07 February 2015

D-DAY 10.02 - KEBENARAN ITU HAK!

Keadilan bukan sahaja untuk Anwar, tetapi juga untuk Saiful! Dan yang lebih penting, keadilan untuk kebenaran itu adalah hak yang wajib dihormati dan dipertahankan!
Salam 2 all.

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan Selasa 20 Rabi'ul Akhir 1436 bersamaan 10 Februari 2015 sebagai tarikh untuk mengumumkan keputusan penghakiman rayuan Anwar Ibrahim terhadap sabitan kesalahan meliwat pembantunya Saiful Bukhari oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 07 Mac 2014, Mahkamah Rayuan telah menerima rayuan Pendakwa Raya dan mensabitkan Anwar dengan kesalahan dibawah Seksyen 377B Kanun Kesiksaan atas dakwaan meliwat pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Kesalahan meliwat itu didakwa berlaku di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008. Atas sabitan itu, Anwar dihukum penjara 5 tahun.

Sejak Mahkamah Persekutuan mengumumkan tarikh keputusan, kumpulan pro-pembangkang tidak henti-henti menyerang kredibiliti perbicaraan dan integriti Mahkamah, dengan umumnya mempertikaikan kes ini sebagai satu konspirasi Kerajaan untuk menjatuhkan Anwar.

Antara dakwaan mereka ialah tidak mungkin Saiful diliwat kerana selepas konon diliwat, Saiful masih pergi berjumpa Anwar, malah siap membancuh teh untuk Anwar. Juga mereka mempertikai kenapa Saiful tidak buang air besar selama 2 hari. Malah ada yang mendakwa Dato' Sri Najib yang mendalangi konspirasi Anwar meliwat Saiful ini.

Kumpulan pro-pembangkang sampai mengadakan siri-siri ceramah untuk menghasut orang ramai supaya berhimpun pada 10 Feb 2015 ini dahadapan Mahkamah Persekutuan untuk menyokong Anwar dan memberi tekanan kepada Mahkamah. Malah ada yang siap mengugut Malaysia akan berhadapan dengan keadaan huru-hara dan rusuhan jika Anwar disabit dengan kesalahan dan dipenjarakan!

Saya sebenarnya tidak berminat untuk mengupas berkenaan Anwar ini, apatah lagi nak bercakap mengenai perlakuan liwat dan sodomi ini. Tetapi kerana ianya dijadikan isu untuk menghasut orang ramai terutama anak muda, mahasiswa dan golongan belia untuk mempertikai integriti dan kredibiliti Mahkamah Persekutuan dan institusi kehakiman negara, maka saya terpanggil untuk menulis mengenai perkara ini.

Harapan saya ialah supaya anak-anak muda dan para mahasiswa yang tidak mengenali Anwar ini akan menggunakan akal fikiran yang waras dan berfikir secara matang dan tenang untuk memastikan mereka tidak mudah terjebak dengan politik licik dan jijik kumpulan pro-pembangkang ini. 

Gunakanlah akal kamu, jangan bertindak menggunakan emosi!

Saya adalah antara peguam utama Anwar selama 12 tahun, selain penyokong dan pendokong tegar beliau selama 12 tahun. Malah saya pernah ditahan dibawah ISA kerana mempertahankan Anwar.

Saya antara peguam utama yang terlibat secara langsung dengan kes pertama Anwar didakwa dibawah Ordinan 22 kerana salahguna kuasa mengarahkan Cawangan Khas PDRM untuk memaksa pemandu Wan Azizah bernama Azizan Abu Bakar (mangsa liwat Anwar) dan Umi Hafilda (yang membantu Azizan membuat lapuran) membuat Akuan Sumpah palsu menafikan Anwar meliwat Azizan (dimana Anwar dihukum 6 tahun penjara).

Saya juga terlibat sebagai antara peguam utama Anwar dalam kes kedua dimana Anwar dituduh bersama adik angkatnya Sukma Darmawan meliwat pemandu Wan Azizah bernama Azizan Abu Bakar di Kondominium Tivolli Villa (dimana Anwar dihukum 9 tahun penjara tetapi kemudian dilepaskan oleh Mahkamah Persekutuan atas kekurangan keterangan walaupun Mahkamah mengakui kejadian liwat berlaku).

Alhamdulillah Allah memberikan saya petunjuk dan hidayah untuk melihat kebenaran berdasarkan fakta dan dan hakikat, dan Allah memberikan saya kekuatan untuk bukan sahaja meninggalkan Anwar Ibrahim dan pembangkang, malah menentang kebatilan mereka dengan membongkarkan kepalsuan mereka dan mendedahkan kebenaran berdasarkan fakta dan bukti yang jelas.

Atas dasar itulah saya menyeru khususnya anak-anak muda, para mahasiswa dan para belia semua termasuk penyokong taksub pembangkang supaya menggunakan akal dengan waras dan matang untuk menilai sendiri fakta dan keterangan yang ada untuk melihat samada dakwaan kumpulan pro-pembangkang ini benar atau tidak.

Cuba nilai dan pertimbangkan fakta-fakta berikut:

1. ANWAR GAGAL BERI KETERANGAN

Kalau benar dakwaan pembangkang berkaitan konspirasi dan lain-lain, persoalan utama yang perlu saudara-saudari tanya pada diri sendiri ialah kenapa Anwar tidak menggunakan ruang dan peluang yang diberikan kepadanya semasa perbicaraan di Mahkamah? Anwar bukan berseorangan didalam Mahkamah; dia diwakili berbelas peguam hebat-hebat, diketuai oleh peguam veteran mendiang Karpal Singh yang membentuk pasukan peguam bukan sahaja daripada kalangan anak-anaknya Gobind Singh Deo, Ram Karpal Singh, Jagdeep Singh dan juga lain-lain peguam senior.

Bukan Mahkamah tidak memberi dia peluang. Malah Anwar diberi peluang seluas-luasnya untuk membela diri dengan mengemukakan segala bukti dan keterangan untuk membuktikan dakwaan dia. Kenapa Anwar hanya berani bercakap didalam ceramah atas pentas politik, tetapi tidak berani memberi keterangan secara bersumpah didalam Mahkamah?

Sedangkan Saiful Bukhari dengan berani memberi keterangan bersumpah didalam Mahkamah, dia digerudi oleh peguam Anwar dengan soal-balas dan soal-siat selama beberapa hari. Namun Saiful kekal istiqomah dan konsisten dengan keterangan dan bukti; malah Hakim Mahkamah Tinggi dalam penghakiman menyanjung integriti dan kredibiliti keterangan Saiful Bukhari!

Adakah Anwar takut disoal-balas oleh Pendakwaraya? Apakah yang beliau takutkan? Kalau dia bercakap benar, kalau dia punya bukti sahih bahawa semua ini adalah konspirasi kerajaan, kenapa Anwar tidak memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah didalam Mahkamah, dan membenarkan Pendakwaraya menyoal-balas dia!

Fakta ini sahaja sepatutnya sudah cukup untuk meyakinkan kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan dakwaan kumpulan pro-Anwar kononnya ada konspirasi! Sepatutnya anak-anak muda hari ini bertanya kepada Anwar, kenapa tidak memberi keterangan bersumpah dan mendedahkan semua dakwaan dia didalam Mahkamah!

Anwar gagal bela diri & beri keterangan bersumpah dalam Mahkamah walaupun diberi peluang bela diri dgn diwakili peguam hebat! Kenapa?


2. MANA SAKSI ALIBI?

Sejak daripada awal antara dakwaan Anwar menafikan aduan Saiful diliwat beliau ialah dengan mendakwa beliau tiada ditempat kejadian; bahawa beliau ada saksi alibi untuk membuktikannya.

Dan apabila kes dibicarakan, peguam Anwar menyenaraikan beberapa orang saksi alibi untuk membuktikannya. Antara saksi yang disenaraikan ialah Wan Azizah, isteri beliau sendiri. Juga Mokhtar, adik iparnya yang juga pengawal peribadinya (yang namanya diguna sebagai password untuk masuk ke kondominium tersebut); dan Haji Hasanudin, seorang kenalan baik Anwar yang juga tuanpunya unit kondo tempat kejadian liwat berlaku.

Apa yang pelik ialah bukan sahaja Anwar gagal memberi keterangan bersumpah didalam Mahkamah, malah tiada seorang pun saksi alibinya hadir memberi keterangan!!!

Takkanlah Wan Azizah isteri dia sendiri tidak boleh datang? Takkan Mokhtar adik ipar dia sendiri tidak boleh datang? Takkan Haji Hasanudin rakan baik dia sendiri tidak boleh datang?

Bukannya Mahkamah larang mereka datang, malah Mahkamah sudah menerima dan menyenaraikan mereka sebagai saksi untuk Anwar. Pendakwaraya bukan sahaja tidak membantah, malah menunggu mereka datang memberi keterangan supaya boleh disoal balas. Tetapi tidak ada seorang pun yang datang!

Tidakkah anak-anak muda semua berasa pelik dan hairan? Tentu ada sesuatu yang tidak kena kalau saksi Anwar sendiri tidak datang hadir ke Mahkamah untuk membuktikan keterangan alibi mereka?


3. BUKTI DNA

Bukti utama kes Pendakwaraya ialah ujudnya DNA Anwar didalam dubur Saiful. Malah keterangan pakar kimia, pakar forensik dan pakar perubatan yang memeriksa Saiful dan spesimen DNA yang ditemui semua mengesahkan bahawa DNA Anwar (yang dikenali sebagai Lelaki-Y) ditemui 4 sentimeter didalam dubur Saiful.

Saya ingin memberi perbandingan kes DNA ini dengan kes Azizan dahulu. Didalam kes Azizan, Pendakwaraya juga mengemukakan DNA yang ditemui diatas tilam milik Sukma di Tivolli Villa. Si-Tompok 13 - itulah nama yang diberi kepada tilam itu kerana adanya 13 tompok DNA ditemui didatas tilam tersebut.

Bagaimanapun, Pendakwaraya gagal mengemukakan bukti sahih bahawa DNA yang ditemui diatas tilam Si-Tompok 13 ini bersumberkan daripada air mani Anwar. Apa yang ada hanyalah spekulasi ia mungkin daripada air mani, tetapi kemungkinan ia juga datang daripada rambut, darah, air liur dan lain-lain sumber tidak boleh diketepikan kerana setelah disoal-balas oleh peguam Anwar, saksi tidak dapat memerikan pengesahan 100% ianya bersumberkan daripada airmani Anwar!
 
Ini kerana usia tompok tersebut sudah lebih 6 tahun, kerana dakwaan liwat berlaku tahun 1992, sedangkan pemeriksaan hanya dilakukan pada tahun 1998. Dan lebih parah, ahli kimia yang terlibat telah memusnahkan kesemua spesimen 13 tompok itu. Sebab itulah Hakim Augustine Paul J (mendiang) memutuskan untuk meminda pertuduhan dengan membuang elemen liwat dan zina didalam pertuduhan, dan hanya membicarakan kes salahguna kuasa!

Sebaliknya dalam kes Saiful, keterangan semua pakar kimia, pakar forensik, dan pakar perubatan yang memeriksa sendiri dubur Saiful dan memeriksa sampel DNA yang ditemui mengesahkan bahawa DNA yang ditemui adalah bersumberkan daripada airmani Lelaki-Y iaitu Anwar. Ini kerana kejadian liwat berlaku pada 26 Jun 2008, dan pemeriksaan dilakukan pada 28 Jun 2008, maknanya dalam tempoh 48 jam sahaja.

Kumpula pro-pembangkang mendakwa Doktor Osman Abdul Hamid, seorang doktor biasa rakyat Myanmar yang bekerja di Pusrawi yang mula-mula memeriksa Saiful mendakwa konon tiada bukti penetrasi.

Pertama yang kita perlu tanya, kenapa Dr. Osman ini tidak datang Mahkamah memberi keterangan walaupun disenaraikan sebagai saksi? Kedua kenapa Anwar sendiri tidak memberi keterangan bersumpah dalam Mahkamah mengemukakan dakwaan Dr Osman ini? Ketiga, Doktor Osman bukannya pakar forensik atau pakar kimia. Tidak mungkin beliau boleh mengesahkan tidak berlaku penetrasi dengan hanya melihat dengan mata kasar tanpa membuat pemeriksaan terperinci sebagaimana yang dibuat oleh pakar forensik dan kimia!

Dan yang paling pelik ialah kenapa Anwar sendiri tidak mahu bekerjasama dengan memberikan sampel darah dia untuk dibuat ujian DNA. Kalau benar dakwaan Anwar ini semua konspirasi, bukankah untuk kepentingan Anwar memberikan sampel darah untuk ujian perbandingan DNA dengan sampel DNA airmani yang ditemui didalam dubur Saiful?

Tidakkan menguntungkan Anwar jika didapati DNA darah Anwar tidak sama dengan DNA airmani yang ditemui didalam dubur Saiful? Malah itulah tunggak kekuatan kes Pendakwaraya; yang jika terbukti tidak sama DNA darah Anwar dan DNA airmani yang ditemui, seluruh kes Pendakwaraya akan bungkus begitu sahaja!

Keengganan Anwar memberikan sampel darah untuk ujian DNA memaksa pasukan penyiasat menggunakan sumber DNA Anwar yang lain iaitui air liur, peluh dan rambut yang ditemui didalam lokap tahanan.

Dan terbukti tanpa sebarang keraguan bahawa DNA perbandingan itu bersamaan dengan DNA airmani yang ditemui didalam dubur Saiful. Pada saya, ini sekaligus membuatkan Pendakwaraya berjaya membuktikan kes tanpa sebarang keraguan berlakunya penetrasi; dan kegagalan Anwar memberi keterangan bersumpah sudah cukup untuk mensabitkan kesalahan meliwat dibawah Seksyen 377B Kanun Kesiksaan.


4. SUMPAH MUBAHALAH

Apabila seorang agamawan bernama Dr Asri Zainal Abidin mencadangkan supaya Saiful dan Anwar mengangkat sumpah mubahalah untuk membuktikan dakwaan masing-masing, Saiful dengan jelas dan tanpa sebarang keraguan mengangkat sumpah laknat pada 14 Ogos 2008 dengan menegaskan beliau diliwat oleh majikannya sendiri iaitu Anwar Ibrahim. Saiful mengulangi sumpah tersebut pada 09 April 2012 dihadapan Ka'bah di Masjidil Haram, Mekah. Berikut adalah lafaz sumpah Saiful:
 
"Pada hari ini, Khamis 13 Sya'ban 1429, bersamaan 14 Ogos 2008, saya Mohd. Saiful Bukhari Azlan (Nombor Kad Pengenalan 850706-01-5687) dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut:

"A'uzubillahi minas syaitonirrajim. Bismillahirrahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam dubur saya.
Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah S.W.T dan saya sanggup menerima azab, dilaknat dan kutukan daripada Allah S.W.T sehingga ke kiamat.
Wallahualam".

Namun sehingga hari ini Anwar gagal, dan enggan mengangkat sumpah menafikan sumpah Saiful. Bukankah ini peluang terbaik Anwar untuk menyerahkan sepenuhnya kepada Allah untuk memberikan petunjuk kebenaran dakwaan Saiful atau dakwaan Anwar kononnya dia mangsa konspirasi Kerajaan.
 
Kumpulan pro-pembangkang dan anak-anak muda sekelian sepatutnya mencabar Anwar supaya mengangkat sumpah mubahalah menafikan dia telah meliwat Saiful! Keengganan Anwar mengangkat sumpah tersebut menimbulkan terlalu banyak persoalan; antaranya adakah Anwar takut dengan kebenaran daripada Allah?

 
5. LIWAT SUKA SAMA SUKA

Presiden Majlis Peguam Christopher Leong menyatakan perlakuan liwat Anwar itu adalah atas dasar suka sama suka! Bagaimanakah seorang Presiden Majlis Peguam, sebuah badan yang pro-pembangkang dengan berani dan secara terbuka dan bertulis menegaskan bahawa perlakuan liwat Anwar terhadap Saiful adalah atas dasar suka sama suka.

Sudah pasti sebagai Presiden sebuah badan guaman, dan pro pembangkang akan berhati-hati dalam mebuat kenyataan seperti itu. Sudah pasti beliau akan menimbang segala keterangan, bukti dan fakta sebelum membuat rumusan seperti itu.

Persoalannya kalau penegasan Presiden Majlis Peguam itu tidak benar, mengapa sehingga ke hari ini Anwar tidak menyaman beliau atau Majlis Peguam; atau mendesak Christopher Leong atau Majlis Peguam menarik balik kenyataan itu?


6. AKUAN BERSUMPAH PALSU

Saya masih teringat kejadian pada 28 Jun 2008 di Quality Hotel Shah Alam. Pada masa itu kami wakil rakyat PKR ada seminar di Quality Hotel Shah Alam. Selepas mendapat maklumat petang 28 Jun 2008 bahawa Saiful telah membuat lapuran polis mengadu diliwat oleh Anwar Ibrahim, beberapa kejadian yang telah saya banyak kali ceritakan telah berlaku yang menimbulkan keraguan kepada diri saya secara peribadi. Namun apa yang saya ingin fokuskan disini ialah cubaan beberapa peguam dan tokoh pro-pembangkang pada malam itu untuk membuat surat Akuan Bersumpah daripada dua orang yang saya kenali sebagai Rahimi Osman dan Rasidi.
 
Rahimi adalah pegawai khas Anwar, manakala Rasidi adalah pembantu am Anwar. Kedua-dua mereka disuruh mengarang suatu surat Akuan Bersumpah palsu yang menuding jari menyalahkan Saiful Bukhari dan mengaitkan Dato' Sri Najib dengan Saiful.
 
Kedua-dua mereka kemudiannya telah membuat lapuran polis mengadu mereka dipaksa membuat surat Akuan Bersumpah palsu.
 
Sehingga kini tiada sebarang tindakan guaman atau saman diambil terhadap mereka jika benar mereka memfitnah atau membuat lapuran polis palsu!
 
Persoalannya, mengapa ada cubaan untuk memaksa mereka ini membuat surat Akuan Sumpah palsu menyalahkan Saiful Bukhari dan mengaitkan beliau dengan Dato' Sri Najib.



7. KETERANGAN DARIPADA KANDANG
 
Kumpulan pro-pembangkang mendakwa bahawa Anwar telah memberi keterangan dialam Mahkamah. Jadi tidak timbul persoalan Anwar tidak memberi keterangan.
 
Jelas mereka yang bercakap ini samada jahil muraqab tentang prosedur perbicaraan di Mahkamah, atau sengaja mahu memutar belit fakta dan mengelirukan orang ramai.
 
Apabila Anwar dipanggil oleh Mahkamah Tinggi untuk membela diri, ini bermakna Mahkamah secara prima facie yakin ada kes untuk dijawab oleh Anwar yang jika tidak dijawab boleh membawa kepada sabitan kesalahan.

Anwar memilih untuk membaca keterangan daripada kandang tertuduh, bukannya memberi keterangan secara bersumpah daripada kandang saksi.

Apa maksudnya?

Apabila seseorang tertuduh dipanggil membela diri, dan dia memilih untuk membaca keterangan daripada kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah, maka pertama dia tidak boleh disoal-balas atau dicabar oleh Pendakwaraya untuk menentu-sahihkan keterangan dia.

Kedua, dia boleh bercakap apa sahaja tanpa membuktikan atau mengemukakan apa-apa bukti atau keterangan bagi menyokong dakwaan dia.

Sebab itu didalam undang-undang, membaca keterangan daripada kandang tertuduh tidak ada nilai sebagai bukti dan keterangan yang boleh diterima pakai. Ianya hampir sama macam tidak memberi keterangan pun. Dan Mahkamah pun tidak akan mencatatkan apa-apa daripada bacaan keterangannya itu.

Ini adalah kerana pihak Pendakwaraya tidak diberi peluang menyoal balas Anwar. Malah kalau dilihat daripada sudut hak bersuara dan demokrasi, Pendakwaraya telah dinafikan hak untuk menentu-sahihkan dan mencabar segala dakwaan Anwar.
 
Contohnya apabila Anwar mendakwa Mahkamah dipengaruhi oleh Kerajaan, atau membaca skrip yang disediakan, Pendakwaraya tidak dapat menyoal-balas Anwar apa asas dia membuat dakwaan itu? Apa buktinya? Apa keterangannya? Kalau ada skrip, siapa penulis skrip? Siapa mengarahkan Mahkamah? Ini semua tidak dapat dicabar oleh Pendakwaraya kerana tidak diberi peluang menyoal balas dan mencabar keterangan Anwar yang dibaut daripada kandang tertuduh.

Makna kata cakap kasarnya, membaca keterangan daripada kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan boleh disoal balas atau dicabar sama lah seperti bercakap dengan modal air liur sahaja; tanpa perlu membuktikan apa-apa, dan tanpa boleh dia dicabar dan disoal balas oleh Pendakwaraya. Sebab itu keterangan seperti ini tidak ada nilai dari segi perundangan.


RUMUSAN
 
Jadi anak-anak muda, para mahasiswa, para belia dan penyokong taksub pro-Anwar dan kumpulan pro-pembangkang sepatutnya menggunakan akal fikiran untuk menimbang segala dakwaan dan tohmahan pembangkang.
 
Janganlah diperlekeh akal fikiran yang Allah berikan.
 
Yang membezakan kita dengan haiwan ialah akal. Janganlah sama-tarafkan diri kita setaraf dengan haiwan yang hanya bertindak mengikut nafsu dan emosi tanpa menggunakan akal.
 
Sebenarnya kes Saiful ini adalah kes peribadi melibatkan Anwar Ibrahim dan pembantunya Saiful Bukhari. Ia adalah kes aduan seorang kakitangan yang mengadu majikannya telah meliwat beliau.
 
Dalam bahasa hak asasi manusia, ini adalah aduan kes pencabulan seksual oleh seorang majikan terhadap kakitangannya. Dinegara barat, ini adalah suatu kes yang serius dan boleh dikenakan hukuman berat!
 
Takkanlah kita nak percaya tohmahan kumpulan pro-pembangkang bahawa Najib terlibat!
 
Cuba tanya akal kita sendiri, menasabah kah untuk Najib terlibat?
 
Bagaimana caranya Najib mendapatkan sampel airmani Anwar? Bagaimana Najib memasukkan sampel airmani itu kedalam dubur Saiful? Perlu diingat DNA yang ditemui didalam dubur Saiful dan disahkan oleh pakar kimia, forensik dan perubatan iailah DNA bersumberkan airmani Anwar!
 
Takkanlah Najib yang memerangkap Anwar? Adakah Najib memerangkap Anwar supaya meliwat Saiful? Logik kah tohmahan itu?

Apa yang penting ialah kita memberikan ruang dan peluang kepada kelima-lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah bersidang untuk membuat keputusan dan penghakiman mereka.

Anwar telah diberi peluang seluas-luasnya untuk mengemukakan hujah dihadapan Mahkamah Persekutuan.

Anwar diwakili oleh berbelas peguam, diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan seorang peguam veteran Datuk Gopal Sri Ram, selain anak-anak mendiang Karpal Singh iaitu Gobind Singh Deo, Ram Karpal Singh, Jagdeep Singh, selain daripada beberapa peguam kanan dan senior yang lain.

Mereka diberi ruang dan peluang secukupnya, malah berlebih-lebihan, untuk mengemukakan hujah mereka.

Kini benarkan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan ini membuat keputusan dan penghakiman mereka tanpa sebarang tekanan, desakan atau ugutan. Jangan dipolitikkan kes ini. Ini bukan kes politik. Ini kes jenayah melibatkan seorang majikan yang didakwa meliwat kakitangannya!

Apa juga keputusan Mahkamah Persekutuan hendaklah kita hormati dan terima. Walaupun saya memberikan hujah panjang lebar diatas, namun kata pemutusnya adalah ditangan Mahkamah dan Hakim-Hakim yang arif lagi bijaksana ini.

Kalau ditakdirkan mereka membuat keputusan menerima rayuan Anwar dan membebaskan dia, saya perlu akur menerima dan menghormatinya, walaupun saya mungkin tidak setuju. Dan jika Mahkamah menolak rayuan Anwar dan menjatuhkan hukuman penjara samada 5 tahun atau lebih, maka itu pun kita wajib menerima dan menghormatinya walaupun kita mungkin tidak bersetuju.

Ingatlah, keadilan bukan sahaja untuk Anwar, tetapi juga untuk Saiful.

Dan yang lebih penting, keadilan adalah untuk kebenaran, insyallah!

Hormati Hakim-Hakim, institusi Mahkamah & keluhuran Undang-Undang Negara!

Yang baik datang daripada Allah, sebarang kelemahan atau kesilapan adalah daripada saya sendiri, dan kepada Allah kita mohon pengampunan.
 
Wallahua'lam dan Wassalam.
 
Adios amigos, grasias senor!
 
Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
17 Rabi'ul Akhir 1436
07 Februari 2015

No comments: