26 September 2013

AL-FATIHAH: USTAZ AZIZAN

Allahyarham Tan Sri Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak seorang pemimpin berjiwa besar, yang tahu membezakan diantara politik dan pemerintahan, antara parti dan Kerajaan, antara perbezaan siasah dan persahabatan. Walaupun berbeza parti, namun ukhwah Islamiyah tetap terpelihara!

Salam 2 all.

Semalam 19 ZulQaedah 1434 bersamaan 25 Sept 2013 kami mengadakan solat hajat selepas selesai solat fardhu isya' buat Ustaz Azizan Razak setelah mendapat berita daripada sahabat PAS di Kedah yang Ustaz dalam keadaan kritikal setelah diserang sakit jantung.

Dalam doa, antara lain kami menyatakan "Ya ALLAH, sahabat kami Ustaz Azizan Abdul Razak ditimpa ujian yang datangnya daripada Mu Ya ALLAH. Kami tidak mengeluh, malah kami menerima ujian yang Kau berikan ini Ya ALLAH. Namun kasihanilah sahabat kami Ustaz Azizan Abdul Razak, limpahkan rahmat dan belas ihsan Mu kepadanya. Sekiranya kesembohan adalah baik bagi amalannya, ibadahnya, kehidupannya, dunianya dan akhiratnya maka berikanlah kesembohan yang segera baginya, dan jadikanlah ia seorang hamba Mu yang bersyukur. Tetapi sekiranya kematian itu adalah lebih baik baginya, maka Kau ambillah dia dalam keadaan yang tenang, dalam keadaan Kau meredhainya dan dia meredhai Mu, dalam keadaan Kau menerimanya sebagai hambaMu, dan jadikan penamat hidupnya dalam keadaan husnul khatimah, dan masukkanlah ia dalam rahmat dan keampunan Mu. Dan jadikanlah kami dalam golongan yang sabar. Ameen Ya Rabbal 'aalamaeen".

Akhirnya jam 11.15 pagi tadi Khamis 20 ZulQaedah 1434 bersamaan 26 Sept 2013, Ustaz Azizan Abdul Razak kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Bahiyyah, Alor Setar, Kedah.

Saya mengenali Allahyarham Ustaz Azizan semenjak tahu 1997. Sewaktu itu saya aktif sebagai seorang peguam; dan Ustaz Azizan salah seorang pemimpin dikalangan ulama' PAS. Waktu itu berlaku kes murtad Nor Aishah Bukhari, dan saya peguam yang mengendalikan kes itu.

Semasa itu saya banyak mengadakan roadshow, memberi penerangan kepada umat Islam samada disurau masjid ataupun pentas politik pelbagai parti mengenai bahayanya kes murtad Aishah Bukhari. Hampir tiap hari siang malam saya menjelajah seluruh negara berseorangan tanpa parti tanpa NGO mengadakan siri penerangan.

Disitulah saya mula mengenali Allahyarham Ustaz Azizan, iaitu semasa saya mengadakan ceramah di Kuala Terengganu. Ustaz Azizan salah seorang yang dijemput berceramah dengan saya. Sejak daripada itulah saya mula mengenali Ustaz Azizan dengan lebih dekat.

Allahyarham Ustaz Azizan ni nampak je sempoi. Tapi sebenarnya seorang ahli akademik yang hebat. Beliau lulusan sarjana muda daripada Universiti Al-Azhar, Kaherah. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiy of Kent, Britain di peringkat Ijazah Sarjana Dalam Falsafah Perundangan. Tak silap saya, Allahyarham pernah menjawat jawatan Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebelum meletakkan jawatan dan menyertai politik kepartian melalui PAS. Allahyarham fasih dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan 'Arab.

Allahyarham Ustaz Azizan lahir di Sg. Limau, Yan, Kedah pada hari Khamis 07 ZulQaedah 1363, bersamaan dengan 25 Oktober 1944. Secara kebetulan Allahyarham lahir bulan ZulQaedah, dan kembali kerahmatullah juga bulan ZulQaedah. Menurut taqwim Islam, Allahyarham meninggal pada usia 71 tahun Hijriah; tetapi kalau mengikut kalendar gregorian, Allahyarham berusia 69 tahun pada hari meninggal dunia.

Allahyarham menjadi ADUN Sg. Limau sejak 1995. Dan tarikh bersejarah bagi Allahyarham ialah pada 09 Mac 2008 apabila mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang pertama daripada PAS. Dan saya antara tetamu yang dijemput hadir dan menyaksikan peristiwa bersejarah itu sebagai Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu.

Saya masih ingat lagi peristiwa selepas saya dipecat sebagai Ahli Parlimen mewakili PKR pada 06 Mac 2010, Allahyarham Ustaz Azizan  telah memanggil saya untuk bertanya pendirian saya mengenainya. Ini adalah kerana beliau Menteri Besar Kedah dan saya Ahli Parlimen dalam Negeri Kedah.

Allahyarham Ustaz Azizan tahu saya adalah ahli PAS, dan pemimpin PAS. Saya satu-satunya pemimpin PAS yang bertanding atas tiket PKR dalam PRU-12 di Kulim Bandar Baharu (kerana KBB adalah kerusi PKR dan calon mereka Allahyarham Dato' Sheikh Azmi tidak dapat bertanding kerana uzur waktu itu).

Dan Ustaz Azizan tahu saya dipecat kerana isu kalimah ALLAH; saya memberitahu Allahyarham saya tidak boleh berkompromi dalam isu itu walaupun Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan beberapa parasit dalam PAS menyokong dan bersetuju dengan cadangan membenarkan kristian menggunapakai kalimah ALLAH, dan saya tegaskan akan terus menentang walaupun berseorangan.

Apa yang saya dan Allahyarham Ustaz Azizan bincang pada masa itu biarlah kami simpan dalam lipatan sejarah kami; termasuk apa yang Allahyarham komen mengenai Anwar Ibrahim dan DAP!

Saya memberitahu Allahyarham bahawa saya akan kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas tetapi bersedia membantu beliau jika diperlukan termasuk perkara berkaitan dengan Kerajaan Persekutuan. Allahyarham Ustaz Azizan tahu saya mempunyai hubungan baik dengan pimpinan Kerajaan Persekutuan.

Apapun Allahyarham terus memberikan sokongan kepada saya walaupun secara senyap-senyap. Ini termasuk terus memberikan saya peruntukkan negeri seperti agihan lembu untuk qurban 'Eidul Adha. Memang ada beberapa parasit yang membantah mendesak Ustaz Azizan supaya tidak memberikan saya apa-apa, namun Ustaz Azizan bertegas memberikannya juga.

Allahyarham Ustaz Azizan ni punya satu perangai apa yang orang Kedah kata hemoi. Dia sikit pun tak kekok kalau bersama orang kampung, malah dia sendiri akan menjadi seperti orang kampung. Jangan tak tahu masa muda Allahyarham pernah menjadi nelayan!

Walaupun kekadang Allahyarham ni agak perungus, tetapi dia bukan jenis berdendam. Kalau dia marah pun masa tu je. Allahyarham bukan jenis penyimpan dendam, apatah lagi nak membalas dendam.

Saya sendiri agak kritikal dengan Allahyarham dalam beberapa perkara. Antaranya isu tanah waqaf khas Madrasah Solihiah, Alor Setar, isu tanah perkuburan bukan-Islam Sg. Kob, Kulim dan isu pencerobohan tanah hutam simpan Gunung Inas. Saya telah cuba sedaya upaya meyakinkan Allahyarham supaya mengubah keputusan dan pendirian Kerajaan Kedah dalam tiga isu yang saya anggap besar dan serius; namun Allahyarham berkeras dengan pendiriannya!

Apapun, Allahyarham Ustaz Azizan adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar, yang tahu untuk membezakan diantara politik dan pemerintahan, diantara parti dan kerajaan, diantara perbezaan siasah dan persahabatan. Sesiapa juga yang dudok dan mengenali Allahyarham akan berasa selesa dengan beliau. Beliau bukan jenis yang cepat melatah bila bercakap tentang kesatuan ummah termasuk PAS-UMNO, jauh sekali mahu meludah orang yang membawa idea tersebut!

Sebab itu saya berasa sangat dukacita apabila Allahyarham ditohmah dan difitnah dengan pelbagai tuduhan oleh golongan yang mencemburui beliau, termasuk, dan terutama daripada PAS sendiri. Sehingga ada usaha mahu memalukan Allahyarham. Semasa Allahyarham jatuh sakit pertama kali dahulu, ada parasit yang sampai buat kenyataan elok Ustaz Azizan mati aje! Na'uzubillah, begitu sempit politik mereka ini.

Malah semasa saya membuat hebahan melalui laman twitter semalam mengenai keadaan kritikal Ustaz Azizan dan mengajak diadakan solat hajat, ada kalangan parasit yang memaki hamun dan berkata elok "biaq di pi lagi baguih", kata haramjadah parasit cilaka ni!

Apa pun, sejarah akan tercatat bahawa Allahyarham seorang pemimpin yang berjiwa besar. Seorang yang mengenali hati nurani rakyat kerana beliau sebahagian daripada mereka. Apa juga kesilapan dan kelemahan beliau sebagai pemimpin saya cukup pasti rakyat boleh memahami dan menerimanya. Bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang; apatah lagi Allahyarham baru mengambil alih Kerajaan sebagai MB daripada Kerajaan BN yang telah memerintah kedah sejak merdeka lagi!

Sebagai mengenang jasa Allahyarham, pada 16.07.2008 Allahyarham Ustaz Azizan Abdul Razak telah dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) oleh Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang membawa gelaran Datuk Seri. Allahyarham juga telah dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota oleh Yang Di Pertuan Agong pada 01.06.2013 yang membawa gelaran Tan Sri, menjadikan Allahyarham satu-satunya pemimpin PAS yang diberikan anugerah tersebut.

Allahyarham Ustaz Azizan dimasukkan ke Hospital akibat jangkitan kuman dikakinya yang akhirnya menyebabkan kedua-dua kaki Allahyarham terpaksa dipotong diparas lutut pada 10.03.2013. Allahyarham yang telah dipindahkan daripada Hospital Pulau Pinang ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk rawatan lanjut diberitakan diserang sakit jantung semalam.

Tepat jam 11.15 pagi ini Khamis 20 ZulQaedah 1434 bersamaan 26 Sept 2013, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir meninggalkan dua orang isteri dan 14 orang anak-anak.

Allah humma Ya Allah, kasihanilah sahabat saudara kami Allahyarham Ustaz Azizan Abdul Razak. Kami redha dengan pemergian beliau, dan kami berdoa moga Engkau juga redho dengan Allahyarham. Masukkanlah Allahyarham dalam golongan hamba Mu yang soleh, siddiqin lagi beriman. Jauhkanlah Allahyarham daripada siksaan kubur, lapangkan kuburnya, terangkan kuburnya, dan masukkanlah Allahyarham dalam golongan hamba Mu yang diberikan rahmat dan keampunan, dan letakkanlah Allahyarham didalam syurga Mu. Dan berikanlah kesabaran kepada keluarga yang ditinggalkan Allahyarham; dan jadikanlah kami daripada golongan hamba Mu yang redho lagi bersabar. Ameen ya robbal 'aalameen!

Al Fatihah.

Wallahu'alam dan wassalam.

 Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
20 ZulQaedah 1434
26 Sept 2013

No comments: