02 July 2014

BRAVO TUN HAMID!

"Dan apabila dikatakan kepada mereka (kaum munafik), 'Berimanlah kamu sebagaimana orang lain telah beriman'. Mereka (munafik) itu menjawab, 'Patutkah kami beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?'. Ketahuilah, sesungguhnya merekalah yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahuinya. Apabila mereka bertemu dengan orang beriman, mereka berkata,'Kami telah beriman'. Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka (pemimpin-pemimpin mereka yang munafik dan kafir), mereka berkata pula, 'Sesungguhnya kami tetap bersama kamu. Kami sebenarnya hanya memperolok-olokkan orang beriman dengan berpura-pura beriman'. Allah membalas olok-olok mereka dengan memperolok-olokkan mereka pula, dan membiarkan mereka dalam kesesatan mereka yang melampaui batas serta terumbang-ambing kebingungan tanpa tujuan atau pegangan. Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk. Maka tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidaklah pula mereka mendapat hidayah. Mereka adalah golongan yang pekak, bisu dan buta, dan mereka tidak akan dapat kembali (daripada kesesatan kepada kebenaran)" - Surah Al Baqarah 2: 13-19
Salam 2 all.

Saya merujuk kepada pendedahan yang dibuat oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mengenai keputusan beliau menolak jawatan Pengerusi Majlis Konsultansi Perpaduan Nasional (MPKN) seperti yang disiarkan dilaman sesawang www.tunabdulhamid.my bertarikh 29 Jun 2014.

Pendedahan oleh Tun Hamid sangat mengejutkan kita umat Melayu-Islam dan merupakan satu 'wake-up call' daripada kelekaan dan kecuaian kita sendiri.

Dalam keadaan umat Melayu-Islam dok sibuk bercakaran dan berpecah-belah sesama sendiri, para pelampau kebebasan tanpa batas dan ekstremis hak asasi telah berjaya menyusup masuk dan 'merampas' sebuah institusi yang ditubuhkan kerajaan dinamakan Majlis Konsultansi Perpaduan Nasional (MKPN).

Niat baik YAB Perdana Menteri dan Kerajaan untuk melakukan transformasi dalam memupuk keharmonian dan perpaduan antara agama dan kaum di negara ini telah disalahgunakan oleh puak-puak pelampau dan ekstremis ini untuk meneruskan agenda jahat mereka untuk menjahanamkan dan merosakkan negara, khususnya menghancurkan institusi Islam, Melayu dan Raja-Raja serta sistem perundangan dan Perlembagaan sedia ada.

Salah satu bukti nyata berlakunya 'perampasan dan penaklukan' puak ekstremis dan pelampau ini ialah bila anasir-anasir ini berjaya menyusup masuk dan 'memperkaldaikan' MKPN untuk mengkritik tindakan MAIS/JAIS menahan bibel-bibel versi bahasa Melayu yang jelas menyalahgunakan kalimah Allah dan bercanggah dengan Seksyen 9, Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Selangor 1988.


Tun Abdul Hamid Mohamad
Kepantasan dan kecekapan MKPN menghakimi dan menghukum JAIS dengan mengenepikan prinsip audi alteram partem, tanpa memanggil MAIS/JAIS menghadiri mesyuarat mereka, dan tidak memberi peluang kepada MAIS/JAIS membela diri atau memberi penjelasan adalah bukti jelas agenda jahat anasir-anasir pelampau dan ekstremis ini yang telah berjaya 'merampas & memperkaldaikan' MKPN.

Terkini ada cubaan memperkaldaikan MKPN untuk menggantikan Akta Hasutan dengan mengemukakan beberapa deraf Rang Undang-Undang yang kononnya untuk tujuan keharmonian dan perpaduan agama dan kaum di negara ini. Sedangkan bila diteliti dengan mendalam ianya adalah jelas agenda halus anasir-anasir ini adalah untuk untuk menghancurkan prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan dan institusi Islam, Melayu dan Raja-Raja - satu cubaan menghidupkan semula piagam Malayan Union.

Kenyataan terbaru YB Nancy Shukri, Menteri JPM yang mendedahkan bahawa deraf RUU itu belum pun melalui proses penapisan dan perundangan biasa yang diamalkan dalam negara ini membuktikan ujudnya cubaan pihak-pihak tertentu untuk memperkaldaikan MKPN untuk penerusan agenda jahat kaum pelampau dan ekstremis ini.

Saya ucapkan syabas kepada Tun Hamid atas keberanian beliau.

Saya juga mendesak supaya Tan Sri Shamsuddin Osman, Pengerusi MKPN sekarang serta semua ahli majlis MKPN Melayu-Islam supaya mengikut langkah berani Tun Hamid dengan meletakkan jawatan serta merta.

Contohilah ketegasan Tun Hamid yang menolak tawaran jawatan Pengerusi MKPN dengan penegasan bahawa beliau 'tidak mahu menjadi pengkhianat kepada agama, bangsa dan negara sendiri'.

Saya juga mendesak Kerajaan supaya membubarkan keahlian MKPN dengan serta merta dan sementara proses perlantikan keahlian baru, semua ahli majlis MKPN sedia ada hendaklah ditamatkan keahlian dan dilarang membuat kenyataan atau mengambil tindakan atas nama dan bagi pihak MKPN.

Saya juga mendesak Kerajaan supaya mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan lebih banyak stakeholder terutama daripada NGO Melayu-Islam sebelum membuat apa-apa perlantikan. Saya juga mendesak Kerajaan supaya dalam proses perlantikan keahlian MKPN hendaklah mengambil kira hakikat dan fakta bahawa jumlah penduduk umat Melayu-Islam merupakan hampir 65% daripada jumlah penduduk Malaysia. Maka komposisi keahlian MKPN sepatutnya mencerminkan komposisi penduduk ini.

Mana mungkin perpaduan dan keharmonian antara agama dan kaum dapat dicapai bilamana suara dan aspirasi majoriti penduduk negara ini tidak diambil kira!

Diwaktu yang sama, saya mengambil kesempatan mengutuk keras mereka yang cuba menceroboh laman sesawang Tun Hamid dan memadamkan beberapa artikel penulisan beliau termasuk artikel pendedahan beliau mengenai 'perampasan, pencabulan dan pengkaldaian' MPKN ini. Pada saya ini adalah tindakan bacul dan dayus golongan yang takut kepada kebenaran dan ketegasan berprinsip.

Kepada Tun Hamid, aamantu billah summastaqeem, Allah akan bersama dan membantu mereka yang membantu agama Allah, insyallah.

Wallahua’lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
04 Ramadhan 1435
02 Julai 2014

Nota:


No comments: