Ukhwah dan persaudaraan yang dibina oleh Sultan Salahuddin Al-Ayubi berjaya menyatupadukan umat Islam untuk membuka Baitul-Maqdis dan membebaskan Al-Quds! |
Pakatan Luar Tabie diantara umat Islam dengan harbi akhirnya akan menghancurkan umat Islam sebagaimana yang telah dibuktikan dalam sejarah lampau! |
Sebaik sahaja menyempurnakan hijratul-Rosul, Nabi Muhammad saw melaksanakan beberapa perkara yang jelas menunjukkan Nabi saw membina kesatuan dan ukhwah umat Islam supaya mereka bersatu dan punya kesatuan dan perpaduan samada dari segi ibadah, ekonomi, siasah, politik, budaya dan adat resam yang akhirnya berjaya membina suatu kuasa politik umat Islam yang unggul dan hebat dalam sejarah ketamadunan kemanusiaan!
Perlu diingatkan bahawa sebelum hijratul-Rosul, Yathrib merupakan tempat pergolakan yang hebat. Suku arab Auz dan Khazraj telah berperang ratusan tahun lamanya hanya kerana sebab yang remeh - berkaitan seekor unta.
Diwaktu yang sama, suku Auz dan Khazraj disokong oleh dua puak Yahudi; yang kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk menguasai Yathrib dan membentuk pemerintahan mereka sendiri sambil menanti kedatangan Penyelamat mereka yang ditunggu-tunggu.
Dan mereka sudah ada seorang pemimpin yang menunggu masa untuk ditabalkan sebagai pemerintah - Abdullah Bin Ubay Bin Salul.
Dalam kerangka konflik dan pertelingkahan itulah Rasullah saw mengatur strategi membina Quwwah - kekuatan ummah berteraskan kepada perpaduan dan kesatuan.
Pertama, Rasulullah saw menentukan tempat pembinaan Masjid Nabawi. Kita telah mendengar bagaimana Rasulullah, dengan pengetahuan penuh mengenai konflik yang berlaku, mengambil tindakan yang cukup diplomatik - membiarkan untanya Quswah menentukan tapak pembinaan Masjid dan rumah Baginda. Membiarkan seekor haiwan menentukan tapak mengelakkan berlaku konflik dan sikap memihak - takkanlah haiwan yang memilih itu memihak kepada mana-mana pihak.
Kedua, Baginda membina Masjid Nabawi ditapak yang telah dikenal pasti oleh unta Baginda bernama Quswah. Masjid menjadi tempat umat Islam bertumpu untuk segala kegiatan. Pembinaan dibuat dengan cara bergotong royong dengan Baginda sendiri turun padang bersama membasah keringat dalam pembinaan itu. Baginda tidak sekadar datang dengan konvoi bersiren dan sekadar memotong riben dan membuat ucapan berapi-api. Inilah namanya Kepimpinan Melalui Tauladan yang sebenarnya;
Ketiga, Baginda menentukan kemasukan waktu solat dan panggilan ke Masjid untuk berjemaah dengan azan. Baginda melantik Bilal Bin Rabbah, seorang bekas hamba pemimpin musyrikin Ummaiyah yang hitam berkilat sebagai muazzin tetapi mempunyai suara hati yang menembus ke langit. Malaikat mendengar azannya walaupun terdapat orang lain yang lebih merdu suaranya. Ini menunjukkan Rasulullah memilih mereka yang berkualiti dan berkelayakan untuk memegang sesuatu amanah - jawatan diberi bukan kerana habuan tetapi kerana amanah dan berkelayakan;
Keempat, Baginda menyatukan suku Auz dan Khazraj yang telah berperang beratus tahun dibawah ikatan satu aqidah. Mereka ini Rasullah beri gelaran sebagai kaum Ansar - pembantu umat Islam!
Kelima, Baginda mempersaudarakan kaum Ansar dengan para sahabat Nabi yang berhijrah bersama daripada Makkah. Mereka dipanggil kaum Muhajjirin. Persaudaraan kedua kaum Ansar & Muhajjirin dibuta berdasarkan kepada ikatan satu aqidah, satu agama, satu qiblat, satu kitab. Inilah persaudaran aqidah yang memperkukuhkan perpaduan ummah;
Keenam, Baginda meminta para sahabat yang pakar dan mahir dalam bidang perniagaan untuk menceburi bidang perdagangan dan perniagaan yang dikuasai oleh kaum Yahudi di Yathrib. Baginda memberi tumpuan kepada dua perniagaan utama - air dan susu. Antara sahabat yang menerima saranan Rasulullah saw ialah Saidina Abdul Rahman Auf, tokoh korporat daripada Makkah. Dan dalam masa yang tidak lama, dengan kesaruan dan perpaduan umat Islam yang berkerjasama memperkukuhkan perniagaan Abdul Rahman Auf, akhirnya beliau berjaya menguasai pasaran air dan susu di Madinah;
Ketujuh, Baginda juga mengadakan perjanjian persefahaman dengan kaum Yahudi, iaitu membenarkan mereka tinggal terus di Madinah dan boleh mengamalkan agama kepercayaan mereka dengan syarat tidak mengkhianati umat Islam dan perlu membantu bilamana umat Islam berperang dengan mana-mana anasir luar. Berdasarkan perjanjian inilah terbentuknya Piagam Madinah - atau Dustur Madinah;
Ini adalah antara strategi yang diatur oleh Rasulullah saw sebaik sahaja Baginda melakukan hijrah. Baginda menumpukan kepada usaha membina persaudaran, perpaduan, kesatuan dan ukhwah umat Islam yang akhirnya berjaya membina satu kuasa politik dan pemerintahan yang kukuh, mantap dan quwwah.
Dan dengan kuasa politik itulah membolehkan Baginda melaksanakan segala hukum hakam dan syariat Islam sebagaimana yang diperintahkan Allah swt.
Sebenarnya disitulah letaknya rahsia kekuatan umat Islam - ukhwah, kesatuan dan perpaduan - yang akan membawa kepada pembentukan satu kuasa politik yang quwwah!
Sebab itu, dalam menghayati peristiwa hijrah ini, saya menyeru seluruh umat Islam supaya bersatu dan membina kesatuan, perpaduan dan ukhwah demi memastikan kesinambungan kuasa politik kita berterusan didalam negara ini.
Hari ini kita berpecah. UMNO dengan perjuangan Melayu-Islamnya, PAS dengan perjuangan yang merasakan dia lebih Islam daripada orang lain sehingga boleh menjanjikan syurga, NGO-NGO dengan fe'el masing-masing berasa diri lebih hebat daripada orang lain sehingga tidak mahu bersatu, dan individu-individu yang lebih mementingkan kedudukan, jawatan dan habuan mereka daripada memikirkan maslahah umat dan negara.
Bangsa Melayu di Malaysia sangat bertuah berana kita dilahirkan Islam - kita diiktiraf sebagai Muslim atas kelahiran. Kita diakui Islam menurut undang-undang dan Perlembagaan. Tidak ada bangsa didunia ini yang mendapat pengiktirafan sedemikian - yang keujudannya dikaitkan dengan agama Islam. Sehingga disebut Melayu itu Islam, tiada Melayu melainkan dia Muslim.
Tetapi malang walaupun kita punya satu aqidah, satu Tuhan, satu Nabi, satu kitab, satu qiblat - tetapi kita gagal menjadi satu umat! Amat malang.
Kita bergaduh dalam isu yang sangat fundamental - isu aqidah. Kita gagal mempertahankan hatta kalimah Allah. Ada antara kita kerana terlalu kemaruk dengan kuasa dan kedudukan sanggup menggadai kalimah tauhid demi sedikti undi untuk ke Putrajaya.
Kita bergaduh dalam hal yang terlalu asas - arak yang Nabi sebut sebagai ibu segala maksiat - yang sepatutnya kita tidak ada masalah untuk mencegahnya, menjadi isu yang membawa perpecahan. Sehingga ada mulut sundal yang mendesak supaya bukan Islam dibenarkan mengadakan pesta arak dibumi umat Islam. Malah kita bergaduh dalam soal yang terlalu remeh - soal berpelukan dan bermesra dengan anjing najis mughallazah pun kita tidak boleh satu suara!!!
Dalam keadaan perpecahan dan pertelingkahan ini musuh Islam mengambil kesempatan. Satu demi satu fundamental dan asas negara ini dilondeh dan ditelanjangkan. Daripada soal agama, bangsa, keselamatan, biasiswa, pendidikan, tanah, hak istimewa yang dijamin dan pelbagai lagi perkara dirungkai satu demi satu atas nama demokrasi dan hak asasi.
Kini wirid dan ratib harian dalam negara umat Islam ini ialah demokrasi dan hak asasi. Demokrasi dan hak asasi telah muncul menjadi agama baru!
Diatas nama demokrasi dan hak asasi, kalimah Allah digadaikan. Diatas nama demokrasi dan hak asasi, pesta arak digalakkan. Diatas nama demokrasi dan hak asasi, pelukan anjing dibudayakan. Diatas nama demokrasi dan hak asasi, seks bebas, seks luar tabie dan perkawinan sejenis mahu dihalalkan. Diatas nama demokrasi dan hak asasi, peliwat, penzina, penderhaka dan banduan mahu diangkat menjadi pemimpin. Diatas nama hak asasi dan demokrasi, biasiswa anak Melayu-Islam hilang. Diatas nama demokrasi dan hak asasi - umat Melayu Islam makin kehilangan aqidah, syariah dan hala-tuju kehidupan seorang Muslim.
Diatas nama demokrasi dan hak asasi, kita umat Melayu-Islam mungkin akan hilang agama, bangsa, kuasa dan negara!
Sebab itu, sempena Ma'al Hijrah 1436 ini, marilah kita membulatkan tekad menyatukan niat, bahawa kita akan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, kita akan membina persaudaraan, perpaduan, kesatuan dan ukhwah untuk mengekalkan aqidah, syariah dan kuasa politik Melayu-Islam didalam negara ini, tanpa menzalimi, menganiaya atau menafikan hak bukan Islam sebagaimana termaktub didalam Perlembagaan.
Rasulullah saw mendapat kuasa politik dengan melakukan hijrah. Dan dengan kuasa politik itu Rasulullah saw menyatukan umat Islam. Dan dengan kesatuan umat Islam, kuasa politik umat Islam menjadi kuat dan mantap. Kita umat Melayu-Islam di Malaysia sudah pun mempunyai kuasa politik. Adalah wajar dengan kuasa politik yang ada ini dimenafaatkan untuk kesatuan dan perpaduan umat Islam demi untuk melaksanakan segala suruhan dan perintah Allah.
SATU UMMAH - AQIDAH DIDAULATKAN, SYARIAT DILAKSANAKAN!
HIJRAH KUNCI PERPADUAN, UKHWAH DAN KESATUAN UMMAH!
Wallahua'lam & Wassalam.
Adios amigos, grasias.
Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
01 Muharram 1436
25 Oktober 2014
No comments:
Post a Comment