25 June 2013

PENDEDAHAN JUSUF KALLA

 
Wawancara eksklusif mantan Timbalan Presiden Indonesia Jusuf Kalla dengan Ketua Editor Merdeka-Online di Jakarta pada 01 Jun 2013 lepas

 Salam 2 all.

Teman begitu tertarik dengan wawancara eksklusif antara mantan Wakil Presiden (Wapres) atau Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla (JK) dengan Ketua Editor Merdeka-Online (MO) saperti yang disiarkan di laman web www.merdeka-online.com pada 01 Jun 2013.

Selain mendedahkan sikap Anwar yang mengkhianati perjanjian yang ditandatangani dengan Jusuf Kalla untuk menerima keputusan PRU-13 secara baik, ada beberapa perkara yang didedahkan oleh Jusuf Kalla yang perlu diberi perhatian serius.

Pendedahan itu bukan sahaja mengenai pengkhianatan perjanjian damai oleh Anwar dengan Jusuf Kalla, malah yang lebih serius ialah elemen sabotaj, pengkhianatan, penderhakaan dan pencabulan terhadap kemerdekaan dan kedaulatan negara ini!

1. Jusuf Kalla mendedahkan bagaimana "dalam pencerobohan Lahad Datu, saya juga tahu ada campurtangan dari orang-orang tertentu di Filipina, kawan-kawan Anwar saperti Joseph Estrada dan sebuah syarikat besar di Filipina memberi sokongan kewangan dalam kes pencerobohan di Lahad Datu. Tujuan mereka satu sahaja iaitu untuk melemahkan Kerajaan Malaysia, dimana mereka yang menceroboh itu mahu menunjukkan kepada dunia luar bahawa Kerajaan Malaysia lemah dan gagal menangani isu tersebut";

2. Jusuf Kalla juga mendedahkan bagaimana "baru-baru ini Presiden Susilo menelefon saya bertanyakan mengenai panggilan telefon dari 'Polis Washington' supaya Presiden Susilo menerima permintaan Anwar untuk bertemu dengannya. Saya memberitahu Presiden Susilo supaya tidak tunduk kepada tekanan Washington dan tidak kena dengan peraturan kenegaraan untuk menerima permintaan Anwar kerana Anwar hanya pembangkang bukan Perdana Menteri. Ini bermakna saya sangat yakin, bahawa ada elemen Washington dalam urusan campurtangan kuasa luar dalam politik negara Malaysia. Anda perlu terus menyiasat perkara ini".

Kedua-dua fakta diatas mendedahkan sesuatu yang boleh diklasifikasikan sebagai perbuatan 'sabotaj, pengkhianatan, penderhakaan dan pencabulan' terhadap negara kita Malaysia!!!

Oleh itu teman mendesak supaya pihak berkuasa segera menjalankan siasatan terperinci mengenai pendedahan oleh Jusuf Kalla. Beliau bukan sebarang orang. Beliau adalah rakan baik Anwar Ibrahim; beliau adalah bekas Naib Presiden Indonesia.

Pendedahan beliau tidak patut diambil ringan oleh pihak berkuasa Malaysia!

Ya ALLAH selamatkanlah negara kami Malaysia daripada pengkhianatan dan penderhakaan oleh Si-Kitol Puaka Durjana!

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
16 Sya'ban 1434
25 Jun 2013

******************************************
Petikan wawancara saperti yang disiarkan oleh lamanweb www.merdeka-online.com
 
Nama bapak Jusuf Kalla (JK), mantan Naib Presiden Indonesia menjadi penting di Malaysia kerana peranan persahabatannya dalam PRU13 baru-baru ini. Ramai rakyat Malaysia terkejut bagaimana beliau tiba-tiba muncul dalam kancah politik Malaysia. Ikuti perbualan eksklusif saya dengan bapak Jusuf Kalla di Jakarta baru-baru ini yang turut memperkatakan pelbagai isu sampingan.

Sebagai Ketua Editor Merdeka-Online, sebuah portal baru yang saya usahakan dengan matlamat rakyat Malaysia boleh meresapi jiwa merdeka dengan semangat “a sense of belonging“. Baru-baru ini, pada 1 Jun 2013 saya berkunjung ke rumah bapak Jusuf Kalla, di Jakarta, Indonesia dengan niat untuk bertemu bapak Jusuf Kalla sekiranya beliau boleh ditemuramah. Alhamdulillah, bukan sahaja saya diterima dengan baik oleh bapak Jusuf kalla, tetapi saya turut dapat berbicara pelbagai hal khususnya mengenai Pilihanraya Umum Ke-13 di Malaysia. Ikuti sedutan soal-jawab saya dengan bapak Jusuf kalla.

MO: Assalamualaikum dan terima kasih saya ucap kepada Bapak atas kesudian menerima kehadiran saya.

JK: Waalaikum Salam warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

MO: Saya ingin menyatakan perasaan teruja atas peranan bapak dalam hal, kalau bisa disebut perdamaian semasa Pilihanraya Umum di Malaysia baru-baru ini. Saya dapati rata-rata rakyat Malaysia masih tertanya-tanya bagaimana bapak tiba-tiba bisa muncul dalam hal ini?

JK: Sebetulnya, saya ingin jelaskan bahawa bapak Anwar bertemu saya sebanyak 3 kali. Pertamanya pada bulan Mac, 2013 di rumah ini juga dia datang pada malam hari. Ketika itu, hadir bersama dua ahli Parlimen Indoneisa iaitu Yusril Ihza Mahendra dan Fahmi Idris.

Saya lihat, pada ketika itu, Anwar terlalu yakin akan menang Pilihanraya di Malaysia, kerana katanya di mana-mana dia pergi sambutannya cukup luar biasa.

Jadi Anwar mahu saya jadi perantaraan kepada bapak Najib, karena hubungan saya dengan kedua-dua mereka ini sangat baik, maka atas dasar persahabatan saya menerima. Bukan saya mahu masuk campur dalam urusan negara Malaysia, saya menerima urusan ini sebagai urusan persahabatan saya.

MO: Barangkali bapa bisa jelaskan apakah permintaan bapak Anwar semasa pertemuan dengan bapak tempohari?

JK:  Anwar memang ada membuat beberapa permintaan supaya saya bisa sampaikan kepada bapak Najib. Pertamanya, Anwar mahu agar supaya bapak Najib menerima ketetapan bahawa sesiapa yang kalah hendaklah menerima kekalahan itu. Dan yang kalah juga hendaklah mengucapkan selamat berjaya kepada yang menang, dan yang kalah itu kalau bisa disesuaikan dalam pentadbiran kerajaan yang baru.

Jadi, saya terbang ke Kuala Lumpur dan menyampaikan permintaan-permintaan Anwar itu dan bapak Najib mendengar dengan baik.

Saya lihat bapak Najib seorang yang berjiwa besar, mendengar dengan baik segala permintaan Anwar tetapi bapak Najib juga mempunyai keyakinan yang tinggi akan menang Pilihanraya itu.

MO: Bagaimana tentang hal perjanjian, kerana di Malaysia heboh kononnya ada surat perjanjian antara Anwar dengan bapak Najib?

JK: Anwar memang ada membuat perjanjian bertulis. Anwar yang membuatnya, jadi semasa Anwar datang ke rumah saya, Anwar mahu supaya bapak Najib menurunkan tandatangan dalam perjanjian itu.
Anwar sangat konfiden akan menang. Di dalam mindanya dia sudah bayangkan dia Perdana Menteri. Jadi, saya kata kepada Anwar ok, kalau kamu kalah kamu juga harus menerima kekalahan kamu. Anwar bersetuju, jadi saya tandatangan dan Anwar juga tandatangan.

Apabila saya terbang ke Kuala Lumpur, saya bawa hal surat perjanjian ini kepada bapak Najib, saya melihat bapak Najib tidak ada masalah melihat perjanjian itu, tapi bapak Najib mengambil keputusan tidak menurunkan tandatangan. Saya tidak bisa memaksa.

Jadi saya balik semula kepada Anwar, saya beritahu kepada Anwar bahawa bapak Najib tidak turunkan tandatangan tetapi saya mahu kamu (Anwar) percaya kepada my mouth (mulut saya) bahawa bapak Najib tidak ada halangan dengan permintaan kamu (Anwar) itu. Maknanya, sesiapa yang kalah harus menerima kekalahan dengan hati yang terbuka (gentleman).

Inilah gentleman’s agreement antara saya dengan bapak Najib. Akhirnya Anwar bersetuju dalam isu bapak Najib tidak turunkan tandatangan karena Anwar mempercayai cakap saya.

Malangnya, selepas keputusan Pilihanraya, Anwar mungkir janji dan tidak komited kepada perjanjian itu sendiri. Itu sebab saya marah kepada Anwar dan kawan-kawan Anwar di Jakarta turut marah kepadanya kerana Anwar mungkir janji dan tidak komited. Asean Wall Street Journal menghub ungi saya bertanya apakah benar Anwar tidak komted. Saya beritahu mereka ya, benar Anwar memang tidak komited.

Saya tidak akan hubungi Anwar, biar dia tahu kami(Yusril, Fatmi dan teman-teman yang lain) marah kepadanya.

ISU PENIPUAN PILIHANRAYA

MO: Apa alasan Anwar tidak mahu menerima kekalahannya, mungkir janji dan tidak komited?

JK: Anwar menuduh berlaku penipuan, antaranya soal dakwat kekal. Jadi saya marah Anwar, saya kata kamu bilang dakwat itu tidak kekal, itu kamu lihat di jari kamu masih ada bekas dakwat kekal belum hilang (sambil bapak Jusuf Kalla memegang jari Anwar yang masih ada bekas dakwat).

Kemudian Anwar bangkitkan pengundi Bangladesh. Saya bilang sama Anwar, tak kan orang Malaysia tidak boleh membezakan percakapan, bahasa, budaya dan gaya orang Bangladesh. Tidak mungkin berpuluh ribu orang Bangladesh boleh dibawa masuk ke Malaysia dan menjadi pengundi. Ini tidak masuk akal.
Tapi, Anwar tetap tidak mahu menerima keputusan dan dia tetap dengan egonya.

MO: Anwar kata dia menang kerana undi popular dia lebih banyak daripada bapak Najib?

JK: Saya beritahu Anwar, kamu berada di Malaysia bukannya di Indonesia. Kalau kamu (Anwar) bertanding di Indonesia kamu sudah jadi Presiden Indonesia. Tapi di Malaysia sistemnya lain, kemenangannya dikira melalui sistem undi electoral, yang mana partai yang menang akan membentuk kerajaan dan melantik Perdana Menteri.

Malangnya Anwar ini ego, imaginasinya sangat melampau-lampau, dia tetap mahu jadi Perdana Menteri. Saya bilang kepada Anwar, “Kamu sudah gila?” mana mungkin kamu (Anwar) menjadi Perdana Menteri sedangkan kamu hanya menang 89 kerusi parlimen walhal bapak Najib menang 133. Tolong beri saya jawapan atas dasar apa kamu boleh jadi Perdana Menteri kerana kamu sendiri tahu kamu hanya menang 89 walhal bapak Najib menang 133.

Kami bertengkar dan akhirnya Anwar berfikir juga. Kemudian, kami juga berbicara tentang masa depannya dan masa depan Nurul Izzah. Saya bercakap tentang Menteri Penuh, Anwar meminta masa berfikir tentang perkara itu.

Kesilapan Anwar ialah dia sudah dua kali mengumumkan mahu bersara jika tewas dalam Pilihanraya, malangnya Anwar tidak pernah komited kepada janji-janjinya.

HIMPUNAN BLACK OUT 505

MO: Anwar kini sedang mengadakan himpunan Black Out 505 di seluruh negara sebagai bantahan ke atas keputusan Pilihanraya Umum baru-baru ini. Bagaimana bapak melihat perkara ini?

JK: Pertama saya mahu beritahu bahawa saya mengetahui Anwar dibantu oleh beberapa pihak khususnya dari Turki, Washington, Filipina, dan mungkin juga di negara Thai dan China, itu kamu kena selidiki.  Pemberi dana yang besar itu dari sebuah syarikat besar di Filipina, dan sedikit-sedikit dari Turki untuk membantu aktiviti himpunan bantahan itu. Mereka tidak boleh menyembunyikan diri mereka kerana mereka adalah rakan-rakan bisnes yang kita ketahui siapa mereka.

Isunya untuk apa membuat himpunan tersebut jika ianya hanya memberi keuntungan kepada musuh-musuh Islam dan orang Melayu. Saya sendiri bertanya kepada Anwar, apakah kamu boleh mengontrol (mengawal) parti DAP? Anwar terdiam dan Anwar tidak dapat memberi jawapan dengan jelas, ternyata Anwar punya masalah dan kepayahan untuk mengawal ahli-ahli parlimen dari parti lain.

Makanya, saya sendiri berfikiran tindakan Anwar mengadakan himpunan Black Out 505 itu hanya sia-sia sahaja, melainkan hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja iaitu musuh-musuh Islam.

PERTEMUAN SUSILO & ELEMEN WASHINGTON

JK: Baru-baru ini Presiden Susilo menelefon saya bertanyakan mengenai panggilan telefon dari “Polis Washington” supaya Presiden Susilo menerima permintaan Anwar untuk bertemu dengannya. Saya memberitahu Presiden Susilo supaya tidak tunduk kepada tekanan Washington dan tidak kena dengan peraturan kenegaraan untuk menerima permintaan Anwar kerana Anwar hanya pembangkang bukan Perdana Menteri. Ini bermakna, saya sangat yakin, bahawa ada elemen Washington dalam urusan campurtangan kuasa luar dalam politik negara Malaysia. Anda perlu terus menyiasat perkara ini.
 
ISU PENCEROBOHAN LAHAD DATU


JK: Dalam kes pencerobohan Lahad Datu, saya juga tahu bahawa ada campurtangan dari orang-orang tertentu di Filipina, kawan-kawan Anwar seperti Joseph Estrada dan sebuah syarikat besar di Filipina memberi sokongan kewangan dalam kes pencerobohan di Lahad Datu.


Tujuan mereka satu sahaja iaitu untuk melemahkan kerajaan Malaysia, di mana mereka yang menceroboh itu mahu menunjukkan kepada dunia luar bahawa kerajaan Malaysia lemah dan gagal menangani isu tersebut.


MO: Saya ucap terimakasih kepada bapak atas kesudian bapak menerima kehadiran saya dan seterusnya berbicara tentang isu penting ini. Saya sangat hargai dan saya berharap rakyat Malaysia boleh melihat peranan bapak yang mulia ini khususnya kedua-duanya adalah sahabat baik bapak.

JK: Terima kasih.

 
Jakarta, Indonesia, 
1 Jun 2013

No comments: