang serta tidak tegas dalam kes perampasan bibel oleh JAIS/MAIS.
Keempat, PAS pula dah mula pasang angan-angan mahukan jawatan MB.
Pendek cerita, Tan Sri Khalid betul-betul dan jadi kera sumbang sebatang kara samada didalam PKR mahupun Pakatan DAP-PKR-PAS.
Cuma dua kekuatan yang ada sekarang kepada Tan Sri Khalid.
Pertama dia masih lagi MB yang sah didalam Negeri Selangor.
Kedua Tan Sri Khalid masih mendapat sokongan dan simpati sebahagian rakyat Selangor.
Faktor kedua tidak begitu signifikan bagi survival politik Tan Sri Khalid. Tetapi faktor pertama boleh menjadi penentu kepada kelangsungan Kerajaan Pakatan DAP-PKR-PAS sendiri.
Jadi apa pilihan yang ada kepada Tan Sri Khalid sekarang?
Pertama, Tan Sri boleh melepaskan jawatan sebagai MB dan menjadi ADUN biasa. Mungkin Tan Sri boleh pergi umrah dan merataplah sendirian disana.
Kedua, Tan Sri boleh cuba membuat kerjasama strategik dengan PAS, dengan menyertai PAS. Dan mendesak supaya jawatan MB diberikan kepada PAS sebagai parti terbesar dengan 16 kerusi, DAP 15 dan PKR 13.
Ketiga, Tan Sri boleh buat keras kepala dan tidak melepaskan jawatan. Dalam keadaan itu, PKR boleh mengambil tindakan berikut:
1. memecat Tan Sri sebagai ahli. Tetapi ini tidak boleh menggugat kedudukan Tan Sri sebagai MB;
2. membawa usul ke DUN Selangor untuk suatu undi tidak percaya terhadap Tan Sri. Jika ini berlaku, Tan Sri tidak ada pilihan selain mengadap Tuanku mempersembahkan bahawa Tan Sri sudah tidak mendapat undi majoriti.
Jika opsyen kedua berlaku, Tan Sri mempunyai dua plilihan. Pertama Tan Sri hendaklah mempersembahkan kepada Tuanku yang Tan Sri terpaksa melepaskan jawatan sebagai MB. Jika ini berlaku, maka Tuanku boleh menerima perletakkan jawatan Tan Sri Khalid dan melantik MB baru.
Kedua, Tan Sri boleh mempersembahkan kepada Tuanku menasihatkan untuk membubarkan DUN Selangor dan memanggil suatu Pilihanraya Negeri yang baru.
Tuanku boleh menerima nasihat Tan Sri dan memperkenan pembubaran DUN Selangor. Jika ini berlaku, suatu writ Pilihanraya Negeri perlu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya bagi Negeri Selangor dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pemberitahuan.
Saya sendiri berpendapat eloklah Tan Sri mengambil opsyen menasihatkan Tuanku Sultan Selangor untuk membubarkan DUN Selangor.
Dari segi prinsip demokrasi, Tan Sri telah diberikan mandat untuk memimpin Pakatan DAP-PKR-PAS Selangor dalam PRU-13. Tan Sri bukan sahaja berjaya, malah telah mendapat majoriti 2/3. Bermakna mandat rakyat kepada Tan Sri sangat signifikan.
Oleh itu, memaksa Tan Sri meletak jawatan peringkat ini adalah satu pengkhianatan kepada mandat yang diberikan oleh rakyat Selangor yang mahukan kepimpinan Tan Sri sebagai Menteri Besar.
Ini satu pencabulan demokrasi yang sangat serius.
Oleh itu, Tan Sri mempunyai tanggungjawab politik dan moral untuk mengembalikan hak menentukan Menteri Besar dan Kerajaan kepada rakyat Selangor melalui proses pilihanraya yang baru.
Rakyat Selangor mempunyai hak untuk menentukan siapa MB dan Kerajaan yang mereka mahu bagi Negeri Selangor.
Oleh itu saya mendesak Tan Sri Khalid supaya mendengar suara rakyat, menghormati hak demokrasi rakyat dengan mengembalikan kuasa penentu kepada rakyat Selangor.
Bak kata Anwar, kerusi MB bukan milik sesiapa, bukan milik Tan Sri, apatah lagi ianya bukan milik keluarga Anwar Ibrahim. Ianya milik rakyat Selangor!
Wallahua'lam dan wassalam.
Adios amigos, grasias senor.
Zulkifli Bin Noordin
Isnin
23 Ramadhan 1435
21 Julai 2014
No comments:
Post a Comment