31 May 2011

TAZKIR BUAT MUKTAMIRIN

(Bersatu dibawah kepimpinan ulama')

Salam 2 all.

Teman mengambil kesempatan mengucapkan selamat dan ahlan wasahlan kepada 1,150 para perwakilan ke Muktamar Agong PAS ke 57. Kebetulan muktamar bermula pada 01 Rejab, bulan yang penuh dengan peristiwa besar dalam sejarah Islam, termasuk peristiwa Isro' wal Mi'raj yang berlaku pada 27 Rejab tahun ke 13 Kenabian. Satu peristiwa yang dirakam didalam Surah Al Isro': 1 . Begitu juga peristiwa pembukaan dan pembebasan semula Masjidil Aqsa oleh Sultan Salahuddin Al Ayubi pada hari Jumaat 27 Rejab 583H.

Teman berdoa kepada ALLAH swt moga Muktamar Rejab 1432 ini membawa peristiwa besar kepada PAS dalam mengorak langkah memartabatkan Islam dalam negara bertuah ini.

PAS kini berada dipersimpangan jalan. Samada memilih untuk menjadi sebuah parti politik biasa sebagaimana parti politik yang bersepah didunia ini, yang mempertuhankan demokerusi demi sedikit kuasa, yang punya aqidah matlamat menghalalkan cara; atau

PAS boleh terus memilih untuk menjadi sebuah haraki Islamiyyah, yang berpaksikan kepada Al Quran dan sunnah, yang bertunjang kepada usrah dan tarbiyyah; yang politik menjadi alat, Islam sebagai matlamat; yang mempertuhankan ALLAH yang Satu; yang yakin dan percaya segala ketentuan adalah daripada ALLAH; yang punya aqidah bahawa tidak ada sebarang kekuatan dan daya melainkan dengan bantuan ALLAH; yang yakin Islam boleh berdiri sendiri tanpa perlu persekongkolan apatah lagi dengan kafir harbi!

Sempena muktamar besar ini, teman mengajak para muktamirin merenung sejenak dan menjawab 7 isu besar yang teman perturunkan disini. Teman percaya 7 isu ini perlu didebat dan dibahaskan, supaya PAS tidak terus dikalkatukan oleh silauan Putrajaya yang di obori golongan Al Kazeeb yang paling buruk akhlaknya dalam sirah politik dunia, sebaliknya semoga PAS terus dibimbing dan dihidayahkan dengan hudallilmuttaqeen:

1. PERJANJIAN PERSEFAHAMAN YANG MEMBUNUH PERJUANGAN ISLAM

Adakah para muktamirin sedar bahawa Perjanjian Persefahaman Pakatan Pembangkang yang ditandatangani pada 18.12.2009 di Shah Alam telah dan akan membawa kesan dan implikasi serius kepada PAS, iaitu antara lain bahawa agenda penubuhan negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam tidak termasuk didalam dasar Pakatan Rakyat jika memenangi pilihanraya dan memerintah. Jangan termakan pembohongan yang menyatakan bahawa Perjanjian itu hanya untuk merumus persetujuan bersama kesemua parti, tetapi masing-masing dibenarkan terus dengan agenda perjuangan masing-masing, DAP dengan Malaysian-Malaysianya, PAS dengan Negara Islamnya, dan PKR dengan cita-cita nak menabal pemimpin anugerah tuhannya sebagai Perdana Menteri.

Itu semua putarbelit sahaja untuk menutup isu. Yang jelas dan muktamadnya Anwar, Karpal Singh & Kitsiang (dengan kerjasama segelintir pengkhianat didalam dan luar PAS) telah menyatakan bahawa agenda penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam tidak termasuk didalam dasar Pakatan pembangkang jika memerintah. Persoalannya, adakah para muktamarin sedar Perjanjian ini sebenarnya menjadikan dasar asas perjuangan PAS untuk mendirikan sebuah negara Islam dan melaksanakan syariat dibakulsampahkan? Adakah para muktamarin bersedia melakukan pengkhianatan terhadap perjuangan tersebut? Tidak ingatkah perjuangan dan pengorbanan pejuang saperti Assyahid Ustadz Ibrahim Libya, Ustadz Zulkifli Mohamad dan ramai lagi yang membayar dengan nyawa semata-mata untuk berjuang menegakkan sebuah Daulah Islamiyyah? Tidak sedarkah para muktamirin bahawa mereka sedang berdiri meni'mati sedikit "kejayaan" diatas darah para pejuang dan syuhada ini! Jawapannya mudah, jika PAS mahu kembali kepada perjuangan asal, para muktamirin harus bangkit dan menegaskan bahawa PAS perlu dan wajib mufaraqah daripada Pakatan Syaitan ini, dan berjuang bersendirian diatas kalimah Laa ila haillallah. Itulah yang dibuat oleh Rasulullah, dan itulah resepi kejayaan Sultan Salahuddin.

2. HAK KERAJAAN PAS MELAKSANAKAN HUKUM ISLAM AKAN DINAFIKAN

Adakah para muktamirin sedar bahawa jika Pakatan pembangkang memerintah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri termasuk dibawah kepimpinan PAS tidak akan dibenarkan untuk melaksanakan undang-undang Islam, termasuk mengharamkan arak, judi dan lain-lain. Inilah kesan secara langsung Perjanjian Persefahaman Pakatan Pembangkang yang telah ditandatangani, yang sentiasa diungkit dan dijadikan senjata menentang PAS dalam apa njuga isu yang melibatkan perlaksanaan dan penguatkuasaan syariat Islam. Jangan lupa apa yang terjadi di Selangor, sehingga kepimpinan cauvinis, extremis dan rasis DAP dengan biaDAP mendesak supaya Pesuruhjaya PAS Selangor dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang daripada jawatan Exco Hal Ehwal Islam semata-mata kerana beliau mahu melaksanakan apa yang beliau faham aspirasi perjuangan PAS yang asal. Jangan lupa usaha Kerajaan Tok Guru hendak mengharamkan judi di Kelantan dikritik hebat oleh manusia yang ditabal bininya sebagai anugerah tuhan dan menerima kutukan daripada Karpal Singh dan kekawan DAPnya. Sehingga Anwar menegur Tok Guru supaya merujuk kepada kepimpinan PKR dan DAP dahulu sebelum buat sebarang keputusan mengenai perlaksanaan undang-undang mengharamkan judi tersebut. Adakah para muktamirin sedar itu adalah petunjuk ALLAH akan jenis pemerintahan yang akan berlaku jika Pakatan pembangkang menjadi Kerajaan Persekutuan;

3. PAS LANGSUNG TIDAK DIHORMATI

Adakah para muktamirin sedar PAS langsung tidak dihormati oleh Anwar dan kekawan DAPnya. Jangan lupa apa yang terjadi di Kedah, apabila seorang ADUN DAP di Kedah (walaupun hanya seorang) dengan begitu biadap mengugut kepimpinan Kerajaan PAS Kedah supaya membatalkan perobohan pusat penyembelihan babi dan akhirnya membawa DAP Negeri Kedah keluar Pakatan pembangkang. Jangan lupa apa yang berlaku di Pulau Pinang bila mana Kerajaan DAP langsung tidak menghormati satu-satunya ADUN PAS YB Ustadz Salleh Man (dahulu YB Almarhum Ustadz Hamdan) dengan tidak memberi sebarang kedudukan pun kepada PAS, termasuk portfolio Exco Hal Ehwal Islam, Pengerusi Majlis Agama pun tak diberi. Jangan lupa penghinaan yang dibuat oleh Ketua Staf Lim Guan Eng yang melabel saudara Razali, seorang ahli Jemaah Islah Malaysia sebagai extremis dan teroris! Jangan lupa pengumuman sembrono Anwar mahu melantik Baru Bian, seorang Kristian sebagai Ketua Menteri Sarawak tanpa langsung merujuk kepada PAS. Lihat bagaimana DAP Sarawak langsung tidak memaklumkan, jangankan berbincang dan merujuk, kepada kepimpinan PAS apabila melantik kabinet bayangan di Sarawak? Tidakkah ini menyedarkan para muktamirin bahawa Pakatan pembangkang memang langsung tidak menghormati PAS!

4. ANWAR PENGANUT FAHAMAN PLURALISMA?

Para muktamirin wajib mendapatkan pengesahan dan pengakuan terbuka daripada Anwar, manusia yang ditabal bininya sebagai anugerah tuhan bahawa dia menolak fahaman pluralisma. Buktinya, dalam ucapan di London School of Economics pada 18.03.2010 (sila rujuk http://anwaribrahimblog.com/2010/03/22/public-lecture-by-anwar-ibrahim-at-the-london-school-of-economics-march-18-2010/), Anwar berkata,

"saya percaya bahawa saya bukan keseorangan dalam membuat kenyataan bahawa untuk pluralisma agama berkembang subur dalam dunia yang terbahagi-bahagi sifatnya ini, maka adalah perkara yang tidak boleh diterima dari segi moral untuk seseorang itu berkata kepada orang lain yang mempunyai kepercayaan lain daripadanya "kami beriman dengan Tuhan kami dan kami percaya kami benar, kamu percaya kepada tuhan kamu, tetapi kepercayaan kamu tidak betul".

"Kitab agama sikh Guru Granth Sahab memberitahu bahawa orang yang mampu melihat semua jalan-jalan kerohanian membawa kepada Yang Satu akan menjadi bebas merdeka, tetapi orang yang menyatakan kepalsuan akan jatuh terbakar kedalam api neraka. Orang yang berbahagia ialah orang yang disucikan dalam nikmat kebenaran".

Kenyataan ini bercanggah sama sekali dengan Surah Al Kaafirun, dan firman ALLAH bahawa "sesungguhnya Aku yang mengutus Muhammad dengan agama Islam yang benar dan haq, dimenangkan diatas agama lain, walaupun tidak disukai oleh musyrikin (dan kaafirun)".

Sebaliknya kenyataan Anwar diatas jelas membawa implikasi dan kesan bahawa aqidah dan fahaman umat Islam yang menegaskan agama Islam itu benar , bahawa agama lain itu salah dan batil adalah salah dan tidak benar. Malah Anwar berkata orang berfahaman saperti itu akan dibakar oleh api neraka!!! Na'uzubillah min zalik.

Persoalan besar yang perlu dibahas dan dikupas oleh para muktamirin, adakah PAS bersedia bersekongkol dan menjadikan penganut fahaman pluralisma saperti ini sebagai pemimpin, dan Perdana Menteri? Oleh itu sangat penting, malahan mejadi sesuatu yang wajib bagi para muktamirin untuk mendapatkan pengesahan terbuka Anwar mengenai fahaman pluralisma yang di anutinya. Jika ianya benar, maka wajiblah para muktamirin mengusulkan supaya PAS bermufaraqah daripada pemimpin saperti ini; yang bukan sahaja bergelumang dengan permasaalahan akhlak, malah aqidahnya mungkin boleh dipersoalkan. Kerana kata para ulama', penganut fahaman pluralisma ini jika tidak bertaubat adalah sesat dan murtad!

5. KARPAL SINGH: LANGKAH MAYAT DULU

Para muktamirin perlu mendapatkan pengesahan dan komitmen terbuka Karpal Singh bahawa dia sudah membuang prinsip "langkah mayat saya dulu" jika PAS mahu menubuhkan sebuah negara Islam, bahawa beliau tidak menentang perjuangan PAS hendak mendirikan sebuah negara Islam dan melaksanakan syariat Islam jika Pakatan pembangkang menjadi Kerajaan Persekutuan. Janganlah para muktamirin lupa perisytiharan terbuka Karpal Singh bahawa "langkah mayat saya dulu" kalau PAS berangan nak menubuhkan daulah Islamiyyah dan melaksanakan hudud, qisas & ta'zir. Janganlah para muktamirin terpedaya dengan kelentong menyatakan itu bukan isu besar. Teman cukup yakin akan ada nanti kenyataan yang menyatakan PAS perlu fokus kepada memenangi pilihanraya umum dahulu, baru kita bercakap tentang negara Islam dan perlaksanaan syariat. Prinsip menang dulu balah kemudian wajib ditolak oleh para muktamirin. Fakta-fakta yang teman sebut diatas jelas membuktikan bahawa selepas menang pilihanraya, suara dan pendirian PAS memang langsung tidak akan dihormati. Silap-silap berbincang dengan PAS pun tidak akan dilakukan!

6. KITSIANG TIMBALAN PERDANA MENTERI

Adakah para muktamirin sedar bahawa jika PR memerintah bapak cauvinis dan extremis bernama Lim Kit Siang akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kalau tak percaya, cuba mintak manusia yang ditabal bininya sebagai anugerah tuhan itu supaya menafikan secara terbuka Kitsiang tidak akan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Pastikan Anwar buat penafian terbuka yop, kalau tidak nanti dengan PAS dia temberang lain, dengan DAP dia kelentong lain! Jangan biarkan Anwar & Kitsiang berdolak-dalik dan memutar kata perlantikan itu bukan menjadi isu kerana yang penting menang dulu, fokus kepada pilihanraya dan lain-lain. Itu semua temberang dan kelentong sahaja. Pastikan Anwar & Kitsiang secara terbuka diatas pentas memberi komitmen dan pengesahan itu. Biar satu dunia dengar, sebab memang trick Anwar dia akan bisik lain pada kita, dan cakap lain pada orang lain. Jangan nanti bila dah berlaku baru tersedar kita dah kena kencing dengan Anwar & Kitsiang!

7. KARPAL LOYER ANWAR?

Juga para muktamirin wajib mendapatkan pengesahan terbuka dan komitmen jelas daripada Karpal Singh, Pengerusi DAP, apa rancangan dan agenda dia dalam beriya-iya membela manusia yang ditabal bininya sebagai anugerah tuhan ini? Sebab dialah orangnya didalam Parlimen empat belas tahun lepas pada 22.10.1997 mendedahkan punya bukti dokumen Anwar meliwat kaikitangannya (Azizan) dan mendesak Kerajaan supaya menyiasat Anwar segera. Karpal juga orangnya yang mendedahkan dalam satu ucapan di Federal Hotel Kuala Lumpur bahawa dia punya bukti Anwar telah meliwat Azizan. Karpal jugalah orangnya yang bertemu dengan Umi Hafilda dan Azizan dan menjadi peguam menasihati mereka. Karpal jugalah orang yang mendesak Anwar bertaubat dan meletak jawatan apabila pembohongan 16 Sept 2008 terbongkar. Jadi dapatkan penjelasan secara terbuka daripada Karpal apa agenda beliau sebenarnya. Adakah ini taktik untuk meletakkan Anwar didalam genggaman DAP, sentiasa tunduk kepada kehendak DAP, kata orang Perak "selagi dapat picit teloq Anwar, selagi itu dia akan ikut rentak DAP!". Kerana PAS sebagai parti berteraskan Islam sudah tentu tidak mahu ada diantara pemimpin sekongkolan mereka terpalit dengan pertuduhan jijik saperti itu;

Teman boleh bariskan banyak lagi perkara yang wajib dan perlu dibahas dan dikupas oleh para muktamirin bagi Muktamar Agong ke 57 ini. Ini belum lagi kita membincangkan isu videoklip yang didedahkan oleh rakan baik Anwar sendiri Datuk Eskay. Cuma teman berharap jangan ada para muktamirin yang terpedaya dengan kompangan ini adalah isu qazaf. Sebenarnya ini langsung tidak ada kena mengena dengan isu qazaf, sebab tiada siapa pun yang menuduh Anwar berzina. Datuk Eskay cuma menyatakan bahawa beliau punya bukti berbentuk videoklip yang rakan baiknya Anwar tidak layak menjadi pemimpin. Takkan itu termasuk dalam qazaf yop? Isu videoklip ini sengaja diputarbelitkan sebagai isu qazaf sebab hendak menutup kebenaran yang sudah begitu jelas!

Dan teman cukup yakin, jika sesiapa juga yang mempunyai sedikit keimanan dan ketaqwaan, bila menjawab soalan-soalan diatas, pasti akan terbuka dihati dan jiwanya bahawa tiada sebarang rumusan lain selain daripada menegaskan bahawa PAS wajib mufaraqah daripada Pakatan pembangkang, dan berjuang sendiri diatas platform Islam berdasarkan Al Quran dan Sunnah. Sesiapa juga para muktamirin yang melihat dengan mata keimanan akan dapat melihat dengan jelas bahawa pakatan pembangkang yang ada ini adalah satu pakatan songsang..dalam erti kata lain, ianya satu PALUT: Pakatan Luar Tabi'e yang akan memusnahkan dan merosakkan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Ingatlah pesan seorang ulama' besar bahawa Islam huwal Islam, Islam itu Islam, ia berdiri sendiri, tidak bergantung dengan sesiapa kecuali ALLAH 'azzawajal.

Semoga Muktamar Agong ke 57 ini memberi kekuatan dan keberanian untuk para muktamirin dan ahli akar umbi PAS untuk melakukan perubahan besar, untuk melakukan hijrah aqidah, untuk kembali kepada perjuangan Islam yang berteraskan Al Quran & Sunnah. Kalau pejuang dahulu boleh berjuang selama 50 tahun bersendirian, mengapa pula para pejuang hari ini berasa ragu dan was-was. Semoga semangat bulan Rejab memberi nafas baru kepada para muktamirin sekelian.

Wallahua'lam & Wassalam.

Adios amigos. Selamat bermuktamar. Grasias dan salam.


SOKONGLAH KEPIMPINAN ULAMA'


SAY NO TO ANWARINAS

TOLAK PAKATAN LUAR TABI'E



Zulkifli Bin Noordin
Selasa
27 Jamadil Akhir 1432
31 Mei 2011

5 comments:

keju said...

SALAM SEMUA,

HMM... DAH TAKDE APA NAK DIKOMEN, SEMUANYA DAH TERANG, SULUH PUN SUDAH, NAK TUNGGU APA LAGI? TUNGGU BULAN JATUH KE RIBA? PARAH YOP KALAU BULAN JATUH KE RIBA. PUNGGUK PUN TAU TERBANG LARI KALAU BULAN NAK JATUH YOP.

rohdijasad said...

Yang ikhlas dan terbaik!!

Ummati said...

PAS sebenarnya memang tak layak mengaku memperjuangkan Islam. Allah Taala dah tunjukkan dengan jelas muka sebenar parti PAS iaitu hanya hendak berkuasa dan pangkat.

Sedangkan kuasa dan pangkat tiada dalam perhatian Baginda Nabi Muhammad S.A.W semasa hayat Baginda dan kuasa dan pangkat hanya datang kepada Sahabat2 Baginda disebabkan mereka telah menunaikan janji Allah kerana mereka beriman dengan sebenar-benarnya.

Pernah ditawarkan sebagai ketua Arab Quraish pun Baginda Nabi S.A.W tidak mahu.

Sebenarnya jawatan ketua atau pemerintah ini semata-mata hak Allah Taala dan kita manusia sepatutnya tidak berebut-rebut seperti yang diajarkan oleh Islam.

Manakala yang mengajarkan kita supaya berebut-rebut kuasa dan jawatan ini adalah tak lain adalah Yahudi dan Nasrani yang kita mohon Allah supaya dijauhkan tak kurang 17 kali sehari dalam surah Al-Fatihah.

Minta maaf la sekiranya menyinggung mana-mana pihak. Tetapi cubalah kita buka minda dan renung kenapa umat Islam bertelagah dan berpecah tak sudah-sudah?

Inilah perancangan Yahudi dan Nasrani secara halus dengan mewujudkan puak-puak dalam Islam seperti wujudnya puak-puak zaman Jahiliyah sebelum Nabi Muhammad S.A.W menyatukan mereka hanya kepada 2 golongan iaitu Muhajirin dan Ansar.

Wallahu’alam

hujan said...

Saya teramat pelik manusia didunia ini begitu taksub dengan pemimpin mereka tidak kira samada di pihak kerajaan atau pembangkang. Sehinggakan, sanggup berbaring di atas jalanraya bagi menghalang pemimpin kerajaan bergerak seperti di negeri Perak, sedangkan pemimpin2 ini belum tahu masa depan mereka di akhirat kelak dan sesungguhnya mereka ini tidak boleh memberi syafaat kepada kita di sana nanti. Seperkara lagi, pemimpin dan rakyat seperti cinta yang tidak berbalas dimana apabila pilihanraya YB-YB memohon cinta rakyat tetapi apabila rakyat memberi cintanya dan akhirnya cinta ini akan dilupakan (apabila dia menang). Bermakna ini satu hubungan yang tidak bagus. Adakah YB-YB kenal setiap nama, keluarga, latarbelakang rakyat di kawasannya? So, pikir2kan lah tak payah la nak beriya-iya sampai nak mempertaruhkan diri untuk menaikan mereka. YB Tuan Guru Nik Aziz pun takkan beri apa-apa ke kita di akhirat kelak nanti.

penduduk serendah said...

Saya setuju dengan Saudara Zulkifli. Saya YAKIN DAP ada cukup bukti tentang kes liwat DSAI dan juga kemungkinan ada beberapa VIDEO TAPE LUCAH DSAI.

Saya adalah bekas tentera dan fasih tentang cara PERISIKAN. DAP ada cukup bahan untuk BLACKMAIL DSAI dan sebab itu mereka sokong dan akan lantik DSAI jadi PM.

Kalau berlaku ini HABIS LAH kita dikuasai olih DAP.