28 March 2014

KAJANG SATU MUHASSABAH




Politik 3A-Anwar, Azizah & Azmin kembali menghantui PKR dan Kerajaan Selangor. Adakah masa depan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB kini bagai telur dihujung tanduk? Adakah Selangor bakal bakal mencatat sejarah mendapat MB wanita bukan anak negeri yang pertama?

Salam 2 all.

PRK DUN N.25 Kajang telah berakhir dengan kemenangan calon PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan majoriti 5,379, mengalahkan calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun yang juga Naib Presiden MCA.

Berikut adalah carta keputusan PRK Kajang pada 23.03.2014 dan statistik terdahulu sebagai perbandingan.

DUN N.25 – KAJANG
JUMLAH PENGUNDI – 38,965
Melayu : 48.48%;  Cina : 40.46%;  India : 10.15%;  Lain-lain : 0.91%

PARTI/ STATUS
Undi PRK
Undi PRU-13
PERBEZAAN
PKR
16,741
19,571
- 2,830
BN
11,362
12,747
- 1,385
Undi Rosak
176
681
- 605
Jumlah Turun Undi
28,279
34,430
- 6,151
Majoriti
5,379
6,824
- 1,445
Undi Bebas
-tiada-
1,431
-tiada-
  • Jumlah tidak turun mengundi dalam PRK ialah 10,686 atau 27% daripada jumlah pengundi;
  • Dalam PRU-12 tahun 2008, calon PKR Lee Kim Sin menang majoriti 3,268;
  • Dalam PRU-13, tiga calon bebas Melayu memperolehi 1,346 undi;
  • Manakala calon bebas bukan Melayu (Ong Yan Foo) mendapat 85; 
Saya melihat kebanyakan penganalisa pro-kerajaan termasuk media memainkan isu konon PKR tidak mendapat sokongan berdasarkan majoriti yang diperolehi oleh Wan Azizah berkurangan sebanyak 2,830 (atau 15%) berbanding yang diperolehi oleh Lee Chin Cheh pada PRU-13. Wan Azizah mendapat 16,741 berbanding Lee Chin Cheh mendapat 19,571.

MCA pula dalam kenyataan segera sebaik sahaja kemenangan Wan Azizah diumumkan memberi gambaran seolah-olah mereka ‘menang dalam kalah’; kononnya mereka berjaya menurunkan undi majoriti PKR, dan sokongan kaum Cina sudah kembali kepada MCA. Malah ada yang membuat kenyataan bahawa sokongan orang Melayu berkurangan dan mnunjuk jari kepada UMNO ‘untuk menyelesaikannya’.

Pada saya ini satu analisa yang menipu diri sendiri. Satu rumusan untuk menyedapkan hati sendiri, satu ulasan yang menafikan realiti sebenar!

Hakikatnya MCA kalah dalam PRK Kajang! Faktanya MCA gagal mendapat sokongan pengundi Cina! Realitinya MCA gagal berfungsi sebagai parti komponen yang boleh membantu UMNO dalam menghadapi senario politik yang makin mencabar!

Jangan lupa calon BN Chew Mei Fun, yang juga Naib Presiden MCA hanya mendapat 11,362 undi, berbanding Lee Ban Seng, calon BN-MCA dalam PRU-13 yang mendapat 12,747 undi. Ini adalah kekurangan undi sebanyak 1,385 atau 10%.

Beberapa faktor perlu diambil kira didalam membuat analisa PRK Kajang ini. Yang paling ketara ialah jumlah pengundi yang turun dalam PRK ini sangat berkurangan berbanding dengan PRU-13. Menurut SPR, jumlah peratus turun mengundi bagi PRU-13 ialah 88.4%, manakala bagi PRK Kajang jumlah turun mengundi hanya 72%; iaitu kekurangan lebih kurang 6,151 undi atau 16%, satu jumlah yang agak besar.

Manakala jumlah yang tidak turun mengundi berbanding dengan jumlah daftar pengundi ialah 10,686 atau 27%. Ini satu jumlah yang sangat besar dan perlu diambil kira dalam menganalisa PRK Kajang.

Pada saya, penurunan jumlah turun mengundi adalah kerana pelbagai faktor. Antaranya kerana mereka sudah yakin PKR akan menang, kedua kerana faktor merasakan PRK Kajang tidak perlu, ketiga kerana faktor pengundi luar tidak balik mengundi, keempat kerana isu MH370 yang masih menyelubungi negara mempengaruhi mood tidak mahu mengundi, kelima kerana silent-protest.

Begitu juga kemungkinan besar pengundi Melayu terutamanya dikalangan ahli dan penyokong PAS kurang turun mengundi mungkin kerana faktor menolak politiking melampau PKR.

Apapun yang jelas, sebenarnya dan pada hakikatnya PRK Kajang membuktikan tiada sebarang perubahan dari segi trend mengundi samada kepada pembangkang mahupun kepada BN sejak daripada PRU-13 yang dilabel sebagai tsunami Cina.

Setelah 10 bulan PRU-13 berlalu dimana BN berhadapan dengan senario tsunami politik Cina yang menolak BN, saya melihat PRK Kajang memberi gambaran sebenarnya tiada sebarang perubahan trend pengundian dikalangan pengundi.

Kita perlu ingat dalam PRK ini ada beberapa faktor yang memihak kepada MCA dan BN iaitu:

1. sabitan kesalahan jenayah liwat tehadap Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Rayuan pada 07.03.2014 yang menghukum Anwar dengan 5 tahun penjara;

2. politik kronisma yang jelas diamalkan PKR bilamana Wan Azizah, isteri Anwar yang juga Presiden PKR dipilih sebagai calon menggantikan Anwar;

3. isu kehilangan MH370 yang sepatutnya melahirkan rasa simpati rakyat dan sewajarnya diterjemahkan dalam bentuk undi kepada BN sebagai sokongan moral kepada Kerajaan;

4. tiadanya bantuan aktif daripada jentera PAS kawasan mahupun pusat dalam kempen, malahan Datuk Seri Hadi Awang hanya turun sekali sahaja;

5. persepsi bahawa Anwar mengkhianati Tan Sri Khalid Ibrahim dengan perancangan untuk menggulingkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang menjadi darling MB kepada masyarakat korporat dan peniaga Cina.

Diwaktu yang sama, calon BN bukan calang orang. Chew Mei Fun adalah Naib Presiden MCA, dan dilihat sebagai seorang yang berprinsip apabila meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri dan semua jawatan dalam MCA kerana tidak bersedia bersekongkol dengan bekas Presiden Datuk Seri Chua Soi Lek yang diselubungi dengan masalah moral yang serius.

Sebagai perbandingan, Wan Azizah pula dilihat sebagai calon yang tidak berprinsip, contohnya kegagalan Wan Azizah menunjukkan jam Omega yang dikaitkan dengan skandal Anwar-ChinaDoll. Kenyataan Wan Azizah bahawa jam itu ada dalam simpanannya bercanggah dengan bukti yang dikemukakan oleh Datuk Eskay yang telah menyerahkan jam tersebut kepada pihak Polis.

Isu ini menumbulkan persoalan kewibawaan dan integriti yang serius terhadap Wan Azizah; siapa yang berbohong, Wan Azizah atau Eskay?

Malah tag-line kempen BN dalam PRK Kajang ini ialah antara Chew Mei Fun sebagai calon berprinsip dengan Wan Azizah yang Ketua Pemuda UMNO labelkan sebagai calon puppet.

Jentera BN diturunkan sepenuhnya diketuai oleh Tmbalan Presiden UMNO sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan Pengarah Jentera Pilihanraya diamanahkan kepada Datuk Seri Noh Omar, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor.

Tidak seperti jentera PKR dan pembangkang yang hanya berbekalkan air-liur politik sahaja dan modal ceramah, jentera BN turun dengan segala bentuk persiapan dan bekalan; selain ceramah.

Saya memang dari awal tidak menjangkakan BN boleh memenangi kerusi Kajang ini. Namun saya berpandangan jika kena strategi dan perancangan, BN mampu mengurangkan dengan serius majoriti PKR terutama dikalangan pengundi Melayu.

Ternyata pada hakikaktnya tiada sebarang perubahan dalam trend mengundi didalam PRK Kajang ini. Malahan trend tsunami politik Cina masih berterusan.

Pada saya, MCA masih gagal untuk menjadi relevan dan diterima oleh masyarakat Cina. Walaupun sudah berubah kepimpinan, namun ia tidak berjaya memberi keyakinan kepada pengundi Cina untuk mengubah trend politik mereka.

Dan saya percaya sampai bila pun MCA (dan Gerakan) akan gagal; kerana apa yang dimahukan oleh pengundi Cina terutama dikalangan cauvinis ialah kekuasaan pemerintahan Kerajaan Pusat dibawah cengakaman cauvinis Cina, sesuatu yang hampir mustahil untuk MCA dan Gerakan tawarkan kecuali mereka bergabung wadah dengan DAP menentang UMNO!

Jika PRK Kajang boleh dijadikan cermin untuk PRU-14, dan sewajarnya ia diambil sedemikian, saya melihat bahawa BN, terutamanya UMNO perlu mengubah strategi dan pendekatan politik mereka dalam menghadapi PRU-14 nanti.

Mengakui dan menyedari bahawa trend tsunami politik Cina bukan sahaja tidak akan berubah, malah akan bertambah parah dalam PRU-14, saya sarankan kepada UMNO supaya kembali kepada undi-asas atau vote-base mereka, iaitu pengundi Melayu.

Saya berpegang kepada pendapat bahawa kuasa politik Malaysia masih lagi berpaksi kepada bangsa Melayu sebagai tulang belakang pemerintahan. Mana-mana juga parti yang dilihat mendapat sokongan jitu bangsa Melayu akan muncul sebagai tunggak mana-mana Kerajaan yang dipilih.

Inilah rahsia kepada survival politik UMNO dan BN selama ini, termasuk dalam menghadapi PRU-14. Sokongan dan undi Melayu menjadi paksi kepada kesinambungan politik UMNO.

Bagaimanapun, UMNO perlu menyedari bahawa politik bangsa Melayu tidak seperti dahulu.

Dan inilah yang sudah Presiden UMNO Dato' Sri Najib Tun Razak seringkali sebut dan peringatkan kepada ahli dan kepimpinan UMNO sejak tsunami 2008 - UMNO mesti dan wajib berubah!

Ini adalah kerana hakikatnya bangsa Melayu kini sudah berubah.

Retorik politik bahawa Melayu perlukan UMNO sudah tidak relevan. Hakikatnya sekarang ialah UMNO perlukan Melayu.

Dan itulah pendekatan dan strategi yang perlu dirangka semula oleh kepimpinan UMNO.

Selagi UMNO merasakan Melayu perlukan UMNO, selagi itulah kepimpinan dan ahli UMNO akan berada di zon-selesa dan mengambil mudah kepentingan dan perjuangan bangsa Melayu.

Tetapi jika mereka merasakan bahawa UMNO memerlukan bangsa Melayu, saya yakin seluruh kepimpinan dan ahli UMNO akan mengubah pendekatan dengan memberi keutamaan kepada perjuangan dan kepentingan bangsa Melayu.

Memang kita tidak nafikan jasa, perjuangan dan pengorbanan UMNO sejak sebelum merdeka dalam mengangkat martabat dan memperkasa bangsa Melayu dari segi politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain sangat besar. Tetapi orang Melayu yang lahir daripada pengorbanan dan jasa UMNO ini kini sudah berubah.

Bangsa Melayu baru, terutama Gen-Y bukan sahaja pandai makan nasi lauk asam pedas dengan sambal belacan campur ikan masin; mereka juga sekarang sudah pandai lunch di Starbuck dan dinner di Victoria Station; mereka bukan sahaja pandai berpantun bersajak, mereka juga dah pandai berwhatsapp, berinstigram, berfacebook, bertwitter dan macam-macam lagi.

Mereka sudah muncul menjadi golongan kelas pertengahan yang kritikal dan tidak mudah disogok dengan retorik dan slogan. Mereka mahu perubahan yang serius, mereka mahukan kualiti dan nilai kehidupan yang lebih baik dan sempurna, tidak hanya bertumpu kepada sogokan wang dan material.

Salah satu pendekatan yang serius yang perlu dilakukan oleh UMNO ialah soal pertanggungjawaban pemerintahan - dalam konteks transparen, akauntabiliti dan amanah; dan tegas memerangi unsur-unsur salahguna kuasa dan korupsi.

Soal kenaikan harga, soal pengenaan cukai baru GST dan lain-lain bukan isu besar bagi golongan Melayu kelas pertengahan ini. Persoalannya ialah ketirisan, pembaziran dan salahguna perbelanjaan Kerajaan.

Soal adanya perlantikan individu-individu politik ke jawatan-jawatan amanah yang langsung tidak wajar; dilihat lebih sebagai perlantikan habuan bukannya perlantikan strategik untuk memartabat dan memperkasa bangsa Melayu. Malah timbul persepsi mereka yang tidak berkelayakan dilantik ke jawatan yang memerlukan integriti, kewibawaan dan amanah.

Bak kata pepatah Melayu, seperti menyuruh kucing menjaga lauk ikan!

Ini adalah antara faktor yang membuatkan orang Melayu, khususnya kelas pertengahan meluat dengan pemerintahan UMNO.

Bukan kerana mereka suka dan menyokong pembangkang. Sebaliknya mereka berterusan mengundi UMNO kerana ujudnya fear-factor dikalangan orang Melayu jika pembangkang DAP-PKR-PAS diberikan mandat pemerintahan negara.

Mereka pun tahu penyakit pembangkang; dengan ujudnya segelintir kepimpinan yang langsung tidak bermoral dan berakhlak rendah, ditambah dengan kesediaan menggadai agama dan bangsa demi memuaskan nafsu politik mereka menyebabkan orang Melayu menolak mereka; ini dicampur dengan kesediaan kepimpinan Melayu pembangkang mengangkat cauvinis Cina sebagai pemimpin tertinggi negara menimbulkan fear-factor kepada bangsa Melayu.

Ini semua faktor yang menyebabkan orang Melayu, terutama diluar bandar memberi sokongan kepada BN dalam PRU-13. Faktor utamanya pada pandangan saya ialah kerana ujudnya kekhuatiran dikalangan pengundi Melayu yang tidak mahu pemimpin bermasalah moral dan akhlak rendah, dan cauvinis Cina menjadi pemimpin negara. Itu sahaja.

Dalam konteks itulah saya lihat salah satu pendekatan yang paling berkesan bagi UMNO dalam menghadapi PRU-14 ini ialah dengan melipatgandakan usaha untuk menyatukan umat Melayu-Islam terutama dari segi politik.

Pemimpin UMNO serta jenteranya harus berusaha keras untuk merapatkan perbezaan dengan PAS. Suka tak suka, PAS adalah parti alternatif bagi orang Melayu.

Cuma kerana kepimpinan mereka yang lemah, terlalu taksub dengan Anwar dan kesediaan berkompromi melampau dengan cauvinis DAP sehingga sanggup menggadai agama dan perjuangan menjadi penghalang untuk orang Melayu memberi sokongan penuh kepada PAS.

UMNO masih bernasib baik kerana kepimpinan PAS masih ditahap kurang cerdik politik; dan terlalu taksub mahukan kekuasaan sehingga mereka menjadi pekak, bisu dan buta terhadap realiti keperluan dan survival politik umat Melayu-Islam.

Jika kelak satu hari mereka tersedar, dan membuang Anwar dan membatalkan kerjasama politik dengan DAP, sebaliknya menghadapi PRU-14 bersendirian dengan perjuangan asal mereka untuk sebuah Negara Islam dan pemerintahan yang tawadhuk, dan taqwa kepada Allah; saya kira waktu itu UMNO hanya tinggal membilang hari sahaja.

Tetapi masih belum terlambat. UMNO perlu segera sedar daripada zon-selesa mereka dan bangkit kembali ke perjuangan mengangkat martabat dan memperkasa umat Melayu-Islam dalam semua aspek termasuk agama, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain.

UMNO juga perlu menjadi parti yang inklusif. Ini termasuk mendekati NGO-NGO dan pertubuhan-pertubuhan Melayu-Islam. UMNO tidak wajar merasakan ia boleh hidup sendiri dibawah tempurung kekuasaan yang ada dengan mengenepikan peranan NGO-NGO dan pertubuhan Melayu-Islam.

Malah tidak sepatutnya UMNO menjadikan NGO-NGO dan pertubuhan Melayu-Islam sebagai saingan, apatah lagi musuh. UMNO sepatutnya bekerjasama seiring-sejalan dan komplimentari dengan pertubuhan Melayu-Islam.

Dan UMNO wajib membuka ruang dan peluang kepada pimpinan pelapis dikalangan generasi muda, terutama mereka yang professional dan berpendidikan tinggi. Saya melihat trend ekslusiviti dan elitis masih ujud didalam UMNO, sehingga tidak dapat menerima penyertaan generasi muda Melayu ke dalam struktur kepimpinan UMNO semua peringkat.

Keberanian Presiden UMNO mengambil tindakan diluar kotak, dengan mengambil pimpinan pelapis dikalangan generasi muda dan professional, termasuk daripada luar UMNO, dengan memberi ruang dan peluang kepada mereka samada didalam saf pimpinan atau sebagai barisan depan (frontliner) UMNO seharusnya dipuji dan diberikan sokongan sepenuhnya.

Begitu juga keberanian Dato’ Sri Najib menawarkan ruang dan peluang kepada pimpinan PAS dan lain-lain kepimpinan bukan-UMNO untuk duduk didalam saf kepimpinan UMNO mahupun Kerajaan bukti bahawa satu transformasi politik yang serius sedang diusahakan beliau. Ini wajar diberi sokongan sepenuhnya oleh ahli dan kepimpinan UMNO yang lain.

Perlantikan pendakwah terkenal yang juga ahli PAS Ustaz Mohd. Kazim Elias ke MT UMNO, Datuk Seri Zahrain M. Hashim sebagai Duta Besar ke Indonesia, Dr. Mohd. Asyraf Wajdi Dasuki dan Dr. Mohd. Yusri Mohamad (bekas Presiden ABIM) sebagai YDP dan Timbalan YDP YADIM, Senator Mohd. Ezam Md. Nor sebagai Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan dan lain-lain adalah bukti bahawa Dato’ Sri Najib memang seorang pemimpin berfikiran diluar kotak dan serius dalam usaha transformasi politiknya.

Sebab itu saya berani mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri supaya segera menubuhkan sebuah Jawatankuasa Peringkat Kabinet untuk membantu Kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan sistem perundangan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir. Saya cukup yakin penubuhan jawatankuasa seumpama ini akan dialu-alukan oleh kepimpinan dan ahli PAS kerana Hudud adalah mantera harian PAS, survival politik PAS dalam penentangan terhadap UMNO adalah hudud!

Kita sedia maklum bahawa dibawah Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan tiada kuasa untuk melaksanakan perundangan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir kerana hal-ehwal Islam terletak dibawah bidangkuasa Kerajaan Negeri.

Tetapi tidak ada salahnya Kerajaan Pusat dibawah pimpinan UMNO memberikan kerjasama dan bantuan samada dari segi kepakaran, logistik dan teknikal untuk membantu Kerajaan PAS Kelantan melaksanakannya.

Tetapi syarat besarnya ialah PAS mesti mendapat persetujuan dan sokongan golongan parasit didalam PAS sendiri dan rakan sekongkolannya terutama Mursyidul Am DAP Karpal Singh dan Ketum PKR Anwar Ibrahim! Kalau ahli dan rakan sekongkol sendiri pun tidak bersetuju, sudah tentu sukar bagi UMNO untuk membantu PAS melaksanakan perundangan hudud di Kelantan!

Saya cukup yakin jika pendekatan berhemah dan bertolak ansur dengan PAS ini diambil, lambat-laun kepimpinan dan ahli PAS akan lebih terbuka untuk menerima dan mengujudkan kerjasama politik dengan UMNO demi memartabatkan dan memperkasa perjuangan politik Melayu-Islam dalam negara ini.

Akhir kata, saya merumuskan bahawa PRK Kajang merupakan satu cermin istimewa untuk UMNO melihat ke hadapan. Tiada guna kita terus hidup membohongi diri sendiri daripada menerima hakikat bahawa survival kesinambunagn politik Melayu-Islam terletak ditangan pengundi Melayu, terutama didalam menghadapi PRU-14.

Selagi UMNO masih didalam sindrom penafian ini, selagi UMNO masih didalam zon selesa mereka merasakan Melayu perlukan UMNO, selagi UMNO tidak berubah menjadi parti yang meletakkan kualiti dan nilai pemerintahan berteraskan amanah, transparen dan akauntabiliti dan tegas memerangi unsur rasuah atau salahguna kuasa, selagi UMNO tidak berusaha menjadi parti yang inklusif dan terbuka dalam melakukan transformasi politik yang serius; selagi itulah UMNO akan terus ketinggalan dalam arus politik perdana yang makin mencabar.

Malah jika UMNO tidak mahu berubah, dan tidak juga berubah, kemungkinan untuk UMNO dan BN menjadi pembangkang selepas PRU-14 adalah satu kebarangkalian yang harus diambil serius oleh kepimpinan dan ahli akar umbi UMNO!.

Wallahua’lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
26 Jamadil Awal 1435
28 Mac 2014



No comments: