27 November 2014

WARISAN AKTA HASUTAN - TAHNIAH DS NAJIB!

Apabila ditanya Najib tidakkah beliau khuatir risiko boleh terkorban jika meneruskan lawatan ke Gaza, Falastin bersama seluruh keluarga, Najib menjawab, 'kalau ditakdirkan saya mati diGaza, alhamdulillah saya rela mati dibumi Gaza ini'*
Salam 2 all.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Presiden UMNO YAB Dato' Sri Najib yang mengumumkan didalam ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agong UMNO pagi tadi bahawa Akta Hasutan 1948 bukan sahaja akan dikekalkan, malahan akan dibuat penambah-baikan terutama berkaitan melindungi agama Islam dan lain-lain agama!

Syabas dan tahniah!

Ini adalah bukti bahawa Dato' Sri Najib adalah seorang yang amanah dengan kata-janjinya iaitu akan mendengar suara hati dan nurani rakyat bawahan. Dan suara rakyat khususnya bangsa Melayu samada melalui indivdu mahupun pertubuhan sangat jelas - mereka mahu Akta Hasutan dikekalkan dan dibuat penambah-baikan!

Dengan pengumuman ini juga sebenarnya Dato' Sri Najib telah mengekalkan amal jariah dan warisan peninggalan Allahyarham ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein.

Sebenarnya mungkin ramai yang tidak tahu bahawa walaupun Akta Hasutan 1948 adalah buatan penjajah British, namun Seksyen 3 (1) (f) yang melindungi empat teras tiang seri negara digubal hanya pada 10 Ogos 1970 oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.

Penggubalan Seksyen 3 (1) (f) dibuat melalui Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Khas) No. 45, 1970 (P.U. (A) 282/1970) oleh Allahyarham Tun Abdul Razak setelah berlakunya peristiwa berdarah rusuhan perkauman 13 Mei 1969.

Semasa membentangkan Lapuran Mageran pada 06 Okt 1969, Allahyarham Tun Abdul Razak mengenal pasti punca berlakunya peristiwa hitam 13 Mei adalah kerana perbuatan terkutuk kaum cauvinis dan pelampau perkauman memainkan isu dan sentimen mempersoalkan hak dan kedudukan istimewa orang Melayu terutamanya Artikel 153 Perlembagaan, disamping tohmahan dan fitnah konon kaum Cina dipinggirkan!

Atas sebab itu, Allahyarham Tun Abdul Razak bukan sahaja mengekalkan Akta Hasutan 1948, malahan membuat penambah-baikan dengan memasukkan Seksyen 3 (1) (f) yang memperuntukkan:

"bahawa ‘kecenderungan menghasut – seditious tendency itu adalah apabila ada mana-mana pihak cuba mempersoalkan apa-apa perkara, hak, status, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif mana-mana perkara berikut iaitu:

1. Bahagian 3 – perkara berkaitan kewarganegaraan;

2. Perkara 152 – kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan;

3. Perkara 153 – kedudukan hak istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah & Sarawak termasuk perezapan kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya;

4. Perkara 181 – kedaulatan, kekuasaan, kedudukan dan keistimewaan Raja-Raja Melayu".
 
Terbukti apa yang dilakukan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak membuahkan hasil apabila negara menjadi aman selepas itu dengan penguatkuasaan Akta Hasutan; malah Tun Abdul Razak kemudiannya berjaya membangunkan negara dalam tempoh 3 tahun pemerintahan singkatnya dengan pelbagai dasar yang berjaya mengimbangkan jurang perbezaan ekonomi antara kaum khususnya melalui Dasar Ekonomi Baru.
 
Walaupun Allahyarham Tun Abdul Razak menghadapi kemelut politik yang serius dengan ketewasan beberapa kerusi utama dalam PRU 1969 dengan tumbangnya Pulau Pinang dan Selangor juga hampir kecundang gara-gara mainan politik sempit dan kotor kaum cauvinis dan pelampau perkauman yang meniupkan api perkauman sehingga kaum cina hampir menolak Parti Perikatan, namun keazaman politik memberi kekuatan kepada Allahyarham untuk menentang politik cauvinis dan perkauman ini dan beliau berjaya meneraju negara kearah kecemerlangan yang dikecapi sehingga ke hari ini - walaupun hayat pemerintahan beliau cuma tiga tahun.

Legasi itu kini diteruskan oleh anakanda Allahyarham iaitu Dato' Sri Najib.

Sebenarnya tanpa Dato' Sri Najib sedar, beliau telah meneruskan amal jariah Allahyarham ayahandanya kepada umat Islam, bangsa dan negara ini.

Sesuai dengan sabda Rasulullah saw bahawa "tidak mati seorang anak Adam kecuali putuslah segala amalnya kecuali anak yang soleh yang mendoakannya, ilmu yang ditinggalkan dan dimenafaatkan, dan amal jariahnya".

Legasi Seksyen 3 (1) (f) dan kesinambungan Akta Hasutan adalah amal jariah bagi Allahyarham Tun Abdul Razak, dan kini diteruskan oleh anakandanya. Semoga ianya dijadikan Allah sebagai suatu ibadah dan amal jariah kepada Allahyarham Tun Abdul Razak! Amin dan Al-Fatihah.

Dan sebagaimana yang dilakukan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak yang berjaya menambah-baik Akta Hasutan untuk melindungi bangsa Melayu dan hak keistimewaannya, maka saya mencadangkan supaya Dato' Sri Najib melakukan penambah-baikan kepada Akta Hasutan dengan memperkasa dan melindungi agama Islam dengan cadangan berikut: 
 
1. meminda Seksyen 3 (1) (f) Akta Hasutan dengan memasukkan peruntukkan tambahan seperti berikut iaitu:
 
Seksyen 3 (1) (f) memperuntukkan bahawa ‘kecenderungan menghasut (seditious tendency) itu adalah apabila ada mana-mana pihak cuba mempersoalkan apa-apa perkara, hak, status, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif mana-mana perkara berikut iaitu (kekalkan yang sedia ada) termasuk: 
 
Perkara 3 (Islam agama Persekutuan), Perkara 8 (4) (c) (kedudukan orang asli), Perkara 8 (4) (f) (kedudukan Rejimen Askar Melayu DiRaja), Perkara 11 (4) (penyebaran agama bukan Islam), Perkara 12 (peruntukkan dana bagi institusi Islam), Perkara 121 (1A) (bidangkuasa Mahkamah Syariah), Jadual 9 Senarai II (bidangkuasa Dewan Undangan Negeri dan Mahkamah Syariah dalam hal ehwal Islam) , dan mana-mana undang-undang atau enakmen yang diperbuat dibawahnya”;  
 
2. meminda Seksyen 114 (g) Akta Keterangan dengan peruntukkan ‘Mahkamah hendaklah membuat andaian/rumusan bahawa adalah merupakan satu perbuatan menghasut menurut peruntukkan dibawah Akta Hasutan jika ada mana-mana pihak yang cuba mempersoal, mempertikai dan/atau menghina apa-apa perkara, hak, status, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif berkaitan Bahagian 3, Perkara 152, Perkara 153, Perkara 181, Perkara 3, Perkara 8 (4) (c), Perkara 8 (4) (f), Perkara 11 (4), Perkara 12, Perkara 121 (1A) dan/atau Jadual 9 Senarai II Perlembagaan Persekutuan dan mana-mana undang-undang atau enakmen yang diperbuat dibawahnya”; 
 
3. meminda hukuman bagi sabitan kesalahan dibawah Seksyen 3 (1) (f) Akta Hasutan dengan ‘hukuman penjara mandatori tidak kurang 5 tahun dan tidak melebihi 25 tahun' bagi sabitan kesalahan dibawah Seksyen 3 (1) (f) Akta Hasutan. 
 
4. Dan bagi memperkasa, memelihara dan melindungi Akta Hasutan serta peruntukkan yang dibuat dibawahnya, saya mencadangkan supaya peruntukkan berikut dimasukkan iaitu:

"memperuntukkan bahawa ‘kecenderungan menghasut (seditious tendency) itu adalah termasuk apabila ada mana-mana pihak cuba mempersoalkan keujudan, kedudukan, hak, status, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif Akta ini atau mana-mana peruntukkan didalam Akta ini”.

5. Dan bagi memastikan keujudan, status dan kedudukan Akta Hasutan tidak lagi diganggu gugat atau dicabar dimasa akan datang, saya sarankan peruntukkan seperti berikut dimasukkan iaitu:

Tanpa mengambil kira mana-mana undang yang bertentangan dengannya, dan mengambilkira Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan, adalah diperuntukkan bahawa Akta Hasutan, atau mana-mana peruntukkan atau bahagian didalamnya termasuk Seksyen ini tidak boleh dipinda, dimansuh, dibatalkan atau dilakukan apa juga perkara yang boleh menyebabkan ianya tidak boleh dilaksanakan atau dikuatkuasakan samada oleh Parlimen, DUN ataupun Mahkamah  tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja”.

Saya percaya dengan penambah-baikan seperti yang dicadangkan diatas, Akta Hasutan bukan sahaja akan terus dikekalkan, malahan legasinya akan memastikan kesinambungan keharmonian dan keamanan yang telah dikecapi oleh rakyat dan negara ini selama ini.

Tahniah dan syabas sekali lagi kepada YAB Dato’ Sri Najib!

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
04 Safar 1436
27 Nov 2014

*Bersama YAB Dato' Sri Najib Tun Razak dalam lawatan bersejarah ke Gaza, Falastin pada 23 Januari 2013. Dato' Sri Najib sedang berucap di Pintu Rafah bersama Sheikh Ismael Haniyah, Perdana Menteri Falastin-Gaza.

No comments: