17 February 2011

SOALAN PARLIMEN

Salam 2 all.

Berikut Soalan-Soalan Parlimen (Jawab Lisan & Tulis) yang telah teman kemukakan kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada hari Jumaat 08 Rabi'ul Awal 1432 / 11 Februari 2011 bagi sidang Parlimen Ke 12, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat bermula daripada 07.03.2011 sehingga 07.03.2011.

Sidang kali ini adalah selama 20 hari bekerja. Pembukaan rasmi sidang akan disempurnakan oleh YDP Agong pada hari Isnin 02 Rabi'ul Akhir 1432 / 07.03.2011. Tuanku Agong dijadualkan menyampaikan titah DiRaja yang kemudiannya akan dibahaskan oleh Ahli Parlimen mengikut giliran masing-masing tertakluk kepada kebenaran Tan Sri Speaker. Buat pengetahuan semua, dalam satu-satu hari mesyuarat, ianya bermula jam 10.00am dengan doa oleh Setiausaha Dewan atau wakilnya. Kemudian diikuti dengan YAB Perdana Menteri dan Menteri Kabinet (atau Timbalan masing-masing) menjawab soalan-soalan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen (Kerajaan, pembangkang & bebas) cara "jawab lisan".

Walaupun kebiasaannya tiap hari dicatat antara 80-100 soalan, tetapi yang dijawab didalam Dewan kebiasaannya hanya 10-15 soalan pertama, kerana masa yang diperuntukkan hanya 1 1/2 jam sehingga 11.30am. Bagi mereka yang soalannya disenaraikan dan dijawab dalam Dewan, kami berpeluang bertanya satu "Soalan Tambahan". Bagi yang soalannya tidak dijawab lisan, maka Menteri akan memberi jawapan bertulis. Perbezaan bagi cara ini ialah selain "Jawab Tulis" tiada peluang kepada "Soalan Tambahan", jawapan tersebut serta soalannya tidak akan direkod didalam Hansard Parlimen, cuma disimpan didalam rekod Perpustakaan Parlimen.

Elok juga teman terangkan sikit tentang kriteria dan prosedur pertanyaan "Soal Jawab Lisan & Tulis" ini. Tiap Ahli Parlimen hanya dibenarkan mengemukakan 10 Soalan Jawab Lisan dan 5 Soalan Jawab Tulis bagi setiap mesyuarat. Tiap soalan pula tidak boleh melebihi 40 perkataan (kadang naik bengang kepala nak mengira yop - biasanya memang terlajak dua tiga yop!). Jadi soalannya perlu ringkas, padat, dan kebiasaannya mencakupi persoalan atau isu semasa.

Dan kebiasaannya kami akan menggunakan waktu bahas (samada titah DiRaja atau bajet dll) untuk mengemukakan persoalan dan isu yang panjang, kompleks serta perlu kepada huraian yang lebih. Dan kadang-kadang, jika soalan yang kami kemukakan tidak dijawab dengan memuaskan, kami akan menulis kepada Menteri yang bertanggungjawab, ataupun kami akan bangkitkan semula semasa peringkat perbahasan.

Bagi sidang kali ini, teman terpaksa memohon kemaafan ketidakhadiran daripada 20.03.2011 sehingga 03.04.2011 kerana teman dijadualkan menghadiri sidang International Islamic World Retreat, iaitu himpunan para ulama', 'ilmuan dan aktivis Islam terutamanya para pendakwah seluruh dunia, yang tahun ini dihos oleh Capetown, Afrika Selatan. Insyallah teman diberi amanah dan akan membentangkan kertas kerja dan ucapan berkisar kepada isu "Amalan Demokrasi Berparlimen & Perjuangan Islam". Jadi teman akan berada dibumi Almarhum Sheikh Ahmad Deedat dalam tempoh tersebut. Alhamdulillah notis telahpun teman kemukakan kepada Tan Sri Speaker dan sudah diambil maklum.


SOALAN JAWAB LISAN

SOALAN 1

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Luar Negeri menyatakan:

1. Adakah benar dakwaan menyatakan Kerajaan lambat bertindak melaksanakan Ops-Piramid dan hanya pelajar yang ditaja kerajaan Persekutuan sahaja yang diselamatkan? Jika tidak, berapakah jumlah pelajar bukan tajaan yang turut diselamatkan;
2. Apakah langkah yang diambil untuk membantu para pelajar selepas Ops-Piramid ini termasuk untuk menyambung/ meneruskan pengajian mereka?

SOALAN 2

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Perdana Menteri menyatakan:

1. apakah tindakan dan langkah yang diambil berkaitan beberapa kenyataan beberapa orang Menteri dan pemimpin komponen Barisan Nasional (bukan Islam) yang jelas menghina dan memperlekeh amalan dan syariat Islam saperti isu berkaitan azan dan pendirian calon PAS bagi PRK Tenang baru-baru ini yang enggan bersalam dengan lelaki ajnabi;

SOALAN 3

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Perdana Menteri menyatakan:

1. Apakah status penyiasatan kes murtad Nor Azman Abdullah @ Beginda?
2. apakah langkah yang sedang dan akan diambil dalam membendung gejala murtad yang semakin serius dan berlaku secara terbuka;
3. sila berikan statistik penama yang murtad mengikut pecahan bangsa, umur & jantina bagi tahun 2005 sehingga 2010;

SOALAN 4

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Islam) menyatakan:

1. apakah langkah yang sedang dan akan diambil untuk menangani masalah penguatkuasaan sesuatu perintah nafkah anak/ isteri, mutaah dan harta sepencarian yang diperolehi daripada mana-mana Mahkamah Syariah;
2. adakah Kerajaan bercadang membuat suatu peruntukkan membolehkan pihak-pihak berkaitan menguatkuasakan sesuatu penghakiman itu di Mahkamah Sivil atau mengguna pakai system Mahkamah Sivil sedia-ada yang kelihatan lebih berkesan?

SOALAN 5

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Agama) menyatakan:

1. selain mengadakan forum seminar, apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan dalam menguatkuasakan keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai sambutan Hari Valentine?
2. adakah Kerajaan bercadang mengeluarkan larangan terhadap sambutan Hari Valentine secara terbuka ditempat awam, termasuk konsert dan lain-lain, keatas umat Islam dan melarang media massa utama daripada membesar-besarkan dan mewar-warkan sambutan ini?

SOALAN 6

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) Perdana Menteri menyatakan:

1. sila berikan butiran terperinci nama tiap GLC dan syarikat-syarikat (awam/ persendirian) dan jumlah zakat yang dikeluarkan mereka bagi tahun 2005-2010;
2. adakah Kerajaan bercadang mengusul kepada Majlis Raja-Raja supaya mengujudkan satu Lembaga Zakat Korporat untuk mengumpul kutipan zakat korporat ini dan diurus oleh sebuah agensi Persekutuan.

SOALAN 7

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Kesihatan menyatakan:

1. Dengan kadar bunuh diri yang semakin meningkat pada purata 10/13 orang tiap 100,000 orang (425 orang bagi tempoh Januari-Ogos 2010), apakah langkah pencegahan dan perawatan yang diambil oleh Kerajaan;
2. Adakah Kerajaan bercadang menubuhkan lebih banyak pusat kaunselling, perlindungan & rawatan dan memberi latihan khas bagi anggota PDRM untuk berdepan dan menangani masalah pesakit mental ini?

SOALAN 8

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Pembangunan Wanita & Keluarga menyatakan:

1. apakah langkah jangka pendek dan jangka panjang yang sedang dan akan diambil berkaitan dengan kes pembuangan bayi/ janin yang semakin serius;
2. adakah kerajaan bercadang memperkenalkan matapelajaran “Kajian Sains Kemanusiaan & Reproduksi” bagi mendedahkan pelajar terhadap bahaya dan risiko salahlaku seks luar perkahwinan ini?

SOALAN 9

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Perdana Menteri menyatakan:

1. apakah pendirian kerajaan mengenai kecelaruan konsep hukuman “serentak” atau “berasingan” dimana Mahkamah contohnya menjatuhkan hukuman serentak kepada pesalah yang merogol mangsa yang sama walaupun berlaku pada masa/tempat/waktu berlainan?
2. apakah program pemulihan dan pemantauan bagi bekas banduan;

SOALAN 10

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Perdana Menteri menyatakan:

1. Adakah Kerajaan bercadang mengolah semula konsep 1-Malaysia supaya tidak diputarbelitkan oleh pihak tertentu sehingga memberi persepsi mengelirukan kepada rakyat dengan penafsiran yang berbeza dan pelbagai;
2. Adakah Kerajaan bercadang membuat “re-branding” kepada konsep saperti “Malaysia-First” dengan slogan “Negara Didahulukan, Rakyat Diutamakan” dimana setiap rakyat mendahulukan negara dan kerajaan pula mengutamakan rakyat dalam semua dasar dan perancangan?


SOALAN JAWAB TULIS

SOALAN 1

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Pelajaran menyatakan:

1. adakah kerajaan menyedari sistem pelajaran negara terlalu menjurus kepada “exam-oriented” sehingga menghasilkan pelajar yang lebih menghafal daripada memahami pelajaran mereka dengan tujuan mendapat sebanyak “A” yang boleh?
2. apakah “standard & benchmark” yang digunapakai dalam penentuan soalan dan pemarkahan peperiksaan?

SOALAN 2

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Pertahanan menyatakan:

1. adakah kerajaan bercadang mengujudkan satu “pool-list” bagi menyenaraikan nama pengganti tempat penama yang menolak atau tidak hadir program PLKN;
2. bagaimanakah mereka yang tidak terpilih atau berminat memohon untuk mendapatkan tempat didalam PLKN;
3. adakah Kerajaan bercadang mewajibkan tiap wakil rakyat menjalani latihan singkat ala-PLKN?

SOALAN 3

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:

1. adakaha Kerajaan menyedari kedaifan kuarters, berek & pejabat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan No. 5 di Pengkalan FRU Sg. Senam, Ipoh, Perak terutamanya Blok A, B, C, D, E, F, G, H, I & J serta keadaan jalanraya yang terlalu daif dan penyelenggaraan yang kurang sempurna;
2. adakah Kerajaan bercadang mengadakan penambahbaikan saperti membesarkan tiap unit rumah dua bilik dengan menggabungkan dua unit menjadi satu;

SOALAN 4

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Luar Negeri menyatakan:

1. mengapakah tiada kemudahan imigresen saperti perlanjutan dan pembaharuan paspot bagi warganegara Malaysia di United Arab Emirat termasuk Konsul di Dubai;
2. adakah Kerajaan bercadang menyediakan kemudahan imigresen tersebut termasuk melantik seorang Atace Imigresen di Konsul Dubai;
3. adakah Kerajaan bercadang mengiktiraf lesen memandu UAE untuk membolehkan lesen memandu Malaysia diiktiraf di UAE.

SOALAN 5

Saya ZULKIFLI BIN NOORDIN (P. 18 Kulim Bandar Baharu) minta Menteri Kesihatan menyatakan:

1. apakah langkah dan tindakan yang diambil bagi mengawal atau menghapuskan minuman berkarbonat (terutama disekolah-sekolah) yang jelas boleh menjejaskan kesihatan kerana kadar gula yang begitu tinggi iaitu 6.8gm tiap 325 mililiter (karbonat bertenaga) dan 11gm tiap 325ml (karbonat sahaja) yang boleh membawa penyakit obesity, kencing manis dan lain-lain;

Sekian terima kasih.

Yang benar

Zulkifli bin Noordin
Kulim Bandar Bharu
Jumaat: 08 Rabi’ul Awal 1432
11 Februari 2011

1 comment:

Bahulu Studio said...

As Salam..YB
Tahniah..rakyat diutamakan @setiap soalan begitu bermakna buat semua pihak