25 March 2010

BAHAS TITAH DIRAJA (2)

UCAPAN BAHAS TITAH DIRAJA (2)
ZULKIFLI BIN NOORDIN
AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU
MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA PARLIMEN KE 12 2010


ISU 16.09.2008

Dato’ YDP, dalam blog saya baru-baru ini, saya menyatakan akan berlaku satu kejutan dalam sidang Parlimen kali ini. Tapi saya langsung tidak maksudkan apa yang didedahkan oleh YB Bayan Baru. Saya sendiri agak terkejut dengan pendedahan olah beliau dalam isu 16.09.2008. Saya tidak hairan kalau rakan-rakan saya daripada PKR marah dengan pendedahan ini.

Tetapi yang saya hairan mengapa rakan-rakan saya tidak pula marah dengan kenyataan daripada YB Bukit Gelugor terhadap YB Permatang Pauh dalam isu 16.09.2008 yang ternyata lebih keras. Rakan saya YB Wangsa Maju sudah tentu lebih arif, kerana beliau memuat-turunkan kenyataan keras YB Bukit Gelugor didalam laman webnya yang disiarkan tak sampai 2 minggu lepas pada 07.03.2010. YB Bukit Gelugor telah dilapur membuat kenyataan pada berkenaan isu 16.09 ini pada 08.02.2009 saperti berikut:

(Saya pohon izin Dato’ YDP untuk membaca sebahagian daripada lapuran tersebut dalam bahasa asal)

DAP national chairman Karpal Singh said, Pakatan Rakyat de facto leader Datuk Seri Anwar Ibrahim should step down for causing trouble in the coalition.
“The Bukit Gelugor MP is blaming Anwar for “creating trouble,” and said that the former deputy prime minister “needed to repent without further betraying the people and their trust.” He said Pakatan Rakyat needed another leader, a good leader, and lashed out at PKR and DAP leaders who had fallen sway to Anwar’s rhetoric in supporting crossovers of elected representatives.
“I can’t fight the DAP cause alone. What I am saying is the truth, and eventually the truth prevails. I have said before that DAP should seriously consider getting out of the coalition and I repeat my stand once again today
".


Saya baca terjemahannya dengan izin Dato’ YDP:

Pengerusi Kebangsaan Parti DAP YB Karpal Singh menyatakan Ketua Umum Pakatan Rakyat Dato' Seri Anwar Ibrahim wajib meletak jawatan kerana menganggu gugat kedudukan gabungan Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor tersebut menyalahkan Anwar kerana menimbulkan kekacauan, dan menyatakan bahawa bekas TPM tersebut perlu "bertaubat dan tidak terus mengkhianati rakyat dan keyakinan mereka". Beliau berkata Pakatan Rakyat memerlukan seorang lagi pemimpin, pemimpin yang baik, dan beliau menyelar kepimpinan PKR dan DAP kerana terpedaya dengan retorik Anwar yang menyokong wakil rakyat melompat parti.

"Saya tidak boleh membawa perjuangan DAP berseorangan. Apa yang saya katakan adalah perkara yang benar, dan kebenaran pasti akan menang. Saya pernah menyatakan sebelum ini bahawa DAP perlu mengkaji dengan serius untuk keluar daripada Pakatan ini dan saya ulangi kembali pendirian saya hari ini".

Jadi pada pandangan saya, rakan-rakan saya dari PKR sepatutnya menyelar YB Bukit Gelugor, kerana kalau nak dibanding dengan kenyataan YB Bayan Baru, kenyataan YB Bukit Gelugor lebih keras terhadap YB Permatang Pauh. Hingga menyebabkan YB Wangsa Maju mendesak YB Bkt Gelugor meminta maaf! Dan sehingga kini, tiada sebarang tindakan disiplin dikenakan terhadap YB Bukit Gelugor!

Dan kita tidak lupa, bahawa YB Bukit Gelugor ini jugalah yang membuat kenyataan, “you want Islam, over my dead body” (dengan izin). “Kalau kamu mahu Islam, langkah mayat saya dulu”. Tapi mungkin juga YB Bukit Gelugor sekarang sudah faham dan boleh terima Islam kot!!

****************************************************************

*Nota: ini adalah Bahagian(2) daripada 6 bahagian ucapan yang saya sampaikan dalam Bahas Titah DiRaja yang disampaikan di dalam Dewan Rakyat pada hari Rabu 09 Rab’ul Akhir 1431 / 24 Mac 2010. Bahagian dimana berlaku pencelahan atau lain-lain insiden yang direkod didalam Hansard tidak saya siarkan. Untuk butiran penuh, sila lihat Hansard Parlimen di laman web www.parlimen.gov.my

BAHAS TITAH DIRAJA (3)

UCAPAN BAHAS TITAH DIRAJA (3)
ZULKIFLI BIN NOORDIN
AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU
MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA PARLIMEN KE 12 2010


ISU ANTARA AGAMA (INTER RELIGION)

Dato’ YDP, Baginda Tuanku telah mengingatkan kita dalam titahnya bahawa perpaduan dan saling hormat menghormati antara kaum dan agama menjadi tunjang kekuatan negara yang mesti dipelihara. Titah Baginda, amalan berbaik sangka, saling hormat menghormati dan bekerjasama antara rakyat pelbagai kaum dan agama akan melahirkan masyarakat Malaysia yang mesra, aman dan bertoleransi. Kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, dengan penganut agama lain bebas mengamalkan agama dan kepercayaan mereka.

Namun masalah antara agama tetap muncul dan menjadi duri dalam daging bagi keharmonian dan kestabilan negara. Kita umat Islam tidak boleh menafikan masalah yang dihadapi oleh penganut agama lain dalam beberapa isu yang berkaitan dengan Islam. Contohnya masalah kesan kemasukan ke Islam oleh pasangan bukan Islam dan berakhir dengan perebutan jenazah, pertikaian hak jagaan anak atau harta pusaka adalah masalah yang hakiki dan perlu ditangani dengan baik.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya permasalahan ini ditangani dengan dua pendekatan. Pertama, dari segi non-legal, saya mencadangkan satu badan konsultatif diujudkan sebagai satu ‘standing committee’ (dengan izin) terdiri daripada tokoh-tokoh agama dan masyarakat yang mewakili semua pihak yang berkepentingan, dengan tujuan supaya mereka boleh mengadakan perbincangan dengan segera apabila sesuatu isu timbul, dan memberikan cadangan kepada pihak berkuasa pada kadar yang segera untuk mengelakkan mana-mana pihak mengambil kesempatan apabila berlaku kelambatan menanganinya saperti yang berlaku sekarang.

Kedua, dari segi legal, saya mencadangkan supaya suatu peruntukkan baru dimasukkan kedalam Akta Mahkamah Keadilan (Court of Judicature Act) untuk menyediakan satu mekanisma rujukan kepada Mahkamah Syariah bagi isu-isu yang membabitkan perundangan Islam. Kita akui bahawa kita tidak boleh memaksa warga bukan Islam untuk menerima bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam kes yang membabitkan mereka. Namun mereka yang bukan Islam juga perlu menerima hakikat bahawa orang Islam tidak boleh dipaksa menerima bidangkuasa Hakim bukan Islam atau Mahkamah sekular untuk membicarakan isu melibatkan perundangan Islam.

Dalam keadaan konflik saperti itu, saya mencadangkan jalan keluar yang terbaik ialah walaupun sesuatu kes itu dibicarakan di Mahkamah sekular, namun apabila timbul isu berkaitan Islam, maka wajib bagi Mahkamah sekular tersebut merujuk isu berkaitan ke Mahkamah Syariah untuk suatu keputusan. Dan keputusan Mahkamah Syariah dalam isu tersebut hendaklah mengikat Mahkamah sekular tersebut.

Kita lihat bagaimana didalam kes murtadnya Azlina Jailani @ Lina Joy. Walaupun prosiding di Mahkamah sekular ialah mengenai hak menukar butiran kad pengenalan, tetapi isunya membabitkan pertukaran nama kerana murtad dari Islam. Jadi isu murtad ini sepatutnya dirujuk ke mHakamh Syariah untuk suatu keputusan.

Oleh itu saya mencadangkan pindaan saperti berikut:

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan supaya Akta Mahkamah Keadilan 1964 (Courts of Judicature Act 1964) (Akta 91) dipinda dengan memasukkan peruntukkan baru di Seksyen 4 saperti berikut:

“Seksyen 4A: Didalam keadaan dimana terdapat isu dan/ atau pertikaian membabitkan dan atau melibatkan agama Islam dari segi aqidah, kepercayaan, hukum-hakam, syariat dan/atau apa juga persoalan mengenai Islam, maka Mahkamah wajiblah merujuk isu, persoalan dan/ atau pertikaian itu kepada Mahkamah Syariah untuk suatu keputusan atau penghakiman; dan semua prosiding hendaklah ditangguhkan sehingga keputusan atau penghakiman Mahkamah Syariah itu dibuat, dan keputusan atau penghakiman Mahkamah Syariah bagi isu, persoalan dan/ atau pertikaian itu hendaklah mengikat Mahkamah tersebut”.

Diwaktu yang sama, saya juga ingin mengingatkan kepada kaum bukan Islam, bahawa mereka juga perlu menghormati hak dan sensitiviti umat Islam.

Tindakan provokatif, saperti penulisan seorang kolumnis bukan Islam dalam akhbar The Star pada 19.02.2010 yang mempertikai dan memperlekeh hukum syara’ berkaitan hukuman sebat terhadap penzina baru-baru ini hanya sekadar mengundang kemarahan umat Islam, sebagaimana lakaran karikatur yang menghina Rasulullah oleh akhbar Denmark & Sweden.

****************************************************************

*Nota: ini adalah Bahagian(3) daripada 6 bahagian ucapan yang saya sampaikan dalam Bahas Titah DiRaja yang disampaikan di dalam Dewan Rakyat pada hari Rabu 09 Rab’ul Akhir 1431 / 24 Mac 2010. Bahagian dimana berlaku pencelahan atau lain-lain insiden yang direkod didalam Hansard tidak saya siarkan. Untuk butiran penuh, sila lihat Hansard Parlimen di laman web http://www.parlimen.gov.my/

BAHAS TITAH DIRAJA (4)

UCAPAN BAHAS TITAH DIRAJA (4)
ZULKIFLI BIN NOORDIN
AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU
MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA PARLIMEN KE 12 2010


ISU KALIMAH ALLAH

Begitu juga dengan isu berkaitan penyalahgunaan kalimah ALLAH yang dituntut oleh segelintir pendakyah Kristian baru-baru ini. Saya sedar bahawa majoriti umat Kristian sangat memahami dan mengamalkan sikap bertoleransi yang tinggi; malah mengiktiraf bahawa kalimah ALLAH adalah khusus bagi mereka yang menerima konsep ketuhanan yang Esa, yang Satu. Berbeda dengan keyakinan mereka kepada konsep ketuhanan triniti; 3 dalam 1.

Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Reverend Albert Mohler, President of the Southern Baptist Theological Seminary, seorang tokoh Kristian yang terkenal dan dihormati di Amerika Syarikat apabila menolak cadangan Father Tiny Muskin, Bishop Gereja Roman Katolik di Belanda untuk penggunaan kalimah ALLAH sebagai ganti nama tuhan bagi umat Kristian Euro-Amerika.

Dato’ YDP, saya tidak bercadang mahu mengupas isu ini dari segi hukumnya, kerana saya tiada kepakaran, dan saya bukan seorang ulama’ mufassirin. Ada pihak menaburkan fitnah kononnya saya tidak bersuara mengenai isu ini semasa dalam perbincangan yang dibuat. Sebaliknya saya ingin menegaskan bahawa para ‘ulama mu’tabar yang hadir dalam perbincangan tersebut telah memberikan pandangan dan pendapat mereka yang sangat bernas mengapa mereka menolak penggunaan kalimah ALLAH dalam bentuk triniti ini, jadi tiada keperluan dan sebab untuk saya menambah kepada apa yang telah mereka perkatakan dengan jelas.

Malahan Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Harun Din, Timbalan Mursyidul Am PAS sendiri telah mengambil pendirian yang sangat tegas menolak cubaan pendakyah Kristian ini untuk mengguna kalimah ALLAH sebagai ganti nama tuhan; malahan beliau menyelar golongan yang menyokongnya. Para ulama’ dan tokoh ‘ilmuan Islam yang lain juga menolak cubaan ini, dan mereka terdiri daripada nama-nama gah dan hebat saperti Professor Dato’ Dr. Syed Naquib Al Attas, Professor Dato’ Dr. Kamal Hassan, Professor Dr. Uthman El Muhamaddy, Professor Dr. Kamar Oniah (pakar perbandingan agama). Malahan pakar perlembagaan Professor Datuk Dr. Shad Faruqi dan ramai lagi ternyata tidak bersetuju dengan penggunaan kalimah ALLAH oleh segelintir pendakyah Kristian ini.

Menurut pendapat ulama’ mu’tabar dan para ‘ilmuan ini, antara pendekatan terbaik dalam menangani isu ini ialah dengan menggunakan kaedah ‘uruf al balad, iaitu melihat kepada maslahah isu ini dari segi pemahaman masyarakat tempatan, dalam konteks ini masyarakat Malaysia. Dalam konteks Malaysia, penggunaan kalimah ALLAH dalam bentuk trinity yang sesat ini, jika dibenarkan akan membawa kepada penyalahgunaan.

Dato YDP, saya sendiri secara peribadi telah berdepan dengan dakyah sesat ini secara aktif lebih daripada lima belas tahun. Saya ingin menegaskan bahawa belum pun diberi kebenaran, segelintir pendakyah dan aktivis Kristian ini sudah pun melakukan penyalahgunaan kalimah ALLAH ini. Disini saya berikan contoh-contohnya, yang pernah saya kemukakan di Dewan yang mulia ini dalam persidangan lepas.

(Disini saya telah kemukakan kepada Dewan satu persatu bukti penyalahgunaan kalimah ALLAH melalui dokumen dan bukti saperti rancangan Window 10/40 yang disiar dalam majalah Times, risalah, komik, surah palsu saperti Al Muslimun, Quran palsu dan lain-lain yang jelas membuktikan penyakahgunaan kalimah ALLAH).

Sebab itu saya yakin bahawa ada segelintir pendakyah Kristian yang cuba mengambil kesempatan dalam keadaan umat Islam yang berpecah belah ini untuk mencapai agenda jahat mereka. Persoalannya bukan agama Islam diserang oleh Kristian, tetapi agenda jahat segelintir pendakyah Kristian untuk melaksanakan agenda halus mereka.

Kalau kita membaca sejarah umat Islam dan sirah Nabawi; kita tidak akan terjumpa keadaan dimana ada orang yang mengaku Islam tetapi beriya-iya berjihad untuk membenarkan orang bukan Islam mengguna kalimah ALLAH dalam bentuk syirik dan kufur ini! Malahan ketegasan umat Islam dalam hal aqidah ini jelas dalam kisah dialog diantara Saidina Ja’far bin Abi Tolib Attayyar dengan Maharaja Najasyi, Raja Kristian dari Habyah.dalam peristiwa hijrah pertama.

Benarlah sabda Rasulullah saw, “bersegeralah kamu pada melakukan ‘amal soleh, kerana akan datang suatu masa kelak kamu ditimpa satu fitnah yang kamu tidak nampak, kerana datangnya saperti kepingan malam. Pada ketika itu, kamu Islam pagi, tetapi kafir diwaktu petang. Kamu Islam petang tetapi kafir diwaktu pagi. Dikala itu ALLAH akan mencabut perasaan takut dari musuh kamu kepada kamu, dan ALLAH campakkan perasaan wahan kepada kamu; iaitu hubbud dunya wakarohiyatul maut - kamu terlalu cintakan dunia, dan takut dengan kematian”.


****************************************************************

*Nota: ini adalah Bahagian(4) daripada 6 bahagian ucapan yang saya sampaikan dalam Bahas Titah DiRaja yang disampaikan di dalam Dewan Rakyat pada hari Rabu 09 Rab’ul Akhir 1431 / 24 Mac 2010. Bahagian dimana berlaku pencelahan atau lain-lain insiden yang direkod didalam Hansard tidak saya siarkan. Untuk butiran penuh, sila lihat Hansard Parlimen di laman web www.parlimen.gov.my

BAHAS TITAH DIRAJA (5)

UCAPAN BAHAS TITAH DIRAJA (5)
ZULKIFLI BIN NOORDIN
AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU
MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA PARLIMEN KE 12 2010


ISU FITNAH

Dato’ YDP, didalam titahnya , Baginda Tuanku YDP Agong telah melahirkan kesedihan Baginda kerana masih terdapat banyak perbuatan fitnah, pembohongan dan putar belit fakta terutamanya dimedia baru. Sebenarnya Dato’ YDP, penyakit fitnah ini sangatlah dikutuk oleh ALLAH. Didalam surah Al Hujurat ayat 12, ALLAH berfirman “Walaa tajas sasu, walaa yagh tab ba’dhukum bagh dho- Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan fitnah-memfitnah diantara satu sama lain”. Malahan memfitnah ini disamakan dengan memakan daging saudaranya sendiri.

Disebabkan itulah Dato’ YDP, saya mengambil sikap menyokong kenyataan YB Marang (PAS-Tuan Guru Dato’ Seri Haji Hadi Awang) dan YB Macang (PKR-Saifuddin Nasution Ismail) mengenai isu fitnah ini. Islam sangat menjaga maruah dan harga diri seseorang manusia. Kita tidak boleh menuduh seseorang berdasarkan syak wasangka, apatah lagi fitnah. Sebab itu hukum memfitnah orang ini sangat berat, dimasukkan didalam kategori hudud. Contohnya qazaf.

Sebab itu saya mengambil pendirian bahawa kita tidak sepatutnya menuduh YB Permatang Pauh dengan tuduhan liwat dibawah undang-undang sekular, iaitu menurut Seksyen 377B Kanun Kesiksaan, sebaliknya sebarang pertuduhan, jika ada, hendaklah dibawa menurut peruntukkan hukum syara’. Kita ada peruntukkan tersebut dibawah Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559). Menggunakan undang-undang sekular untuk menuduh seorang Islam dengan kesalahan hudud adalah sesuatu yang menghina Islam. Malahan kita semua melakukan dosa besar, dan kemungkinannya kufur, jika kita redho dengannya. Ini samalah dengan mengheret saya ke Lembaga Disiplin bukan Islam untuk membicarakan saya berkaitan isu Islam!

Menggunakan undang-undang sekular akan menafikan hak YB Permatang Pauh sebagai seorang Muslim. Antaranya beliau tidak dapat menggunakan pembelaan qazaf, satu pembelaan yang tidak diiktiraf didalam undang-undang sekular. Ini juga adalah satu penghinaan kepada sistem perundangan syarie yang diiktiraf didalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, saya mendesak supaya pertuduhan liwat terhadap YB Permatang Pauh di Mahkamah sekular ini ditarik balik; sebaliknya hendaklah prosiding dijalankan sepenuhnya menurut peruntukkan syarie di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa; dan ini akan membolehkan YB Permatang Pauh mendapat haknya sebagai seorang Islam, termasuk menggunakan pembelaan qazaf.

Bagi maksud itu, saya juga mendesak supaya prosiding qazaf yang sedang dibawa oleh YB Permatang Pauh di Mahkamah Syariah dibenarkan dan pendakwaan qazaf terhadap Mohd. Saiful Bukhari diteruskan demi mencari kebenaran dan keadilan secara syarie. Saya yakin Mahkamah Syariah akan dapat bertindak dengan penuh professional dan kebenaran serta keadilan akan dapat dicapai bagi semua pihak yang terlibat.

Begitu juga saya sedih melihat budaya fitnah yang kini melanda kepimpinan YAB To’ Guru Nik Aziz, pemimpin dan mursyid yang sangat saya kasihi. To’ Guru lah orang yang mengisytiharkan saya menyertai PAS pada Ogos 1998 di Kelantan. Saya tengok serangan berbentuk “character assassination” terhadap To’ Guru terutama dilaman-laman blog dan media portal sangatlah tidak wajar. Apatah lagi dilakukan oleh ahli PAS sendiri. Bagaimana seorang yang telah membawa PAS ke puncak kejayaan politik, kini dihina dan diaibkan, diftnah dengan pelbagai tuduhan yang melampau. Kepada To’ Guru, saya mendoakan semoga To’ Guru diberi perlindungan dan rahmat oleh ALLAH.

(Nota: semasa saya mengulas isu ini, tiada seorang pun Ahli Parlimen PAS yang bangun menyokong atau mempertahankan YAB Tok Guru, walaupun ini sebenarnya peluang terbaik mereka bangun mencelah membela YAB Tok Guru).

Dato YDP, fitnah dalam apa bentuk dan terhadap sesiapa pun hendaklah dihentikan. Dato’ YDP, dalam konteks budaya fitnah ini, saya juga ingin menyentuh mengenai fitnah tidak berkesudahan yang dilempar terhadap YAB PM mengenai kes pembunuhan Altantuya. Saya hairan dengan sikap segelintir mereka yang mengaku Islam tetapi boleh menuduh seorang Islam lain sebagai pembunuh tanpa sebarang bukti dan keterangan. Malahan yang lebih malang fitnah daripada orang bukan Islam boleh diterima sebagai bukti tanpa sebarang persoalan lagi, hanya sekadar syak wasangka dan tohmahan. Takkanlah orang saperti Balasubramaniam boleh diterima fitnahnya tanpa usul periksa lagi.

Apakah hanya dengan sekadar membuat Surat Akuan Bersumpah dengan membayar fee sebanyak RM4, satu fitnah boleh berubah menjadi bukti dan keterangan semata-mata kerana ada cop Pesuruhjaya Sumpah? Dan punya banyak Surat Akuan Sumpah yang macam tonggang terbalik yang dibuat oleh si Bala ini, akhirnya dia sendiri pun dah macam sesumpah!

Dato YDP, saya adalah antara peguam yang pernah mengendalikan kes pembunuhan Altantuya ini. Apa yang ditohmah dan difitnah oleh Bala tidak pernah beliau bangkitkan semasa perbicaraan di Mahkamah. Malah kenyataan beliau kepada pihak polis juga tidak pernah membangkitkan isu ini. Pada saya, Bala ini hanyalah seorang opportunis, mengambil kesempatan daripada kerakusan syaitan bertopengkan manusia.

Saya menyeru kepada semua kita yang mempunyai sedikit keimanan kepada ALLAH, yang meyakini kepada Al Quran, supaya menolak fitnah si Bala ini. Ingatlah pesan ALLAH dalam surah Al Hujurat - 6.

Saya sendiri pernah diminta untuk untuk membabitkan YAB Perdana Menteri dan isteri YBhg Datin Sri Rosmah Mansur dalam kes pembunuhan ini. Antaranya saya diminta mendapatkan pengakuan bersumpah bahawa YAB Perdana Menteri & YBhg Datin Sri Rosmah Mansur terlibat dalam pembunuhan tersebut. Malahan saya sendiri diminta membuat satu Surat Akuan Bersumpah mengaitkan YAB Perdana Menteri & YBhg Datin Sri Rosmah Mansur dengan pembunuhan Altantuya. Ganjaran yang ditawarkan memang boleh menggoyahkan iman!

Namun Dato YDP, saya bersyukur ALLAH melindungi saya daripada terbabit dalam fitnah ini. Sebab itulah saya menarik diri daripada terus mengendalikan kes tersebut, kerana adanya gangguan daripada Pihak Ketiga; yang menyebabkan mustahil untuk saya terus bertindak secara professional sebagai peguam membela kes tersebut.

Kita perlu ingat takkanlah OKT-OKT tersebut sanggup dihukum mati ke tali gantung kalau benar YAB Perdana Menteri & YBhg Datin Sri Rosmah Mansor terlibat. Saya cukup yakin pasti mereka akan mendedahkannya kalau ianya benar. Dan sebagai orang Islam, kita patut mengambil sikap husnul zan; bersangka baik. Setahu saya, YAB Perdana Menteri telah melakukan sumpah menafikan pembabitan beliau. Dan setakat ini tidak ada diantara kita yang berani bersumpah menafikannya. Oleh itu, bersangka baiklah kita sesama Islam; dan peganglah kepada Al Quran sebagai petunjuk kita. Bagaimana kita tidak suka difitnah orang, begitu jugalah kita tidak sepatutnya memfitnah orang lain!

Saya juga tidak lupa sekitar tahun 2004, bilamana saya diminta mengaibkan YB Padang Rengas menggunakan kes pembunuhan Darren Kang, dimana anak YB Padang Rengas bernama Nadim ditohmah sebagai terlibat dalam pembunuhan tersebut, kerana kebetulan beliau berada dilokasi pembunuhan. Lima orang warga Thai pekerja Restoran Uncle Don di Sri Hartamas telah didakwa dan dibicarakan serta membuat pengakuan bersalah di Mahkamh Tinggi Kuala Lumpur. Saya diminta mengaitkan Nadim dengan mereka. Alhamdulillah ALLAH sekali lagi menyelamatkan saya dari terlibat dengan fitnah ini.

Saya berharap tidak ada pihak yang meletakkan saya dalam keadaan terpaksa mendedahkan kesemua perkara mungkar yang pernah dibuat. Kerana kalau saya mengambil sikap sedemikian, letupan besar yang dibuat oleh YB Bayan Baru akan hanya sekadar menjadi kentut yang sepi!

Begitulah kotornya mainan politik negara masa kini. Sebenarnya terlalu banyak perkara yang tidak betul yang saya diminta dan di arah lakukan selama ini. Ada antaranya telah saya laksanakan, ada yang tidak saya laksanakan. Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon kemaafan kepada mereka yang telah menjadi mangsa kepada percaturan politik kotor ini. Saya berjanji akan berjumpa mereka secara peribadi untuk memperbetulkan keadaan.

Dato’ YDP, tujuan saya menyatakan ini semua kerana saya bersetuju dengan kekhuatiran yang diluahkan oleh Baginda YDP Agong tentang gejala fitnah yang sudah sampai keperingkat yang membimbangkan. Saya sendiri khuatir dengan cara berpolitik bangsa Melayu beragama Islam yang jauh daripada perintah ALLAH dan sunnah Rasulullah. Saya juga takut sekiranya kita mengambil sikap mendiamkan diri, laknat ALLAH akan menimpa kita.

****************************************************************

*Nota: ini adalah Bahagian(5) daripada 6 bahagian ucapan yang saya sampaikan dalam Bahas Titah DiRaja yang disampaikan di dalam Dewan Rakyat pada hari Rabu 09 Rab’ul Akhir 1431 / 24 Mac 2010. Bahagian dimana berlaku pencelahan atau lain-lain insiden yang direkod didalam Hansard tidak saya siarkan. Untuk butiran penuh, sila lihat Hansard Parlimen di laman web www.parlimen.gov.my

BAHAS TITAH DIRAJA (6) - RUMUSAN

UCAPAN BAHAS TITAH DIRAJA (6)
ZULKIFLI BIN NOORDIN
AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU
MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA PARLIMEN KE 12 2010

RUMUSAN

Saya berharap titah Baginda Tuanku semasa merasmikan sidang Parlimen baru-baru ini dapat di ambil secara serius. Terlalu banyak aktiviti politiking yang melampau sekarang sehingga fokus utama kita untuk menjaga dan memperjuangkan kebajikan dan kepentingan rakyat terabai.

Dato’ YDP, kemakmuran dan pembangunan negara akan hanya dapat dillaksanakan dan dicapai jika negara berada dalam keadaan aman dan stabil. Oleh itu menjadi tanggunjawab kita semua, saperti titah Baginda YDP Agong, untuk bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan negara.

Tidak ada salahnya kita berpolitik. Dan tidak ada salahnya pembangkang menegur dan mengkritik Kerajaan, jika Kerajaan melakukan sesuatu yang mungkar atau boleh menjejaskan kepentingan dan kebajikan rakyat dan negara. Malahan tidak ada salahnya untuk Pembangkang bercita-cita untuk menumbangkan pemerintah dan menjadi Kerajaan.

Tapi lakukanlah ia dengan cara yang berakhlak dan bertamaddun, dengan berlandaskan Al Quran dan Sunnah. Matlamat tidak sepatutnya menghalalkan cara. Politik itu hanyalah alat, Islam itu matlamat. Politik itu hanyalah alat; tetapi keamanan, kestabilan, kesejateraan, kemakmuran dan kebajikan rakyat dan negara itulah matlamat. Janganlah kerana kerakusan kuasa, kita berubah menjadi pengamal politik ayam itik. Moga ALLAH memelihara negara & rakyat daripada segala musibah dan bencana.

Saya pohon menyokong.

Zulkifli Bin Noordin
Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu
Khamis
09 Rabi’ul Awal 1431
24 Mac 2010

****************************************************************

*Nota: ini adalah Bahagian(6) daripada 6 bahagian ucapan yang saya sampaikan dalam Bahas Titah DiRaja yang disampaikan di dalam Dewan Rakyat pada hari Rabu 09 Rab’ul Akhir 1431 / 24 Mac 2010. Bahagian dimana berlaku pencelahan atau lain-lain insiden yang direkod didalam Hansard tidak saya siarkan. Untuk butiran penuh, sila lihat Hansard Parlimen di laman web www.parlimen.gov.my

22 March 2010

AN-LUN: ANAK LUAR NIKAH

Salam 2 all.

Saya terkejut dengan kenyataan oleh Dato' Mohd. Alwi, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara yang disiar dalam akhbar The Star hari ini Isnin 07 Rabi'ul Akhir 1431/ 22 Mac 2010 di mukasurat N.49 mengenai gejala kelahiran anak luar nikah dikalangan gadis Melayu beragama Islam.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan, bagi tahun 2009 sahaja, jumlah Anlun yang dilahir dan didaftarkan dikalangan gadis Melayu beragama Islam yang ialah 17,300. Ini bermakna pada setiap jam, purata 2 orang An-Lun dilahirkan oleh gadis Melayu beragama Islam tahun lepas.

Bagi tempoh 2004 sehingga 2009 pula, jumlahnya adalah 74,723. Ini bermakna setiap tahun purata An-Lun yang dilahirkan oleh gadis Melayu beragama Islam adalah seramai 14,945 orang. Ini bersamaan dengan purata 2 orang An-Lun dilahirkan setiap jam dalam tempoh tersebut.

Ini baru perangkaan yang dapat dikesan dan didaftarkan. Bagaimana pula dengan yang tidak dapat dikesan dan tidak didaftarkan! Ini satu isu yang menggerunkan.

Dan persoalan besar yang saya mahu tahu ialah kemana perginya An-Lun ini yang begitu ramai. Saya ada mendapat maklumat ramai dikalangan bayi-bayi tidak berdosa ini dihantar ke rumah perlindungan bukan Islam. Malahan ada maklumat menyatakan bayi-bayi ini diambil sebagai anak anglat oleh orang bukan Islam.

Cuba bayang dalam tempoh 5-7 tahun lagi, bayi-bayi berbangsa Melayu ini akan mendaftar dan bersekolah dengan anak-anak Islam yang lain, bercampur gaul, berkawan dan berteman dengan mereka!. Dengan rupa Melayu mereka, tetapi berlainan agama, saya boleh bayang apa musibah yang bakal melanda bangsa Melayu umat Islam tidak lama lagi! Na'uzubillah min zaalik, moga ALLAH menjauhkan kita daripada fitnah ini.

Saya berpendapat sudah tiba masanya kita mengambil pendekatan yang lebih holistik dan menyeluruh dalam menangani masalah ini. Kaedah pencegahan dan dan pemulihan yang lebih holistik kita perlu ujudkan.

Sistem pendidikan juga perlu dikaji semula. Kita tidak perlu generasi yang mencapai A++ tetapi akhlaknya runtuh.

Anak-anak Melayu beragama Islam ini sepatutnya didedahkan kepada pengajian berkaitan kejantinaan ini dari awal. Banyak ayat dalam Al Quran dan hadis yang boleh diguna sebagai bahan rujukan untuk pendedahan awal ini.

Walaupun pengetahuan tentang hukum hakam itu penting, tetapi kaedah pendidikan dan tarbiyyah lebih patut diutamakan bagi anak-anak ini. Saya percaya para pakar pendidikan boleh duduk semeja dengan para ulama' dan ilmuan untuk mencari jalan penyelesaian yang membawa menafaat kepada umat Islam, terutama generasi muda masakini.

Diwaktu yang sama, saya percaya kesalahan tidak joleh diletakkan hanya kepada ibu-ibu muda ini sahaja. Saya kasihan melihat bagaimana ibu-ibu muda ini terpaksa berhadapan dengan masalah ini bersendirian. Para agamawan kita pulak lebih suka menghukum daripada menyelesaikan masalah. Ini menyebabkan para ibu muda ini menjadi takut untuk mendekati mereka, sebaliknya samada mengambil tindakan nekad membuang bayi-bayi ini ataupun pergi ke pusat perlindungan bukan Islam yang lebih accomodatif dalam membantu mereka menghadapi masalah ini.

Saya juga merasakan bahawa para jantan-jantan durjana yang mengambil kesempatan daripada gadis-gadis muda ini juga perlu dihukum dengan hukuman yang berat. Selalu kita tengok si ibu muda ini dikenakan tindakan pertuduhan jenayah dan lain-lain, kasihan melihat mereka digari dan diheret ke Mahkamah. Sedangkan jantan-jantan durjana ini terlepas tanpa sebarang tindakan, hanya kerana didalam perundangan sekular, mereka ini tidak melakukan sebarang kesalahan yang diiktiraf oleh undang-undang negara.

Saya percaya sudah tiba masanya kita kembali mengkaji untuk melaksanakn sistem perundangan syariah dalam menghadapi kemelut ini. Kerana saya yakin, bukan sistem syariah itu yang akan menyelesaikan masalah yang kita hadapi, tetapi keimanan, keyakinan dan ketaatan kita mematuhi perintah ALLAH itulah akan membuatkan ALLAH menimbang untuk menganugerahkan keamanan dan kesejahteraan kepada kita.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
07 Rabi'ul Akhir 1431
22 Mac 2010

14 March 2010

PARLIMEN BARU..POLITIK BARU..

Salam 2 all.

Esok Isnin 29 Rabi'ul Awal 1431/ 15 Mac 2010 Parlimen akan mula bersidang. Sidang kali ini secara rasminya dipanggil Sidang Dewan Rakyat ke 12, Penggal Ketiga Mesyuarat Pertama yang dijadualkan bersidang daripada esok sehingga Khamis 15 April 2010.

Sejak sidang Parlimen ditangguhy Disember 2009 lepas sehingga sekarang, banyak perubahan telah berlaku khusunya dari segi senario politik negara. Pertama kes liwat terhadap DSAI telah bermula setelah hampir dua tahun tertangguh, itu pun hanya Saiful Bukhari (pengadu) sahaja yang sempat memberi keterangan dalam pemeriksaan utama. Tak sempat pun pemeriksaan balas kes tertangguh kerana DSAI memohon Hakim menarik diri kerana enggan menghukum akhbar Utusan Malaysia yang didakwa menyiar gambar bilik tempat kejadian. Patut-patut kalau itu jadi alasan untuk Hakim menarik diri, apatah lagi kalau nak banding dengan permohonan saya memohon panel disiplin bukan Islam menarik diri kerana nak bicarakan saya dalam isu kalimah ALLAH; patut panel dah tarik diri pun. Tapi itulah namanya politik yop; orang lain semua tak boleh yop!!

Perkembangan lebih memeranjatkan apabila tiga Ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti menjadi MP Bebas. Mereka ialah YB Dato' Seri Zahrain Hashim (Bayan Baru), YB Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan YB Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai). Dan mutakhirnya saya sendiri dipecat kerana enggan mengiktiraf panel kafir yang nak bicarakan saya dalam isu kalimah ALLAH, bermakna PKR kini hanya tinggal 26 kerusi sahaja. Jangan lupa YB Jeyakumar (Sg. Siput) mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM) bukannya PKR.

Ini bermakna dipihak bukan kerajaan, DAP mendahului dengan 28 kerusi, PKR 26, PAS 23, PSM 1 dan Bebas 7. Menurut konvensyen berparlimen yang di 'amal dan nilai-nilai demokrasi, maka jawatan Ketua Pembangkang seharusnya dipegang oleh ketua DAP, iaitu YB Lim Kit Siang (Ipoh Barat) kerana DAP mempunyai kerusi terbanyak. YB Tan Sri Speaker tidak boleh mengiktiraf Pakatan Rakyat kerana PR bukan sebuah badan berdaftar, ia sekadar kerjasama politik yang tidak mempunyai entiti perundangan, tidak saperti BN yang berdaftar.

Jadi kalau mengikut konvensyen berparlimen dan nilai demokrasi, seharusnya YB DSAI mengosongkan kerusi Ketua Pembangkang dan menyerahkannya kepada YB Lim Kit Siang. Sebenarnya itulah cara terbaik dan paling demokratik yang patut dilakukan oleh YB DSAI. Kalau saya menjadi penasihat strategi dan politik DSAI, saya akan menasihatkan beliau supaya mengosongkan kerusi Ketua Pembangkang. Saya cukup pasti kalau itu dilakukan, rakyat akan lebih menghormati YB DSAI kerana akan dilihat tidak memmentingkan jawatan, dan bersikap menghormati nilai demokrasi yang dilaungkan oleh PKR. Dan saya cukup pastikan DAP & PAS membawa usul dalam Parlimen supaya YB DSAI dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang. Dan semasa usul serta bahas, saya akan nasihatkan YB DSAI supaya jangan berada didalam Dewan. Dan saya cukup pasti BN tidak akan membantah usul itu kerana ianya tiada kena mengena dengan BN, walaupunmungkin satu dua MP BN akan dipasang untuk membantah, adatlah tu. Dan apabila usul diluluskan, saya akan minta YB Tan Sri Speaker menjemput semula YB DSAI memasuki Dewan dan mengambil semula kerusi Ketua Pembangkang. Sikit punya cantik strategi sebegitu. YB DSAI tidak akan dilihat terlalu mahukan jawatan, DAP & PAS akan dilihat sebagai penyokong setia PKR, dan rakyat akan bersimpati dengan YB DSAI.

Tetapi malang kerana saya percaya YB DSAI telah diberi nasihat yang salah. Saya cukup yakin Fir'aun-Fir'aun Kecil yang mengelilingi YB DSAI telah mempengaruhi beliau dengan menyatakan bahawa dari segi undang-undang tidak jadi masalah untuk YB DSAI terus berpaut kepada jawatan Ketua Pembangkang walaupun PKR sudah hilang majoriti. Dan saya cukup yakin Fir'aun-Fir'aun Kecil tersebtu meyakinkan YB DSAI bahawa DAP & PAS akan menyokong.

Memanglah dari segi undang-undang tiada salahnya, tapi kita bercakap dari segi menghormati konvensyen 'amalan berparlimen dan nilai demokrasi yang kononnya dipertuhankan sangat. Ni cakap tak serupa bikin. Apa yang terjadi sekarang, atas nasihat Fir'aun-Fir'aun Kecil ini, YB DSAI kelihatan dimata rakyat terlalu ghairah dengan jawatan Ketua Pembangkang sehingga mengenepikan kenvensyen 'amalan berparlimen dan nilai demokrasi. Dan inilah maksud saya apabila saya menyatakan Fir'aun-Fir'aun Kecil inilah yang akan menyebabkan nama baik dan integriti YB DSAI tercemar, dan mungkin akan membawa kepada kejatuhan beliau. Saya sedih memikirkannya kerana YB DSAI sebenarnya seorang yang hebat, hanya kalau beliau mahu kembali kepada perjuangan Islam dan mendapatkan penasihat-penasihat yang tiada berkepentingan dan mempunyai agenda sendiri, saya yakin beliau akan menajdi pemimpin yang hebat. Tapi apakan daya..nasi dah jadi bubor!

Berdasarkan kedudukan jumlah kerusi parti-parti bukan kerajaan, maka menurut Peraturan 2 Peraturan mesyuarat Parlimen Malaysia, dan berdasarkan prinsip 'amaln berparlimen sejagat serta nilai demokrasi yang diterima pakai, susunan kerusi sepatutnya kini berubah. Bermakna semua Ahli Parlimen DAP sepatutnya kini duduk di blok paling depan sebelah kiri Speaker, iaitu Blok I. Kemudian diikuti oleh Ahli-Ahli Parlimen PKR dan kemudiannya PAS dan PSM. Jadi saya nak tengok esok apakah susunan tersebut dilaksanakan oleh YB Tan Sri Speaker. Sekiranya tidak, kemungkinan akan ada usul Peraturan Mesyuarat dibawa untuk susunan kerusi dibuat mengikut apa yang saya sebut tadi. Kalau itu berlaku, bermakna walaupun YB DSAI akan menduduki kerusi Ketua Pembangkang, namun beliau akan dikelilingi oleh Ahli Parlimen DAP. Ini mungkin satu keadaan yang tidak selesa bagi YB DSAI sebagai Ketua Umum PKR; sebab itulah konvensyen 'amalan berparlimen dan nilai demokrasi menghendaki Ketua Pembangkang adalah daripada parti bukan kerajaan yang memiliki kerusi yang paling banyak!

Bagi sidang ini, buat pertama kalinya saya akan bertindak sebagai wakil bebas. Dan insyallah saya akan memainkan peranan saya untuk mewakili suara umatb Islam dan kepentingan Islam. Ini tidak bermakna saya akan mengenepikan kepentingan dan kebajikan rakyat bukan Islam. Malahan berada dalam status wakil bebas ini akan memberi ruang yang selesa untuk saya memainkan pernan lebih efektif dan berkesan untuk umat Islam dan institusi Islam khasnya dankebajikan dan kepentingan rakyat umumnya.

Tapi saya percaya peringkat awal sidang kali ini akan berlaku satu perkara yang bakal meletupkan suasana politik negara. Apa dia? Tunggu dan lihat! Jangan kemana-mana, dan jangan betulkan antenna telinga anda..apa yang bakal terjadi pasti akan menyebabkan anda semua memerlukan pampers..hehehe !!!

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
28 Rab'ul Awal 1431
14 Mac 2010