Saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat bersidang kepada ahli dan kepimpinan UMNO. Kelihatan topik yang yang menjadi tumpuan adalah persoalan tranformasi bangsa Melayu, terutamanya dalam menghadapi pilihanraya akan datang dengan tujuan untuk memastikan tunggak pemerintahan kekal kepada bangsa Melayu.
Saya tertarik dengan ungkapan dan kenyataan bahawa bangsa Melayu perlu berubah dan menerima hakikat lanskap politik negara sudah berubah. Untuk mengekalkan kuasa, bangsa Melayu perlu berusaha mendapatkan sokongan bukan Melayu, kerana tanpa sokongan mereka senario mengerikan dijangka berlaku; UMNO mungkin hilang lebih 50 kerusi Parlimen!
Saya ada membuat kenyataan ringkas didalam tweet "umat Islam tidak memerlukan sokongan kafir, sebaliknya kita memerlukan sokongan ALLAH. Jagalah hablumminallah, pasti ALLAH akan jaga hablumminannas".
Saya tidak menafikan bahawa negara ini walaupun majoritinya bangsa Melayu, tetapi terdapat jumlah bukan Melayu yang agak signifikan. Dan kehadiran mereka boleh memberi impak kepada suasana politik negara; kerana mereka juga adalah pengundi berdaftar. Ia tidak bermaksud kita mesti mengenepikan mereka, apatah lagi menganaktirikan bukan Islam. Buka itu maksudnya.
Apa yang saya maksudkan didalam mesej tweet tersebut ialah walaupun undi bukan Islam itu penting, tetapi kita umat Islam tidak perlulah terhegeh-hegeh sampai menggadai aqidah, prinsip dan perjuangan kita semata-mata untuk mendapat undi mereka.
Ini sampai anak bini pun digadai-politikkan, arak yang jelas haram kini halal hasilnya, kuil hindu nak bina diperumahan umat Islam pun wokey, sampai nama ALLAH pun nak jual jugak!! Sehingga hak dan kedudukan kita sendiri terhakis. Umat dan bangsa sendiri terasa saperti di anaktirikan. Mempertahan dan membela bangsa dan agama kini menjadi saperti satu dosa besar didalam tanah air sendiri! Sehingga dikenakan tindakan dan pendakwaan. Namun apabila orang lain memaki hamun dan menghina kita, semuanya halal dan boleh sahaja atas nama nak tarik undi dan sokongan mereka.
Itu yang saya maksudkan bahawa yang lebih penting untuk kita ialah sokongan dari ALLAH. Maksud sokongan ALLAH ini ialah kita jaga hablumminallah. Jaga hubungan kita dengan ALLAH dalam semua aspek. Dan kita bantu agama ALLAH. "Intan surullah hayansurkum, wayusabbit aqdaamakum-jika kamu membantu agama ALLAH, maka ALLAH pasti akan membantu kamu".
Dan apabila kita menjaga hubungan kita dengan ALLAH, memastikan aqidah terpelihara, hukum hakamNya kita laksanakan, suruhanNya kita laksanakan, laranganNya kita tinggalkan, insyallah pasti ALLAH akan menolong kita. Dan termasuk dalam hablumminallah ini ialah melaksanakan perintah ALLAH supaya kita memelihara dan menjaga kebajikan golongan bukan Islam. Hak beribadah mereka, keperluan asasi mereka, masalah kesihatan mereka, pendidikan dan pelajaran anak-anak mereka, perumahan dan kelengkapan mereka; ini semua adalah tanggungjawab yang telah ALLAH pikulkan keatas bahu kita golongan muqmin.
Diwaktu yang sama, kita mesti melaksanakan pemerintahan dan kepimpinan dengan adil dan saksama. Menjauhkan diri daripada sikap takabbur dan tinggi diri. Menghalang diri daripada 'amalan rasuah dan salahguna kuasa yang dikutuk ALLAH. Dan menjalani kehidupan menurut saperti Rasulullah dan para sahabat.
Kalau ini semua kita lakukan, kalau hablumminallah, hubungan dengan ALLAH kita pelihara; maka yakinlah, ALLAH akan memelihara hablumminannas..hubungan kita dengan manusia. ALLAH akan campakkan perasaan gerun dan hormat musuh kepada kita. ALLAH adalah tuanpunya hati manusia, dan Dia boleh menterbalikkan hati manusia kepada kita jika Ia menghendaki. Itu adalah kuasa mutlak ALLAH.
Nasihat saya kepada diri sendiri dan sahabat saudara semua, janganlah kita terpedaya dengan dakyah bahawa yang menentukan kekuasaan kita ialah undi manusia; apatah lagi undi daripada bukan Islam. Bukan. Ianya adalah ketentuan ALLAH, penentuannya datang daripada ALLAH. Jika ALLAH menghendaki, pasti akan diberikannya pemerintahan dan kekuasaan itu kepada kita. Dan sudah pasti ALLAH akan mewariskan kepimpinan manusia kepada kita, sekiranya kita menepati syarat-syarat untuk menerima kepimpinan itu daripada ALLAH. Dan kepimpinan yang datang daripada anugerah ALLAH itu sudah pasti adalah kepimpinan yang diberkatiNya. Dan untuk memenuhi syarat mendapat nasrullah dan bantuan ALLAH ini, hablumminallah, hubungan dengan ALLAH itu mestilah dijaga dan dipertahankan..at all cost!!
Pada saya, tranformasi bangsa Melayu akan lebih meyakinkan dan mendapat keberkatan dan nasrullah hanya apabila bangsa Melayu kembali kepada Islam. Saperti yang pernah saya sebut sebelum ini, kekuatan bangsa Melayu letaknya pada huruf 'Mim', kerana "Mim" lah yang melengkapkan Melayu. Tanpa huruf "Mim", yang tinggal hanyalah "Lam Alif Ya Wau" - Layu!!
'Mim' itu adalah Muslim. Melayu yang benar-benar Muslim akan menjadikan bangsa itu kuat. Dan apabila bangsa itu meninggalkan Islam, ia akan layu tanpa meninggalkan kesan. Ingatlah pesan ALLAH, "kuntum khoira ummatin ukhrijat linnas; ta' muru nabil ma'ruf, wayanhau na 'anil mungkar, watu' minu nabillah". Kamu akan menjadi contoh ikutan manusia, apabila kamu menyeru manusia kepada yang ma'ruf, dan mencegah kemungkaran, dan beriman kepada ALLAH.
Selamat bersidang.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Khamis
12 Zul Qaedah 1431
21 Okt 2010
No comments:
Post a Comment