Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam,
Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi kita Muhamad Sallallahu
Alaihi Wasallam.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala
kerana dengan limpah kurniaNya, Beta dapat hadir ke majlis perasmian
masjid dan berjumpa serta berbuka puasa dan menunaikan solat tarawikh
dengan rakyat Beta di daerah ini.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana negara
Malaysia dan negeri Selangor yang kita kasihi ini adalah dalam keadaan
aman dan tidak ada kekacauan dan rusuhan, yang mana umat Islam dapat
menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadhan yang mulia ini dengan aman
dan tenteram.
Allah Subhanahu Wata’ala telah menyuruh umat Islam menjalankan
kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia ini dan beramal serta
menjalankan kerja-kerja yang mulia serta menghindari perkara-perkara
yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan agama Islam
Beta juga bersyukur pada hari ini kita dapat bersama-sama menyambut
Nuzul Quran yang mana ini adalah satu peristiwa agung yang perlu
diingati iaitu turunnya Al-Quran dari Loh Mahfuz ke Baitul Izah di
Langit Dunia dan juga turunnya ayat pertama daripada surah Al-Alaq yang
diturunkan dari Baitul Izah kepada Nabi Muhammad Sallahu Alaihi
Wasallam, melalui Malaikat Jibril Alaihis Salam dan ianya mengambil masa
selama dua puluh tiga (23) tahun untuk menyempurnakan Al-Quran yang
menjadi panduan kepada umat Islam untuk menjalankan kehidupan didunia
ini dan beribadah kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, Beta mengingatkan supaya orang
Melayu umat Islam janganlah berbalah antara satu sama lain sebaliknya
orang Melayu umat Islam, haruslah bersatu padu dan bermuafakat. Orang
Melayu umat Islam jangan fitnah-menfitnah, mencaci dan menuduh antara
satu sama lain serta membuat cerita-cerita yang tidak benar hingga
menimbulkan perasaan syak wasangka dan seterusnya akan mencetuskan
permusuhan antara sesama orang Melayu umat Islam dan akan mengakibatkan
kerugian kepada generasi kita di masa depan.
Perpecahan orang Melayu akan merugikan orang Melayu sendiri, baik
hari ini ataupun untuk generasi akan datang. Orang Melayu mestilah
bersatu padu dan mengukuhkan bangsa Melayu serta agama Islam agar tidak
diperlekehkan. Beta percaya seandainya orang Melayu tidak mahu bersatu
padu, nescaya di satu hari nanti tragedi akan menimpa orang Melayu yang
mana orang Melayu akan menjadi satu bangsa yang kian pupus dan tenggelam
ditelan zaman serta akhirnya akan hanya tinggal nama semata-mata.
Adakah kita mahu tragedi sebegini berlaku kepada orang Melayu yang
beragama Islam di tanah air kita sendiri? Fikirkanlah siapa yang akan
untung dan siapa yang akan rugi.
Selain itu, Beta juga amat dukacita dengan golongan ekstremis agama,
liberalisasi agama dan juga pluralisme agama yang sedang berleluasa di
negara kita. Ekstremis agama, liberalisasi agama dan pluralisme agama
bukan sahaja akan merosakkan aqidah umat Islam, malah akan menghancurkan
umat Islam di suatu masa nanti.
Ekstremis agama yang Beta maksudkan
adalah golongan ekstremis yang sering mencetuskan keganasan tanpa
batasan, manakala liberalisasi agama adalah golongan yang mengamalkan
budaya seperti LGBT yang secara terang-terangan melanggar aqidah umat
Islam. Pluralisme agama pula adalah mereka yang berpendapat semua agama
termasuk agama Islam adalah sama dan tidak ada satu agama pun boleh
diberikan kelebihan berbanding agama-agama lain.
Walau bagaimanapun
kita perlu akur bahawa agama Islam mempunyai kedudukan yang lebih tinggi
kerana ia adalah Agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam
Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, semua golongan ini perlu dibendung agar aqidah umat Islam
terpelihara dan dilindungi. Beta mahu rakyat Negeri Selangor
mengamalkan agama Islam yang “moderate” mengikut fahaman Ahli Sunah Wal
Jamaah.
Dalam pada itu, Beta merasa dukacita kerana ada di kalangan ahli
politik dan golongan cerdik pandai yang beragama Islam sendiri, tidak
melindungi kesucian agama Islam daripada dipermainkan oleh pihak-pihak
tertentu. Sebaliknya mereka lebih mengutamakan agenda politik dan
peribadi mereka dengan mengelirukan masyarakat. Ada di kalangan mereka
ini telah dengan berani mempersoalkan kuasa institusi agama Islam
seperti MAIS yang selama ini berperanan memastikan kesucian agama Islam
dan urus tadbir hal ehwal agama Islam di Negeri Selangor ini.
Beta merujuk kepada petikan laporan akhbar-akhbar utama tanahair pada
18 Jun 2014, yang mana Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad telah
mempersoalkan kuasa eksekutif MAIS dan mencadangkan kerajaan Pakatan
Rakyat Selangor menghapuskan kuasa eksekutif MAIS. Beta amat kesal dan
kecewa dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.
Khalid Samad yang bukannya anak jati Selangor namun telah berpeluang
menjadi Ahli Parlimen di Selangor sepatutnya mengambil segala langkah
untuk melengkapkan diri untuk memahami sejarah Negeri Selangor dan
mendalami undang-undang yang terpakai di Negeri Selangor terutama
Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama
Islam Negeri Selangor.
Kenyataan Khalid Samad itu ternyata menunjukkan beliau jahil tentang
peranan MAIS yang diwujudkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor
sebagai penasihat dan membantu Beta dalam menjalankan kuasa Beta sebagai
Ketua Agama Islam di Negeri Selangor.
Tindakan Khalid Samad mempersoalkan kuasa MAIS seolah-olah
menunjukkan sikap biadap dan penentangan kepada kuasa Beta sebagai Ketua
Agama Islam yang mendapat nasihat dari pihak MAIS berkenaan agama Islam
seperti yang sedia termaktub di bawah undang-undang. Ini bukan kali
pertama Khalid Samad telah mempersoalkan tentang isu berkaitan tentang
kuasa eksekutif MAIS dan juga Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor
yang dianggapnya sudah lapuk.
Oleh itu Beta menyeru kepada Khalid Samad agar di masa akan datang
beliau berwaspada di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan jangan
menunjukkan sikap biadap dan jahil beliau apabila membicarakan isu
berkaitan dengan kuasa Beta dan peranan MAIS di dalam menasihati Beta
mengenai agama Islam.
Beta ingin mengambil kesempatan di sini untuk menegaskan bahawa MAIS
sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain di dalam
mengamalkan agama mereka. MAIS sentiasa menghormati orang bukan Islam
di dalam amalan agama mereka seperti yang telah diperuntukkan di dalam
Perlembagaan Persekutuan. Segala tindakan yang dilakukan oleh MAIS dan
JAIS adalah bagi memelihara kesucian agama Islam tanpa menggangu
penganut agama lain di dalam menganut agama mereka.
Beta sekali lagi menegaskan kepada semua pihak bahawa jangan jadikan
agama Islam sebagai modal politik. Kesucian agama Islam perlu sentiasa
dipelihara. Sebagai orang politik seharusnya mereka lebih
bertanggungjawab di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan bagi
memastikan kesucian agama Islam dan perpaduan umat Islam di Negara ini
sentiasa terpelihara.
Di bulan yang mulia ini juga Beta berkenan supaya semua umat Islam di
Negeri Selangor ini mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh Allah
Subhanuhu Wata’ala.
Beta mengingatkan sekali lagi janganlah dijadikan masjid sebagai
gelanggang untuk berpolitik dan juga tempat mengadakan demonstrasi yang
negatif, baik di dalam atau di kawasan perkarangan masjid. Masjid dan
surau adalah tempat Umat Islam dan Orang Melayu beribadat dan bertemu
bagi mengeratkan silaturrahim antara sesama orang Melayu umat Islam.
Beta mengakhiri ucapan Beta ini dengan mengucapkan Selamat Berpuasa
kepada seluruh umat Islam, semoga amal ibadah kita diterima dan
diberkati Allah Subhanahu Wata’ala. Jadikanlah masjid sebagai tempat
yang aman, selesa dan kondusif untuk setiap umat Islam melakukan ibadah
dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala.
Maka dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta merasmikan Masjid ini dengan nama Masjid Pekan Sepang.
Sekian,
Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment