12 September 2013

SURAT TERBUKA IMCA KEPADA KRISTIAN

IMCA-shaikhkareemPersatuan Pengguna Islam Sedunia (IMCA) adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang didaftarkan di Malaysia dan mempunyai majlis NGO Islam dari seluruh dunia.

Kami merujuk kepada laporan yang disiarkan dalam akhbar The Star Jumaat 23 Ogos 2013, yang mengandungi kenyataan Cik Ratna Osman yang mewakili SIS Forum Berhad .

Dalam ulasannya mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan pihak gereja, beliau berhujah bahawa Malaysia satu-satunya negara di dunia yang tidak membenarkan penggunaan nama Allah oleh agama selain daripada Islam. Kami ingin menegaskan bahawa kenyataan beliau sama sekali tidak benar. Antara lainnya, Brunei dan Arab Saudi juga mempunyai larangan sebegini. Sebagai sebuah organisasi antarabangsa yang bertanggungjawab, IMCA berasa bimbang akan desakan badan-badan gereja Malaysia untuk menggunakan nama tertinggi Islam untuk Tuhan Maha Kuasa, Allah.

Kami ingin bertanya apakah motivasi Majlis Gereja Malaysia (CCM), Persekutuan Krisitan Malaysia dan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) berbuat demikian? Adakah ianya untuk menyatakan fakta kebenaran  yang  mereka percaya, seperti yang  biasanya dilakukan oleh orang-orang yang suka dan patuh kepada kebenaran, atau ada tujuan lain di sebalik langkah ini?

Kita mendapati antara lainnya, Gereja Yunani Ortodoks (Greek Orthodox Church) tidak bersetuju dengan penggunaan nama Allah sebegitu berdasarkan petikan berikut;

“Malangnya, kita terlalu kerap cuba untuk contextualize penyebaran Gospel kita sehinggakan menghakis nilai warisan kerohanian gereja. Penghakisan nilai warisan kerohanian gereja dalam penyebaran ajaran Kristus (Christ) mengurangkan potensi sebenar pengalaman rohani keseluruhannya”

(Gabriel Habib, Pengarah Yunani Ortodoks Majlis Kristian Timur Tengah dalam suratnya kepada para pemimpin Kristian;1987)

Umum diketahui penganut Kristian telah lama berusaha memurtadkan kaum Melayu sejak zaman Vasco de Gamma, Albuquerque dan St Francis Xavier namun tidak menemui kejayaan. Prof Mohamad Ajmal Al Aidrus memetik kenyataan G.E.Morrison(1957) dalam jurnal Muslim World(Jurnal Pengajian Islam  volum XLVII 298)

“Tanpa unsur Melayu, gereja di tanah ini akan sentiasa berketerampilan asing dan berunsur pendatang ; tanpa Melayu gereja tidak dapat menonjolkan unsur universal kepada semua; tanpa Melayu kita tidak lengkap dalam mengenengahkan kesempurnaan (ideal) perpaduan semua manusia di bawah Kristian.

Bukanlah pihak Gereja tidak berjaya langsung seperti yang kita lihat dalam kes Azlina Jailani (Lina Joy) dan Aishah Bokhari (Felicia). Prof Mohamed Ajmal Al Aidrus menanyakan “Adakah kelulusan penggunaan perkataan Allah itu salah satu peluang yang dinanti-nantikan oleh puak evangelis Krisitan? Adakah desakan ini untuk menarik dan mengundang segelintir orang Melayu Islam yang lemah keimanannya seperti yang dibuktikan dalam kes Azlina dan Aishah?

Pada ketika ini, adalah penting untuk kita menjelaskan penggunaan nama Allah dalam konteks Islam. Penjelasan yang paling tepat adalah dalam sebutan kalimah syahadah iaitu ‘La ilaha illlallah’, bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah. Perkataan Arab untuk tuhan ialah ilah dan nama Yang Maha Esa adalah Allah. Ia adalah suatu nama yang mana penggunaannya hanya merujuk kepada Yang Maha Esa yang wujud tanpa diwujudkan, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan. Allah bukan hanya sekadar perkataan, tetapi suatu nama yang diwahyukan bahawa Dia, Tuhan Semesta yang memberi nama Allah. Justeru, Ya Allah Ya Tuhanku membawa erti bahawa Allah merupakan kata nama khas yang tidak boleh diterjemahkan sama sekali.

Penggunaan nama Allah yang tidak memenuhi syarat lebih-lebih lagi apabila perkataan itu membawa maksud yang lain akan mencemari nama Allah dan tidak menghormati Yang Maha Esa, Tuhan segala makhluk kerana ianya adalah nama Nya. Ia juga tidak menghormati kepercayaan penganut yang menyanjungi kesucian nama itu. Pada pendapat kami, bagaimana kita memanggil Tuhan yang kita akui haruslah berdasarkan apa yang ditetapkan oleh Tuhan, bukannya mengikut pilihan sesuka hati.

Kami percaya bahawa setiap kepercayaan mempunyai konsep dan nama-nama yang berkait dengan konsep-konsep ketuhanan yang semestinya membawa pengertian yang selari dan bukannya bercanggah mahupun menimbulkan persoalan dalam mana-mana bahasa yang digunakan. Dalam apa jua agama, nama Tuhan adalah suci. Justeru itu, kepatuhan kepada nama-nama ini dalam bentuk asalnya harus menjadi amalan dalam penyebaran dakwah yang yang ikhlas dan benar.

Tidakkah keadaan haru-biru jika penganut Hindu memanggil Vishnu sebagai Jehovah, ataupun Kristian memanggil Bapa, Anak dan roh kudus sebagai Vishnu, Vishnu dan Vishnu (yang mana satu Vishnu atau ketiga-tiganya sekali Vishnu?) dan penganut Islam memanggil Tuhannya sebagai Dewa Buddha? Bagaimana pula jika orang Cina memanggil “Jesus” apabila menyembah Dewi Kuan Yin? Jika dipersoalkan hanya dari segi hak asasi manusia, setiap kumpulan mempunyai hak menggunakan apa jua nama yang mereka suka dan hak ini harus dihormati semata-mata atas dasar hak asasi.

Hujah bahawa ia adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan boleh juga digunapakai oleh semua golongan masyarakat. (Rev. Hermen Shastri, Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia bertegas “akan meneruskan amalan (menggunakan nama Allah) kerana ia adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 11) dan kita memanggil semua pihak menghormati hak itu.

Jika diikutkan sudut pandangan ‘hak’ semata-mata, sudah tentu keadaan menjadi porak-peranda.
J.Dudley Woodberry dalam “Contextualization Di Kalangan Muslim Menggunakan Rukun Biasa” ( Diterbitkan dalam International Journal of Frontier Missions, Volume 13:4 , Oct-Dec 1996) berkata;
Contohnya, “Allah” asalnya dari Syriac Kristian dan telah sekian lama digunakan sebelum zaman Nabi Muhammad. ‘Wahy’ (wahyu) sekurang-kurangnya berkait dari segi etimologi dengan perkataan-perkataan Yahudi-Aramia dan Kristian Ethiopic dan digunakan oleh para penyair pra-Islam.

Dalam mukasurat 174 beliau berkata; “Bahagian pertama sebutan syahadah “Aku naik saksi bahawa tiada tuhan selain Allah” adalah berdasarkan ayat-ayat seperti surah 37:35/34 (“Tidak ada tuhan selain Allah”) dan 112:1-2(“Katakanlah, ‘Dia(adalah)Allah,Satu(Ahad).Perkataan tersebut, seperti yang ditunjukkan oleh Hartwig Herschfeld adalah berdasarkan shema dalam Deuteronomy 6:04 (Dengarlah, hai orang bani Israel, Tuhan Allah kita adalah satu (Ahad) Tuhan”)

Hujahan bahawa nama “Allah” berasal dari Syriac Kristian lantas menjustifikasi penggunaannya oleh Kristian zaman sekarang merupakan hujah yang kurang bernas.

Sepatutnya, penganut Kristian zaman moden boleh menggunakan nama Allah jika mereka mematuhi lunas “Deuteronomy 6:4; bahawa Tuhan Allah kita adalah Satu Tuhan”. Kami yakin jika penganut Kristian kembali kepada konsep asas bahawa Allah adalah Satu, Dia bukan Ayah, Dia tidak beranak, dan pengakuan ini dijunjung secara konsisten, penganut Islam tidak akan membantah kerana ianya adalah kenyataan benar. Jika Kristian mahu menggunakan nama Allah dalam semua bahan bercetak mereka dan mereka mengaku dan mematuhi dengan sepenuhnya bahawa Tuhan itu Satu (sepertimana Deuteronomy) (bukan bertiga), maka tidak akan ada bantahan.

Profesor Al Aidrus mengulas bahawa terdapat hujahan yang mengatakan bahawa nama Allah telah digunakan dalam kitab Bible Melayu 272 tahun yang lalu. Hujahan ini mengiktiraf tindakan kuasa penjajah yang menindas yang tidak merujuk mahupun menghormati umat Islam tempatan. Sebagai penjajah, mereka telah berbuat sesuka hati mereka termasuklah menggondol harta dan kekayaan negara. Dalam mengutarakan hujah sebegini, pihak gereja menyokong keganasan dan ketidakadilan itu yang jelas sekali bercanggah dengan doktrin Kristian ‘cinta sesamamu’ (love thy neighbour).

Kami juga berasa amat curiga akan hasrat gereja Kristian yang hanya menuntut untuk menggunakan nama Allah dalam bahan bercetak Bahasa Melayu. Mereka tidak berhasrat menggunakan nama Allah dalam semua bahan mereka yang dicetak dalam semua bahasa.

Prof Al Aidrus menyatakan bahawa “Perlu ditegaskan di sini bahawa terjemahan Gospel di negara China dan India yang masing-masing mempunyai jutaan umat Islam, tidak menggunakan nama Allah. Sebaliknya, mereka menggunakan  perkataan seperti “Sheng Fu, Sheng Zu dan Sheng Ling dan di dalam Gospel bahasa Tamil, perkataan Suthan, JesaPa dan Parisutha Avi untuk Bapa Suci, Anak Suci dan Roh Kudus”.

Jika begitu, apa pula motif tuntutan menggunakan nama Allah dalam bahan bercetak Kristian bahasa Melayu?

Di peringkat antarabangsa, kita melihat bahawa penganut Kristian telah mencipta dan merekabentuk Gospel bahasa Arab, pada mulanya bukan dalam bahasa Arab Al Quran tetapi telah lama kelamaan telah mengambil bahasa Arab Al Quran. Sekarang, kitab Gospel ini dipenuhi ayat-ayat yang bermula dengan ungkapan Islam “basmallah” and diakhiri dengan “sadaqallahul a’zim (ungkapan yang dilafaz oleh umat Islam). Apabila mendengar Kitab Gospel ini dibaca, mereka yang tidak prihatin akan menganggap Quranlah yang didengarinya.

Kita menyedari akan wujudnya gereja-gereja di Indonesia yang dikenali sebagai “Rumah Jemaah Allah” dan kewujudan sebuah kolej yang mengajar Bahasa Arab dan kitab Gospel bahasa Arab kepada para paderi Kristian.

Di Timur Tengah, terdapat sebuah stesen radio yang membaca Kitab Gospel bahasa Arab setiap hari.
Mengapakah gereja Kristian mengambil pendekatan sebegini dalam menyebarkan kepercayaan mereka? 

Adakah pendekatan ini semata-mata untuk penganut Kristian sahaja ataupun ‘contextualization’ sebegini bertujuan menggerakkan hati penganut bukan-Kristian terhadap ajaran Kristian?

Setelah mengkaji  agama dan amalam  Kristian, kita melihat bahawa konsep contextualization ini, iaitu untuk memperkenalkan kepercayaan agama dengan kaedah yang boleh diterima oleh masyarakat, dengan menggunakan bahasa, simbol dan konsep yang khusus kepada masyarakat yang  yang ditujukan, adalah amalan biasa dalam kepercayaan dan tatacara Kristian.

Kajian kami menunjukkan bahawa konsep “Trinity” berkemungkinan besar lahir di Majlis Nicea pada tahun 325 Masihi semasa pemerintahahan Maharaja Rom, iaitu Constantine. Masyarakat Eropah antara lainnya, mempunyai sejarah ‘ agama tiga dalam satu yang terpahat dalam kepercayaan ‘pagan’ purba Eropah. (sila rujuk http:/www.deepertruth.com/trinity untuk melihat koleksi Cassaro mengenai konsep agama Eropah pra-sejarah ‘tiga ikon’ yang didakwanya menyuluhi kepercayaan “agama tiga dalam satu”).

Ada kemungkinan kemasukan konsep Trinity adalah bertujuan menjadikan agama Kristian lebih mudah diterima oleh masyarakat Eropah awal.

Dalam kertas kerjanya “The Trinity and Contextualization“, Rev Ralph Allan Smith menyangkal idea di atas.

Rev Ralph Allan Smith menulis: Masih banyak lagi yang perlu dikatakan. Perkembangan konsep Trinity Kristian ortodoks telah melibatkan penyingkiran (rejection) ” konsep tradisional, yang berkurun lama  – diguna pakai, yang boleh katakan hampir menyerupai Katolik, mengenai Kristus sedia wujud sebagai perantaraan dengan seorang Bapa yang tidak tercemar (impassible Father) dengan dunia sementara, yang mempertengahkannya sebagai alat kefalsafahan yang mudah diguna pakai. Doktrin Logos – doktrin yang digemari oleh ramai ahli teologi ortodoks terdahulu, telah dtinggalkan. Ahli-ahli teologi pro- Nicene, dalam erti kata lain, mengubah doktrin Gereja dan mengubah  secara radikal .

Dalam proses itu, mereka dengan teliti menolak unsur-unsur bukan Gospel (non -Biblical) yang telah terterap ke dalam tradisi Gereja dan mula meletakkan asas-asas bagi ekspresi pandangan dunia Gospel yang lebih meluas . Aktiviti begini melampaui anggapan contextualization linguistik. Kita boleh perhati melaui ilmuan Gereja penelitian diri dan penghakiman diri yang dirujuk oleh Conn sebagai de- contextualization. Mereka membuang unsur anti Kristian daripada pemikiran dan merekacipta suatu bahasa teologi yang baharu menggunakan perkataan-perkataan yang dipinjam .”

Rev Ralph Allan Smith menulis: Dari sudut pandangan ini, contextualization hanyalah satu usaha untuk menyalurkan secara berkesan kepada mereka yang bertutur bahasa berlainan dan mempunyai persepsi keduniaan yang berlainan daripada mereka yang berkebudayaan Eropah. Ini termasuklah menampilkan semula ajaran asas Gospel dalam bahasa yang mungkin asing kepada penutur bahasa Eropah, tetapi ini bukanlah bererti, dan bukan pula kelulusan untuk sesiapapun menukar ajaran Gospel Kristian itu sendiri.
Mari kita kaji satu contoh yang ringkas proses contextualization.

Kita melihat penyerapan kepercayaan “pagan” Eropah dalam bentuk perayaan Krismas dan Santa Claus. Pada hari ini, kita mengakui bahawa ianya satu pembohongan untuk mengaitkan kelahiran Nabi Isa (a.s) dengan perayaan Krismas (tiada bukti dalam Gospel bahasa Aramaic atau bukti sejarah yang menyokong tuntutan bahawa Krismas adalah sambutan kelahiran Isa (a.s), seperti yang diberitahu dan dinyanyikan oleh penganut Kristian sekian lama. Kita mengenali St Nicholas dari Myra dan perkaitan dongeng perayaan Krismas dengannya dan masyarakat Eropah meraikan perayaan St Nicholas pada 6hb Disember setiap tahun.

Walaubagaimanapun, ada segelintir sarjana sejarah yang berpendapat bahawa lagenda St Nicholas sebagai pemberi hadiah mempunyai unsur kepercayaan ‘pagan’ yang berasal daripada sumber-sumber pra-Kristian. Dewa mitos Teutonic Odin mempunyai janggut yang panjang. Ada sarjana yang berpendapat ‘janggut panjang’ merujuk kepada Thor, seorang tuhan Jerman. Thor mempunyai janggut putih yang panjang dan melayari awan dengan menaiki kenderaan yang ditarik oleh dua ekor kambing putih.

Apa yang pasti adalah Santa Claus bukanlah tokoh Gospel serta perayaan Krismas itu tidak mempunyai kaitan dengan rujukan Gospel.

Dr.Richard P. Bucher berhujah bahawa Santa Claus zaman moden merupakan hasil pencantuman beberapa sumber menjadikan ia suatu watak lagenda yang telah berevolusi berzaman-zaman lamanya. Sepanjang proses itu, unsur-unsur legenda pra-Kristian, cerita St. Nicholas, penghijrah Belanda ke Amerika, Washington Irving, Clement Moore, Thomas Nast serta syarikat Coca-Cola semuanya menyumbang terhadap proses itu.

Apakah yang ditakrifkan sebagai “Contextualization”? Memetik daripada Rev Ralph Allan Smith
“Hesselgrave dan Rommen memilih tiga cadangan awal;

1. Kami memahami istilah ini bermaksud membentuk konsep yang selari dengan sesuatu keadaan tertentu.(Byang H Kato)

2. Terjemahan unsur Gospel ke dalam bentuk lisan yang bermakna kepada orang-orang berlainan budaya dalam persekitaran mereka tersendiri.(Bruce J Nicholls)

3. Contextualization digunakan dengan betul bermakna membongkar implikasi sah Gospel di dalam satu satu keadaan. Ia lebih mendalam daripada aplikasi. Aplikasi, saya boleh lakukan atau tidak lakukan tanpa menjejaskan teks Gospel. Implikasi, dituntut oleh penelitian yang tepat terhadap teks ( George W. Peters ).
Menurut Conn , kita mesti menimbang “rangka presuppositional ” itu sendiri dengan ” penghakiman kata-kata Tuhan.  Untuk contexualize mesej Gospel ke dalam bahasa budaya yang lain, kita perlu keluarkan unsure-unsur yang wujud disebabkan oleh “cutural bias” kita sendiri.  Kita juga adalah sebahagian daripada matriks budaya yang merangkumi unsur-unsur anti-Kristian yang menghalang penyebaran Gospel kepada orang lain.”

Kita dapat melihat agama Kristian telah lama menggunakan kaedah contextualization. Ia bukannya bertujuan untuk menyatakan kebenaran, atau menghormati kesucian Rukun agama lain, dalam hal ini merujuk kepada nama Yang Maha Esa ALLAH, tetapi sebagai kaedah mentrampilkan agama Kristian sebagai sesuatu yang boleh diterima oleh penganut agama lain yang mempunyai rukun kepercayaannya sendiri.

Untuk menjadikan lebih mudah diterima, istilah dan konsep yang  biasa digunapakai oleh masyarakat yang menjadi sasaran pendakwah itu diambil and digunakan, supaya kepercayaan Kristian diterima dengan senang.

Justeru, penghasilan buku Gospel dalam Bahasa Arab Al-Quran. Jelas kelihatan desakan menggunakan nama Allah merupakan satu strategi Kristianisasi .

Maka tidak jauh tersasarlah jika kita membuat kesimpulan mengenai persoalan apakah motivasi gereja Kristian Malaysia membuat tuntutan untuk menggunakan nama ALLAH dalam bahan bercetak mereka di kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Begitu juga apakah motivasi mewujudkan kitab Gospel dalam bahasa Arab Al-Quran, atau mengadakan upacara keagamaan (service) pada hari Jumaat (seperti yang berlaku di Indonesia) dan bukannya pada hari Ahad.

IMCA berpandangan bahawa permintaan gereja Kristian Malaysia untuk menggunakan nama Allah adalah sebahagian daripada strategi contextualization yang telah lama digunakan, suatu strategi untuk mempengaruhi orang Melayu Islam untuk murtad daripada Islam. IMCA ingin menegaskan bahawa bukanlah niat kami untuk memperkecilkan kepercayaan Kristian.

IMCA dengan rendah diri meminta penganut Kristian Malaysia yang mencintai Tuhan untuk menimbang semula pendirian mereka dan menjunjungi jalan Kebenaran Kristian. Kami yakin bahawa orang Kristian yakin akan keteguhan agama mereka dan kebenaran iman mereka. Mereka patut menzahirkan kepercayaan mereka dalam keadaan asal, tanpa mengubahsuaikannya dengan istilah-istilah dan konsep yang lebih sedap didengar oleh orang bukan Kristian.

Kami memohon kepada penganut Kristian yang mendakwa diri mereka sebagai orang yang beriman, yang juga melafazkan Kebenaran supaya ikhlas dengan Kebenaran itu. “Jika penganut Kristian berhasrat, mereka patut memperkenalkan kata nama Aramaic bagi Tuhan yang dikatakan digunakan sendiri oleh Jesus seperti Eloi, Eli, Eloah, Elohim, Yahweh atau Jehovah ke dalam perbendaharaan kata Melayu” (Prof Al Aidrus).
Keikhlasan menuntut supaya mereka mencari penyelesaian kepada masalah ini berdasarkan Kebenaran dan fikiran yang waras.

Kami meminta mereka menarik balik tindakan dan tuntutan mereka, di atas nama KEBENARAN. Kami meminta mereka teguh dan konsisten dalam menggunakan nama Tuhan seperti yang dinyatakan dalam Gospel Aramaik, bukan apa sahaja yang mereka gemari, kerana Gospel Aramaik adalah asas kepercayaan mereka.

Manusia hari ini terlalu banyak masalah. Kita berdepan dengan begitu banyak penderitaan, kebuluran, pembunuhan dan ketidakadilan.

Adalah lebih bermanfaat jika semua makhluk yang mengasihi Tuhan untuk menumpukan usaha untuk kebaikan manusia sejagat.

Menghormati setiap budaya dan kepercayaan sesama sendiri akan mengurangkan konflik dalam dunia yang sudahpun dipenuhi penderitaan. Kami meminta KEAMANAN.

Marilah kita bersama berusaha ke arah KEAMANAN dengan nama Tuhan.
 
Sheikh Kareem
Secretary General
International Muslim Consumer Association
Kuala Lumpur 5 Sept 2013

(Artikel ini diterjemahkan daripada artikel asal yang ditulis dalam Bahasa Inggeris. Maksud asal artikel ini telah dipelihara sebaik mungkin oleh penterjemah. Namun begitu beberapa istilah yang spesifik mungkin tidak dapat dialihkan secara tepat.)

09 September 2013

FITNAH KALIMAH SYIRIK



 Gereja Sidang Jemaat ALLAH di Batu Tulis, Jakarta Pusat, Indonesia

FITNAH KALIMAH SYIRIK

Firman Allah swt, “sesungguhnya Yahudi dan Kristian selama-lamanya tidak akan sekali-sekali redha dan setuju dengan kamu (wahai umat Islam) selagi kamu tidak menurut cara kehidupan dan agama mereka. Katakanlah, sesungguhnya petunjuk Allah (yakni Al-Quran) adalah benar dan cukup bagi kami. Tetapi jika kamu masih mahu menuruti mereka sedangkan sudah sampai kepada kamu ilmu kebenaran (yakni Al-Quran), maka tidak akan ada bagimu pelindung dan pertolongan daripada ALLAH”
Al-Baqarah: 120
MUQADDIMAH

Konspirasi gerakan kristianisasi global sedang bergerak dengan begitu agresif termasuk di Malaysia. Terutamanya di dalam negara kita. Paling mutakhir adalah tuntutan mereka untuk diberi hak menggunakan kalimah ALLAH didalam kitab dan penerbitan mereka!

Apakah kesan yang akan terjadi kelak jika kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH dalam negara kita?

Apakah nanti kita boleh menjamin apabila anak kita mengucapkan “La ila ha illalah – Tidak ada Tuhan melainkan ALLAH”; adakah kita yakin anak kita sedang merujuk kepada ALLAH sebagaimana yang difahami umat Islam sebagai ALLAH Maha Esa? Atau dia sedang merujuk kepada ALLAH Triniti Tiga dalam Satu yang cuba disogok kepada kita oleh missionari kristian – ALLAH Bapak, ALLAH Putera dan ALLAH Roh Kudus!

Inilah yang perlu kita fahami. Itulah kesan secara langsung yang akan berlaku jika pihak kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH dalam negara ini.

Dalam satu insiden perkahwinan artis terkenal di sebuah negara jiran, pengantin lelakinya beragama Islam manakala wanitanya beragama kristian. Lalu si wanita ditanya apakah dia akan memeluk agama Islam menuruti bakal suaminya. Jawapan wanita pelakon terkenal lagi jelita ini wajar menjadi iktibar dan pengajaran buat kita:

Apa perlu saya menukar agama! Bukankah tuhan saya dan tuhan dia sama – ALLAH!

Na’uzubillah minzalik!
 
TUNTUTAN TITULAR ARCHBISHOP KUALA LUMPUR

Kemelut isu tuntutan penggunaan kalimah ALLAH oleh Titular Archbishop Kuala Lumpur (“Gereja”) masih berterusan. Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi YA Datuk Lau Bee Lan pada 31 Disember 2009 yang membenarkan pihak Gereja menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan mereka bernama The Herald.

Asas kepada keputusan itu ialah antara lain adalah kerana kalimah ALLAH sudah digunapakai oleh kristian di Sabah dan Sarawak buat sekian lama. Maka berdasarkan Artikel 3 dan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, pihak gereja, kata Mahkamah, sewajarnya dibenarkan dan dijamin kebebasan menggunakan kalimah ALLAH dalam menjalankan amalan agama mereka.

Saya tidak bercadang mengupas kes ini kerana ianya masih diperingkat rayuan yang akan didengar pada 22 Sept 2013. Kita akan memberi ruang dan peluang supaya Mahkamah Rayuan dan sistem kehakiman Malaysia dibenarkan mendengar rayuan ini menurut lunas undang-undang sedia ada.

BIBLE AL-KITAB

Bagaimanapun, saya telah berpeluang membaca secara sepintas lalu sebuah terjemahan Bible dalam Bahasa Melayu yang dipanggil Al-Kitab. Memandangkan ianya telah diterjemahkan kedalam Bahasa Melayu, maka saya berhak untuk mengulas dan membuat komen yang sepatutnya tanpa bermaksud menghina atau memperlekeh agama kristian.

Satu perkara fundamental yang saya dapati setelah membaca Bible Al-Kitab versi Melayu ini ialah sebenarnya ia bukan Kitab Injil seperti yang umat Islam fahami. Ia sebenarnya adalah terjemahan kitab yang dipanggil Bible daripada versi Bahasa Inggeris.
Selain Al Quran, kita umat Islam dituntut mempercayai kitab Taurah (Nabi Musa as), Injil (Nabi Isa as) dan Zabur (Nabi Daud as). Malah mempercayainya adalah sebahagian daripada Rukun Iman. Kita percaya sebagaimana Al Quran, kitab Taurah, Injil dan Zabur adalah wahyu daripada ALLAH. Sebab itu kita memanggil mereka yang beriman dengan kitab-kitab itu sebagai ahli kitab, dan kepercayaan mereka disebut sebagai agama wahyu.
Bagaimanapun, kita umat Islam mempercayai Kitab Taurah dan Injil yang asal sudah tidak ada, malah apa yang ada hari ini kita percaya telah diselewengkan. Saya tidak bercadang untuk membahaskan isu ini kerana menumpukan kepada isu kalimah ALLAH. Mungkin kita akan bahaskannya di forum yang lebih bersesuaian.
Apa yang kita tahu, apa yang dipanggil Bible oleh penganut kristian sebenarnya adalah gabungan dua buah buku yang dipercayai kitab suci oleh umat kristian iaitu Old Testament (Kitab Perjanjian Lama) dan New Testament (Kitab  Perjanjian Baru).
Kitab Perjanjian Lama dijadikan kitab suci bagi penganut agama Yahudi (selain Tsalmud dan lain-lain). Kitab Perjanjian Lama ini adalah kitab bagi penganut Yahudi dan masih kekal digunakan oleh mereka dalam bahasa Hebrew atau Ibrani.
Manakala Kitab Perjanjian Baru pula adalah buku yang dikatakan ditulis oleh seorang pendita Kristian berbangsa Roman bernama Saul (nama beliau dipopularkan sebagai Paul sekarang ini) dan beberapa penulis lain. Buku asal yang dipanggil Kitab Perjanjian Baru tulisan Saul ini adalah dalam bahasa Greek.
Pihak gereja Kristian kemudiannya telah menggabungkan kedua-dua Kitab Perjanjian Lama dan Kitab Perjanjian Baru ini dan diberi label sebagai Bible. Kitab Perjanjian Lama diterjemahkan ke bahasa Inggeris lama daripada teks asal bahasa Ibrani, manakala Kitab Perjanjian Baru diterjemahkan ke bahasa Inggeris lama daripada bahasa asal Greek
Maknanya Bible versi bahasa Inggeris yang ada pada masa ini adalah terjemahan ke Bahasa Inggeris daripada bahasa Hebrew (bagi Perjanjian Lama) dan bahasa Greek (bagi Perjanjian Baru). Gabungan kedua-dua kitab ini dipanggil Bible.
Kitab Bible versi Bahasa Inggeris inilah yang menjadi sumber kepada penterjemahan ke Bahasa Melayu-Indonesia yang dipanggil Bible Al-Kitab.
Saya tidak bercadang mengupas tentang kewujudan begitu banyak Bible yang berlainan versi. Ini telah dikupas dengan begitu baik oleh Allahyarham Sheikh Ahmad Deedat dan rujukan boleh dibuat kepada kupasan beliau.
BIBLE ASAL
Apa pun, kita perlu sedar bahawa Nabi Musa as dan Nabi Isa as adalah berbangsa Yahudi. Oleh itu kitab asal yang diturunkan kepada mereka sudah tentu dalam bahasa Yahudi; iaitu bahasa Hebrew Aramaic atau Ibrani.
Bermakna yang boleh dan layak dipanggil kitab suci ialah teks dalam bahasa Ibrani, iaitu bahasa yang digunapakai oleh Nabi Musa as dan Nabi ‘Isa as. Itulah kitab yang sepatutnya menjadi otoriti. Sebagaimana Al Quran dalam bahasa ‘arab bagi umat Islam.
Maka dalam membahas persoalan kalimah ketuhanan dalam fahaman dan kepercayaan agama Kristian, kita wajib merujuk semula kepada kitab-kitab asal ini.
Bermakna apabila terjemahan ke bahasa Melayu-Indonesia dibuat, ia sudah melalui tiga terjemahan – Ibrani – Greek – Inggeris lama – Inggeris baru – Melayu-Indonesia!
Ini bermakna Bible Al-Kitab versi bahasa Melayu-Indonesia tidak layak dipanggil kitab suci asal, sebaliknya ianya hanyalah sebuah terjemahan.
Sebagaimana terjemahan teks asli Al Quran dalam Bahasa ‘Arab kedalam bahasa Inggeris oleh Yusuf Ali, atau kedalam Bahasa Melayu oleh Sheikh Abdullah Basmeih atau Buya Hamka.
Kita umat Islam tidak boleh memanggil terjemahan Yusuf Ali, terjemahan Sheikh Abdullah Basmeih atau terjemahan Buya Hamka sebagai Al Quran. Ia hanya terjemahan Al Quran, sebab itu memegangnya tidak perlu berwuduk; malah jika dalam keadaan hadas besar pun masih boleh memegang dan membaca terjemahannya.
Sekurang-kurangnya terjemahan Al Quran dibuat berdasarkan dan bersumberkan terus daripada teks asal Al Quran berbahasa ‘arab, dengan teks asal ‘Arab sebagaimana yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw tetap ditulis dalam terjemahan tersebut. Sebaliknya terjemahan Bible Al-Kitab versi Melayu-Indonesia langsung tidak disertai dengan teks asal bahasa Ibrani.
Jadi dakwaan menyatakan Bible atau Al-Kitab terjemahan bahasa Melayu-Indonesia sebagai kitab suci asal dan asli adalah tidak berasas sama sekali. Ia hanyalah satu terjemahan!
NAMA KETUHANAN DALAM BIBLE – ELOHIM, ELI & ELOI
Berbalik kita kepada isu nama ketuhanan, maka sudah tentu kalau kita mahu menemui soal nama ketuhanan kristian kita wajib merujuk kitab asal dalam bahasa Ibrani. Adalah tidak logik jika kita merujuk kepada terjemahan Greek, Inggeris, Arab, apatah lagi terjemahan Melayu-Indonesia kerana itu bukan kitab asal.
Didalam Kitab Perjanjian Lama berbahasa Ibrani, nama tuhan mereka (saya rujuk versi yang tulisannya dalam huruf Romani bukan tulisan asal Ibrani) disebut sebagai YHWH, tanpa vowel kerana bahasa Ibrani dikatakan tiada mengandungi vowel.
Namun mereka dilarang menyebut nama tersebut berdasarkan terjemahan ayat Lev, 24:16 yang menyebut “He that names the name Yahweh shall surely be put to death”. Sesiapa yang menyebut nama YHWH pasti akan dihukum mati!
Maka mereka seboleh-bolehnya mengelak menyebut nama tersebut. Sebaliknya mereka menyebutnya dengan ganti nama seperti Eli, Eloi, Adonai atau Elohim dan lain-lain.
Kalau kita melihat Kitab Perjanjian Lama yang asal dalam bahasa Ibrani, tuhan yang menjadi sembahan orang kristian disebut Elohim (atau Eli atau Eloi). Dan inskripsi zabad yang diguna untuk terjemahan ke bahasa arab menterjemahkan Elohim sebagai Ilah.
Perkataan Elohim juga diterjemah kedalam bahasa kristian Maluku sebagai Tete Manis, Dayak sebagai Jubata, Filipina sebagai Diyos, Bali sebagai Sang Hyang Widi, Yunani sebagai Theos, dan di Eropah dan Amerika sebagai God.
Apa yang lebih menarik ialah apabila tercetus kontroversi lagu nyanyian Agnes Monica berjudul “Allah Peduli” yang menggunapakai kalimah ALLAH sebagai tuhan jesus dalam lirik “sebab Allah Yesus ku mengerti”, Yayasan Lentera Bangsa (sebuah pertubuhan kristian Indonesia) telah menerbitkan Bible versi baru dipanggil Kitab Suci Indonesia Literal Translation (KS-ILT) yang menggugurkan penggunaan kalimah ALLAH, sebaliknya digantikan dengan kalimah Elohim.
NAMA KETUHANAN DALAM BIBLE - JESUS
Manakala nama Jesus yang selalu kita dengar digunakan oleh orang kristian adalah nama yang dikatakan manifestasi tuhan, atau Son of God, Anak Tuhan. Sebenarnya nama Jesus dalam bahasa Ibrani yang menggunakan huruf Romani ditulis sebagai Yeshua – bermaksud “penyelamat” atau “pembawa risalah”.
Ia diterjemahkan sebagai “Ieosusdalam bahasa Greek, kemudian diterjemah sebagai “Yesus” dalam bahasa Inggeris lama, kemudian menjadi “Jesus” dalam bahasa Inggeris moden.
Dalam Islam, Jesus disebut dengan panggilan ‘Isa Al Masih, atau Ibnu Maryam, dan Baginda dianggap sebagai salah seorang Nabi dan Rasul utusan ALLAH, bukannya anak ALLAH!
Mungkin kita boleh bertanya soalan seperti berikut: adakah Nabi ‘Isa atau Yeshua akan menyahut sekiranya dia hidup kembali dan dipanggil orang dengan nama Jesus?
Kita sendiri pun tahu jawapannya yang cukup jelas, iaitu sudah pasti tidak kerana nama Jesus bukan namanya. Sama seperti nama Abu Bakar dalam bahasa Melayu, jika ditukar menjadi Ash Burn pasti tidak akan disahut oleh Abu Bakar jika dipanggil dengan nama sedemikian; kerana Ash Burn bukan namanya! Atau kita memanggil Tiger Wood dengan nama Rimau Kayu. Pasti beliau sendiri tidak akan mengenali nama Rimau Kayu!
Dan bertambah mengelirukan saya ialah apabila membaca Matthew 27:46 bilamana Yeshua dicatat sebagai berkata (semasa diatas salib menanti saat kematian) “Eli Eli lama sabachthani” yang diterjemahkan didalam bahasa Inggeris seperti berikut: “My God my God, why have you forsaken me”; dan dalam Mark 15:34 dicatat pula Yeshua berkata (juga semasa diatas salib) “Eloi Eloi lama sabachthani?” yang diterjemahkan kedalam bahasa Inggeris moden seperti berikut: “My God my God, why have you forsaken me?”.
Sepatutnya terjemahan yang tepat bagi ayat-ayat ini berdasarkan versi bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu-Indonesia ialah “Tuhanku Tuhanku, mengapa Engkau meninggalkan aku”.
Tetapi apa berlaku adalah sebaliknya. Terjemahan dalam Bible Al-Kitab versi Melayu-Indonesia disebut sebagai “Ya Allah-ku, Ya Allah-ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku”.
Persoalannya ialah, mengapa mereka memilih untuk menggunakan kalimah Allah sebagai gantinama ‘God’, sedangkan gantinama yang lebih tepat ialah “Tuhan”?
DIANTARA GANTINAMA ‘ALLAH’ DAN ‘TUHAN’
Selanjutnya jika kita membaca terjemahan bible bahasa Inggeris mahupun Melayu-Indonesia, China mahupun Tamil, kita akan dapati mereka banyak menyebut nama tuhan dalam bentuk deskriptif, bukan substantif atau nama khas.
Contohnya mereka akan menyebut God The Father, The Son and The Holy Spirit. Dalam terjemahan bahasa Melayu-Indonesia versi Al-Kitab disebut sebagai Allah Bapa, Allah Putera dan Allah Ruh Kudus. Sepatutnya terjemahan yang lebih tepat ialah Tuhan Bapa, Tuhan Putera dan Tuhan Ruh Kudus, iaitu dengan menggunakan gantinama “Tuhan” bukan “Allah”!
Sedangkan dalam bahasa China ianya disebut sebagai Sheng Fu, Sheng Zu dan Sheng Ling. Manakala dalam bahasa Tamil disebut sebagai Suthan, JesaPa dan Parisutha.
Jelas daripada deskriptif ketuhanan diatas, kalimah ALLAH tidak digunakan dalam semua bahasa yang disebut termasuk bahasa China mahupun Tamil walaupun ianya merujuk kepada perkara yang sama! Hanya dalam versi terjemahan bahasa Melayu-Indonesia kalimah ALLAH digunakan!
Persoalannya ialah : MENGAPA?
Sedangkan perkatan God atau Sheng dalam bahasa China kalau diterjemahkan kedalam bahasa Melayu bermakna Tuhan. Jadi timbul persoalan, mengapa kristian di Malaysia berkeras mahu menggunakan kalimah ALLAH sebagai gantinama God atau Sheng didalam bible terjemahan bahasa Melayu; sedangkan terjemahan yang lebih tepat ialah ‘Tuhan’?
AGENDA TERSIRAT GERAKAN KRISTIANISASI
Adakah mereka mempunyai maksud atau agenda yang tersirat?
Jawapannya boleh kita lihat dalam pendedahan mereka sendiri didalam majalah Christianity Today (dikeluarkan di Chicago, Amerika Syarikat terbitan bulan Julai 2009) yang dengan jelas menyatakan “penggunaan kalimah Allah (dalam terjemahan versi Melayu-Indonesia) adalah suatu usaha strategik kalau bertujuan untuk membuatkan mereka meemahami siapa Christ! Jika kalimah ALLAH tidak digunakan akan menyebabkan umat Islam tidak akan membaca Bible!”.

Itulah respon dan komentar oleh majalah kristian Christianity Today (terbitan Julai 2009) apabila Majlis Agama Islam Selangor telah pada bulan Mac 2009 mengharamkan lagu nyanyian Agnes Monica yang menayalahgunakan kalimah ALLAH!.
Adalah jelas penyanyi dari Indonesia ini yang membawa lagu bertajuk “Allah Peduli” bermaksud tuhan kristianiti dalam bentuk trinity apabila dengan jelas di rangkap akhir menyebut “ Allah mengerti, Allah peduli, segala persoalan yang kita hadapi, tak akan pernah dibiarkannya, ku bergumul sendiri, sebab Allah Yesus ku mengerti”.
Dalam menjalankan dakyah dan strategi missionari mereka, strategi gerakan kristianisasi global adalah untuk membuatkan umat Islam supaya tidak berasa janggal apabila membaca bahan-bahan bacaan kristian termasuk Bible.
Ini bermakna penggunaan kalimah ALLAH bukan bermaksud nama ketuhanan penganut kristian, tetapi adalah usaha strategik dakyah mereka untuk memperdaya umat Islam kepada mengenali dan akhirnya nanti mempercayai ALLAH adalah ketuhanan kristian Jesus Christ, bukan ALLAH Maha Esa, na’uzubillah!
Sebab itu nama bible ditukar menjadi Al-Kitab. Sebab itu mereka menggunakan kalimah Allah. Sebab itu sermon mereka ditukar menjadi khutbah dan ada yang disampaikan dalam bahasa Melayu. Dan mutakhir disebuah negara jiran, mereka dikatakan merancang menukar hari sembahan mereka ke hari Jumaat sesuai dengan hari Jumaat sebagai saiyyidul ayyam, penghulu segala hari bagi umat Islam termasuk hari solat fardhu Jumaat didirikan!
Tidakkah ini semuanya akan mengelirukan; kelak nanti sudah tidak ada beza semantik dan bahasa antara Islam dan Kristian; kelak nanti tidak akan ada beza semantik kalimah ALLAH dalam Islam dan Kristian. Maka mudahlah untuk mereka menjadi caleb – menyusup masuk dan menusuk jarum-jarum halus dakyah mereka dikalangan umat Islam.
Akhirnya daripada isu linguistik dan semantik, ianya akan berubah menjadi krisis aqidah!
CONTOH-CONTOH SALAHGUNA KALIMAH ALLAH
Akhir sekali, mari kita lihat bagaimana contoh-contoh kalimah ALLAH yang telah disalahgunakan untuk membawa maksud yang mensyirikkan, bahawa kalimah ALLAH itu adalah Tuhan Triniti – Tuhan Tiga Dalam Satu iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Tuhan Ruh Kudus.
  1. Disebut dalam terjemahan Al Kitab (ms 197 ayat 25-27) “Akulah yang memberi hidup dan membangkitkan orang mati”, kata Yesus kepada Marta. “Orang yang percaya kepada Ku akan hidup, walaupun ia sudah mati. Dan orang hidup yang percaya pada Ku, selama-lamanya tidak akan mati. Percayakah engkau akan hal itu. “Tuhan,” jawab Marta, “saya percaya Tuhan Anak Allah, Raja Penyelamat yang akan datang kedunia ini”.
  2. Disebut alam terjemahan Al Kitab (ms 379 ayat 9) “jika Peti Perjanjian itu dibawa kearah negerinya sendiri, iaitu Bet-Semes, itu bererti bahawa Allah orang Israellah yang telah mendatangkan celaka yang hebat itu kepada kita. Tetapi jika pedati itu tidak menuju kesana, kita akan tahu bahwa musibah itu bukan dari Allah Israel, melainkan kebetulan saja”;
  3. Disebut dalam terjemahan Al Kitab (ms 246 ayat 13) “hormatilah TUHAN, Allahmu, dan berbaktilah kepada Dia sahaja, dan bila kamu bersumpah, lakukanlah demi nama Nya saja”;
  4. Lafaz dalam upacara baptis berbunyi “saya membaptiskan kamu dengan atas nama Allah Bapa, dengan atas nama Allah Putera dan dengan atas nama Allah Ruh Kudus”;
  5. Risalah menyebut “Rencana Allah Untuk Menyelamatkan Kita Dari Dosa Ialah Dengan Mengutus Anaknya Yang Tunggal”;
  6. Risalah menyebut “Yesus Adalah Allah Dalam Bentuk Manusia”;
  7. Risalah bertajuk “Allah Pilih Pemimpin” menceritakan ketuhanan triniti;
  8. Risalah bertajuk “Firman Allah Hidup” menceritakan tentang bible;
  9. Risalah bertajuk “Jalan Kepada Allah” menceritakan tentang pengutusan Jesus;
  10. Nama sebuah gereja iaitu Gereja Katolik Santa Maria Bonda Allah;
  11. Nama sebuah gereja iaitu Gereja Kristus Domba Allah;
  12. Nama sebuah gereja iaitu Gereja Sidang Jemaat Allah;
  13. Nama sebuah gereja iaitu Gereja Allah Itu Kasih;
  14. Tajuk lagu “Allah Peduli” dengan lirik menyebut “Allah mengerti, Allah peduli, Segala persoalan yang kita hadapi, Tak akan pernah dibiarkannya, ku bergumul sendiri, Sebab Allah Yesus ku mengerti” nyanyian Agnes Monica;
  15. Tajuk lagu “Harapan Bangsa” dengan lirik menyebut “Bapa engkaulah harapan negara ini, Kaulah satu-satunya harapan di bumi Malaysia, Yesus engkaulah harapan segala bangsa, Nyatakanlah kebenaran mu” nyanyian Jaclyn Victor;
Satu persoalan fundamental yang saya mahu lontarkan disini ialah; apakah makna ayat-ayat diatas akan berubah jika kalimah ALLAH yang disalahgunakan dalam contoh-contoh tersebut ditukar dengan terjemahan yang lebih tepat iaitu perkataan “Tuhan”?
Jawapannya jelas iaitu TIDAK! TIDAK! TIDAK!
Malahan penggunaan perkataan “TUHAN” adalah lebih tepat dari segi terjemahan dalam bahasa Melayu, bukannya ‘ALLAH’!
RUMUSAN
Sebab itu saya merumuskan bahawa cubaan dan usaha gigih kaum kristian termasuk pihak Gereja beriya-iya mahu menggunakan kalimah ALLAH sangatlah mencurigakan! Apakah sebenarnya niat mereka?
Sedangkan bagi umat Islam, kalimah ALLAH itu adalah kalimah tauhid, membabitkan asas aqidah. Ini jelas daripada fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke 82 yang bersidang pada.5-7 Mei 2008.
Dan alhamdulillah fatwa tersebut dipersetujui oleh Majlis Syura PAS yang mengeluarkan pendapat pada 13 Januari 2013 menyatakan pendirian bahawa kalimah ALLAH hanya boleh digunakan untuk tujuan dan maksud yang difahami Islam. Pendirian ini sebenarnya senada dengan pendirian Timbalan Mursyidul Am PAS Dato’ Dr. Haron Din yang menyatakan sesiapa yang membenarkan atau bersetuju untuk kristian menggunakan kalimah ALLAH maka itu adalah satu perbuatan syirik, na’uzubillah!
Pendirian ini sekaligus menyanggah pendirian Presiden PAS YB Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bersetuju dengan pendirian Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang yang membuat pendirian pada 08 Januari 2013 yang bersetuju dengan tuntutan Lim Guan Eng yang dibuat pada 25 Dis 2012 supaya kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH!
Bagi umat Islam, isu kalimah ALLAH adalah persoalan aqidah. Dan kita tidak akan berkompromi walau sebesar zahrah sekalipun dalam isu ini. Jika dalam mempertahankan kalimah ALLAH kita dilabel ekstremis, maka kita rela digelar ekstrimis daripada menjadi peliwat aqidah. Jika membela kalimah ALLAH kita dilabel jumud, maka lebih baik manusia menggelar kita jumud daripada ditempelak ALLAH sebagai pengamal syirik!
PELAN TINDAKAN
Sebab itu saya mencadangkan langkah-langkah berikut untuk diambil tindakan:
  1. untuk jangka pendek, saya berharap umat Islam akan dapat hadir beramai-ramai esok pada 10 Sep 2013 (dan lain-lain hari yang akan ditetapkan nanti) di Mahkamah Rayuan Malaysia, Kompleks Istana Kehakiman untuk memberi sokongan moral kepada pasukan peguam kita;
  2. untuk jangka panjang, saya mencadangkan supaya Akta Bahan Cetak & Penerbitan dipinda dengan memasukkan satu peruntukkan baru yang melarang penggunaan kalimah ALLAH (dan lain-lain kalimah yang dinyatakan) oleh orang bukan Islam untuk tujuan selain Islam seperti terkandung didalam Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke 82. Ini sekaligus akan memberi agensi penguatkuasaan Persekutuan kuasa untuk melarang penggunaannya di peringkat Persekutuan;
  3. Meminda Kanun Kesiksaan dengan memasukkan satu peruntukkan baru iaitu Seksyen 298B dengan menjadikan ianya satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum diperingkat Persekutuan bagi mana-mana pihak menggunapakai kalimah ALLAH, dan lain-lain kalimah yang dilarang penggunaannya oleh Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988);
  4. Siri penerangan menyeluruh dengan menggunakan semua ruang penyebaran penerangan yang ada termasuk media utama, institusi khutbah, media cyber dan lain-lain mesti dilakukan untuk menyedarkan umat Islam tentang ancaman dan strategi dakyah missionary kristianisasi ini;
  5. Satu langkah engagement dengan golongan pendakyah kristian dan keumpulan berkepentingan non-muslim yang lain mesti dilaksanakan segera. Untuk itu wajib diwujudkan kumpulan pakar yang boleh mendepani kumpulan pendakyah dan gerakan kristian ini secara ilmiah dan professional untuk menyedarkan mereka apa yang mereka lakukan ini bukan sahaja bertentangan dengan keharmonian antara agama, malahan ianya sesuatu yang menyalahi dengan agama mereka sendiri.
PENUTUP
Allah swt telah berpesan kepada kita bahawa Yahudi dan Kristian tidak akan redha dengan kita umat Islam selagi tidak mahu mengikut kemahuan mereka. Akan ada dikalangan mereka yang akan berusaha cuba memperdaya kita untuk akhirnya mempercayai Jesus it adalah anak ALLAH. Dan penggunaan kalimah ALLAH didalam Bible Al-Kitab versi Melayu-Indonesia adalah usaha strategik kearah itu sebagaimana yang diakui sendiri oleh mereka.
Dan Allah telah berpesan kepada kita dalam apa keadaan sekalipun, berpeganglah kepada Al Quran, kerana ia petunjuk yang haq dan benar.
Dan Allah menegaskan dengan jelas bahawa setelah beribu-ribu tahun kalimah Allah  disyirikkan; samada sebagai mempunyai anak (seperti Yahudi mengakui Uzair anak Allah atau kristian mengakui Isa anak Allah) atau mempunyai sekutu (seperti Musyrikin Mekah mengakui Latta wal Uzza sebagai sekutu Allah), maka akhirnya Allah menurunkan penegasan muktamad melalui Nabi Muhammad saw dalam surah Al-Ikhlas:
Katakan wahai Muhamaad bahawa ALLAH itu Ahad-Satu. Semua makhluk bergantung padanya dan Ia tidak bergantung dengan sesiapa; Ia tidak beranak dan tidak diperanakkan; Sesungguhnya Ia tidak sekufu dengan sesiapa dan tiada sekutu bagi Nya!
Jika kita berpegang kepada ketegasan Al Quran ini, kita akan sentiasa dibawah rahmat dan perlindungan bantuan ALLAH. Jika kita ingkar dan menurut hawa nafsu kuffar ini, ingatlah amaran ALLAH bahawa Dia akan berlepas tangan daripada kita, dan tiada bantuan dan pertolongan daripada Nya buat kita, na’uzubillah min zalik.
Dalam keadaan serangan bertubi-tubi gerakan kristianisasi dalam isu kalimah ALLAH, dengan disokong oleh segelintir agamawan sesat dan politikus rakus dikalangan kita; marilah kita renung persoalan yang saya lontarkan dalam muqaddimah diatas; adakah kita yakin apabila anak kita menyebut kalimah “La ila ha illallah – Tiada Tuhan melainkan ALLAH”, anak kita bermaksud ALLAH Hu Ahad – ALLAH Maha Esa, ataupun dia memahaminya sebagai ALLAH Triniti iaitu ALLAH Bapak, ALLAH Putera, ALLAH Ruh Kudus?
Tepok dada tanyalah iman masing-masing, wallahua’lam dan wassalam.

ZULKIFLI BIN NOORDIN
Peguambela & Peguamcara
Kuala Lumpur
Isnin
03 ZulQaedah 1434
09 September 2013

*Artikel ini telah disiarkan didalam Mingguan Malaysia bertarikh 08 Sept dan Utusan Malaysia 09 Sept 2013.

30 August 2013

NASIHAT PERKASA

Najib menjadi pemimpin bukan Arab pertama menjejakkan kaki ke bumi Gaza
Salam.

Saya ingin buat kenyataan untuk memperjelaskan bahawa saya mahupun Perkasa tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Wirawan Perkasa saudara Irwan Fahmi yang mendesak YAB Perdana Menteri Dato' Sri Najib meletakkan jawatan (www.irwanfahmi.blogspot.com).

Perkara ini tidak pernah dibincangkan, apatah lagi dipersetujui oleh Dewan Tertinggi Perkasa.

Itu adalah pendirian peribadi saudara Irwan yang tidak ada kena mengena dengan Perkasa.

Saya juga ingin menegur saudara Irwan Fahmi supaya tidak membuat sebarang kenyataan polisi atau dasar membabitkan Perkasa kecuali sebagaimana yang dipersetujui oleh Dewan Tertinggi Perkasa.

Saya menasihatkan saudara Irwan Fahmi supaya menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada YAB Perdana Menteri dan Presiden serta kepimpinan Perkasa.

Walaupun saya menghargai kegusaran dan kekhuatiran yang dirasai oleh saudara Irwan terutama mengenai agenda Islam dan Melayu pasca PRU-13, namun perkara ini sudahpun dibincang dan dibahaskan secara panjang lebar dan terperinci oleh kepimpinan Perkasa semua peringkat dalam Retreat Kepimpinan Perkasa di Ulu Kelang sebaik sahaja PRU-13 selesai.

Dan jelas daripada Retreat Kepimpinan tersebut bahawa kepimpinan Perkasa buat masa ini mengambil sikap meminta semua pihak supaya memberi ruang dan peluang kepada YAB Perdana Menteri menggunakan mandat yang baru diperolehinya untuk melaksanakan dasar-dasar yang bersesuaian termasuk Dasar dan Tindakan Afirmatif untuk mempertahankan dan membela kedudukan Islam dan hak keistimewaan Melayu saperti mana yang termaktub didalam Perlembagaan tanpa menafikan hak kaum lain saperti yang diperuntukkan.

Kepimpinan Perkasa juga telah bersetuju mengambil pendirian jika setelah ruang dan peluang diberi secukupnya dan masih tiada sebarang Dasar dan Tindakan Afirmatif  yang diambil yang boleh dilihat membela dan mempertahankan kedudukan Islam dan hak istimewa Melayu secara berkesan sebagaimana yang diperuntukkan didalam Perlembagaan barulah kepimpinan Perkasa akan membincang dan menimbang langkah selanjutnya yang wajar diambil jika perlu.

Apa yang ingin saya tegaskan ialah soal meminta Dato Sri Najib meletakkan jawatan tidak pernah menjadi dasar atau pilihan bagi kepimpinan Perkasa buat masa ini.

Sekian terima kasih.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Naib Presiden Perkasa
Jumaat
23 Syawal 1434
30 Ogos 2013

29 August 2013

SIAPA BUNUH ALTANTUYA?

Siapa Liwat Saiful Bukhari? Siapa Liwat Azizan Abu Bakar?

Salam 2 all.

Mahkamah Rayuan pada Jumaat 23 Ogos 2013 membuat keputusan menerima rayuan dan membebaskan bekas anggota Unit Tindakan Khas Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar yang disabitkan dengan kesalahan dibawah Seksyen 302 Kanun Kesiksaan atas dakwaan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu.

Mahkamah yang bersidang dengan panel hakim YA Lintoln Albert, YA Tengku Maimun Tengku Mat dan YA Apandi Ali membuat keputusan antara lain bahawa "walaupun mengakui bahawa satu pembunuhan telah berlaku, namun Mahkamah mendapati keterangan yang ada adalah tidak selamat untuk sabitan pembunuhan dibawah Seksyen 302 Kanun Kesiksaan dikenakan terhadap mereka".

Pembunuhan didakwa berlaku diantara jam 10 malam 19 Okt 2006 dan jam 1 pagi 20 Okt 2006 di Puncak Alam, Shah Alam. Kebetulan tarikh itu ialah bulan Ramadhan.

Banyak teori dan andaian dilakukan atas kes pembunuhan Altantuya ini.

Kebetulan teman sendiri pernah terlibat didalam kes ini sebagai peguam bagi Cif Inspektor Azilah Hadri diperingkat awal  perbicaraan.

Teman tidak berminat nak mengulas keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, apatah lagi Pendakwaraya telahpun memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Kita berilah ruang dan peluang untuk proses perundangan negara berjalan dan disempurnakan.

Apa yang teman nak komen ialah persoalan yang dibangkitkan oleh media termasuk akhbar The Star yang mengemukakan pertanyaan: "So who Kill Altantuya"?

Sudah pasti ada orang yang membunuh Altantuya. Melainkan ada yang otak sewel menyatakan Altantuya bom diri dia sendiri!

Teman bertanyakan soalan ini dalam konteks mengapa beriya-iya benar pihak tertentu membangkitkan persoalan ini. Sebagaimana mereka, teman juga mahu tahu siapa membunuh Altantuya.

Apa yang teman tahu berdasarkan maklumat dan keterangan yang teman terima semasa mengendalikan kes ini ialah kedua-dua Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul agak konsisten dalam penafian mereka terlibat membunuh Altantuya.

Mereka juga konsisten dalam menafikan penglibatan Dato' Sri Najib ataupun Datin Sri Rosmah dalam kes ini, walaupun ada segelintir pihak yang nampaknya begitu ghairah mahu mengaitkan Dato' Sri Najib dan isteri dengan pembunuhan itu (pada masa material, Dato' Sri Najib adalah Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri masa itu ialah YABhg Tun Abdullah Badawi). Malah hingga sanggup bersumpah menafikan perkara tersebut.

Dan bila teman sendiri menyiasat, ternyata kenyataan mereka disokong oleh bukti dan keterangan yang ada. Malah Datin Sri Rosmah pada malam kejadian 19.10.2006 itu didapati sedang berbuka puasa dan bertarawih dengan anak-anak yatim dalam satu majlis berbuka puasa anjuran PEYATIM di Menara Tabung Haji. Malah majlis itu disiarkan didalam berita secara meluas pada ketika itu.

Berbalik kepada persoalan yang ditanya 'siapa bunuh Altantuya', teman juga bertanya soalan yang senada:

Siapa yang meliwat Saiful?

Siapa yang meliwat Azizan?

Teman tanya persoalan ini kerana seperti juga kes Altantuya yang sudah meninggal, begitu juga dengan kes Saiful dan Azizan; kedua-duanya telah diliwat. Bukti mereka diliwat pun ada.

Dalam kes Azizan dimana Anwar Ibrahim dituduh meliwatnya, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan kesalahan meliwat terhadap Anwar Ibrahim dan menjatuhkan hikuman 9 tahun penjara. YA Dato' Ariffin Jaka dengan tegas menyatakan bahawa "keterangan Azizan sekukuh Gunong Gibraltar, dan Mahkamah mendapati keterangan tanpa sebarang keraguan Anwar Ibrahim telah meliwat Azizan".

Bagaimanapun didalam rayuan di Mahkamah Persekutuan, YAA Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang bersidang dengan YA Dato' Rahmah Hussain dan YA Dato' Tengku Baharuddin Shah dalam membebaskan Anwar berkata, "untuk merumuskan penghakiman kami, walaupun setelah membaca rekod rayuan kami mendapati ada bukti dan keterangan yang mengesahkan perayu Anwar Bin Ibrahim terbabit dalam aktiviti-aktiviti homoseksual, dan kami lebih cenderong untuk mempercayai bahawa insiden yang berlaku di Tivolli Villa itu, pada sesuatu masa sebenarnya berlaku, namun Mahkamah ini sebagai Mahkamah undang-undang hanya boleh mensabitkan perayu sekiranya pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan seperti mana yang tertera didalam pertuduhan" (rujuk [2004] 3 MLJ 405 mukasurat 448).

Bermakna walaupun Mahkamah percaya memang Azizan telah diliwat dan Anwar Ibrahim terlibat dengan akitiviti homoseksual termasuk meliwat Azizan, namun Mahkamah tetap membebaskan Anwar kerana kekangan perundangan!

Begitu juga didalam kes pertuduhan Anwar Ibrahim meliwat Saiful Bukhori Azlan, Hakim Mahkamah Tinggi YA Dato'  Mohamad Zabidin Mohd. Diah telah memutuskan pada 09 Januari 2012 bahawa "keterangan yang ada (terutama berkaitan penjagaan spesimen DNA) tidak cukup selamat untuk Mahkamah mensabitkan kesalahan meliwat".

Walaupun Mahkamah mengakui ada bukti jelas Saiful Bukhari telah diliwat, namun kekangan undang-undang tidak membolehkan Mahkamah mensabitkan kesalahan meliwat terhadap Anwar Ibrahim.

(Nota: Pendakwaraya telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan kes ini akan didengar tidak lama lagi).

 Apa maksud teman menulis ini?

Maksudnya ialah ada kes dimana Mahkamah berpuashati kejadian berlaku, samada pembunuhan Altantuya, kes liwat Azizan, mahupun kes meliwat Saiful; tetapi kekangan undang-undang tidak membolehkan Mahkamah mensabitkan kesalahan terhadap mereka yang dituduh.

Ini bukan bermakna Mahkamah menafikan kejadian berlaku, tetapi undang-undang sedia ada tidak membenarkan Mahkamah mensabitkan kesalahan!

Altantuya tetap telah dibunuh!

Azizan tetap telah diliwat!

Saiful tetap telah diliwat!

Persoalannya ialah; Siapa yang telah melakukan jenayah-jenayah terkutuk itu?

Mungkin kita tidak akan mendapat jawapannya sehingga kiamat. Namun sebagai umat Islam kita percaya dan yakin; ALLAH Maha Mengetahui, mungkin pelaku jenayah akan terlepas daripada hukuman dunia, tetapi yakinlah mereka tidak akan terlepas daripada hukuman ALLAH nanti!

Yang baik dan benar datang daripada ALLAH, yang tidak adalah kelemahan teman sendiri. Semoga ALLAH terus memberikan petunjuk dan hidayah kebenaran kepada kita semua insyallah.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
22 Syawal 1434
29 Ogos 2013

22 August 2013

KALIMAH ALLAH


Ini adalah kesan secara langsung yang akan berlaku dalam negara ini saperti yang telah dan sedang berlaku di Indonesia jika permohonan Archbishop KL dibenarkan menggunapakai kalimah ALLAH.

Salam 2 all.

Alhamdulillah hari ini Khamis 15 Syawal 1434 bersamaan 22 Ogos 2013, dalam keadaan umat Islam masih meraikan kemenangan Ramadhan dan negara menanti sambutan kemerdekaan, kes permohonan Titular Archbishop Kuala Lumpur untuk membatalkan rayuan yang dibuat oleh Kerajaan berkaitan isu pelarangan penggunaan kalimah ALLAH oleh pihak Gereja melalui penerbitan akhbar The Herald.

Dan saya mengucapkan syukur yang tidak terhingga kehadrat ALLAH swt kerana memberi saya keizinan dan kekuatan untuk turut hadir bersama barisan peguam hebat dan handal dari kalangan NGO Melayu-Islam. Aamantu billah summastaqeem - Ya ALLAH, berikan aku kekuatan dan istiqomah untuk terus memperjuangkan risalah Mu Ya ALLAH! Dan jauhkan aku daripada fitnah dunia dan akhir zaman, ameen!

Kes permohonan didengar di Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman Putrajaya diketuai oleh YA Dato' Abu Samah Nordin yang bersidang bersama YA Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim dan YA Dato' Rohana Yusof.

Sebagai latarbelakang, kes kemelut kalimah ALLAH ini bermula apabila Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan notis bertarikh 07 Januari 2009 melarang akhbar The Herald daripada menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitannya.

Pada 16 Februari 2009, Archbishop Murphy Pakiam mewakili pihak Titular Gereja memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan pelarangan KDN tersebut. Alasan mereka antara lain ialah kristian juga berhak menggunakan kalimah ALLAH sebagai gantinama God didalam Bible terbitan Bahasa Melayu mereka.

Permohonan didengar dihadapan Hakim YA Datuk Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah pada 31.12.2009, enam hari selepas perayaan Krismas dan sehari diambang sambutan Tahun Baru Kristian, mengeluarkan perintah membatalkan pelarangan KDN tersebut.

Kesan daripada keputusan itu bermakna kristian berhak menggunapakai kalimah ALLAH dalam apa bentuk sekalipun.

Kerajaan telah memfailkan rayuan yang septutnya didengar oleh Mahkamah Rayuan Malaysia. Rayuan itu telahpun ditetapkan pada 10 Sept 2013. Sementara menunggu rayuan, kesemua pihak bersetuju untuk menangguhkan perlaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi itu.

Bagaimanapun, sementara menanti rayuan didengar, pihak Gereja Kristian telah memfailkan permohonan untuk membatalkan rayuan yang dibuat oleh Kerajaan. Alasan mereka ialah kerana selepas keputusan Mahkamah Tinggi itu, Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan satu surat mengandungi 10-Point Resolution bertarikh 11.04.2011 yang antara lain membenarkan kristian mengimpot masuk Bible dalam semua bahasa.

Peguam pihak Gereja, Porries Ryan menhujahkan bahawa surat tersebut memberi kesan membatalkan pelarangan KDN tersebut, maka isu rayuan pelarangan penggunaan kalimah ALLAH adalah tidak relevan dan hanya bersifat akademik.

Barisan peguam Kerajaan dan Majlis Agama Negeri-Negeri termasuk Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) menghujah balas dengan menyatakan bahawa surat tersebut tidak relevan kerana ianya tidak menyentuh tentang kebenaran menggunakan kalimah ALLAH, sebaliknya hanya mengenai soal kemasukan Bible ke dalam negara ini. Selanjutnya, surat tersebut tidak mempunyai kesan undang-undang kerana ia tidak boleh membatalkan budibicara Menteri Dalam Negeri yang dibuat menurut Seksyen 6 Akta Percetakan & Penerbitan.

Setelah mendengar hujah kesemua pihak, Mahkamah telah menangguhkan keputusan ke jam 03.00 petang. Kesemua pihak berdebar menanti keputusan tersebut terutamanya umat Islam. Kehadiran umat Islam yang begitu ramai daripada pelbagai latarbelakang dan mewakili pelbagai pertubuhan (termasuk Timbalan Menteri Dato' Razali turut kelihatan) telah memeriahkan suasana.

Disiplin dan akhlak baik yang ditunjukkan oleh umat Islam yang berada diluar Kompleks Istana Kehakiman dengan berzikir, bersalawat dan membaca ayat-ayat Al Quran memberikan satu harapan baru untuk ukhwah Islammiyyah. Manakala umat Islam yang penuh sesak didalam dewan perbicaraan Mahkamah telah hadir dengan penuh sopan dan berakhlak.

Walaupun wakil gereja dan penganut agama asing serta kumpulan media asing turut hadir termasuk wakil beberapa kedutaan termasuk Kedutaan Amerika, namun mereka langsung tidak ganggu oleh umat Islam, malah mereka dapat hadir bersama dengan aman harmoni didalam Mahkamah.

Bagi umat Islam, sekiranya Mahkamah membenarkan permohonan Titular Archbishop KL tersebut untuk membatalkan rayuan Kerajaan, maka sekaligus dan serta-merta pihak kristian sudah boleh menggunapakai kalimah ALLAH. Malah saperti yang saya sebut kepada beberapa wakil media asing, "if the Court were to allow the application to strike out, it means that the Christians can start publishing their publication using the word ALLAH almost immediatley"!

Tepat jam 3.30ptg, ketiga-tiga Hakim telah keluar memasuki Dewan Mahkamah. Suasana sepi menanti keputusan. Yang Arif Dato' Abu Samah Nordin, yang mempengerusikan sidang menyatakan bahawa Mahkamah telah mencapai keputusan sebulat suara. Dengan keputusan 3-0, Mahkamah menolak permohonan Titular Archbishop Gereja KL atas alasan surat PM itu tidak relevan dalam menentukan isu pelarangan penggunaan kalimah ALLAH.

Ini adalah kerana hanya Menteri Dalam Negeri sahaja yang boleh mengeluarkan larangan dan membatalkan larangan penggunaan kalimah ALLAH menurut Akta Percetakan & Penerbitan. Memandangkan Menteri KDN sendiri telah menmbuat Surat Akuan Sumpah bahawa pelarangan tersebut masih kekal dan belum dibatalkan, maka isu pelarangan kalimah ALLAH itu masih kekal berkuatkuasa dan perlu dibicarakan sepenuhnya dalam rayuan nanti.

Keputusan Mahkamah itu disambut dengan gemaan laungan takbir ALLAH huakbar oleh mereka yang hadir di Kompleks Istana Kehakiman.

Mahkamah juga mengarahkan supaya rayuan Kerajaan mengenai keputusan Hakim Datuk Lau Bee Lan bertarikh 31.12.2009 membatalkan pelarangan penggunaan kalimah ALLAH hendaklah dihujahkan sepenuhnya dalam perbicaraan rayuan yang ditetapkan pada 10 Sept 2013.

Alhamdulillah, kita dimenangkan ALLAH bagi pusingan ini. Kita berdoa kepada ALLAH supaya memenangkan kita pada 10.09.2013 nanti.

Saya bagi pihak rakan peguam yang lain mengucapkan jutaan terimakasih kepada semua pihak yang hadir dan memberi sokongan sepenuhnya. Malah ada yang datang sejauh Johor dan Kedah. Kepada mereka, saya ingin rakamkan penghargaan kami. Kehadiran mereka semua memberi semangat dan kekuatan kepada para peguam untuk meneruskan perjuangan mempertahankan kalimah Tauhid ini.

Kepada semua umat Islam, marilah kita terus memberikan sokongan dengan hadir beramai-ramai pada hari Selasa 04 Zulqaedah 1434 bersamaan 10 Sept 2013 jam 09.00pagi di Mahkamah Rayuan Malaysia, Kompleks Istana Kehakiman Putrajaya. Ketepikan sentimen politik jumud, assobiyyah dan sempit; sebaliknya marilah kita umat Islam bersatu untuk mempertahankan aqidah kita.

Kita umat Islam Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu Qiblat dan Satu Aqidah; sewajarnya kita menjadi Satu Umat!

Semoga ALLAH memberikan petunjuk dan hidayah, serta menganugerahkan kita istiqomah dalam keimanan kepada ALLAH.

Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
15 Syawal 1434
22 Ogos 2013