28 February 2014

TUN M ANTI-HADIS?

Tun Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri & Presiden UMNO menghidupkan sunnah Rasulullah saw dengan menziarahi seorang sahabat yang sedang keuzuran,, Dato' Dr. Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS.


Salam 2 all.

Saya cukup hairan dengan gelagat para parasit yang seperti cacing kepanasan berkompang sakan mengkafirkan Tun Dr. Mahathir hanya kerana Yayasan Perdana menganjurkan dan merasmikan satu Dialog Bersama Kassim Ahmad pada 15 dan 16 Feb lepas.

Kassim Ahmad sememangnya sudah dilabel dengan gelaran 'anti-hadis' setelah beliau mengemukakan pandangan didalam buku 'Hadis: Suatu Penilaian Semula' dan diikuti oleh buku 'Dilema Umat Islam -  Antara Hadis & Quran'.

Saya sendiri pernah bertemu dengan Pak Kassim dan mendengar penjelasan beliau mengenai pendirian beliau ini. Saya juga berkesempatan berbincang dengan beliau berkenaan dengan survival Melayu dalam negara ini.

Memang ada beberapa perkara yang saya tidak bersetuju dengan Pak Kassim. Walaupun Pak Kassim mendakwa beliau bukan menolak semua hadis, sebaliknya hanya hadis-hadis yang bercanggah atau tidak selaras dengan Al-Quran; tetapi ada antara hujah atau tafsiran beliau sendiri bercanggah dengan Al-Quran.

Contohnya dakwaan Pak Kassim kita mendewa-dewakan Nabi Muhammad saw., contohnya dalam lafaz syahadah. Sedangkan dakwa Pak Kassim Allah berfirman dalam surah Ali-Imran: 18 menyatakan 'Allah menyatakan tidak ada tuhan selain Dia'. Lalu dakwa Pak Kassim, bila kita menyambung syahadah dengan lafaz 'Sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah', seolah-olah kita menyengutukan Allah, dan menafikan Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi lain.

Saya menyatakan lafaz syahadah itu langsung tidak menyengutukan Allah dengan Nabi Muhammad saw kerana ia dengan jelas menyebut Nabi Muhammad saw adalah Pesuruh Allah. Jadi dimana yang katanya kita menyengutukan Allah? Malah didalam Al-Quran begitu banyak ayat Allah menegaskan Nabi Muhammad adalah seorang manusia biasa yang diangkat menjadi Nabi dan Pesuruh Allah!

Apapun, saya menyarankan kepada para ilmuan dan sarjana Islam yang ada supaya mengadakan dialog tertutup dengan Pak Kassim. Tidak ada guna kita memaki hamun dan melabel Pak Kassim dengan pelbagai gelaran. Lebih baik kita memberanikan diri bersemuka dengan beliau. Dan saya cadangkan secara tertutup kerana tujuan kita bukan mahu mencari kesalahan atau mengaibkan Pak Kassim, tetapi untuk mencari kebenaran, insyaAllah.

Kalau dengan kristian yang nak cemar kalimah Allah pun kamu sanggup berdialog, malah sampai terhegeh-hegeh keluar masuk gereja konon nak berdialog dengan kristian sampai sanggup memberitahu kristian didalam gereja yang mereka boleh terus salahguna kalimah Allah, kenapa dengan Pak Kassim, seorang Muslim yang masih mengangkat syahadah, kamu tidak mahu berdialog, malah terus memaki hamun dan mengkafirkan beliau?

Bagaimanapun, tujuan saya menulis ini sebenarnya untuk menilai gelagat para pasrasit yang begitu ghairah memaki hamun Tun Dr. Mahathir dan menyamakan beliau sebagai golongan anti-hadis; malah sampai ada yang mengkafirkan Tun M!

Saya sendiri pernah suatu ketika dahulu apabila terpedaya dengan politik pembohongan dan putar-belit pembangkang melabel Tun Dr. Mahathir dengan pelbagai gelaran. Alhamdulillah Allah menyedarkan saya tentang politik pembohongan dan putar-belit pembangkang yang terlalu jijik dan kotor. Setelah menyedarinya, saya telah secara terbuka didalam Dewan Rakyat memohon maaf kepada Tun Dr. Mahathir.

Dan alhamdulillah saya berpeluang berceramah dengan Tun Dr. Mahathir di Pasir Mas, Kelantan dan secara terbuka sekali lagi memohon maaf kepada Tun, dan alhamdulillah Tun telah secara terbuka memaafkan saya.

Nasihat saya kepada para parasit dan yang sewaktu dengannya, jangan lakukan kesilapan yang pernah saya lakukan. Politik cara ini adalah jijik, kotor dan langsung tidak bertamadun; dan langsung tidak Islamik!

Saya ingin bertanya kepada kamu para parasit semua, adakah kamu ikhlas mempertahankan Islam bila kamu memaki hamun Tun dan melabel beliau dengan pelbagai label, sehingga ada yang mengkafirkan Tun hanya kerana menganjurkan dan merasmikan Dialog Bersama Kassim Ahmad?

Kalau kamu benar-benar ikhlas, saya mahu tanya satu soalan, mengapa kamu menjadi syaitan bisu didalam kes Anwar Ibrahim? Bukan sahaja kamu menjadi syaitan bisu, malah kamu sanggup melacurkan politik dan pendirian kamu dengan menyokong Anwar; malah mengangkat beliau sebagai calon Perdana Menteri kamu! Kini kamu bersorak sakan menyokong Anwar sebagai calon untuk PRK Kajang, dengan nafsu beliau mahu menjadi Menteri Besar Selangor!

Sedangkan Anwar Ibrahim terang-terang mengambil pendirian kristian boleh menggunapakai kalimah Allah; satu pendirian yang bercanggah sama sekali dengan ketetapan Majlis Syura' PAS yang dibuat pada 13.01.2013 yang melarang kristian daripada menggunakan kalimah Allah kerana ini persoalan aqidah bukan soal politik!

Malahan Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Dr. Haron Din menegaskan bahawa adalah syirik bagi mana-mana umat Islam yang bersetuju atau membenarkan kristian menggunakan kalimah Allah.

Jadi mengapa kamu semua senyap sepi sepert syaitan bisu apabila Anwar secara terang-terangan menolak ketetapan Majlis Syura' PAS ini? Malah Anwar dengan biadap memberitahu penganut kristian didalam kempen di Kajang di gereja Holy Family Kajang pada 16.02.2014 bahawa kristian boleh menggunapakai kalimah Allah.

Saya boleh bayangkan sikap kamu jika yang bercakap itu ialah Tun Mahathir, ataupun Dato' Sri Najib. Cuba bayang kalau Tun M atau Najib yang bercakap didalam gereja dihadapan penganut kristian bahawa kristian boleh menggunapakai kalimah Allah. Saya rasa tak cukup kertas kamu punya maki hamun, malah mungkin mengkafirkan Tun atau Najib.

Tetapi bila Anwar yang berbuat sedemikian, kamu terus menjadi syaitan bisu. Malah kamu turut menjadi penyokong kuat beliau dengan memberikan Anwar ruang berceramah dalam masjid surau kamu, kamu tampal poster Anwar, kamu meraih dan memujuk pengundi supaya mengundi Anwar supaya menang dalam PRK Kajang dan menjadi MB!

Mengapa kamu boleh menjadi bangsat seperti ini? Kerana agama? Kerana Islam? Kerana Allah?

Hipokrit besar kamu kalau kamu kata ianya kerana Islam, kerana Allah. Sebenarnya kerana nafsu politik kamu! Sebenarnya akibat kebencian meluap-luap kamu kepada sesama Islam! Sebenarnya kerana nafsu amarah kamu sendiri! Sebenarnya kerana kepentingan politik dan diri kamu sendiri. Langsung tidak ada kena mengena dengan Allah, langsung tiada kaitan dengan Islam!

Addeenul nasihah!

Agama itu nasihat. Sebab itu nasihat saya kepada kamu supaya menghentikan segala tuduhan liar dan melampau kamu. Beristighfar lah banyak-banyak kepada Allah, dan pohonlah kemaafan kepada Tun Dr. Mahathir atas keterlanjuran kamu.

Manusia yang hebat ialah manusia yang bersedia mengaku kesilapannya, memohon kemaafan atas kesilapan itu, dan tidak akan mengulanginya lagi!

Semoga Allah memberikan kamu kekuatan dan hidayah untuk melakukan sesuatu lillah hita'ala, bukan kerana nafsu kamu, bukan kerana taklid kepada manusia!

Janganlah kamu pertuhankan manusia, janganlah kamu pertuhankan kerusi, janganlah kamu pertuhankan demokrasi - tetapi kembali lah kamu mempertuhankan dan bertaqwa kepada Allah, dengan mematuhi perintahNya, dan menjauhi laranganNya!

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Juma'at
28 Rabi'ul Akhir 1435
28 Feb 2014

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Dipetik daripada lamanweb Tun Dr. Mahathir www.chedet.cc

ANTI HADIS : ARTIKEL TERBARU TUN DR. MAHATHIR MOHAMED

1.      Saya tahu tulisan saya ini tidak akan dibaca oleh orang yang menghukum saya sebagai anti-hadis. Orang lain juga akan dilarang membaca tulisan ini. Mereka yang menghukum saya takut kalau-kalau hukuman mereka dipersoal. Mereka hendak segala-gala yang diperkatakan oleh mereka diterima bulat-bulat sebagai fatwa yang wajib diterima seperti firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran.
2.      Orang yang benar, berani. Orang yang takut, takut kerana salah atau mungkin didapati salah.
3.      Memberi label dan mengecap orang apabila kita tidak bersetuju dengannya memanglah satu cara orang yang tidak sanggup berhujah. Terima sahajalah apa yang didakwa oleh mereka tanpa berfikir. Jangan guna akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kerana ini kononnya  dilarang oleh agama Islam.
4.      Saya sekarang dilabel, iaitu diberi gelaran atau dicap anti-hadis kerana kononnya saya sudah jadi penyokong Kassim Ahmad yang telah diberi gelaran yang sama.
5.      Saya juga diberitahu bahawa sebagai seorang yang tidak tahu bahasa Arab maka saya tidak berhak bercakap berkenaan agama Islam.
6.      Hari ini kita lihat ummat Islam berpecah, bermusuh sesama mereka, berperang dan membuat kerja orang Yahudi dan Nasrani. Siapakah yang membawa malapetaka ini kepada orang Islam dan Negara-negara mereka. Bukankah mereka fasih dalam bahasa Arab bahkan penasihat dan pemimpin mereka terpelajar dengan dalamnya ajaran Islam dalam Al-Quran dan hadis Nabi. Saya sendiri sering mendengar mereka dari kedua-dua belah, mengeluarkan ayat Quran dan hadis bagi menghalalkan perbuatan mereka.
7.      Ya, saya tak tahu bahasa Arab. Justeru itu saya terpaksa terima apa sahaja yang diajar kepada saya dalam bahasa Melayu sebagai ajaran Islam. Apakah kerana saya menerima Islam dalam bahasa Melayu maka ia bukan Islam. Apakah saya tidak Islam. Apakah lafaz dua kalimah syahadat oleh saya tidak boleh diterima.
8.      Selain dari khatam Quran semasa umur belasan tahun, saya baca terjemahan Quran dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Ya, memang terjemahan Quran bukan Quran. Tetapi bolehkah kita kata terjemahan ajaran Islam yang diajar kepada kita dalam bahasa Melayu bukan Islam? Jika apa yang disampaikan dlam bahasa Melayu berkenaan agama Islam bukan Islam, majoriti orang Melayu bukanlah Islam.
9.      Saya dan rakan-rakan saya pernah dihukum kafir kerana sebagai ahli parti tertentu telah bekerjasama dengan orang kafir. Tidak ada siapa yang fasih berbahasa Arab dan mendalami ajaran Islam yang mempertahankan saya apabila dituduh kafir. Mungkin sebabnya ialah mereka bersetuju saya kafir.
10.    Kemudian orang yang mengkafirkan saya bekerjasama dan berpeluk-peluk dengan orang kafir. Tetapi tidak ada orang yang mendalami agama Islam yang fasih berbahasa Arab mendakwa mereka ini kafir. Saya tertanya-tanya apakah kelebihan mereka? Apakah mereka maksum?
11.    Orang yang fasih berbahasa Arab dan mengenal diri sendiri  sebagai ulama Islam dan mursyid telah berkata ia sanggup bekerjasama dengan syaitan jika syaitan menyokongnya. Orang yang fasih berbahasa Arab dan tahu larangan dalam Al-Quran terhadap bekerjasama dengan syaitan, tidak membuat tuduhan apa-apa, jauh sekali dari memberi apa-apa label kepadanya. Kenapa?
12.    Bukan sahaja orang Arab yang fasih bahasa Arab yang berpecah dan bermusuh sesama Islam, tetapi di Malaysia juga perpecahan berlaku apabila orang yang digelar ulama dan fasih dalam bahasa Arab memisahkan diri dan memecahkan perpaduan orang Islam kerana tidak dapat tempat di dunia, tidak dipilih jadi Yang Berhormat. Sehingga sekarang perpecahan ini berlaku. Maka lemahlah orang Islam dan terpaksalah mereka mengemis untuk mendapat sokongan orang bukan Islam. Maka berpeluk-peluklah mereka. Tidak ada ulama yang berkecuali yang mendesak supaya semua orang Islam bersatupadu dan bersaudara semula.
13.    Orang yang sama juga mendakwa bahawa Allah s.w.t. mencarut. Tiada siapa dari orang yang fasih berbahasa Arab dan tahu secara mendalam ajaran Islam yang menyangkal dakwaan ini. Mungkin ada hadis yang berkata demikian. Saya belum jumpa. Sila tunjuk kepada saya hadis yang berkata Tuhan mencarut.
14.    Dalam ajaran Islam, ada yang wajib dan ada yang sunnat. Kita diberitahu yang sunnat boleh kita terima dan tunaikan tetapi tidaklah kita bersalah jika kita tidak tunaikan. Tetapi ada gesaan bahawa yang sunnat itu wajib dan mesti diterima dan diamalkan walaupun bercanggah dengan firman Tuhan dalam Al-Quran.

15.    Hadis adalah sunnah Nabi. Saya ingin tahu samada hadis wajib dan mesti diterima. Betulkan saya.
16.    Apa pula dengan orang yang utamakan hadis dari firman Allah s.w.t. yang terdapat dalam Al-Quran yang kita terima sebagai wahyu dari Allah s.w.t. Berkenaan dengan zina, apakah hukum yang terdapat dalam Al-Quran. Dan apakah yang terdapat dalam hadis. Yang manakah lebih utama, wahyu dan firman Allah s.w.t. atau hadis yang diriwayatkan oleh beberapa keturunan manusia biasa, yang dikaji, disah atau ditolak oleh pakar hadis yang juga manusia biasa 200 tahun kemudian. Salahkah jika kita pilih Al-Quran yang jelas dan satu yang tidak berbeza-beza dan oleh itu tidak merejam dan menembak mati dengan mesingun perempuan yang dituduh berzina.
17.    Bukankah Allah s.w.t. telah berpesan berpuluh kali bahawa “apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil”. Allah s.w.t. juga sebut sebagai tidak suka akan kezaliman.
18.    Apakah melabel iaitu menghukum seseorang selepas membaca akhbar atau mendengar lapuran T.V. mencerminkan keadilan yang dituntut dalam Islam. Apakah tanpa memberi peluang kepada yang tertuduh untuk mempertahankan diri, adil di sisi agama Islam. Apakah tanpa membincang dan membahas oleh badan yang dipertanggungjawabkan seperti mahkamah, yang terdiri dari orang yang tidak berkepentingan, adalah cara Islam mengadil.
19.    Kita lihat akan betapa buruknya keadaan umat Islam sekarang. Apakah ini kerana sudah ditakdirkan bahawa orang Islam akan ditindas dan agama Islam dihina.
20.    Tidakkah Allah s.w.t. berfirman dalam Al-Quran bahawa Allah tidak akan menukar nasib sesiapa jika ia tidak berusaha menukar nasibnya sendiri.
21.    Jika kita ingin menukar nasib dan kita berusaha sehingga terselamat diri kita, bolehkah kita kata ini bukan takdir, atau ini bertentangan dengan kehendak Allah s.w.t.
22.    Kita tahu adanya hadis yang sahih dan yang lemah Apabila hadis berbeza atau bertentangan dengan firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran, yang mana satukah yang kita harus terima? Jika kita pegang kepada Al-Quran, apakah ini salah.
23.    Apakah kita wajib terima apa saja yang disampaikan oleh orang yang berbahasa Arab yang mempelajari agama walaupun jelas bertentangan dengan ajaran Islam dalam Al-Quran dan hadis. Apakah kita mesti iktiraf siapa sahaja yang mendakwa dirinya sebagai ulama. Apakah semua ahli persatuan ulama benar-benar ulama.
24.    Amatlah merbahaya dan mengelirukan apabila sesiapa sahaja, hanya kerana fasih dalam bahasa Arab dan mendapat ijazah sarjana dalam bidang agama Islam, diberi gelaran ulama.
25.    Perpecahan umat Islam kepada berbagai mazhab adalah disebabkan oleh orang seperti ini. Pengikut mereka turun temurun bermusuh dan membunuh. Tidak ada toleransi di kalangan mereka sedangkan Al-Quran tidak suruh kita bermusuh walaupun dengan penganut agama lain, melainkan mereka bermusuh dengan kita. Kepada mereka agama mereka. Lemahnya umat Islam dan terhinanya agama Islam ialah kerana ajaran mereka yang tidak boleh ditegur, yang tuntut kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi hanya kepada mereka.
26.    Saya tahu bahawa jawapan kepada tulisan saya ini ialah saya anti-hadis, anti Al-Quran bahkan kafir.
27.    Saya tidak lama lagi akan pergi menemui Tuhan saya, Allah s.w.t. Saya akan diadili oleh Kadzi Rabbul Jalil. Saya tidak tahu apakah akan disahkan segala tuduhan terhadap saya atau tidak. Tetapi yang saya tahu dan yakin ialah pengadilan oleh Allah s.w.t. tetap adil. Dan saya terima apa sahaja hukum yang dijatuhkan ke atas saya.

No comments: