Timbalan Menteri Pelajaran, YB Kamalanathan menerima rawatan setelah ditumbuk dan diserang oleh seorang guru yang tidak berpuashati permohonan perpindahan isterinya juga seorang guru tidak diluluskan! |
Saya agak terkejut dengan tindakan seorang guru lelaki yang telag menyerang dan menumbuk YB P. Kamalanathan, Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor. Guru berkenaan dilapurkan tidak berpuashati permohonan isterinya yang juga seorang guru untuk bertukar ke Hulu Selangor telah tidak diluluskan.
Saya memang tidak bersetuju langsung dengan tindakan guru tersebut yang telah mengambil tindakan diluar undang-undang, dan tindakan sewajarnya patut diambil terhadap beliau.
Diwaktu yang sama, saya menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini, ataupun menjadikannya isu perkauman atau politik. Konon ceritanya guru lelaki tersebut seorang ahli UMNO dan berbangsa Melayu.
Saya percaya ini tidak ada kena mengena dengan politik, mahupun perkauman.
Namun, satu persoalan yang timbul daripada insiden ini ialah apa yang mendorong guru tersebut mengambil tindakan begitu drastik dan kelihatan desperado itu?
Tidak mungkin guru tersebut sengaja suka-suka mahu mengambil tindakan tersebut sehingga memukul seorang Timbalan Menteri. Sudah pasti beliau tahu akibatnya, apatah lagi beliau seorang guru menyerang dan memukul Timbalan Menteri Pelajaran!
Sebenarnya insiden ini membuka pekung satu isu yang sudah lama diperkatakan dikalangan guru-guru terutama yang sudah berumahtangga.
Bagaimana ada guru yang terpaksa berpisah secara fizikal bertahun-tahun lamanya dengan keluarga akibat dipindahkan atau pun bertugas dikawasan luar atau jauh daripada suami atau isteri masing-masing.
Saya sendiri semasa menjadi Ahli Parlimen sudah beberapa kali membangkitkan isu ini dan mendesak Kementerian Pelajaran supaya segera mengkaji semula dasar pemisahan suami-isteri dikalangan guru-guru ini. Malah beberapa kes spesisfik telah saya bangkitkan untuk tindakan, tetapi tiada satu pun yang mendapat layanan sewajarnya.
Dalam satu kes, seorang guru muda wanita dipindahkan ke Johor walaupun suami dan anak kecilnya tinggal di Kulim. Saya telah menyiasat dan mendapati ada dua buah sekolah di Kulim yang mempunyai kekosongan dan bersedia mengambil guru tersebut untuk dipindahkan daripada Johor ke Kulim.
Namun walau sudah beberapa kali dibangkitkan didalam Parlimen, malah membawa ke peringkat Menteri dan Timbalan Menteri, namun tiada sebarang tindakan susulan dilakukan. Saya percaya guru wanita tersebut masih lagi mengajar di Johor.
Alasan yang diberi ialah sekolah tempat guru tersebut tiada pengganti untuk mata-pelajaran yang diajar. Juga kekosongan sekolah di Kulim itu tidak berkaitan dengan subjek pengkhususan guru tersebut.
Saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan dasar seperti ini, yang kurang pro-kemanusiaan!
Mengapa yang diutamakan ialah keperluan sekolah?
Sepatutnya pendekatan yang diambil ialah meletakkan kepentingan dan kebajikan guru itu sebagai keutamaan. Ini kerana tiada guna guru itu dipaksa mengajar juga di sekolah yang jauh sehingga terpaksa berpisah dengan suami atau isteri dan anak masing-masing, kekadang sehingga bertahun-tahun.
Sudah tentu guru-guru dalam keadaan seperti itu tidak dapat memberi tumpuan kepada pengajaran dan tugasan mendidik para pelajarnya. Apatah lagi jika mendapat berita anak tidak sihat dan lain-lain. Akhirnya yang rugi ialah para pelajar dan sekolah itu juga.
Sebenarnya banyak lagi isu sampingan yang timbul daripada isu yang saya rasa tidak mengutamakan hak kemanusiaan & insaniah para guru tersebut.
Sepatutnya dasar Kementerian dalam isu seperti ini ialah memberi keutamaan kepada hak kemanusiaan dan insaniah para guru tersebut. Lakukan apa sahaja yang boleh untuk memastikan hak kemanusiaan dan insaniah para guru tersebut dipenuhi.
Malahan, dasar meletakkan hak kemanusiaan dan insaniah para guru tersebut lebih Islamik. Saidina 'Umar r.a pernah melalui suatu insiden dimana seorang wanita merintih kerana suaminya seorang tentera dihantar bertugas diluar kawasan sehingga begitu lama. Akhirnya Saidina 'Umar r.a memerintahkan pasukan tentera itu dibawa balik dan dibuat dasar supaya tentera yang bertugas luar tidak terlalu lama dihantar bertugas ke luar kawasan.
Pada saya, insiden menyerang dan menumbuk YB P.Kamalanathan, walaupun tidak sepatutnya berlaku, tetapi adalah satu tip of the iceberg. Kerajaan juga perlu sedar guru adalah front-liner yang berurusan dan mendampingi dengan rakyat bawahan secara langsung. Mereka adalah barisan depan bagi Kerajaan.
Jangan kerana dasar yang dilihat kurang pro-kemanusiaan & insaniah ini menimbulkan rasa benci dan meluat para guru terhadap Kerajaan. Guru yang menyerang Timbalan Menteri Pelajaran itu mungkin akan dihukum; tetapi yang saya khuatir ialah jangan sampai para guru pula menghukum dan 'menumbuk' Kerajaan apabila dilihat hak kemanusiaan dan insaniah rakan mereka dinafikan!
Kepada sahabat saya YB P.Kamalanathan, moga segera semboh dan kembali bertugas!
Wallahua'lam dan wassalam.
Adios amigos, grasias.
Zulkifli Bin Noordin
Rabu
14 Rabi'ul Awal 1435
15 Januari 2014
No comments:
Post a Comment