1435 Hijrah akan berlalu, 1436 Hijrah menjelang tiba - sekali lagi kita menyambut Ma'al Hijrah.
12 Rabi'ul Awal, itulah tarikh sebenar Rasulullah saw tiba di Yathrib dalam peristiwa besar Hijratul-Rasul. Setelah beberapa hari berada di Quba', dan mendirikan Masjid Quba', serta mendirikan solat Jumaat pertama dalam Islam (kini didirikan Masjid Jumaat ditapak itu berhampiran Madinah), Rasulullah bergerak ke Yathrib bersama sahabat Baginda Saidina Abu Bakr As-Siddiq.
Sesampai Baginda di Yathrib, dengan sambutan nasyid tola'al badru 'alaina, Rasulullah yang menunggang unta bernama Quswa memulakan ucapan dengan berkata:
Aiyyuhannas - Afsyussalam!!! Wahai manusia, sebarkan salam!
Mengapa Rasulullah saw membuka ucapan dengan kenyataan itu? Menyeru manusia supaya menyampaikan salam - iaitu ucapan Assalammau'alaikum!
Kerana didalam salam ada pelbagai mesej - dan ia adalah pengikat perpaduan dan kesatuan.
Pertama, didalam salam ada doa. Berbeza dengan ucapan tradisi yang diamalkan oleh orang lain, ucapan salam bermaksud 'saya doakan sejahtera keatas kamu'. Dan penerima salam juga wajib menjawab dengan doa - wa'alaikum salam- sejahtera juga keatas kamu!
Kedua, ucapan salam merangkumi semua waktu. Ia tidak setakat ucapan selamat hanya untuk waktu pagi seperti Good Morning, atau hanya untuk waktu petang seperti Good Evening, tetapi ianya mencakupi seluruh hari tidak kira siang, malam, ribut, terang dan lain-lain!
Ketiga, ucapan salam bersifat universal. Pergilah kemana sahaja - barat, timur, utara, selatan, Eropah, Amerika, Russia, India, China, Australia, malah ke Kutub Utara atau Kutub Selatan, atau bercakaplah dalam bahasa apa pun - tetapi ucapan salam bagi umat Islam tetap sama - assalammu'alaikum.
Keempat, disebabkan ucapan salam itu berbentuk universal, maka dengan mudah kita mengenali saudara se Islam - walaupun dia daripada negara mana sekalipun, walau dia bercakap apa bahasa sekali pun. Bila sahaja bertemu dan dia mengucapkan salam, kita sekalugus tahu dia adalah Muslim saudara kita!
Kelima, disebabkan sifat universal salam itulah maka ucapan salam menjadi pengikat kepada perpaduan, kesatuan dan ukhwah umat Islam. Kerana didalamnya mengandungi kesatuan bahasa, kesatuan doa, kesatuan akidah!
Sebab itulah Rasulullah saw menyeru didalam muqaddimah ucapan Baginda sebaik sahaja menyempurnakan hijratul-Rasul - aiyyuhannas, afsyussalam - wahai manusia - sebarkanlah salam.
Hari ini umat Islam berpecah parah.
Pertelingkahan kerana perbezaan mazhab, politik, kaum, etnik, dan
pelbagai kepentingan menyebabkan kita menjadi lemah dan musuh mengambil
kesempatan.
Apabila ada umat Islam sendiri
meredhakan kristian mengguna kalimah Allah sebagai tuhan triniti,
apabila umat Islam meredhai arak diminum secara berleluasa di tempat
awam, apabila umat Islam melebihkan gereja daripada masjid, apabila umat
Islam lebih seronok membelai dan berpelukan dengan anjing daripada
bermesra sesama Islam - bermakna KPI umat Islam menurut Al-Quran dan
Sunnah sudah sampai ke tahap kronik!
Sempena 1436 Hijrah ini, marilah kita kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, memperkukuhkan ukhwah, kesatuan dan perpaduan kita dengan mengamalkan perkara yang begitu mudah - amalkan memberi salam kepada sesiapa sahaja umat Islam yang kita temui.
Apabila amalan memberi dan menjawab salam ini sudah meluas diamalkan dikalangan umat Islam, lihatlah nanti bagaimana mukjizat salam akan membawa kesan menyatupadukan umat Islam insya Allah.
SATU UMAT - AQIDAH DIUTAMAKAN, SYARIAH DIDAULATKAN
HIJRAH PENCETUS UKHWAH PERPADUAN
Wallahua'lam dan Wassalam.
Adios amigos, grasias.
Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
29 Zul-Hijjah 1435
24 Okt 2014
No comments:
Post a Comment