Gereja Sidang Jemaat ALLAH di
Batu Tulis, Jakarta Pusat, Indonesia
FITNAH KALIMAH SYIRIK
Firman
Allah swt, “sesungguhnya Yahudi dan
Kristian selama-lamanya tidak akan sekali-sekali redha dan setuju dengan kamu
(wahai umat Islam) selagi kamu tidak menurut cara kehidupan dan agama mereka.
Katakanlah, sesungguhnya petunjuk Allah (yakni Al-Quran) adalah benar dan cukup
bagi kami. Tetapi jika kamu masih mahu menuruti mereka sedangkan sudah sampai
kepada kamu ilmu kebenaran (yakni Al-Quran), maka tidak akan ada bagimu
pelindung dan pertolongan daripada ALLAH”
Al-Baqarah: 120
MUQADDIMAH
Konspirasi
gerakan kristianisasi global sedang bergerak dengan begitu agresif termasuk di
Malaysia. Terutamanya di dalam negara kita. Paling mutakhir adalah tuntutan
mereka untuk diberi hak menggunakan kalimah ALLAH didalam kitab dan penerbitan
mereka!
Apakah
kesan yang akan terjadi kelak jika kristian dibenarkan menggunakan kalimah
ALLAH dalam negara kita?
Apakah
nanti kita boleh menjamin apabila anak kita mengucapkan “La ila ha illalah – Tidak ada Tuhan melainkan ALLAH”; adakah kita
yakin anak kita sedang merujuk kepada ALLAH sebagaimana yang difahami umat
Islam sebagai ALLAH Maha Esa? Atau dia sedang merujuk kepada ALLAH Triniti Tiga
dalam Satu yang cuba
disogok kepada kita oleh missionari kristian – ALLAH Bapak, ALLAH Putera dan
ALLAH Roh Kudus!
Inilah
yang perlu kita fahami. Itulah kesan secara langsung yang akan berlaku jika
pihak kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH dalam negara ini.
Dalam
satu insiden perkahwinan artis terkenal di sebuah negara jiran, pengantin
lelakinya beragama Islam manakala wanitanya beragama kristian. Lalu si wanita
ditanya apakah dia akan memeluk agama Islam menuruti bakal suaminya. Jawapan
wanita pelakon terkenal lagi jelita ini wajar menjadi iktibar dan pengajaran
buat kita:
Apa
perlu saya menukar agama! Bukankah tuhan saya dan tuhan dia sama – ALLAH!
Na’uzubillah minzalik!
TUNTUTAN TITULAR ARCHBISHOP KUALA LUMPUR
Kemelut
isu tuntutan penggunaan kalimah ALLAH oleh Titular Archbishop Kuala Lumpur (“Gereja”) masih berterusan. Kementerian
Dalam Negeri (KDN) telah merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi YA
Datuk Lau Bee Lan pada 31 Disember 2009 yang membenarkan pihak Gereja
menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan mereka bernama The Herald.
Asas
kepada keputusan itu ialah antara lain adalah kerana kalimah ALLAH sudah
digunapakai oleh kristian di Sabah dan Sarawak
buat sekian lama. Maka berdasarkan Artikel 3 dan Artikel 11 Perlembagaan
Persekutuan, pihak gereja, kata Mahkamah, sewajarnya dibenarkan dan dijamin
kebebasan menggunakan kalimah ALLAH dalam menjalankan amalan agama mereka.
Saya
tidak bercadang mengupas kes ini kerana ianya masih diperingkat rayuan yang
akan didengar pada 22 Sept 2013. Kita akan memberi ruang dan peluang supaya
Mahkamah Rayuan dan sistem kehakiman Malaysia dibenarkan mendengar
rayuan ini menurut lunas undang-undang sedia ada.
BIBLE AL-KITAB
Bagaimanapun,
saya telah berpeluang membaca secara sepintas lalu sebuah terjemahan Bible
dalam Bahasa Melayu yang dipanggil Al-Kitab. Memandangkan ianya telah
diterjemahkan kedalam Bahasa Melayu, maka saya berhak untuk mengulas dan
membuat komen yang sepatutnya tanpa bermaksud menghina atau memperlekeh agama
kristian.
Satu
perkara fundamental yang saya dapati setelah membaca Bible Al-Kitab versi Melayu ini ialah sebenarnya ia bukan Kitab
Injil seperti yang umat Islam fahami. Ia sebenarnya adalah terjemahan kitab
yang dipanggil Bible daripada versi Bahasa Inggeris.
Selain Al Quran, kita umat Islam dituntut mempercayai kitab
Taurah (Nabi Musa as), Injil (Nabi Isa as) dan Zabur (Nabi Daud as). Malah
mempercayainya adalah sebahagian daripada Rukun Iman. Kita percaya sebagaimana
Al Quran, kitab Taurah, Injil dan Zabur adalah wahyu daripada ALLAH. Sebab itu
kita memanggil mereka yang beriman dengan kitab-kitab itu sebagai ahli kitab,
dan kepercayaan mereka disebut sebagai agama wahyu.
Bagaimanapun, kita umat Islam mempercayai Kitab Taurah dan
Injil yang asal sudah tidak ada, malah apa yang ada hari ini kita percaya telah
diselewengkan. Saya tidak bercadang untuk membahaskan isu ini kerana menumpukan
kepada isu kalimah ALLAH. Mungkin kita akan bahaskannya di forum yang lebih
bersesuaian.
Apa yang kita tahu, apa yang dipanggil Bible oleh penganut kristian sebenarnya adalah gabungan dua buah
buku yang dipercayai kitab suci oleh umat kristian iaitu Old Testament (Kitab Perjanjian
Lama) dan New Testament (Kitab Perjanjian
Baru).
Kitab Perjanjian Lama dijadikan kitab suci bagi penganut agama
Yahudi (selain Tsalmud dan lain-lain). Kitab Perjanjian Lama ini adalah kitab
bagi penganut Yahudi dan masih kekal digunakan oleh mereka dalam bahasa Hebrew
atau Ibrani.
Manakala Kitab Perjanjian Baru pula adalah buku yang dikatakan
ditulis oleh seorang pendita Kristian berbangsa Roman bernama Saul (nama beliau dipopularkan sebagai
Paul sekarang ini) dan beberapa penulis lain. Buku asal yang dipanggil Kitab Perjanjian Baru tulisan Saul
ini adalah dalam bahasa Greek.
Pihak gereja Kristian kemudiannya telah menggabungkan
kedua-dua Kitab Perjanjian Lama dan Kitab Perjanjian Baru ini dan diberi label
sebagai Bible. Kitab Perjanjian Lama diterjemahkan ke bahasa Inggeris
lama daripada teks asal bahasa Ibrani, manakala Kitab Perjanjian Baru
diterjemahkan ke bahasa Inggeris lama daripada bahasa asal Greek
Maknanya Bible versi
bahasa Inggeris yang ada pada masa ini adalah terjemahan ke Bahasa Inggeris
daripada bahasa Hebrew (bagi Perjanjian Lama) dan bahasa Greek (bagi Perjanjian
Baru). Gabungan kedua-dua kitab ini dipanggil Bible.
Kitab Bible versi Bahasa Inggeris inilah yang menjadi sumber
kepada penterjemahan ke Bahasa Melayu-Indonesia yang dipanggil Bible
Al-Kitab.
Saya tidak bercadang mengupas tentang kewujudan begitu banyak
Bible yang berlainan versi. Ini telah dikupas dengan begitu baik oleh
Allahyarham Sheikh Ahmad Deedat dan rujukan boleh dibuat kepada kupasan beliau.
BIBLE ASAL
Apa pun, kita perlu sedar bahawa Nabi Musa as dan Nabi Isa as
adalah berbangsa Yahudi. Oleh itu kitab asal yang diturunkan kepada mereka
sudah tentu dalam bahasa Yahudi; iaitu bahasa Hebrew Aramaic atau Ibrani.
Bermakna yang boleh dan
layak dipanggil kitab suci ialah teks dalam bahasa Ibrani, iaitu bahasa yang
digunapakai oleh Nabi Musa as dan Nabi ‘Isa as. Itulah kitab yang sepatutnya
menjadi otoriti. Sebagaimana Al Quran dalam bahasa ‘arab bagi umat Islam.
Maka dalam membahas persoalan kalimah ketuhanan dalam fahaman
dan kepercayaan agama Kristian, kita wajib merujuk semula kepada kitab-kitab
asal ini.
Bermakna apabila terjemahan ke bahasa Melayu-Indonesia dibuat,
ia sudah melalui tiga terjemahan – Ibrani – Greek – Inggeris lama – Inggeris
baru – Melayu-Indonesia!
Ini bermakna Bible Al-Kitab
versi bahasa Melayu-Indonesia tidak layak dipanggil kitab suci asal, sebaliknya
ianya hanyalah sebuah terjemahan.
Sebagaimana terjemahan teks asli Al Quran dalam Bahasa ‘Arab kedalam
bahasa Inggeris oleh Yusuf Ali, atau kedalam Bahasa Melayu oleh Sheikh Abdullah
Basmeih atau Buya Hamka.
Kita umat Islam tidak boleh memanggil terjemahan Yusuf Ali,
terjemahan Sheikh Abdullah Basmeih atau terjemahan Buya Hamka sebagai Al Quran.
Ia hanya terjemahan Al Quran, sebab itu memegangnya tidak perlu berwuduk; malah
jika dalam keadaan hadas besar pun masih boleh memegang dan membaca
terjemahannya.
Sekurang-kurangnya terjemahan Al Quran dibuat berdasarkan dan
bersumberkan terus daripada teks asal Al Quran berbahasa ‘arab, dengan teks
asal ‘Arab sebagaimana yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw tetap ditulis
dalam terjemahan tersebut. Sebaliknya terjemahan Bible Al-Kitab versi Melayu-Indonesia
langsung tidak disertai dengan teks asal bahasa Ibrani.
Jadi dakwaan menyatakan
Bible atau Al-Kitab terjemahan bahasa
Melayu-Indonesia sebagai kitab suci asal dan asli adalah tidak berasas sama
sekali. Ia hanyalah satu terjemahan!
NAMA KETUHANAN DALAM BIBLE – ELOHIM, ELI &
ELOI
Berbalik kita kepada isu nama ketuhanan, maka sudah tentu
kalau kita mahu menemui soal nama ketuhanan kristian kita wajib merujuk kitab
asal dalam bahasa Ibrani. Adalah tidak logik jika kita merujuk kepada
terjemahan Greek, Inggeris, Arab, apatah lagi terjemahan Melayu-Indonesia
kerana itu bukan kitab asal.
Didalam Kitab Perjanjian Lama berbahasa Ibrani, nama tuhan
mereka (saya rujuk versi yang tulisannya dalam huruf Romani bukan tulisan asal
Ibrani) disebut sebagai YHWH, tanpa vowel kerana bahasa Ibrani dikatakan
tiada mengandungi vowel.
Namun mereka dilarang menyebut nama tersebut berdasarkan
terjemahan ayat Lev, 24:16 yang menyebut “He
that names the name Yahweh shall surely be put to death”. Sesiapa yang
menyebut nama YHWH pasti akan dihukum mati!
Maka mereka seboleh-bolehnya mengelak menyebut nama tersebut.
Sebaliknya mereka menyebutnya dengan ganti nama seperti Eli, Eloi, Adonai atau Elohim
dan lain-lain.
Kalau kita melihat Kitab Perjanjian Lama yang asal dalam
bahasa Ibrani, tuhan yang menjadi sembahan orang kristian disebut Elohim (atau Eli atau Eloi). Dan
inskripsi zabad yang diguna untuk
terjemahan ke bahasa arab menterjemahkan Elohim
sebagai Ilah.
Perkataan Elohim juga
diterjemah kedalam bahasa kristian Maluku sebagai Tete Manis, Dayak sebagai Jubata, Filipina sebagai Diyos, Bali
sebagai Sang Hyang Widi, Yunani
sebagai Theos, dan di Eropah dan Amerika sebagai God.
Apa yang lebih menarik
ialah apabila tercetus kontroversi lagu nyanyian Agnes Monica berjudul “Allah Peduli” yang menggunapakai kalimah
ALLAH sebagai tuhan jesus dalam lirik “sebab
Allah Yesus ku mengerti”, Yayasan Lentera Bangsa (sebuah pertubuhan
kristian Indonesia) telah menerbitkan Bible versi baru dipanggil Kitab Suci Indonesia Literal Translation (KS-ILT) yang
menggugurkan penggunaan kalimah ALLAH, sebaliknya digantikan dengan kalimah Elohim.
NAMA KETUHANAN DALAM BIBLE - JESUS
Manakala nama Jesus yang
selalu kita dengar digunakan oleh orang kristian adalah nama yang dikatakan manifestasi
tuhan, atau Son of God, Anak Tuhan. Sebenarnya nama Jesus dalam bahasa Ibrani
yang menggunakan huruf Romani ditulis sebagai Yeshua – bermaksud “penyelamat” atau “pembawa risalah”.
Ia diterjemahkan sebagai “Ieosus” dalam bahasa Greek, kemudian
diterjemah sebagai “Yesus” dalam bahasa Inggeris lama, kemudian menjadi “Jesus”
dalam bahasa Inggeris moden.
Dalam Islam, Jesus disebut dengan panggilan ‘Isa Al Masih,
atau Ibnu Maryam, dan Baginda dianggap sebagai salah seorang Nabi dan Rasul
utusan ALLAH, bukannya anak ALLAH!
Mungkin kita boleh bertanya soalan seperti berikut: adakah Nabi
‘Isa atau Yeshua akan menyahut sekiranya dia hidup kembali dan dipanggil orang
dengan nama Jesus?
Kita sendiri pun tahu jawapannya yang cukup jelas, iaitu sudah
pasti tidak kerana nama Jesus bukan namanya. Sama seperti nama Abu Bakar dalam
bahasa Melayu, jika ditukar menjadi Ash Burn pasti tidak akan disahut oleh Abu
Bakar jika dipanggil dengan nama sedemikian; kerana Ash Burn bukan namanya!
Atau kita memanggil Tiger Wood dengan
nama Rimau Kayu. Pasti beliau sendiri
tidak akan mengenali nama Rimau Kayu!
Dan bertambah mengelirukan saya ialah apabila membaca Matthew
27:46 bilamana Yeshua dicatat sebagai berkata (semasa diatas salib
menanti saat kematian) “Eli Eli lama sabachthani” yang
diterjemahkan didalam bahasa Inggeris seperti berikut: “My God my God, why have you
forsaken me”; dan dalam Mark 15:34 dicatat pula Yeshua berkata
(juga semasa diatas salib) “Eloi Eloi lama sabachthani?” yang diterjemahkan kedalam bahasa
Inggeris moden seperti berikut: “My God my God, why have you forsaken me?”.
Sepatutnya terjemahan yang tepat bagi ayat-ayat ini berdasarkan
versi bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu-Indonesia ialah “Tuhanku
Tuhanku, mengapa Engkau meninggalkan aku”.
Tetapi apa berlaku adalah sebaliknya. Terjemahan dalam Bible Al-Kitab
versi Melayu-Indonesia disebut sebagai “Ya Allah-ku, Ya
Allah-ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku”.
Persoalannya ialah, mengapa mereka memilih untuk menggunakan
kalimah Allah sebagai gantinama ‘God’, sedangkan gantinama yang lebih tepat
ialah “Tuhan”?
DIANTARA GANTINAMA ‘ALLAH’ DAN ‘TUHAN’
Selanjutnya jika kita membaca terjemahan bible bahasa Inggeris
mahupun Melayu-Indonesia, China mahupun Tamil, kita akan dapati mereka banyak
menyebut nama tuhan dalam bentuk deskriptif, bukan substantif atau nama khas.
Contohnya mereka akan menyebut God The Father, The Son and The
Holy Spirit. Dalam terjemahan bahasa Melayu-Indonesia versi Al-Kitab disebut
sebagai Allah Bapa, Allah Putera dan
Allah Ruh Kudus. Sepatutnya terjemahan yang lebih tepat ialah Tuhan
Bapa, Tuhan Putera dan Tuhan Ruh Kudus, iaitu dengan menggunakan
gantinama “Tuhan” bukan “Allah”!
Sedangkan dalam bahasa China ianya disebut sebagai Sheng
Fu, Sheng Zu dan Sheng Ling.
Manakala dalam bahasa Tamil disebut sebagai Suthan, JesaPa dan Parisutha.
Jelas daripada deskriptif ketuhanan diatas, kalimah ALLAH
tidak digunakan dalam semua bahasa yang disebut termasuk bahasa China
mahupun Tamil walaupun ianya merujuk kepada perkara yang sama! Hanya dalam
versi terjemahan bahasa Melayu-Indonesia kalimah ALLAH digunakan!
Persoalannya ialah : MENGAPA?
Sedangkan perkatan God atau
Sheng dalam bahasa China kalau diterjemahkan kedalam
bahasa Melayu bermakna Tuhan. Jadi timbul persoalan, mengapa kristian di Malaysia
berkeras mahu menggunakan kalimah ALLAH sebagai gantinama God atau Sheng didalam
bible terjemahan bahasa Melayu; sedangkan terjemahan yang lebih tepat ialah ‘Tuhan’?
AGENDA TERSIRAT GERAKAN KRISTIANISASI
Adakah mereka mempunyai maksud atau agenda yang tersirat?
Jawapannya boleh kita lihat dalam pendedahan mereka sendiri
didalam majalah Christianity Today (dikeluarkan
di Chicago, Amerika Syarikat terbitan bulan Julai 2009) yang dengan jelas
menyatakan “penggunaan kalimah Allah (dalam terjemahan versi Melayu-Indonesia)
adalah suatu usaha strategik kalau bertujuan untuk membuatkan mereka meemahami
siapa Christ! Jika kalimah ALLAH tidak digunakan akan menyebabkan umat Islam
tidak akan membaca Bible!”.
(sila rujuk www.christianitytoday.com/ct/2009/august/14.15.html
di mukasurat 2).
Itulah respon dan
komentar oleh majalah kristian Christianity
Today (terbitan Julai 2009) apabila Majlis Agama Islam Selangor telah pada
bulan Mac 2009 mengharamkan lagu nyanyian Agnes Monica yang menayalahgunakan
kalimah ALLAH!.
Adalah jelas penyanyi dari Indonesia ini yang membawa lagu
bertajuk “Allah Peduli” bermaksud tuhan kristianiti dalam bentuk trinity apabila
dengan jelas di rangkap akhir menyebut “ Allah mengerti, Allah peduli, segala
persoalan yang kita hadapi, tak akan pernah dibiarkannya, ku bergumul sendiri,
sebab Allah Yesus ku mengerti”.
Dalam menjalankan dakyah dan strategi missionari mereka, strategi
gerakan kristianisasi global adalah untuk membuatkan umat Islam supaya tidak
berasa janggal apabila membaca bahan-bahan bacaan kristian termasuk Bible.
Ini bermakna penggunaan kalimah ALLAH bukan bermaksud nama
ketuhanan penganut kristian, tetapi adalah usaha strategik dakyah mereka untuk
memperdaya umat Islam kepada mengenali dan akhirnya nanti mempercayai ALLAH
adalah ketuhanan kristian Jesus Christ, bukan ALLAH Maha Esa, na’uzubillah!
Sebab itu nama bible ditukar menjadi Al-Kitab. Sebab itu mereka menggunakan kalimah Allah. Sebab itu sermon mereka ditukar menjadi khutbah
dan ada yang disampaikan dalam bahasa Melayu. Dan mutakhir disebuah negara
jiran, mereka dikatakan merancang menukar hari sembahan mereka ke hari Jumaat
sesuai dengan hari Jumaat sebagai saiyyidul
ayyam, penghulu segala hari bagi umat Islam termasuk hari solat fardhu
Jumaat didirikan!
Tidakkah ini semuanya akan mengelirukan; kelak nanti sudah
tidak ada beza semantik dan bahasa antara Islam dan Kristian; kelak nanti tidak
akan ada beza semantik kalimah ALLAH dalam Islam dan Kristian. Maka mudahlah
untuk mereka menjadi caleb – menyusup
masuk dan menusuk jarum-jarum halus dakyah mereka dikalangan umat Islam.
Akhirnya daripada isu linguistik dan semantik, ianya akan
berubah menjadi krisis aqidah!
CONTOH-CONTOH SALAHGUNA KALIMAH ALLAH
Akhir sekali, mari kita lihat bagaimana contoh-contoh kalimah
ALLAH yang telah disalahgunakan untuk membawa maksud yang mensyirikkan, bahawa
kalimah ALLAH itu adalah Tuhan Triniti – Tuhan Tiga Dalam Satu iaitu Tuhan
Bapa, Tuhan Anak dan Tuhan Ruh Kudus.
- Disebut dalam terjemahan Al Kitab (ms 197 ayat 25-27) “Akulah yang memberi hidup dan membangkitkan orang mati”, kata Yesus kepada Marta. “Orang yang percaya kepada Ku akan hidup, walaupun ia sudah mati. Dan orang hidup yang percaya pada Ku, selama-lamanya tidak akan mati. Percayakah engkau akan hal itu. “Tuhan,” jawab Marta, “saya percaya Tuhan Anak Allah, Raja Penyelamat yang akan datang kedunia ini”.
- Disebut alam terjemahan Al Kitab (ms 379 ayat 9) “jika Peti Perjanjian itu dibawa kearah negerinya sendiri, iaitu Bet-Semes, itu bererti bahawa Allah orang Israellah yang telah mendatangkan celaka yang hebat itu kepada kita. Tetapi jika pedati itu tidak menuju kesana, kita akan tahu bahwa musibah itu bukan dari Allah Israel, melainkan kebetulan saja”;
- Disebut dalam terjemahan Al Kitab (ms 246 ayat 13) “hormatilah TUHAN, Allahmu, dan berbaktilah kepada Dia sahaja, dan bila kamu bersumpah, lakukanlah demi nama Nya saja”;
- Lafaz dalam upacara baptis berbunyi “saya membaptiskan kamu dengan atas nama Allah Bapa, dengan atas nama Allah Putera dan dengan atas nama Allah Ruh Kudus”;
- Risalah menyebut “Rencana Allah Untuk Menyelamatkan Kita Dari Dosa Ialah Dengan Mengutus Anaknya Yang Tunggal”;
- Risalah menyebut “Yesus Adalah Allah Dalam Bentuk Manusia”;
- Risalah bertajuk “Allah Pilih Pemimpin” menceritakan ketuhanan triniti;
- Risalah bertajuk “Firman Allah Hidup” menceritakan tentang bible;
- Risalah bertajuk “Jalan Kepada Allah” menceritakan tentang pengutusan Jesus;
- Nama sebuah gereja iaitu Gereja Katolik Santa Maria Bonda Allah;
- Nama sebuah gereja iaitu Gereja Kristus Domba Allah;
- Nama sebuah gereja iaitu Gereja Sidang Jemaat Allah;
- Nama sebuah gereja iaitu Gereja Allah Itu Kasih;
- Tajuk lagu “Allah Peduli” dengan lirik menyebut “Allah mengerti, Allah peduli, Segala persoalan yang kita hadapi, Tak akan pernah dibiarkannya, ku bergumul sendiri, Sebab Allah Yesus ku mengerti” nyanyian Agnes Monica;
- Tajuk lagu “Harapan Bangsa” dengan lirik menyebut “Bapa engkaulah harapan negara ini, Kaulah satu-satunya harapan di bumi Malaysia, Yesus engkaulah harapan segala bangsa, Nyatakanlah kebenaran mu” nyanyian Jaclyn Victor;
Satu persoalan fundamental yang saya mahu lontarkan disini
ialah; apakah makna ayat-ayat diatas akan berubah jika kalimah ALLAH yang disalahgunakan
dalam contoh-contoh tersebut ditukar dengan terjemahan yang lebih tepat iaitu
perkataan “Tuhan”?
Jawapannya jelas iaitu TIDAK! TIDAK! TIDAK!
Malahan penggunaan perkataan “TUHAN” adalah lebih tepat dari
segi terjemahan dalam bahasa Melayu, bukannya ‘ALLAH’!
RUMUSAN
Sebab itu saya merumuskan bahawa cubaan dan usaha gigih kaum
kristian termasuk pihak Gereja beriya-iya mahu menggunakan kalimah ALLAH
sangatlah mencurigakan! Apakah sebenarnya niat mereka?
Sedangkan bagi umat Islam, kalimah ALLAH itu adalah kalimah
tauhid, membabitkan asas aqidah. Ini jelas daripada fatwa yang dikeluarkan oleh
Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke 82 yang bersidang pada.5-7 Mei 2008.
Dan alhamdulillah fatwa tersebut dipersetujui oleh Majlis
Syura PAS yang mengeluarkan pendapat pada 13 Januari 2013 menyatakan pendirian
bahawa kalimah ALLAH hanya boleh digunakan untuk tujuan dan maksud yang
difahami Islam. Pendirian ini sebenarnya senada dengan pendirian Timbalan
Mursyidul Am PAS Dato’ Dr. Haron Din yang menyatakan sesiapa yang membenarkan
atau bersetuju untuk kristian menggunakan kalimah ALLAH maka itu adalah satu
perbuatan syirik, na’uzubillah!
Pendirian ini sekaligus menyanggah pendirian Presiden PAS YB
Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bersetuju dengan pendirian Anwar Ibrahim dan
Lim Kit Siang yang membuat pendirian pada 08 Januari 2013 yang bersetuju dengan
tuntutan Lim Guan Eng yang dibuat pada 25 Dis 2012 supaya kristian dibenarkan
menggunakan kalimah ALLAH!
Bagi umat Islam, isu
kalimah ALLAH adalah persoalan aqidah. Dan kita tidak akan berkompromi walau
sebesar zahrah sekalipun dalam isu ini. Jika dalam mempertahankan kalimah ALLAH
kita dilabel ekstremis, maka kita rela digelar ekstrimis daripada menjadi peliwat
aqidah. Jika membela kalimah ALLAH kita dilabel jumud, maka lebih baik manusia
menggelar kita jumud daripada ditempelak ALLAH sebagai pengamal syirik!
PELAN TINDAKAN
Sebab itu saya mencadangkan langkah-langkah berikut untuk
diambil tindakan:
- untuk jangka pendek, saya berharap umat Islam akan dapat hadir beramai-ramai esok pada 10 Sep 2013 (dan lain-lain hari yang akan ditetapkan nanti) di Mahkamah Rayuan Malaysia, Kompleks Istana Kehakiman untuk memberi sokongan moral kepada pasukan peguam kita;
- untuk jangka panjang, saya mencadangkan supaya Akta Bahan Cetak & Penerbitan dipinda dengan memasukkan satu peruntukkan baru yang melarang penggunaan kalimah ALLAH (dan lain-lain kalimah yang dinyatakan) oleh orang bukan Islam untuk tujuan selain Islam seperti terkandung didalam Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke 82. Ini sekaligus akan memberi agensi penguatkuasaan Persekutuan kuasa untuk melarang penggunaannya di peringkat Persekutuan;
- Meminda Kanun Kesiksaan dengan memasukkan satu peruntukkan baru iaitu Seksyen 298B dengan menjadikan ianya satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum diperingkat Persekutuan bagi mana-mana pihak menggunapakai kalimah ALLAH, dan lain-lain kalimah yang dilarang penggunaannya oleh Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988);
- Siri penerangan menyeluruh dengan menggunakan semua ruang penyebaran penerangan yang ada termasuk media utama, institusi khutbah, media cyber dan lain-lain mesti dilakukan untuk menyedarkan umat Islam tentang ancaman dan strategi dakyah missionary kristianisasi ini;
- Satu langkah engagement dengan golongan pendakyah kristian dan keumpulan berkepentingan non-muslim yang lain mesti dilaksanakan segera. Untuk itu wajib diwujudkan kumpulan pakar yang boleh mendepani kumpulan pendakyah dan gerakan kristian ini secara ilmiah dan professional untuk menyedarkan mereka apa yang mereka lakukan ini bukan sahaja bertentangan dengan keharmonian antara agama, malahan ianya sesuatu yang menyalahi dengan agama mereka sendiri.
PENUTUP
Allah swt telah berpesan kepada kita bahawa Yahudi dan
Kristian tidak akan redha dengan kita umat Islam selagi tidak mahu mengikut
kemahuan mereka. Akan ada dikalangan mereka yang akan berusaha cuba
memperdaya kita untuk akhirnya mempercayai Jesus it adalah anak ALLAH. Dan
penggunaan kalimah ALLAH didalam Bible Al-Kitab versi Melayu-Indonesia adalah
usaha strategik kearah itu sebagaimana yang diakui sendiri oleh mereka.
Dan Allah telah berpesan kepada kita dalam apa keadaan
sekalipun, berpeganglah kepada Al Quran, kerana ia petunjuk yang haq dan benar.
Dan Allah menegaskan dengan jelas bahawa setelah beribu-ribu
tahun kalimah Allah disyirikkan; samada
sebagai mempunyai anak (seperti Yahudi mengakui Uzair anak Allah atau kristian
mengakui Isa anak Allah) atau mempunyai sekutu (seperti Musyrikin Mekah
mengakui Latta wal Uzza sebagai sekutu Allah), maka akhirnya Allah menurunkan
penegasan muktamad melalui Nabi Muhammad saw dalam surah Al-Ikhlas:
Katakan wahai Muhamaad
bahawa ALLAH itu Ahad-Satu. Semua makhluk bergantung padanya dan Ia tidak bergantung
dengan sesiapa; Ia tidak beranak dan tidak diperanakkan; Sesungguhnya Ia
tidak sekufu dengan sesiapa dan tiada sekutu bagi Nya!
Jika kita berpegang kepada ketegasan Al Quran ini, kita akan
sentiasa dibawah rahmat dan perlindungan bantuan ALLAH. Jika kita ingkar dan
menurut hawa nafsu kuffar ini, ingatlah amaran ALLAH bahawa Dia akan berlepas
tangan daripada kita, dan tiada bantuan dan pertolongan daripada Nya buat kita,
na’uzubillah min zalik.
Dalam keadaan serangan bertubi-tubi gerakan kristianisasi
dalam isu kalimah ALLAH, dengan disokong oleh segelintir agamawan sesat dan
politikus rakus dikalangan kita; marilah kita renung persoalan yang saya
lontarkan dalam muqaddimah diatas; adakah kita yakin apabila anak kita menyebut
kalimah “La ila ha illallah – Tiada Tuhan
melainkan ALLAH”, anak kita bermaksud ALLAH Hu Ahad – ALLAH Maha Esa,
ataupun dia memahaminya sebagai ALLAH Triniti iaitu ALLAH Bapak, ALLAH Putera,
ALLAH Ruh Kudus?
Tepok dada tanyalah iman masing-masing, wallahua’lam dan
wassalam.
ZULKIFLI BIN NOORDIN
Peguambela & Peguamcara
Kuala Lumpur
Isnin
03 ZulQaedah 1434
09 September 2013
*Artikel ini telah
disiarkan didalam Mingguan Malaysia
bertarikh 08 Sept dan Utusan Malaysia
09 Sept 2013.
No comments:
Post a Comment