25 March 2010

BAHAS TITAH DIRAJA (3)

UCAPAN BAHAS TITAH DIRAJA (3)
ZULKIFLI BIN NOORDIN
AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU
MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA PARLIMEN KE 12 2010


ISU ANTARA AGAMA (INTER RELIGION)

Dato’ YDP, Baginda Tuanku telah mengingatkan kita dalam titahnya bahawa perpaduan dan saling hormat menghormati antara kaum dan agama menjadi tunjang kekuatan negara yang mesti dipelihara. Titah Baginda, amalan berbaik sangka, saling hormat menghormati dan bekerjasama antara rakyat pelbagai kaum dan agama akan melahirkan masyarakat Malaysia yang mesra, aman dan bertoleransi. Kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, dengan penganut agama lain bebas mengamalkan agama dan kepercayaan mereka.

Namun masalah antara agama tetap muncul dan menjadi duri dalam daging bagi keharmonian dan kestabilan negara. Kita umat Islam tidak boleh menafikan masalah yang dihadapi oleh penganut agama lain dalam beberapa isu yang berkaitan dengan Islam. Contohnya masalah kesan kemasukan ke Islam oleh pasangan bukan Islam dan berakhir dengan perebutan jenazah, pertikaian hak jagaan anak atau harta pusaka adalah masalah yang hakiki dan perlu ditangani dengan baik.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya permasalahan ini ditangani dengan dua pendekatan. Pertama, dari segi non-legal, saya mencadangkan satu badan konsultatif diujudkan sebagai satu ‘standing committee’ (dengan izin) terdiri daripada tokoh-tokoh agama dan masyarakat yang mewakili semua pihak yang berkepentingan, dengan tujuan supaya mereka boleh mengadakan perbincangan dengan segera apabila sesuatu isu timbul, dan memberikan cadangan kepada pihak berkuasa pada kadar yang segera untuk mengelakkan mana-mana pihak mengambil kesempatan apabila berlaku kelambatan menanganinya saperti yang berlaku sekarang.

Kedua, dari segi legal, saya mencadangkan supaya suatu peruntukkan baru dimasukkan kedalam Akta Mahkamah Keadilan (Court of Judicature Act) untuk menyediakan satu mekanisma rujukan kepada Mahkamah Syariah bagi isu-isu yang membabitkan perundangan Islam. Kita akui bahawa kita tidak boleh memaksa warga bukan Islam untuk menerima bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam kes yang membabitkan mereka. Namun mereka yang bukan Islam juga perlu menerima hakikat bahawa orang Islam tidak boleh dipaksa menerima bidangkuasa Hakim bukan Islam atau Mahkamah sekular untuk membicarakan isu melibatkan perundangan Islam.

Dalam keadaan konflik saperti itu, saya mencadangkan jalan keluar yang terbaik ialah walaupun sesuatu kes itu dibicarakan di Mahkamah sekular, namun apabila timbul isu berkaitan Islam, maka wajib bagi Mahkamah sekular tersebut merujuk isu berkaitan ke Mahkamah Syariah untuk suatu keputusan. Dan keputusan Mahkamah Syariah dalam isu tersebut hendaklah mengikat Mahkamah sekular tersebut.

Kita lihat bagaimana didalam kes murtadnya Azlina Jailani @ Lina Joy. Walaupun prosiding di Mahkamah sekular ialah mengenai hak menukar butiran kad pengenalan, tetapi isunya membabitkan pertukaran nama kerana murtad dari Islam. Jadi isu murtad ini sepatutnya dirujuk ke mHakamh Syariah untuk suatu keputusan.

Oleh itu saya mencadangkan pindaan saperti berikut:

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan supaya Akta Mahkamah Keadilan 1964 (Courts of Judicature Act 1964) (Akta 91) dipinda dengan memasukkan peruntukkan baru di Seksyen 4 saperti berikut:

“Seksyen 4A: Didalam keadaan dimana terdapat isu dan/ atau pertikaian membabitkan dan atau melibatkan agama Islam dari segi aqidah, kepercayaan, hukum-hakam, syariat dan/atau apa juga persoalan mengenai Islam, maka Mahkamah wajiblah merujuk isu, persoalan dan/ atau pertikaian itu kepada Mahkamah Syariah untuk suatu keputusan atau penghakiman; dan semua prosiding hendaklah ditangguhkan sehingga keputusan atau penghakiman Mahkamah Syariah itu dibuat, dan keputusan atau penghakiman Mahkamah Syariah bagi isu, persoalan dan/ atau pertikaian itu hendaklah mengikat Mahkamah tersebut”.

Diwaktu yang sama, saya juga ingin mengingatkan kepada kaum bukan Islam, bahawa mereka juga perlu menghormati hak dan sensitiviti umat Islam.

Tindakan provokatif, saperti penulisan seorang kolumnis bukan Islam dalam akhbar The Star pada 19.02.2010 yang mempertikai dan memperlekeh hukum syara’ berkaitan hukuman sebat terhadap penzina baru-baru ini hanya sekadar mengundang kemarahan umat Islam, sebagaimana lakaran karikatur yang menghina Rasulullah oleh akhbar Denmark & Sweden.

****************************************************************

*Nota: ini adalah Bahagian(3) daripada 6 bahagian ucapan yang saya sampaikan dalam Bahas Titah DiRaja yang disampaikan di dalam Dewan Rakyat pada hari Rabu 09 Rab’ul Akhir 1431 / 24 Mac 2010. Bahagian dimana berlaku pencelahan atau lain-lain insiden yang direkod didalam Hansard tidak saya siarkan. Untuk butiran penuh, sila lihat Hansard Parlimen di laman web http://www.parlimen.gov.my/

1 comment:

Zakir said...

Antara TANDA2 KIAMAT KECIL berdasarkan hadis
--------------------------------------------

Penaklukan Baitulmuqaddis. Dari Auf b. Malik r.a. katanya, Rasulullah s.a.w
telah bersabda: "Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat.
"Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan
Baitulmuqaddis."
- Sahih Bukhari

Zina bermaharajalela."Dan tinggallah manusia2 yang buruk, yang seenaknya
melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka
inilah kiamat akan datang."
- Sahih Muslim

Bermaharajalela alat muzik. "Pada akhir zaman akan terjadi tanah
runtuh,rusuhan dan perubahan muka. Adayang bertanya kepada Rasulullah;
"Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?" Baginda menjawab; "Apabila telah
bermaharajalela bunyian (muzik) dan penyanyi2 wanita"
-Ibnu Majah

Menghias masjid dan membanggakannya. "Di antara tanda2 telah dekatnya
kiamat ialah manusia bermegahan dalam mendirikan masjid"
- Riwayat Nasai.

Munculnya kekejian, memutuskan kerabat dan hubungan dengan tetangga tidak
baik. "Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan
keji,memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga."
- Riwayat Ahmad dan Hakim.

Ramai orang soleh meninggal dunia. "Tidak akan datang hari kiamat sehingga
Allah mengambil orang2 yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tiada
yang tinggal padanya kecuali orang2 yang hina dan buruk yang tidak
mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran"
- Riwayat Ahmad

Orang yang hina mendapat kedudukan terhormat. "Di antara tanda semakin
dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka' (orang
yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang
yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia"
- Riwayat Thabrani

Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja."Sesungguhnya di
antara tanda2 telah dekatnya hari kiamat
ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yangdikenalnya saja."- Riwayat Ahmad

Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang. Diriwayatkan
dari Abu Hurairah r.a. "Di antara tanda2 telah hari kiamat ialah akan
muncul pakaian2 wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti
telanjang".

Bulan sabit kelihatan besar. "Di antara tanda2 telah dekatnya hari kiamat
ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit."
- Riwayat Thabrani

Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita. "Pada akhir zaman
akan muncul pembohong2 besar yang datang kepadamu dengan membawa berita2
yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa2 kamu
sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak
menyesatkanmu dan memfitnahmu"
- Sahih Muslim

Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar."Sesungguhnya sebelum
datang nya hari kiamat akan banyak
kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar."
- Riwayat Ahmad

Negara Arab menjadi padang rumput dan sungai. "Tidak akan datang hari
kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai2"
- Sahih Muslim