26 May 2014

FITNAH HUDUD PAS?

Akan datang kelak suatu zaman dimana kamu akan terkena satu fitnah yang tidak kamu nampak, kerana datangnya seperti kepingan malam, seperti seekor semut hitam diatas batu hitam dimalam gelap gelita. Iaitu kamu Islam waktu pagi, tetapi kamu kafir waktu petang; kamu Islam waktu petang, tetapi kamu kafir waktu pagi. Kamu mahu hudud bersama UMNO, tetapi kamu bersama DAP menolak hudud. Kamu terkena suatu penyakit dipanggil 'wahan' - hubbud duniya wakaro hiyatul maut, kamu terlalu cintakan dunia, jawatan, kedudukan dan habuan, dan kamu terlalu takut mati dan kehilangan jawatan, kedudukan dan habuan duniawi itu.
Salam 2 all.

Tahniah kepada kepimpinan PAS kerana berjaya membantu calon DAP Ramkarpal Singh anak lelaki mendiang Karpal Singh memenangi kerusi Parlimen Bukit Gelugor dengan undi sebanyak 41,242 mengalahkan calon Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan yang mendapat 3,583 undi, dan dua calon bebas Mohamed Nabi Bux Bin Mohd. Nabi Sathar (ahli PAS) yang mendapat 799 undi dan Abu Backer Sidek Mohd. Zan yang mendapat 225 undi*.

Ini bermakna PAS berjaya memenangkan calon DAP menjadi Ahli Parlimen yang telah berjanji akan menolak dan menentang cadangan pembentangan RUU Hudud PAS Kelantan.

Eh...macam pelik pulak bunyinya. PAS membantu memenangkan calon yang akan menentang PAS untuk laksanakan hudud?

Dan itulah hakikat sebenarnya. PAS yang kononnya mahu membentang Rang Undang-Undang Perlaksanaan Hudud PAS Kelantan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang telah memenangkan musuh hudud PAS!

Ceritanya mudah sahaja. Untuk membolehkan RUU itu diluluskan, PAS memerlukan majoriti mudah iaitu 112 Ahli Parlimen menyokongnya.

PAS ada 21 Ahli Parlimen. Bermakna PAS memerlukan sokongan 91 lagi Ahli Parlimen.

Daripada mana PAS nak dapatkan 91 Ahli Parlimen ini?

Rakan sebantal PAS iaitu DAP telah mengisytiharkan penentangan, over my dead body kata mendiang Karpal Singh, bekas Pengerusi DAP. Kata-kata penentangan yang masih dipegang oleh DAP.

Rakan sekatil PAS iaitu PKR telah menyatakan penolakan jelas. Kata pimpinan PKR yang sebangsa dan seagama dengan PAS, kami tetapi mengangkat Memorandum Persefahaman Pakatan Pembangkang yang tidak menjadikan hudud sebagai agenda pembangkang.

Dalam keadaan penentangan dan penolakan rakan sekatil dan sebantal mereka, PAS menadah tangan mohon sokongan UMNO - parti Melayu-Islam yang mempunyai 88 Ahli Parlimen.

Alhamdulillah, kepimpinan UMNO termasuk Presidennya Dato' Sri Najib Razak dan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yasin menyatakan UMNO tidak menolak hudud Islam sebagai hukum Allah, dan bersedia bekerjasama dengan PAS.

Bermakna PAS campur UMNO menjadi 109 Ahli Parlimen - kurang 3 untuk majoriti mudah.

Mana mahu cari 3 Ahli Parlimen ini?

Tiba-tiba Allah mengosongkan kerusi Parlimen Bukit Gelugor dan Parlimen Teluk Intan. Dua kerusi Parlimen sudah terbentang depan mata PAS untuk ditambah sokongan.

Bermakna dengan 21 MP PAS, tambah 88 MP UMNO, ditambah 2 kerusi lagi menjadikan 111 kerusi. Hanya tinggal satu kerusi sahaja lagi untuk mendapat majoriti mudah, sesuatu yang hampir pasti boleh dicapai dengan izin Allah.

Dalam keadaan itu, sudah pasti akal waras manusia akan menjangkakan PAS akan meletakkan calon di kedua-dua Parlimen itu, atau sekurang-kurangnya memastikan calon yang menang ialah calon yang akan sokong RUU Hudud PAS Kelantan.

Dan dalam keadaan itu, sudah pasti mana-mana umat Islam yang masih punya sekelumit iman akan menjangkakan PAS akan mengisytiharkan jihad untuk bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Bukit Gelugor dan Teluk Intan!

Tetapi sebaliknya yang berlaku. Rakan sekongkol PAS iaitu DAP meletakkan Ramkarpal Singh anak lelaki mendiang Karpal Singh sebagai calon Bukit Gelugor, dan Dyana Sofya Daud sebagai calon Teluk Intan.

DAN KEDUA-DUA CALON DENGAN JELAS, TERANG DAN NYATA MENGISYTIHARKAN MENOLAK HUDUD DAN AKAN MENENTANG PEMBENTANGAN RUU HUDUD PAS KELANTAN!

Dalam keadaan itu, akal waras manusia akan menjangkakan PAS bukan sahaja akan meletakkan calon sendiri, malah akan mengisytihar jihad menentang calon-calon DAP ini.

Tetapi sebaliknya yang berlaku!

Di Bukit Gelugor, PAS bukan sahaja menyokong dan membantu calon DAP yang menentang hudud, malah menentang dan mencemuh ahli PAS sendiri Mohamad Nabi Bux yang bertanding untuk menyokong RUU Hudud PAS Kelantan!

Di Teluk Intan, PAS bukan sahaja menyokong dan membantu calon DAP yang menentang hudud, malah pimpinan PAS turun berkempen untuk memenangkan calon DAP tersebut yang bukan sahaja menentang hudud, malah tidak bertudung pun!

MANA-MANA MANUSIA YANG MEMPUNYAI AKAL WARAS AKAN KATA INI POLITIK TIGA-SUKU!

MANA-MANA UMAT ISLAM YANG BERIMAN AKAN BERKATA INI SIKAP HIPOKRIT POLITIK YANG SANGAT MEMUALKAN!

Tetapi hairan, masih ada penyokong dan pendokong PAS yang terus menerus taksub dengan retorik hudud yang dibawa PAS - mereka menjadi kaum yang Allah sebut sebagai PBB - Pekak, Bisa & Buta - summum bukmum 'umyum fahuum.

Mereka membaca Al-Quran, mereka tahu Allah telah memberi amaran tentang perkara ini. Tetapi mereka umpama kaldai yang memikul kitab yang banyak dibelakang tetapi tidak membawa sebarang menafaat kitab-kitab itu selain bebanan kepada mereka. 

Persoalannya, dalam suasana sebegini, adakah PAS masih mempunyai hak agama, moral dan politik untuk mendesak UMNO terus menyokong dan membantu mereka kononnya mahu membentangkan RUU Hudud PAS Kelantan?

Hanya orang bodoh dan jahil sahaja yang akan mengikut rentak politik tiga-suku PAS ini yang hanya mempermainkan agama untuk kepentingan politik kepartian mereka!

Apa pun yang jelas ialah impian mendiang Karpal Singh sudah tercapai.

PAS bukan sahaja tidak berani 'melangkah mayat Karpal' untuk melaksanakan hudud, malah Ramkarpal Singh anak lelaki mendiang Karpal Singh yang turun berkempen dengan prinsip menentang hudud PAS berjaya 'melangkah mayat PAS' dengan memenangi kerusi Parlimen Gelugor dengan bantuan PAS.

Ya Allah, peliharalah aqidah dan keimanan kami, dan jauhkanlah kami daripada fitnah aqidah yang melanda umat ini, dan berilah kami kekuatan dan istiqomah, ameen!

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
26 Rejab 1435
26 Mei 2014

* Nota: kesemua calon iaitu Datuk Huang Cheng Guan (PCM), Mohamed Nabi Bux & Abu Backer hilang deposit. Ramkarpal memperolehi majoriti sebanyak 36,659 (89%) undi. Tetapi peratus turun pengundi terlalu sedikit iaitu 46,099 iaitu sebanyak 56.04% daripada jumlah pengundi berdaftar seramai 82,431. Pecahan pengundi mengikut etnik di Parlimen Bukit Gelugor ialah 61,267 Cina (74.33%), Melayu 11,913 (14.45%), India 8,848 (10.73%) dan lain-lain kaum 403 (0.3%). Dalam PRU 13 pada 05.05.2013, mendiang Karpal Singh mendapat sebanyak 55,839 undi (iaitu majoriti 41,778 undi) daripada 82,042 (86%) pengundi yang turun. Calon BN masa itu Teh Beng Yeam (MCA) mendapat 14,061 undi. Bagaimanapun peratus majoriti yang diperolehi Ramkarpal adalah 89%, sedangkan mendiang Karpal ialah 79.1%.

No comments: