Sempenan Ma'al Hijrah 1435, marilah kita umat Islam berusaha membebaskan Masjidil Aqsa |
Aiyyuhal muqminuun...afsyussalam...afsyussalam...afsyussalam!
Wahai orang beriman...sebarkanlah salam...sebarkanlah salam....sebarkanlah salam!
Itulah ucapan pertama Rasulullah saw sebaik sahaja tiba di Yathrib dalam peristiwa yang kini diperingati oleh umat Islam sedunia sebagai peristiwa Ma'al Hirah.
Ucapan salam dengan lafaz assalammu'alaikum warahmatullah wabarokaatuh, salam sejahtera keatas kamu berserta rahmat dan keberkatan ALLAH adalah satu ucapan universal, yang bukan sahaja mendoakan sesama umat, malah ia adalah syiar kesatuan dan ukhwah Islam.
Dimana sahaja kita pergi, samada benua Eropah Barat, Australia, India, Afrika, Russia, Eropah Timur, malah segala mana ceruk dunia, sebaik sahaja mendengar ucapan salam kita tahu ianya adalah saudara satu aqidah dengan kita.
Begitulah peranan salam.
Dan itulah yang semakin ketandusan dikalangan umat Islam. Ukhwah, kesatuan dan perpaduan!
Umat Islam kini berpecah, samada dari segi mazhab, dari segi kefahaman, dari segi politik, dari segi assobiyyah kenegaraan dan kedaerahan dan segala macam lagi.
Agak ganjil bagi umat yang punya Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu Aqidah, Satu Qiblat tetapi berpecah belah. Bukan sekadar bertelingkah dan berselisih faham, malah sampai membawa kepada peringkat peperangan dan pembunuhan.
Dan anasir-anasir yang tidak senang dengan Islam menggunakan kesempatan sepenuhnya peluang dan ruang itu untuk terus melunyaikan umat Islam.
Sebab itu marilah kita menggunakan kesempatan sambutan Ma'al Hirah 1435 sebagai titik permulaan untuk berusaha kearah memupuk dan menyemai ukhwah dan kesatuan kita.
Kalau umat Yathrib kaum 'Auz dan Khazraj yang telah berperang beratus tahun berjaya bersatu dan berpadu dibawah satu risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw, mengapa pula kita umat Islam, khususnya bangsa Melayu tidak boleh melakukan perkara yang sama?
Demi untuk penyatuan umat Islam dan mempunyai perasaan sense of belonging, Saidina 'Umar r.a telah melakukan satu pembaharuan yang telah berjaya mencorakkan umat Islam supaya mempunyai identiti tersendiri - iaitu memperkenalkan Taqwim Islam dengan mengambil sempena peristiwa hijrah Rasulullah saw sebagai permulaan perkiraan kalendar Islam.
Ini dilakukan oleh Saidina 'Umar r.a kerana mahu membezakan umat Islam daripada amalan kalendar Gregorian, iaitu kalendar yang diambil sempena daripada kononnya kelahiran Jesus Christ, individu yang diangkat sebagai anak tuhan oleh kaum yang dikenali sebagai kristian hari ini. Sebab itu kalendar masihi ini disebut dengan In the Year of Our Lord - Anno Domini!
Saya menyeru umat Islam termasuk diri saya sendiri supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengamalkan penggunaan kalendar Islam. Kita boleh bermula dengan mengingatkan tarikh kelahiran kita, anak isteri kita, kaum keluarga kita dengan menggunakan kalendar Islam.
Bagi memudahkan kita yang mungkin tidak tahu, hanya perlu layari www.islamicfinder.org dan dalam ruang 'calendar', kita cuma perlu masukkan tarikh kelahiran kita dalam tahun masihi dan 'convert' ke taqwim Islam; nanti akan keluar tarikh kalendar Islam yang bersamaan dengan tarikh masihi yang kita catatkan.
Perlu juga saya ingatkan diri saya dan saudara-saudari semua, bahawa salah satu rukun zakat, selain cukup nisab, ialah cukup haul; iaitu cukup tempoh matang setahun. Dalam konteks pembayaran zakat, cukup setahun itu dikira mengikut tempoh setahun kalendar Islam, bukan kalendar masihi!
Bermakna kalau kita mengambil perkiraan setahun daripada bulan Muharram, maka nisab harta untuk dizakat hendaklah dikira tempoh haul nya daripada 01 Muharram 1434 sehingga 01 Muharram 1435. Maka jika cukup nisabnya, hendaklah dikeluarkan zakat pada 01 Muharram 1435, iaitu esok.
Kalau kita mengira mengikut kalendar masihi, bermakna tiap tahun kita kekurangan 11 hari. Kalau dalam tempoh 30 tahun, bermakna kita sudah kekurangan 1 tahun. Bermakna kita tidak membayar zakat bagi setahun hijrah. Sedangkan hukum membayar zakat itu Rukun Islam! Bermakna kita tidak menunaikan Rukun Islam untuk setahun!
Apapun, kita umat Islam seharusnya mempunyai identiti kita sendiri. Dan antara identiti kita ialah ucapan salam, dan penggunaan taqwim Islam. Begitulah uniknya kita umat Islam, yang mempunyai satu Tuhan yang disebut ALLAH. Dimana juga ceruk dunia kita pergi, sesiapa sahaja yang mengucapkan salam dan mempertuhankan ALLAH, mereka adalah saudara kita.
Sebab itu, selain menghidupkan sunnah Rasulullah saw dengan mengamalkan salam, kita juga wajib mempertahankan kalimah ALLAH sebagai benteng aqidah kita.
Justru itulah Rasulullah saw berhijrah. Bukan kerana mahukan kuasa, bukan kerana mahukan harta, bukan kerana mahukan wanita!
BUKAN! BUKAN! BUKAN!
Rasulullah ditawarkan oleh musyrikin Makkah dengan harta sebesar Jabbal Uhud, kekuasaan keatas keseluruhan masyarakat Makkah, dan wanita tercantik untuk dijadikan suri. Namun Rasulullah saw menjawab dengan satu ketegasan yang wajib menjadi pendirian kita;
Andaikata mereka memberikan aku matahari ditangan kanan ku, dan bulan ditangan kiri ku, namun aku tidak akan sekali-kali berhenti menyebarkan risalah Laa ila ha illallah - Tidak ada Tuhan melainkan ALLAH Yang Maha Esa!
Itulah matlamat kita, itulah perjuangan kita. Sesungguhnya solat ku, ibadah ku, hidup ku dan mati ku hanyalah kerana ALLAH!
Selamat menyambut Ma'al Hijrah 1435!
Assalammu'alaikum warahmatullah wabarokaatuh!
Wallahua'lam dan Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Selasa
01 Muharram 1435
05 November 2013
No comments:
Post a Comment