12 November 2013

BANGKITLAH PEGUAM ISLAM!


Majlis Peguam menyokong tuntutan gereja kristian untuk mengguna-pakai kalimah ALLAH yang bercanggah dengan aqidah Islam; apakah kita peguam Melayu-Islam mahu terus berdiam diri membisu seribu bahasa?
Salam 2 all.

Mengikut statistik terkini, jumlah peguam yang bernaung dibawah Bar Malaysia (Malaysian Bar) dan berdaftar sebagai Peguambela & Peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya dalam negara ini ialah 15,519.

Walaupun tiada statistik yang sahih, namun lebih kurang 40% atau lebih 6,000 peguam berdaftar adalah berbangsa Melayu atau beragama Islam. Satu jumlah yang agak besar!

Persoalannya ialah, bagaimana mungkin badan eksekutif Bar Malaysia (Malaysian Bar) yang dikenali sebagai Majlis Peguam atau Bar Council, yang terdiri daripada 38 orang ahli Exco (atau 0.25% sahaja) boleh mengambil sikap atau pendirian yang kadang-kadang bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam sedangkan jumlah peguam Melayu beragama Islam begitu besar?

Adakah Majlis Peguam atau Bar Council tidak sensitif kepada hal ehwal Islam? Atau tidak mempedulikan langsung sensitiviti peguam-peguam Melayu-Islam? Atau adakah Majlis Peguam sudah dikuasai oleh golongan anti Islam, atau liberal?

Saya masih ingat lagi tahun 2006 semasa rayuan kes permohonan pengesahan murtad melalui penukaran kad pengenalan oleh Azlina Jailani @ Lina Joy, Majlis Peguam (Bar Council) telah menghantar wakil peguam pemerhati dan mengambil pendirian menyokong tuntutan murtad Lina Joy tanpa langsung mengambil kira kesannya kepada para peguam Melayu-Islam!

Begitu juga dalam isu promosi dan perlaksanaan Festival Seks Bebas LGBT, Bar Council mengambil pendirian menganjurkan program tersebut; walaupun jelas amalan seks songsang dan luar tabi'e ini adalah sangat bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam!

Bar Council juga mengambil pendirian menyokong tuntutan pihak gereja Titular Biskop Kuala Lumpur yang menuntut hak penggunaan kalimah ALLAH dalam bentuk kefahaman triniti walaupun ianya bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam.

Terkini dalam isu tuntutan Pakatan NGO-NGO yang melabel diri mereka Comango yang membuat desakan di sidang Universal Periodic Review, Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva menuntut antara lain supaya diberi  hak kebebasan untuk murtad dan menukar agama termasuk oleh orang Islam, kebebasan orientasi seksual termasuk antara sesama jantina, pemansuhan semua enakmen syariah yang didakwa konon melanggar hak asasi individu (seperti khalwat, minum arak dll), dan pemansuhan Seksyen 377 Kanun Kesiksaan yang menjadikan liwat atau homoseks sebagai perlakuan jenayah dengan hukuman berat!

Persoalan pokoknya ialah mana pergi suara 40% peguam-peguam Melayu beragama Islam dalam mendepani pendirian Bar Council yang bercanggah dan bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam?

Malah bagi sesi 2012/2013 , daripada 38 ahli Exco Bar Council, ada 14 orang ahli Exco yang berbangsa Melayu atau beragama Islam! Hampir 40% Exco Bar Council adalah Melayu atau Muslim!

Dalam keadaan itu, ramai juga yang tertanya-tertanya; bagaimana dan mengapa Bar Council boleh mengambil pendirian dan sikap yang kelihatan anti-Islam, bercanggah dan bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam; dalam keadaan 40% peguam di Malaysian Bar adalah Melayu-Islam; dan hampir 40% menduduki jawatan Exco Bar Council?

Di Malaysia, semua peguam (kecuali Peguam Syarie) tertakluk kepada Akta Profesyen Guaman 1976 (Akta 166). Kesemua peguam diwajibkan berdaftar dengan Mahkamah Tinggi Malaya pada setiap tahun dan hanya yang berkelayakan akan diberikan Sijil Amalan Guaman.

Dan kesemua Peguam yang berdaftar dengan Mahkamah Tinggi Malaya akan diurus dan diselia dibawah satu badan dipanggil Bar Malaysia (atau Malaysian Bar). Ini adalah badan induk yang menaungi semua Peguam mengikut Akta 166.

Badan induk yang dikenali sebagai Bar Malaysia atau Malaysian Bar ini pula akan diurus oleh sebuah jawatankuasa eksekutif dipanggil Majlis Peguam atau Bar Council.

Dan semua Peguam yang berdaftar ini akan dibahagikan mengikut negeri tempat amalan guaman masing-masing, dimana tiap negeri pula akan ada Jawatankuasa Peguam Negeri (State Bar Committee) masing-masing.

Majlis Peguam atau Bar Council dan Jawatankuasa Peguam Negeri atau State Bar Committee ini dipilih melalui proses pengundian setiap dua tahun. Semua Peguam yang mempunyai Sijil Amalan Guaman daripada Mahkamah Tinggi Malaya dan berdaftar dengan Bar Malaysia (Malaysian Bar) berhak mengundi untuk memilih anggota Exco Majlis Peguam atau Bar Council dan Jawatankuasa Peguam Negeri atau State Bar Committee ini.

Bagi tiap pemilihan, semua Peguam boleh memilih dan mengundi maksimum 12 orang sahaja bagi menganggotai Exco Majlis Peguam atau Bar Council ini. Manakala keanggotaan selebihnya adalah terdiri daripada Pengerusi tiap Jawatankuasa Peguam Negeri dan seorang wakil yang dipilih oleh negeri. Bermakna tiap negeri akan ada dua perwakilan iaitu Pengerusi dan seorang wakil dipilih.

Jumlah kesemuanya menjadi 38 orang yang akan membentuk barisan Exco Majlis Peguam atau Bar Council ini.

Dan anggota Majlis Peguam atau Bar Council ini pula akan bermesyuarat untuk memilih dan menentukan siapa yang akan menduduki jawatan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agong, Bendahari. Manakala Presiden sesi sebelumnya secara automatik akan menjadi anggota Exco Majlis Peguam bagi sesi berikutnya.

Pada setiap kali pemilihan, daripada lebih 15,000 peguam, saya melihat purata peguam yang mengundi untuk memilih keanggotaan Exco untuk Majlis Peguam ini sekitar 2,500 ke 3,000 orang sahaja. Maknanya lebih kurang 15-20% sahaja Peguam yang menjadi ahli Bar Malaysia atau Malaysian Bar yang mengundi. Hampir 80% lagi langsung tidak mengundi atau tidak menunjukkan minat untuk mengundi.

Sedangkan kalau kita mengambil jumlah ahli Bar Malaysia atau Malaysian Bar dari kalangan bangsa Melayu atau beragama Islam yang mencecah lebih 6,000 orang, bermakna Peguam berbangsa Melayu atau beragama Islam sudah boleh menguasai Majlis Peguam atau Bar Council dan Jawatankuasa Peguam Negeri-Negeri atau States Bar Committee.

Tetapi mengapa itu tidak terjadi? Mana pergi Peguam-Peguam Melayu atau yang beragama Islam ini? Tidakkah mereka berasa sangat penting untuk kita menguasai, atau setidak-tidaknya menentukan dasar, pendirian dan sikap Majlis Peguam atau Bar Council ini?

Ini adalah kerana seperti yang saya sebut didalam muqaddimah diatas, kadang-kadang ada pendirian, sikap dan tindak tanduk Majlis Peguam atau Bar Council ini boleh dipersoalkan, apatah lagi dalam isu yang membabitkan Melayu dan/atau Islam.

Sebagai contoh, saya sendiri pernah bertanding dan menduduki jawatan Exco Majlis Peguam atau Bar Council bagi sesi 2006/ 2007.

Pada masa itu, tercetus isu murtadnya Azlina Jailani yang dikristiankan dan dibaptiskan dengan nama Lina Joy oleh gereja Church of Our Lady Fatima, Brickfields.

Azlina Jailani atau Lina Joy telah membawa kes beliau ke Mahkamah untuk menuntut hak menukar nama dan status agama didalam kad pengenalan beliau daripada 'Azlina Jailani beragama Islam' kepada 'Lina Joy beragama kristian'.

Pada tahun 2006, kes itu dibawa ke peringkat Mahkamah Persekutuan. Saya pada masa itu bertindak sebagai Peguam mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (pada masa itu dibawah pimpinan saudara Dr. Mohamed Yusri).

Saya terkejut pada masa perbicaraan, beberapa orang peguam bangun dan menmaklumkan kepada Mahkamah bahawa mereka mewakili Majlis Peguam atau Bar Council; dan mereka menyokong tuntutan Azlina Jailani atau Lina Joy bersesama dengan pertubuhan-pertubuhan keagamaan seperti Majlis Gereja Malaysia, Majlis Perunding Agama Hindu, Kristian, Budha, Sikh & Tao dan lain-lain NGO termasuk SiS Forum.

Saya lantas bangun didalam Mahkamah dan mempertikaikan kedudukan mereka; dan saya maklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa saya sebagai ahli Exco Bar Council sendiri tidak pernah mendengar atau bermesyuarat untuk mengambil mereka mewakili Bar Council dan mengambil pendirian menyokong tuntutan murtad Azlina Jailani.

Saya juga memberitahu Mahkamah mana mungkin Bar Council yang juga mewakili 40% peguam beragama Islam mengambil pendirian yang jelas bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam iaitu dengan menyokong seorang Islam yang mahu murtad!

Apabila mesyuarat Exco Bar Council diadakah selepas daripada itu, saya membangkitkan isu ini dan megkritik keras pimpinan Bar Council waktu itu. Saya mendesak supaya Bar Council tidak mengambil pendirian partisan atau pendirian yang boleh memudaratkan ahlinya termasuk, dan terutama yang beragama Islam melainkan mendapat persetujuan daripada kesemua ahli atau peguam yang beragama Islam yang berdaftar dibawah Bar Malaysia.

Walaupun pendirian tegas dan keras saya itu tidak disukai oleh segelintir daripada ahli Exco Bar Council, namun selepas daripada itu dasar telah ditukar dengan pendekatan memaklumkan dan mendapatkan persetujuan mesyuarat Exco Majlis Peguam dahulu sebelum apa-apa pendirian atau sikap mahu diambil oleh Majlis Peguam.

Semasa saya menjawat jawatan Exco Bar Council, saya mengambil sikap meletakkan agama Islam sebagai prioriti dan keutmaan; seringkali saya menyebut bahawa 'I am a Muslim first, a lawyer second - saya seorang Muslim dahulu, sebagai peguam kemudian'.

Akhir-akhir ini, saya melihat pendirian dan sikap Majlis Peguam atau Bar Council ini semakin mirip dan senada dengan pembangkang; dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan/ atau undang-undang negara, malah melangkaui garis panduan aqidah dan syariat Islam.

Antaranya dalam isu kalimah ALLAH, Majlis Peguam mengambil pendirian menyokong tuntutan pihak Titular Archbishop Kuala Lumpur yang mendesak kristian dibenarkan mengguna-pakai kalimah ALLAH. Tuntutan yang sama telah dibuat oleh Lim Guan Eng daripada DAP dan disokong oleh pakatan pambangkang DAP-PKR-PAS.

Walaupun jelas sebenarnya tuntutan ini bercanggah dengan Artikel 3, Artikel 11 (4) dan Jadual 9 Senarai II Perlembagaan Persekutuan, bercanggah dengan titah Majlis Raja-Raja dan Tuanku Sultan Negeri-Negeri, bercanggah dengan fatwa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, bercanggah dengan fatwa Mufti-Mufti Negeri, bercanggah dengan Enakmen-Enakmen Syariah Negeri-Negeri; apatah lagi bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam menurut ijma' Mufti dan Ulama-Ulama Malaysia.

Saya tidak mempertikaikan hak mana-mana pihak mahu membawa apa-apa kes atau tuntutan ke Mahkamah. Itu hak yang dijamin Perlembagaan.

Apa yang saya pertikaikan ialah peranan, pendirian dan sikap Majlis Peguam (Bar Council) yang sepatutnya mengambil kira sensitiviti dan hak peguam beragama Islam sebelum mengambil apa-apa pendirian atau sikap partisan yang mungkin bercanggah dan bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam.

Contohnya kita melihat juga bagaimana pendirian Majlis Peguam (Bar Council) menyokong tuntutan perlaksanaan seks bebas LGBT - Lesbian Gay Bisexual & Transgender dengan cubaan menganjur Festival Seks Bebas LGBT yang jelas bercanggah dengan Islam dan bercanggah dengan peruntukkan undang-undang jenayah negara yang melarang perlakuan seks songsang dan luar tabi'e!

Kita juga melihat bagaimana Majlis Peguam (Bar Council) menyokong beberapa tuntutan Pakatan NGO-NGO yang dilabel dengan nama COMANGO yang membuat beberapa usul didalam sidang UPR-Universal Periodic Review on Human Rights oleh UNHRC - United Nations Human Rights Commission di Geneva, Switzerland baru-baru ini yang antara lain menuntut kebebasan untuk murtad dan menukar agama termasuk oleh orang Islam, kebebasan orientasi seksual termasuk antara sesama jantina, pemansuhan semua enakmen syariah yang didakwa kononnya melanggar hak asasi individu (seperti peminuman arak, khalwat, seks luar nikah dll), dan pemansuhan Seksyen 377 Kanun Kesiksaan yang menjadikan liwat atau homoseks sebagai perlakuan jenayah dengan hukuman berat!

Apa yang penting diperingatkan kepada para peguam beragama Islam, ada pendirian dan sikap Majlis Peguam (Bar Council) yang terang-terang bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam; selain bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang negara.

Kita perlu ingat dengan sabda Rasulullah saw, 'arridho bil kufr...kufr - keredhaan kepada kekufuran maka kamu kufur'. Ini bermakna 'arridho bil syirk...syirk - keredhaan kepada kesyirikan itu maka kamu pun turut syirik'.

Bermakna kalau kita peguam Melayu atau Islam mengambil sikap tidak peduli atau tidak ambil tahu mengenai pendirian Majlis Peguam (Bar Council) ini maka kita sedang berada di jurang krisis aqidah dan keimanan kita sebagai umat Islam.

Sebab itu saya menyeru semua peguam Melayu dan beragama Islam supaya bangkit mencegah kemungkaran besar ini. Jangan kita biarkan segelintir parasit guaman menentukan aqidah dan keimanan kita.

Anggap lah ia sebagai satu jihad memperbetulkan kemungkaran dan kemaksiatan kepada ALLAH!

Ini bukan bermakna kita anti non-Muslim! Ini bukan bermakna kita anti-kebebasan! Ini bukan bermakna kita anti-hak asasi kemanusiaan!

Malahan sebenarnya melalui Islam sahajalah kita dapat membuktikan bahawa hak, kepentingan dan kebajikan non-Muslim akan terjamin; bahawa hanya melalui Islam sahajalah kebebasan dan hak asasi kemanusiaan akan terjamin. Dan Islam telah membuktikannya sejak zaman Rasulullah saw, zaman pemerintahan Jerusalem, zaman pemerintahan Andalusia, zaman pemerintahan Konstatinopel/ Istanbul, malah Islam akan terus membuktikan prinsip dan amalan berteraskan keadilan dan kesaksamaan sehingga akhir zaman!

Oleh itu, saya mencadangkan beberapa pelan tindakan yang boleh kita ambil sebagai peguam:

1. pastikan kita hanya mengundi mereka yang kita percaya boleh dan akan memperkasa, memartabat dan membela Islam untuk duduk menganggotai Exco Majlis Peguam dan Jawatankuasa Peguam Negeri-Negeri;

2. Jika berkelayakan dan berkemampuan, masuklah bertanding sebagai calon untuk mendapatkan tempat dalam barisan Exco Majlis Peguam ataupun Jawatankuasa Peguam Negeri-Negeri;

3. hadir dalam Mesyuarat Agong Tahunan Bar Malaysia dan Peguam Negeri untuk membangkitkan isu-isu berkaitan Islam;

4. kemukakan Memorandum untuk membawa usul membincangkan pendirian dan sikap Majlis Peguam yang bercanggah dan bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam;

5. hantar nota atau email kepada tiap ahli Exco Majlis Peguam terutamanya yang beragama Islam (nama dan alamat mereka di laman sesawang www.malaysianbar.org) dan nyatakan kepada mereka supaya mengambil pendirian tegas dalam memperkasa, memartabat dan membela Islam;

6. sekiranya ada keperluan dan telah disepakati, semua peguam Melayu atau Islam boleh mengemukakan notis untuk Mesyuarat Agong Tergempar Bar Malaysia untuk membincangkan pendirian dan sikap Majlis Peguam yang bercanggah dan bertentangan dengan Islam;

7. sekiranya ada keperluan dan disepakati, kita boleh memfailkan petisyen atau usul ke Mahkamah Tinggi untuk perintah sewajarnya terhadap Majlis Peguam dalam isu yang bercanggah dan bertentangan dengan Islam;

8. sekiranya keadaan memaksa dan tiada pilihan, kita boleh mengusulkan kepada Kerajaan supaya menubuhkan sebuah lagi badan yang mempunyai kuasa dan bidangkuasa seperti Malaysian Bar dan Majlis Peguam seperti yang diamalkan dibeberapa negara lain termasuk negara maju dan negara Komanwel;

9. dan yang lebih penting, kita semua peguam Melayu dan Islam wajib bersatu dan berpadu dibawah ukhwah Islamiyyah dan bertindak dengan satu suara satu nada dalam memperkasa, memartabat dan membela Islam.

Saya mengakhiri seruan ini dengan memetik Surah Al-Maidah: 54-56 bilamana ALLAH berpesan kepada kita dengan suatu ketegasan:

'Wahai orang beriman (termasuk para peguam).Barang siapa diantara kamu berpaling (atau murtad) daripada Islam, maka kelak ALLAH akan lahirkan satu kumpulan:

1. yang ALLAH mencintai mereka dan mereka mencintai ALLAH;

2. mereka bersikap lemah lembut terhadap sesama Islam yang beriman;

3. tetapi mereka bersikap keras dan tegas terhadap kaum kafir;

4. dan mereka berjihad ke jalan ALLAH;

5. dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela;

Dan ketegasan ALLAH dalam ayat 57:

'Wahai orang beriman, janganlah kamu mengambil pemimpin bagi kamu orang yang membuat agamamu menjadi bahan ejekan dan permainan, iaitu diantara orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mu, dan orang-orang kafir musyrik. Dan bertaqwalah kamu kepada ALLAH jika kamu orang yang beriman!

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
08 Muharram 1435
12 Nov 2013

11 November 2013

KEPIMPINAN ULAMA PAS?

Para parasit menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi untuk kristian mengguna-pakai kalimah ALLAH dalam bentuk triniti ALLAH Bapak, ALLAH Putera dan ALLAH Ruh Suci seperti yang dituntut oleh Lim Guan Eng walaupun Majlis Syura' menentangnya? Enta mahu Kepimpinan Ulama' atau Dipimpin Ular Dalam Semaki!
Salam 2 all.

Pemilihan untuk Jawatankuasa PAS Pusat akan diadakan pada 22 Nov depan. Senarai calon sudahpun dimuktamadkan. Sekali lagi kita melihat pertarungan diantara kumpulan pro-ulama dan kumpulan Anwarinas.

Kita dapat menilai dengan jelas bagaimana kumpulan yang dilabel sebagai Anwarinas telah merosakkan perjuangan PAS dan membelakangkan slogan kepimpinan melalui ulama yang menjadi modal politik dan survival PAS.

Alhamdulillah kini muncul kumpulan pro-ulama terutama daripada golongan ustaz-ustaz muda yang membawa obor perjuangan pro-ulama. Dan mereka membawa kembali slogan 'Kepimpinan Melalui Ulama' yang menjadi teras perjuangan PAS sejak 1980an dan menyeru ahli PAS supaya hanya memilih dikalangan ulama membarisi Jawatankuasa PAS Pusat dan sayap-sayap terutama Pemuda dan Muslimat.

Dalam menghadapi kempen golongan ustaz-ustaz muda ini, terdapat dikalangan para parasit dan kumpulan pro-Anwarinas yang menyatakan bahawa tidak perlu kepada ulama untuk menduduki Jawatankuasa PAS Pusat, atas alasan PAS sudah ada Majlis Syura' yang merupakan badan penentu dasar tertinggi dalam PAS! Maka memadai Majlis Syura' memantau dan menyelia kepimpinan eksekutif PAS Pusat.

Persoalannya adakah itu pendirian sebenar mereka?

Saya tegaskan itu adalah sekadar pendirian retorik dan penuh kepura-puraan. Malah lebih mirip kepada konsep taqiyyah iaitu menyembunyikan agenda sebenar mereka dengan mempamerkan konon akur kepada kepimpinan ulama!

Persoalannya benarkah retorik mereka ini?

Kita ambil contoh dalam isu tuntutan penggunaan kalimah ALLAH oleh pihak gereja yang diwakili Titular Archbishop KL. Tuntutan gereja ini senada dan seirama dengan tuntutan oleh Lim Guan Eng, Setiausaha Agong DAP yang disokong oleh kepimpinan Pakatan DAP-PKR-PAS.

Apabila isu ini berbangkit akibat daripada persetujuan bersama kepimpinan DAP-PKR-PAS pada 08.01.2013, maka Majlis Syura' PAS telah membuat ketetapan pada 13.01.2013 yang bertentangan dengan pendirian jawatankuasa eksekutif PAS Pusat bila dengan jelas menyatakan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh kristian kerana ini membabitkan soal aqidah dan tidak sepatutnya dipolitikkan!

Malah Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Dr. Haron Din dengan tegas menyatakan sesiapa yang bersetuju kristian mengguna-pakai kalimah ALLAH maka ia jatuh syirik!

Apabila percanggahan ini timbul diantara Majlis Syura' dan Jawatankuasa PAS Pusat, kita menjangkakan semua ahli PAS termasuk para parasit dan kaum pro-Anwarinas akan akur dan patuh.

Tetapi perkara sebaliknya berlaku.

Ketetapan Majlis Syura' PAS dipertikai malah ada antara mereka yang mencabar dengan kenyataan seperti 'ketetapan Majlis Syura' PAS bukan wahyu'. Ianya tidak perlu diikuti atau dipatuhi. Malah ada yang memperlekeh ketetapan Majlis Syura'!

Jadi persoalan yang perlu ditanya oleh ahli akar umbi dan perwakilan PAS, adakah benar kempen para parasit dan kaum pro-Anwarinas bahawa tidak perlu Jawatankuasa PAS Pusat dianggotai oleh ulama kerana konon sudah ada Majlis Syura' PAS - sedangkan hakikatnya mereka terang-terang menolak ketetapan Majlis Syura' PAS dalam soal fundamental seperti kalimah ALLAH?

Jawapannya jelas. Mereka ini sekadar bermain retorik politik. Mereka tidak menjadikan ulama sebagai qiblat mereka. Sebaliknya mereka tunduk na'am kepada kepemimpinan orang lain, qiblat mereka adalah undi dan menang kerusi lantas terus ke Putrajaya at all political cost!

Adakah sebarang jaminan jika mereka menduduki saf kepimpinan dan Jawatankuasa PAS Pusat maka mereka nanti akan tunduk patuh kepada para ulama dan Majlis Syura' PAS? Sudah terbukti didepan mata mereka tidak akan patuh, malah mengambil sikap menentang dan memperlekeh Majlis Syura' dan ulama PAS yang tidak sehaluan dan senada dengan mereka.

Jadi pilihan bagi para muktamirin dan perwakilan PAS adalah jelas - para parasit dan kaum pro-Anwarinas ini WAJIB ditolak dan dibuang sejauh-jauhnya daripada menduduki saf kepimpinan PAS. Golongan yang mempermain-mainkan agama tidak ada tempat didalam PAS!

Campakkan mereka ke dalam tongsampah democrazy yang mereka terlalu gila-gilakan!

Kembalikan semula Kepimpinan Melalui Ulama yang sebenar didalam PAS.

Saya mengakhiri seruan ini dengan memetik Surah Al-Maidah: 54-56 bilamana ALLAH berpesan kepada kita dengan suatu ketegasan:

'Wahai orang beriman (termasuk ahli PAS). Barang siapa diantara kamu berpaling (atau murtad) daripada Islam, maka kelak ALLAH akan lahirkan satu kumpulan:

1. yang ALLAH mencintai mereka dan mereka mencintai ALLAH;

2. mereka bersikap lemah lembut terhadap sesama Islam yang beriman;

3. tetapi mereka bersikap keras dan tegas terhadap kaum kafir;

4. dan mereka berjihad ke jalan ALLAH;

5. dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela;

Dan ketegasan ALLAH dalam ayat 57:

'Wahai orang beriman, janganlah kamu mengambil pemimpin bagi kamu orang yang membuat agamamu menjadi bahan ejekan dan permainan, iaitu diantara orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mu, dan orang-orang kafir musyrik. Dan bertaqwalah kamu kepada ALLAH jika kamu orang yang beriman!

Dan ALLAH menegaskan bahawa 'sesiapa yang mengambil ALLAH, RasulNya dan orang beriman sebagai pemimpin, maka mereka lah golongan muflihuun - yang menang'.

Selamat bermuktamar wahai para muktamirin! Semoga diberi keberkatan dan petunjuk ALLAH swt.

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
07 Muharram 1435
11 Nov 2013

08 November 2013

MELAYU-ISLAM TAPAI


Masjidil Aqsa wajib dibebaskan daripada penaklukan dan penjajahan ankal Yahudu-Walan-Nasara

Salam 2 all.

Pendakyah-pendakyah missionary kristian dan mereka yang menyokong kristian mengguna-pakai kalimah ALLAH sering menggunakan alasan bahawa kalimah ALLAH telah diguna-pakai sebagai terjemahan kalimah ‘God’ dalam bahasa Inggeris beratus tahun lamanya!

Persoalannya, betulkah beratus tahun? Dan bila bermulanya?

Keupayaan menjawab soalan ini akan menyebabkan kita menyedari taktik dan strategi gerakan kristianisasi yang sudah berjalan begitu lama untuk memesong aqidah dan kepercayaan umat Islam kepada syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Kita semua perlu sedar Abad ke 16 adalah permulaan kepada siri-siri penjajahan kuasa kristian keatas negara-negara umat Islam. Antara kuasa kristian yang utama terlibat dalam siri penjajahan penaklukan ini ialah Britain, Rom, Itali, Portugis, Belanda dan Sepanyol.

Sejak kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia 1492 kepada Raja kristian Ferdinand dan Isabelle, gerakan penaklukan mereka menjadi begitu aktif.

Ini kerana satu-satunya kuasa besar dunia Islam yang bertapak dibumi Eropah iaitu Andalusia di bumi Sepanyol sudah ditumbangkan. Maka mereka berasa bebas untuk memulakan ekspedisi menakluk negara Islam lain.

Dan mereka memulakan siri penaklukan dengan matlamat 3G – Gospel, Gold & Glory.

Gospel untuk menyebarkan kefahaman dan agama kristian sebagai peluasan empayar kristian berteraskan roman;

Gold untuk mengaut keuntungan dan hasil masyhul negara umat Islam kerana kebanyakannya negara Eropah pada masa itu hidup dalam kemiskinan sedang negara umat Islam sudah membangun dengan harta kekayaan bumi yang melimpah ruah!

Glory kerana mereka mahu kemenangan keatas umat Islam sebagai membalas dendam kejatuhan Kerajaan Kristian Jerusalem ditangan Sultan Salahudin Al-Ayubbi pada 02 Oktober 1187 setelah hampir 300 berperang dalam Perang Salib.

Strategi ini dirangka begitu rupa kerana mereka tahu negara dan kawasan yang mereka mahu jajah dan takluk adalah negara umat Islam; umat dan bangsa yang sudah ada agama iaitu Islam yang menyembah tuhan yang satu – ALLAH!

Bangsa dan agama yang sudah menjadi musuh tradisi mereka sejak dahulu lagi!

Ekspedisi penjajahan, penaklukan dan pendakyahan ini dibuat dengan begitu licik dan halus – tujuannya ialah untuk menjauhkan umat Islam daripada kehidupan Al-Quran, dan mendedahkan umat Islam kepada syiar kristianisasi; kerana mereka menyedari selagi umat Islam hidup berpandukan Al-Quran, selagi itulah aqidah dan ukhwah umat Islam menjadi kuat dan hebat.

Demi untuk mencapai matlamat 3G ini, mereka telah merangka satu strategi licik yang dipanggil ‘Salt & Leaven’ (Garam & Ragi).

Diantara strategi Garam & Ragi ialah dengan mencampakkan perasa-perasa, garam-garam kristianisasi ke dalam masyarakat tersebut; atau dalam bahasa lebih mudah; menyuburkan syiar kristianisasi ditengah masyarakat tanpa perlu mengajak mereka kepada kristianisasi.

Apabila syiar itu sudah membiak subur, mereka (iaitu umat Islam) yang sudah melalui proses penggaraman syiar kristianisasi ini akan muncul sebagai agen menyebarkan dan menyuburkan lagi proses ini. Mereka ini akan bertindak menjadi ragi didalam masyarakat mereka sendiri.

Bak kata pepatah, penjajah kulit merah sudah balik, muncul kelak penjajah kulit sawo matang! Warna kulit berbeza, kefahaman dan fikrah mereka sama!

Seperti juga sebiji ubi kayu. Dipotong tiga segi, diletakkan ragi, dilipatkan dalam daun palas, kemudian dibiarkan semalaman. Esok pagi bila dibuka daun palas itu, ubi kayu itu masih berbentuk tiga segi. Tetapi hakikat ubi kayu itu sudah bertukar menjadi ubi tapai.

Itulah strategi gerakan dakyah dan penaklukan kristianisasi – melahirkan umat Islam tapai! Bangsa Melayu tapai!

Nampak macam Melayu, nampak macam Islam, tetapi hakikat kehidupan jauh daripada Islam. Sembahyang satu saf, puasa satu Ramadhan, umrah haji di Mekah; tetapi ekonomi bukan Islam, perundangan bukan Islam, perniagaan perdagangan bukan Islam, pendidikan bukan Islam, politik bukan Islam – kehidupan sebenar jauh daripada Al-Quran!

Ringkasnya, walaupun berserban berjubah, berjanggut berjambang mengikut sunnah; namun tiada masalah bersekongkol dengan gereja. Malah bangga dipanggil Mat Gereja!

Contohnya dalam sistem pendidikan. Didirikan sekolah-sekolah missionary dengan nama yang gah dan hebat. Pendidikan percuma. Sesiapa mahu masuk sekolah ini dipersilakan. Walaupun tidak mengkristiankan pelajar, namun dia menjauhkan pelajar daripada kehidupan Al-Quran.

Al-Quran melarang lelaki dan wanita bercampur, dibuat sekolah bercampur lelaki perempuan. Islam melarang dedah aurat, diwajibkan pelajar berseluar pendek dan pelajar perempuan baju kantung nampak lutut.

Belajar matapelajaran sejarah, tetapi sejarah keagungan Barat, sehingga kita lebih kenal Richard the Lion Heart daripada Sultan Salahudin Al-Ayubi; kita lebih kenal Napoleon Bonarparte daripada Tariq Bin Ziyad; kita lebih kenal Hercules daripada Khaled Al-Walid. Kita lebih kenal kisah pelayaran Columbus, daripada kehebatan perjalanan Ibnu Batutha.

Sehingga sampai ke peringkat, belajar agama Islam pun sampai ke negara Barat. Berapa ramai agamawan dan ilmuan Islam yang begitu bangga mendapat Ijazah Masters atau Ijazah PhD dalam bidang dan ilmu Islam di universiti-universiti Barat; samada di Eropah mahupun Amerika Syarikat?

Walaupun mereka tidak menjadi kristian, tetapi roh dan semangat kristian sudah menyelinap masuk kedalam jiwa. Ia merosakkan aqidah!

Setelah melalui proses penggaraman ini, akhirnya muncullah Melayu-Islam tapai yang bertindak sebagai agen dan ragi mereka untuk merosakkan Islam. Penjajah kulit merah sudah pulang, muncul penjajah kulit sawo matang. Lain warna kulit tetapi sama fikrah!

 Malah kekadang penampilan dan ketrampilan Islam mereka lebih hebat. Siap dengan serban berketayap merah ala mufti Al Azhar, jubah meleret mengalahkan Imam Masjidil Haram; malah mereka berjawatan tinggi didalam institusi dan pertubuhan yang dilabel Islam.

Tetapi hakikatnya merekalah menjadi perosak aqidah, syariat dan umat Islam!

Cuba lihat dalam isu kalimah ALLAH. Bukan sahaja dikalangan orang awam, malah perselisihan soal asasi aqidah ini sampai keperingkat mereka yang dilabel sebagai ilmuan dan ulama.

Mereka mungkin pemimpin parti politik, mereka mungkin pemimpin pertubuhan, malah mereka mungkin ulama dan mufti; tetapi sikap dan pendirian mereka menyerlahkan ketapaian mereka.

Bagaimana mungkin dalam soal yang begitu asas dan fundamental membabitkan aqidah umat, tetapi berlaku kecelaruan dan pertikaman lidah antara mereka yang bergelar ulama dan agamawan?

Malah kalau kita lihat dalam parti politik yang dilabel sebagai Partai Islam SeMalaysia PAS, pendirian agamawan yang menduduki Majlis Syura PAS dan agamawan yang menduduki Jawatankuasa PAS Pusat sangat berbeza!

Majlis Syura menentang keras, menegaskan isu kalimah ALLH sebagai isu aqidah yang tidak patut dipolitikkan; sampai keperingkat seorang daripada mereka menegaskan sesiapa yang bersetuju kristian menggunapakai kalimah ALLAH sebagai syirik!

Sebaliknya Jawatankuasa PAS Pusat mengambil pendirian menyokong tuntutan Lim Guan Eng daripada DAP supaya kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH ‘walaupun penggunaannya mungkin tidak mencapai maksud dikehendaki Islam’. Malah sampai ada yang membuat kenyataan pendirian Majlis Syura’ PAS bukan wahyu, boleh ditolak dan diketepikan!

Mengapa terjadi sedemikian?

Adakah sudah muncul tapai-tapai dikalangan mereka?

Wallahua’lam, tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Mungkin kita sudah tiba ke zaman dimana sabda Rasulullah saw ‘nafsi…nafsi’, selamatkan diri dan ahli keluarga masing-masing lah.

Tetapi yang kita perlu faham gerakan dakyah kristianisasi tidak akan terhenti. Benarlah firma ALLAH swt didalam Surah Al-Baqarah: 120 yang menegaskan sesekali tidak akan redha Yahudi dan Kristian terhadap umat Islam sampai bila-bila selagi kita tidak mengikut dan akur dengan agama dan cara kehidupan yang mereka bawa!

Dalam isu kalimah ALLAH dalam bible versi bahasa Melayu, sebenarnya ia telah bermula semasa bermulanya ekspedisi penjajahan dan penaklukan negara umat Islam sebelah timur ini di abad ke 16.

Usaha bermula apabila Paderi Albert Cornelius Ruyl menterjemahkan Gospel Mark dan Matthew (bukan keseluruhan Bible) kedalam Bahasa Melayu pada tahun 1612. Tetapi buku terjemahan ini tidak diterbitkan sehingga tahun 1629 di Enkhuysen dan 1638 di Amsterdam (dinegara Belanda yang menjajah dan menakluk antaranya Indonesia).

Manakala Paderi M. Van Hassel, salah seorang pengarah East India Company selesai menterjemahkan Gospel Luke dan John. Pada tahun 1651, keempat-empat Gospel ini iaitu Mark, Matthew, Luke dan John berserta Acts of Apostles diterbitkan bersama.

Hanya pada tahun 1668 barulah New Testament diterbitkan.

Dan keseluruhan Bible mengandungi New Testament dan Old Testament versi Bahasa Melayu dipanggil Kitab Perjanjian Lama dan Kitab Perjanjian Baru dikeluarkan pada tahun 1731 dan 1733. Ini adalah kitab versi Bahasa Melayu menggunakan tulisan Rumi.

Manakala bible versi Bahasa Melayu tulisan jawi hanya diterbitkan di Calcutta, India pada tahun 1822 yang dihasilkan oleh Paderi R.S Hutchings.

Dan didalam Bible versi Bahasa Melayu inilah permulaan penggunaan kalimah ALLAH yang tidak terdapat dalam bible versi asal berbahasa Hebrew, Greek, Latin mahupun Inggeris.

Dan inilah versi yang dibawa masuk ke dunia Islam melalui penaklukan dan penjajahan Indonesia oleh Belanda. Bermakna penggunaan kalimah ALLAH dalam bible versi Bahasa Melayu ini bukan dibuat dengan persetujuan umat Islam, sebaliknya disogok secara unilateral oleh kuasa penjajah kristian!

Dan inilah bible versi Bahasa Melayu yang dibawa kedunia Borneo yang terletak di Kalimantan (selepas itu dikenali sebagai Sabah dan Sarawak).

Apa yang jelas, bible versi Bahasa Melayu yang menggunapakai kalimah ALLAH dilaksanakan dizaman penaklukan dan penjajahan negara umat Islam sebelah timur oleh penjajah kristian, sebagai pemanjangan ekspedisi salibiah mereka.

Maka fahamlah kita bahawa maksud dan tujuan penggunaan kalimah ALLAH (dan lain-lain kalimah dan perkataan yang biasa digunapakai oleh umat Islam didunia Melayu sebelah timur) adalah bermaksud untuk memenuhi gerakan dakyah dan kristianisasi mereka.

Jika tidak, mengapa mereka hanya menumpu kepada penggunaan kalimah ALLAH didalam Bible versi Bahasa Melayu konon atas alasan kristian arab juga menggunakannya; sedangkan mereka langsung tidak menyentuh tentang penggunaan kalimah Yasu (bukannya Jesus) oleh kristian arab.

Jawapannya mudah.

Kalimah ALLAH digunapakai oleh orang Melayu beragama Islam; kalimah Yasu orang Melayu-Islam tidak gunakan. Itu sahaja!

Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, saya ingin menyentuh isu penggunaan kalimah ALLAH oleh pribumi Kalimantan dan Borneo yang kini dikenali sebagai Sabah dan Sarawak.

Maka sekarang kita memahami bahawa penduduk pribumi Kalimantan/ Borneo iaitu Sabah dan Sarawak sekarang sudah didedahkan dengan penggunaan kalimah ALLAH (dan lain-lain kalimah) sejak zaman penjajahan dan penaklukan kuasa kristian Eropah.

Ianya sudah ujud sejak sebelum lahirnya negara Malaysia, sebelum kemerdekaan kita lagi.

Sebab itu Kerajaan Persekutuan Malaysia tidak boleh secara perundangan atau secara paksa menghentikan penggunaan bible versi Bahasa Melayu dan pemakaian kalimah ALLAH dan lain-lain kalimah oleh penduduk pribumi tersebut.

Membenarkan mereka terus menggunakan bible versi Bahasa Melayu dan kalimah ALLAH bukan bermakna kita redha dan bersetuju. Tetapi keadaan dah sememangnya begitu. Kita merdeka dan membentuk negara Malaysia dalam keadaan mereka sudahpun menggunakannya; berbeza dengan cubaan pendakyah di Semenanjung yang baru sekarang mahu menggunakannya.

Pendekatan yang berbeza perlu diambil dalam menangani masalah ini.

Saya mencadangkan supaya pendekatan secara dakwah-bil-hikmah dan siri penerangan yang berterusan dilakukan dikalangan mereka.

Malah, mungkin ada hikmahnya mereka didedahkan dengan bible versi Bahasa Melayu dan kalimah ALLAH. Ia memudahkan tugas dakwah kita. Tetapi tak cukup sekadar bercakap modal airliur sahaja, kita mesti melaksanakannya.

Maka usaha perlu dibuat melalui metode dakwah dan penerangan mengenai hakikat ALLAH sebenarnya mengikut aqidah dan tauhid Islamiyyah.

Kita beri penerangan kepada mereka bahawa ALLAH yang mereka guna sebagai gantinama God itu sebenarnya Ahad – Satu! Bahawa ALLAH itu tidak bergantung dengan sesiapa malah kesemua manusia dan makhluk bergantung kepada ALLAH. Bahawa ALLAH itu tidak ada anak, dan dia tidak diberanakkan. Bahawa ALLAH itu tidak ada suatu apapun yang bersekutu atau sekufu atau setaraf dengan Dia!

Dan cara penyembahan kepada ALLAH itu adalah menurut syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw!

Sebenarnya ini adalah peluang kita untuk menjalankan tugas Rasulullah saw – DAKWAH!

Semoga kita semua akan dapat keluar daripada proses penggaraman dan peragian gerakan dakyah kristianisasi inki, dan menjauhkan diri dan keluarga kita daripada proses penapaian yang sudah terkena kepada segelintir kita.

Moga ALLAH memelihara iman dan aqidah kita, dan memberikan kita kekuatan istiqomah untuk meneruskan perjuangan dizaman fitan ini.

Wallahua’lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
05 Muharram 1435
08 Nov 2013

07 November 2013

KARPAL LAGI?

Karpal dengan berani mencadangkan parti berteraskan agama seperti PAS dibatalkan pendaftaran! Adakah itu cara DAP menghargai sumbangan PAS kepada DAP dalam usaha menumbangkan Kerajaan Melayu-Islam UMNO?
Salam 2 all.

Adakah Karpal bersetuju dengan cadangan supaya semua sekolah berasaskan perkauman dihapuskan; termasuk sekolah vernakular yang berteraskan perkauman wajar ditutup?

Adakah Karpal juga mahu supaya pertubuhan seperti Dong Zhong diharamkan?

Pada saya, itulah kesan kenyataan Karpal Singh yang mencadangkan supaya parti politik dan pertubuhan yang berasaskan agama atau perkauman dibatalkan atau diubahsuai untuk menerima kemasukan atau keahlian penganut agama lain ataupun kaum lain.

Mesej Karpal adalah jelas. Bermakna parti politik seperti PAS atau UMNO, atau pertubuhan seperti Perkasa dan lain-lain elok dibatalkan pendaftaran; maknanya diharamkan!

Malah Karpal secara spesifik menyebut nama parti PAS rakan sekongkol yang telah bertungkus lumus membanting tulang empat kerat bersama Karpal untuk menumbangkan Kerajaan Melayu-Islam UMNO!

Kerana apa?

Kerana mempunyai nama yang mewakili agama atau bangsa, dan secara legal mewakili kepentingan agama atau bangsa!

UMNO yang berteraskan Melayu Islam sudah menjadi tunggak pemerintahan selama lebih setengah abad. Dan UMNO berjaya membangunkan rakyat dan negara ini tanpa mengira agama dan bangsa; semuanya berasaskan kepada kerangka Perlembagaan Persekutuan yang menjadi kontrak-sosial diantara rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

Begitu juga Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara - tujuan dan matlamat serta perjuangannya adalah untuk memartabatkan, membela dan memperkasa bangsa dan institusi Melayu-Islam berasaskan kepada kerangka Perlembagaan tanpa menafikan, apatah lagi menzalimi atau merampas hak kaum atau penganut agama lain.

Sebenarnya itulah asasnya. Selagi semua rakyat dan warganegara Malaysia ini menjunjung tinggi dan menghormati serta akur kepada persefahaman, semangat dan hidup dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, selagi itulah keamanan, keharmonian dan perpaduan antara pelbagai agama dan kaum akan terus berkekalan.

Didalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh dinafikan Islam dan Melayu memang diletakkan ditempat yang lebih istimewa dan berbeza daripada agama dan kaum lain. Dalam lain perkataan, hakikatnya Perlembagaan Persekutuan memang bersifat diskriminatori, atau apa yang saya sebutkan sebagai diskriminatori positif (positive discrimination).

Islam dan Melayu memang diberi tempat dan kedudukan istimewa didalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, mana-mana pihak, samada dalam bentuk parti politik, pertubuhan, badan bukan kerajaan, kelab sosial, universiti, kementerian, jabatan kerajaan, agensi kerajaan, GLC dan lain-lain; yang memperkasa, memartabat dan memperjuangkan hak dan keistimewaan Islam dan Melayu adalah berbuat sedemikian dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Memperkasa, memartabat dan memperjuangkan hak dan keistimewaan Melayu-Islam adalah dibenarkan undang-undang dan Perlembagaan.

Oleh itu, sebarang cadangan atau rancangan untuk mengharamkan sebarang parti politik, pertubuhan, persatuan, jabatan dan agensi kerajaan, NGO, GLC dan lain-lain daripada memperjuangkan, memartabat atau memperkasa hak dan keistimewaan Melayu-Islam adalah bercanggah sama sekali dengan peruntukkan Perlembagaan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui.

Dan Karpal Singh sebagai seorang peguam veteran sepatutnya dan wajar mengetahui perkara ini!!!

Malah kalau Karpal mengkaji sejarah dunia Islam, akan jelas terbukti mana-mana pemerintahan yang berteraskan Islam akan bersikap adil dan saksama. Peristiwa pembukaan Kota Jerusalem oleh Sultan Salahudin Al-Ayubi, pembukaan Kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al-Fateh adalah bukti keadilan dan kesaksamaan Islam yang tidak boleh dinafikan.

Tetapi lihat bagaimana sejarah serangan dan penaklukan Kota Jerusalem oleh tentera salibiah dalam Perang Salib sebagai bukti jelas bagaimana umat Islam, termasuk juga penganut kristian yang tidak sehaluan dengan mereka, diperlakukan dengan begitu kejam!

Lihat bagaimana perlakuan rejim zionis Israel terhadap umat Islam di Palestin!

Ini semua bukti sejarah yang tidak boleh dinafikan lagi!

Saya juga menyarankan kepada Karpal Singh supaya mencerminkan diri dan parti dia sendiri! Adakah parti DAP itu sendiri bukan sebuah parti yang secara substantif berteraskan sikap rasis, extremis dan bersifat pelampau perkauman? Masih ingat catatan sejarah peristiwa 13 Mei 1969?

Sepatutnya Karpal dan partinya DAP membuat kajian adakah keujudan sistem pendidikan vernakular yang berteraskan kepada perkauman dan etnik tertentu yang menjadi punca kepada masalah perkauman yang menjadi semakin kronik dan serius?

Cuba kaji mengapa generasi muda dari kaum tertentu semakin menebal sifat perkauman mereka; malah sampai ke peringkat begitu biadap dan secara terbuka mempersoalkan perkara-perkara fundamental yang menjadi teras kepada keharmonian antara kaum dan agama dalam negara ini?

Apapun, persoalan yang mahu saya lontarkan terutama kepada sahabat dan kepimpinan PAS khususnya para ulama yang ada; berapa lama PAS mahu bertahan dengan karenah pimpinan DAP termasuk Karpal Singh? Tidakkah PAS merasa tercabar dengan sikap rakan sekongkol mereka yang kelihatan langsung tidak menghargai sumbangan PAS dalam persekongkolan untuk menumbangkan Kerajaan Melayu-Islam yang ditunjangi UMNO?

Cuba lihat kerajaan DAP Pulau Pinang; walaupun hanya ada seorang sahaja ADUN PAS iaitu Datuk Ustaz Saleh Man, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang dan ADUN Permatang Pasir, namun langsung tidak diberi tempat dalam barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang. Tidakkah itu satu gambaran jelas dimana letaknya PAS dikacamata DAP?

Terkini Pengerusi DAP Karpal sendiri begitu jelas dan terbuka tanpa sedikit keraguan mencadangkan parti seperti PAS dibatalkan pendaftaran! Adakah pimpinan PAS masih mahu berselindung disebalik jawapan standard 'itu pendirian peribadi Karpal bukan pendirian DAP?'.

Islam itu tinggi dan mulia. Yang merendahkan Islam, yang meletak Islam ketempat yang hina ialah manusia, bukan Islam itu sendiri! Islam akan terus mulia dan a'laa, yang rendah dan hina ialah penganutnya sendiri!

Wallahua'alamdan wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
04 Muharram 1435
07 November 2013

04 November 2013

SALAM 1435 - AFSYUSSALAM

Sempenan Ma'al Hijrah 1435, marilah kita umat Islam berusaha membebaskan Masjidil Aqsa
Salam 2 all.

Aiyyuhal muqminuun...afsyussalam...afsyussalam...afsyussalam!

Wahai orang beriman...sebarkanlah salam...sebarkanlah salam....sebarkanlah salam!

Itulah ucapan pertama Rasulullah saw sebaik sahaja tiba di Yathrib dalam peristiwa yang kini diperingati oleh umat Islam sedunia sebagai peristiwa Ma'al Hirah.

Ucapan salam dengan lafaz assalammu'alaikum warahmatullah wabarokaatuh, salam sejahtera keatas kamu berserta rahmat dan keberkatan ALLAH adalah satu ucapan universal, yang bukan sahaja mendoakan sesama umat, malah ia adalah syiar kesatuan dan ukhwah Islam.

Dimana sahaja kita pergi, samada benua Eropah Barat, Australia, India, Afrika, Russia, Eropah Timur, malah segala mana ceruk dunia, sebaik sahaja mendengar ucapan salam kita tahu ianya adalah saudara satu aqidah dengan kita.

Begitulah peranan salam.

Dan itulah yang semakin ketandusan dikalangan umat Islam. Ukhwah, kesatuan dan perpaduan!

Umat Islam kini berpecah, samada dari segi mazhab, dari segi kefahaman, dari segi politik, dari segi assobiyyah kenegaraan dan kedaerahan dan segala macam lagi.

Agak ganjil bagi umat yang punya Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu Aqidah, Satu Qiblat tetapi berpecah belah. Bukan sekadar bertelingkah dan berselisih faham, malah sampai membawa kepada peringkat peperangan dan pembunuhan.

Dan anasir-anasir yang tidak senang dengan Islam menggunakan kesempatan sepenuhnya peluang dan ruang itu untuk terus melunyaikan umat Islam.

Sebab itu marilah kita menggunakan kesempatan sambutan Ma'al Hirah 1435 sebagai titik permulaan untuk berusaha kearah memupuk dan menyemai ukhwah dan kesatuan kita.

Kalau umat Yathrib kaum 'Auz dan Khazraj yang telah berperang beratus tahun berjaya bersatu dan berpadu dibawah satu risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw, mengapa pula kita umat Islam, khususnya bangsa Melayu tidak boleh melakukan perkara yang sama?

Demi untuk penyatuan umat Islam dan mempunyai perasaan sense of belonging, Saidina 'Umar r.a  telah melakukan satu pembaharuan yang telah berjaya mencorakkan umat Islam supaya mempunyai identiti tersendiri - iaitu memperkenalkan Taqwim Islam dengan mengambil sempena peristiwa hijrah Rasulullah saw sebagai permulaan perkiraan kalendar Islam.

Ini dilakukan oleh Saidina 'Umar r.a kerana mahu membezakan umat Islam daripada amalan kalendar Gregorian, iaitu kalendar yang diambil sempena daripada kononnya kelahiran Jesus Christ, individu yang diangkat sebagai anak tuhan oleh kaum yang dikenali sebagai kristian hari ini. Sebab itu kalendar masihi ini disebut dengan In the Year of Our Lord - Anno Domini!

Saya menyeru umat Islam termasuk diri saya sendiri supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengamalkan penggunaan kalendar Islam. Kita boleh bermula dengan mengingatkan tarikh kelahiran kita, anak isteri kita, kaum keluarga kita dengan menggunakan kalendar Islam.

Bagi memudahkan kita yang mungkin tidak tahu, hanya perlu layari www.islamicfinder.org dan dalam ruang 'calendar', kita cuma perlu masukkan tarikh kelahiran kita dalam tahun masihi dan 'convert' ke taqwim Islam; nanti akan keluar tarikh kalendar Islam yang bersamaan dengan tarikh masihi yang kita catatkan.

Perlu juga saya ingatkan diri saya dan saudara-saudari semua, bahawa salah satu rukun zakat, selain cukup nisab, ialah cukup haul; iaitu cukup tempoh matang setahun. Dalam konteks pembayaran zakat, cukup setahun itu dikira mengikut tempoh setahun kalendar Islam, bukan kalendar masihi!

Bermakna kalau kita mengambil perkiraan setahun daripada bulan Muharram, maka nisab harta untuk dizakat hendaklah dikira tempoh haul nya daripada 01 Muharram 1434 sehingga 01 Muharram 1435. Maka jika cukup nisabnya, hendaklah dikeluarkan zakat pada 01 Muharram 1435, iaitu esok.

Kalau kita mengira mengikut kalendar masihi, bermakna tiap tahun kita kekurangan 11 hari. Kalau dalam tempoh 30 tahun, bermakna kita sudah kekurangan 1 tahun. Bermakna kita tidak membayar zakat bagi setahun hijrah. Sedangkan hukum membayar zakat itu Rukun Islam! Bermakna kita tidak menunaikan Rukun Islam untuk setahun!

Apapun, kita umat Islam seharusnya mempunyai identiti kita sendiri. Dan antara identiti kita ialah ucapan salam, dan penggunaan taqwim Islam. Begitulah uniknya kita umat Islam, yang mempunyai satu Tuhan yang disebut ALLAH. Dimana juga ceruk dunia kita pergi, sesiapa sahaja yang mengucapkan salam dan mempertuhankan ALLAH, mereka adalah saudara kita.

Sebab itu, selain menghidupkan sunnah Rasulullah saw dengan mengamalkan salam, kita juga wajib mempertahankan kalimah ALLAH sebagai benteng aqidah kita.

Justru itulah Rasulullah saw berhijrah. Bukan kerana mahukan kuasa, bukan kerana mahukan harta, bukan kerana mahukan wanita!

BUKAN! BUKAN! BUKAN!

Rasulullah ditawarkan oleh musyrikin Makkah dengan harta sebesar Jabbal Uhud, kekuasaan keatas keseluruhan masyarakat Makkah, dan wanita tercantik untuk dijadikan suri. Namun Rasulullah saw menjawab dengan satu ketegasan yang wajib menjadi pendirian kita;

Andaikata mereka memberikan aku matahari ditangan kanan ku, dan bulan ditangan kiri ku, namun aku tidak akan sekali-kali berhenti menyebarkan risalah Laa ila ha illallah - Tidak ada Tuhan melainkan ALLAH Yang Maha Esa!

Itulah matlamat kita, itulah perjuangan kita. Sesungguhnya solat ku, ibadah ku, hidup ku dan mati ku hanyalah kerana ALLAH!
Selamat menyambut Ma'al Hijrah 1435!

Assalammu'alaikum warahmatullah wabarokaatuh!

Wallahua'lam dan Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
01 Muharram 1435
05 November 2013

01 November 2013

SANDIWARA HUDUD PAS LAGI?


Adakah PAS berani menempelak DAP yang menentang perlaksanaan hudud dan perjuangan menegakkan Negara Islam?
Salam 2 all.

Nampaknya tiap kali ada pilihanraya, samada PRU atau PRK, pasti PAS akan mula memukul gendang hudud. PRK Sg. Limau tidak terkecuali.

Malah mereka semakin galak bila Tuanku Sultan Brunei mengumumkan Negara Brunei Darussalam akan melaksanakan hudud; tanpa sedikit pun memahami perbezaan besar diantara Malaysia dengan Negara Brunei Darussalam.

Pertama, Negara Brunei Darussalam adalah negara milik Tuanku Sultan sebagai pemerintah mutlak. Tiada siapa boleh mempertikai kuasa Tuanku Sultan Brunei. Dan kita bersyukur walaupun diberi kekayaan hasil minyak yang melimpah ruah, dan menjadi antara orang terkaya didunia, Tuanku Sultan Brunei tetap meletakkan undang-undang ALLAH sebagai keutamaan. Alhamdulillah. Dan sekarang Tuanku telah bersedia melaksanakan hudud.

Kedua, Negara Brunei Darussalam tidak ada parti cauvinis rasis extremis seperti DAP. Brunei tidak ada Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Brunei tidak ada Anwar Ibrahim. Brunei tidak ada Suaram, Bar Council, pejuang seks bebas LGBT. Brunei tidak jual kalimah ALLAH. Brunei tidak bersekongkol dengan mana-mana kafir harbi!

Suasana di Brunei berbeza dengan Malaysia. Malaysia sebuah negara yang tidak dimiliki atau dikuasai oleh individu. Malaysia milik seluruh rakyat dan warganegaranya, dengan Tuanku Sultan dan Raja-Raja Negeri sebagai payung mahkota bagi rakyat jelata.

Kalau PAS benar-benar ikhlas mahu mengikut seperti Brunei, saya cadangkan kepada PAS supaya membawa usul ke Parlimen supaya hakmilik dan kekuasaan pemerintahan negara diserah kembali kepada Raja-Raja Melayu secara mutlak, sebagaimana Tuanku Sultan Brunei.

Dan setelah hakmilik negara dan kuasa pemerintahan mutlak diserahkan kepada Tuanku Raja-Raja Melayu, barulah kita usulkan kepada Tuanku supaya mengikut jejak langkah Tuanku Sultan Brunei.

Jika tidak, janganlah bandingkan Malaysia dengan Brunei. Itu perbandingan yang cukup kurang cerdik namanya!

Dan bagi Datuk Seri Hadi Awang untuk sekali lagi bermain kompang hudud, dan konon menolak sistem Malaysia negara berpaksikan Perlembagaan sebagai sekular, saya mahu tanya Datuk Seri Hadi Awang:

1. Beranikah Datuk Seri Hadi Awang membawa usul hudud ke Mesyuarat Kepimpinan Pakatan Pembangkang DAP-PKR-PAS supaya hudud diterima dan dilaksanakan sebagai undang-undang negara jika pembangkang menang PRU dan berkuasa?

2. Bukankah Datuk Seri Hadi Awang sendiri pada 08 Sept 2008 menandatangani Memorandum Persefahaman Pakatan Pembangkang yang menegaskan pendirian 'menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan termasuk dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan?'.

3. Bukankah Datuk Seri Hadi Awang sendiri pada 19 Disember 2009 di Auditorium MBSA Shah Alam dalam Konvensyen Pakatan Pembangkang DAP-PKR-PAS menandatangani Memorandum Persefahaman yang menegaskan akan 'mempertahankan Perlembagan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan?'.

4. Bukankah Datuk Seri Hadi Awang sendiri menyatakan dalam Amanat Perdana Pemangku Presiden bertajuk 'Pilihanraya ke 11: Formula Kemenangan" pada 18 Januari 2003 bahawa 'justru kerana isu Negara Islam dan perlaksanaan Hudud dan Syari'at menjadi punca perpecahan BA dahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan dan (ijtihad besar) untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan perlaksanaan hudud diperingkat Federal. Peruntukkan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub didlam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini diperingkat Federal. Seandai menang dalam pilihanraya akan datang, BA atau Pembangkang akan menubuhkan sebuah kerajaan demokratik dan adil diperingkat Federal atau Pusat, yang mendokongi Perlembagaan Persekutuan sedia ada?'.

5. Bukankah Datuk Seri Hadi Awang yang menyatakan semasa Muktamar Agong PAS 2011 bahawa 'Negara Islam tidak disebut dalam Al-Quran, yang disebut ialah Negara Berkebajikan?'.

6. Bukankah Datuk Seri Hadi Awang pada 08 Jan 2013 bersesama dengan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang menyatakan kristian boleh menggunapakai kalimah ALLAH, dan walaupun Majlis Syura' PAS telah pada 13 Jan 2013 menegaskan kristian tidak boleh mengguna-pakai kalimah ALLAH atas soal aqidah, Datuk Seri Hadi Awang tidak pernah menarik balik persetujuan pembangkang 08 Januari 2013 tersebut?

7. Adakah Datuk Seri Hadi Awang lupa kenyataan beliau mengenai perlaksanaan hudud semasa mengambil alih menjadi Menteri Besar Terengganu?
Sebenarnya saya boleh aturkan beberapa lagi kenyataan dan pendirian Datuk Seri Hadi Awang dan PAS mengenai hudud dan negara Islam.

Pokok pangkalnya, janganlah jadikan hudud sebagai modal meraih undi hanya bila tiba musim pilihanraya sahaja. Takutlah kepada ALLAH!

Dan janganlah bermegah dengan calon PAS bagi PRK Sg. Limau lulusan agama, lulusan Al-Azhar. Kita memang menghormati para ulama dan ilmuan, termasuk para Ustaz dan Ustazah yang benar-benar hidup melaksanakan ajaran Islam.

Tetapi jangan lupa pernah ada dua orang Ustaz dan Ustazah lulusan Al-Azhar Mesir telah mengisytiharkan diri murtad dan keluar daripada agama Islam. Pernah ada Ustaz dicekup berkhalwat. Pernah ada Ustaz yang menyondol isteri orang. Menjadi Ustaz dan Ustazah, menjadi graduan dan lulusan Al-Azhar semata-mata bukan tiket dan kelayakan untuk menjadi pemimpin dan wakil rakyat!

Yang penting dalam soal kepimpinan ialah pnya sifat amanah dan quwwah, selain beriman dan benar-benar memperjuangkan Islam yang sebenarnya seperti yang diperintahkan ALLAH didalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Kita ambil contoh mendirikan solat jemaah. Untuk membolehkan seorang Muslim itu mengerjakan solat jemaah di masjid, kita perlukan pembangunan. Individu itu memerlukan kenderaan untuk ke masjid.

1. Dia perlu makan dan minum mengisi perut supaya solatnya tidak terganggu akibat kelaparan. Ini bermakna dia perlukan pekerjaan atau peluang untuk mencari rezeki melalui perniagaan;

2. Dia perlu kesihatan yang baik untuk menyempurnakan solat. Maknanya dia perlu persekitaran yang sihat dan prasarana perubatan yang baik seperti hospital dan pusat kesihatan;

3. Dia perlukan rehat yang cukup bermakna dia perlukan rumah yang sempurna dan selesa;

4. Dia perlukan kenderaan yang selesa seperti motor atau kereta untuk ke Masjid, bermakna dia perlu ada pendapatan untuk membeli kenderaan tersebut;

5. Dia perlukan adanya sebuah Masjid untuk membolehkan dia solat berjemaah. Dan Masjid itu perlukan peralatan dan seperti paip air, kipas, pembesar suara dan lain-lain;

6. Dia perlukan jalan raya untuk ke Masjid, bermakna sebatang jalan raya perlu dibina;

7. Dan bila dia pergi berjemaah waktu Subuh, Maghrib atau Isyak dia perlu melalui jalan yang terang berlampu supaya tidak kegelapan.

8. Dan bila dia ke masjid, keluarga dan harta benda dirumah perlu dijaga, maka dia memerlukan polis untuk menjaga keselamatannya;

Bermakna, cukupkah sekadar menjadi ustaz maka rakyat wajib mengundi calon itu. Adakah cukup sekadar dia boleh jadi imam solat. Bagaimana pula dengan segala prasarana yang diperlukan untuk melaksanakan solat itu?

Kalau kebolehan dan kelayakan calon sekadar menjadi ustaz, elok bertanding jawatan imam atau bilal, bukan untuk menjadi wakil rakyat. Dan calon yang akan menjadi wakil rakyat memerlukan bantuan dan kerjasama sebuah Kerajaan untuk melaksanakan tugas dan tanggung jawab dia.

Dan kerajaan Barisan Nasional telah membuktikan bahawa sejak dulu, kini dan selamanya, BN adalah sebuah kerajaan yang bukan sahaja mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah Kerajaan, malah akan menepati semua janji-janji yang diberikan.

Menjadi wakil rakyat memerlukan lebih daripada hanya seorang ustaz. Dan rakyat serta pengundi Sungai Limau wajib sedar akan perkara itu.

Rakyat Sungai Limau wajib sedar bahawa hanya calon Barisan Nasional sahaja yang boleh melaksanakan dan menterjemahkan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat, bukan sekadar untuk menjadi khalifah tahlil.
Bagi penduduk dan pengundi Sg. Limau, gunakanlah aqal fikiran yang waras dan rasional. Jangan lupa siapakah yang sebenarnya menghina Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak semasa Allahyarham menjadi Menteri Besar dahulu? Jangan lupa siapa yang cuba mengaibkan dan menjatuhkan Kerajaan pimpinan Allahyarham dahulu?

Bukan UMNO; bukan BN; bukan Dato' Sri Najib; bukan Tan Sri Muhyiddin; bukan Datuk Paduka Mukhriz; bukan Tun Mahathir; bukan Perkasa; dan bukan saya!

BUKAN! BUKAN! BUKAN!

Hangpa sendiri tau siapa! Jadi jangan terkeliru dengan mainan silap mata, sandiwara, pembohongan, gambar palsu dan macam-macam lagi. Ini semua Islam tidak ajar kita.

Dan jangan lupa kenyataan Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak apabila kerajaan PAS tewas dalam PRU 13, 'nasib baik PAS tak menang sheh'!

Rasulullah SAW bersabda, "Akan datang sesudahku penguasa-penguasa yang memerintahmu. Di atas mimbar mereka memberi petunjuk dan ajaran dengan bijaksana, tetapi bila turun mimbar mereka melakukan tipu daya dan pencurian. Hati mereka lebih busuk dari bangkai.".

Hadits Riwayat Ath-Thabrani

Oleh itu atas kesedaran Islam, atas keinsafan bangsa Melayu, dan demi kebenaran dan perjuangan...

Marilah kita Beranikan Diri Berhijrah!

Selamat menyambut Ma'al Hijrah 1435!

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
27 ZulHijjah 1434
01 Nov 2013

30 October 2013

YASU AL-MASIH


Didalam Bible Kristian berbangsa arab, mereka memanggilnya dengan kalimah Yasu atau Al-Masih, tidak pernah mereka gunakan kalimah Allah atau Jesus!

Salam 2 all.

Kenapa kristian Malaysia tidak mahu menggunakan kalimah ‘Yasu’ untuk menterjemah perkataan ‘Jesus’ dalam Bible versi Bahasa Melayu?

Sebaliknya mereka berkeras mahu menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk menterjemah perkataan ‘God’ dalam Bible versi Bahasa Melayu!

Alasan mereka mahu menggunakan kalimah ‘Allah’ kerana kononnya kristian arab pun menggunakan kalimah ‘Allah’.

Kalau alasan mereka konon kristian arab dah memang pakai kalimah ‘Allah’, maka hujah yang sama patut digunakan untuk menterjemah kalimah ‘Jesus’ kepada kalimah ‘Yasu’ kerana kristian arab menggunakan kalimah ‘Yasu’ bukannya ‘Jesus’. 

Yasu adalah adalah terjemahan bahasa arab bagi kalimah Yeshua dalam bahasa Hebrew.

Kristian arab, samada didalam Bible mereka mahupun penggunaan harian, tidak pernah menggunakan kalimah ‘Jesus’, sebaliknya mereka menggunakan kalimah ‘Yasu’, atau diselang-gantikan dengan kalimah Ø£َÙ„ْÙ…َسِيح  -Al-Masih’ – tidak pernah Jesus!

Jadi mengikut logik pendakyah kristian disini, sepatutnya kalimah 'Jesus' dalam bahasa Inggeris diterjemahkan kepada kalimah 'Yasu' dalam bible versi Bahasa Melayu, sama seperti mereka menterjemahkan kalimah 'God' kepada 'Allah'.

Oleh itu, ini membawa kita kepada persoalan mengapa mereka hanya berminat dan beriya-iya mahu terjemahkan kalimah 'God' dengan kalimah ‘Allah’, tetapi terjemahan kalimah 'Jesus' dengan kalimah ‘Yasu’ langsung tidak kedengaran?

Jawapannya mudah – seperti yang disebut didalam majalah Christianity Today (dikeluarkan di Chicago, Amerika Syarikat terbitan bulan Julai 2009) yang dengan jelas menyatakan

penggunaan kalimah Allah (dalam terjemahan versi Melayu-Indonesia) adalah suatu usaha strategik kalau bertujuan untuk membuatkan mereka meemahami siapa Christ! Jika kalimah ALLAH tidak digunakan akan menyebabkan umat Islam tidak akan membaca Bible!”.


Maknanya mereka mahu mendedahkan, atau dalam perkataan lain, mendakyahkan fahaman kristianiti kepada umat Islam. Dan memandangkan umat Islam adalah umat yang bertuhankan ALLAH, maka kalimah ALLAH menjadi alat dakyah mereka untuk mengkufurkan umat Islam!

Rumusannya, pendakyah kristian ini mahu menggunakan kalimah ALLAH bukan kerana arab kristian menggunakannya, tetapi kerana orang Melayu yang menggunakannya.

Kerana kalau alasan mereka kristian arab menggunakan kalimah ‘Allah’, maka logiknya mereka wajar menterjemah nama Jesus kepada ‘Yasu’ kerana kristian arab menggunakan nama itu!

Sadaqallah hal ‘adheem – benarlah firman ALLAH bilamana ALLAH mengingatkan kita umat Islam didalam Surah Al-Baqarah:120, ‘sesungguhnya Yahudi dan Nasara tidak akan redha dengan kamu umat Islam selama-lamanya selagi kamu tidak mengikut agama dan cara kehidupan mereka’.

Persoalannnya ialah kenapa ada dikalangan kita umat Islam begitu mudah terpedaya dengan mainan licik pendakyah-pendakyah kristian ini?

Sepatutnya dalam isu sebesar ini, isu yang membabitkan aqidah ini, kita umat Islam sepatutnya bersatu dan berdepan dengan kemungkaran ini dengan satu suara, satu nada – iaitu Al Quran.

Itulah pesan ALLAH kepada kita bila Ia menyambung ayat tersebut dengan ketegasan, ‘Katakanlah bahawa petnjuk Al-Quran itu adalah benar dan cukup bagi kami’.

Dan apa petunjuk Al Quran itu?

Wa’tasimuu bihablillah hijami'aa walaa tafarraquu – berpeganglah (bersatulah) kamu dengan tali ALLAH dan jangalah kamu bercerai berai. Ingatlah ni’mat ALLAH kepada kamu semasa kamu berpecah belah, hampir-hampir terjerumus kamu ke jurang api neraka. Atas ni’mat ALLAH maka disatukan Nya hati kamu!

Tetapi yang terjadi ialah sebaliknya. Ada antara kita memilih untuk bersekongkol dengan kafir harbi ini dan bertindak menikam saudara sebangsa dan seagamanya dari belakang – mereka memilih untuk meliwat agama dan bangsa mereka sendiri!

Kerana apa?

Hanya kerana gilakan kuasa! Gilakan Putrajaya! Gilakan jawatan, habuan dan kedudukan!

Kerana kuasa Kerajaan, Putrajaya, jawatan, habuan dan kedudkan itu hanya boleh diperolehi melalui undi, maka mereka melacurkan aqidah dan keimanan mereka atas nama tahaluf siyasi menubuhkan suatu pakatan syaitan yang akan menghancurkan agama dan bangsa mereka!

Persetankan agama! Persetankan bangsa! Yang penting Putrajaya!

Konon pakatan syaitan ini hanyalah alat untuk mereka mendapatkan kuasa. Nanti dapat kuasa kita tubuhkan Negara Islam, laksanakan hudud, qisas  & ta’zir. Sementara itu, kita bertopeng dan berlakon sahaja dengan kafir-kafir harbi dan peliwat-peliwat democrazy ini!

Inilah namanya konsep taqqiyyah – topeng agama yang digunakan oleh syi’ah yang terbukti telah menjahanamkan Islam sejak zaman Saidina Ali karamallah huwajhah.

Untuk mereka ALLAH telah memberi amaran, bila Ia menutup ayat 120 Al-Baqarah dengan suatu ketegasan, ‘namun jika kamu memilih untuk menerima agama dan cara kehidupan kafir-kafir ini, setelah datang kepada kamu petunjuk Al-Quran, maka ALLAH tidak akan lagi menjadi Pemberi Petunjuk dan Pembimbing dan Pembantu kamu’ – na’uzubillah!

Bermakna kepada golongan ini, ALLAH berjanji memutuskan hubungan dengan mereka. ALLAH bukan lagi wali mereka!

Jika ALLAH bukan lagi wali mereka, maka siapa pula yang akan menjadi wali bagi mereka?

Jawapannya mudah – mereka berwalikan syaitan dan iblis – na’uzubillah.

Tepuk dada tanyalah iman masing-masing!

Daripada ALLAH kita datang, kepada ALLAH kita akan kembali.

Ya ALLAH , tetapkanlah iman dan aqidah kami. Berilah Petunjuk Mu kepada kami. Tetapkanlah kami didalam Islam. Dan matikanlah kami didalam Islam. Berikanlah kami anugerah istiqomah dalam menghadapi zaman fitan ini, zaman dimana memegang Islam sama seperti memegang bara api; zaman dimana mempertahankan Islam dianggap pelik, alien dan asing.

Aamantuu billah summastaqeem – kami beriman kepada ALLAH, dan kami beristiqomah!

Wallahua’lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
25 ZulHijjah 1434
30 Oktober 2013