09 May 2014

GENGGAM BARA API!

Alhamdulillah teman sempat mendirikan solat jenazah buat Allahyarham Pak Aziz Sattar di Surau Al-Amin, Bandar Tun Hussein Onn pada hari Selasa 06 Rejab 1435 / 06 April 2014. Moga dicucuri rahmat & diberi keampunan, dan diletakkan dikalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah!
Salam 2 all.

Rasulullah saw bersabda, 'akan datang suatu masa nanti dimana orang yang sabar berpegang teguh pada agamanya Islam), seperti mereka memegang bara api'.

Didalam satu lagi hadis, Nabi saw bersabda bahawa, 'sesungguhnya Islam itu pada masa mula datangnya asing (tidak dikenal), dan kelak nanti ia akan kembali asing. Maka berbahagialah orang yang termasuk dalam golongan asing ini, iaitu mereka yang memperbaiki apa yang dirosak manusia dari sunnah ku pada masa aku tiada nanti'.

Riwayat Turmidzi
Begitulah apa yang kita umat Islam lalui hari ini.

Ini jelas dapat kita lihat apa dengan apa yang sedang dilalui oleh Tuanku Sultan Brunei dan Kerajaan Brunei setelah pengumuman perlaksanaan Kanun Penal Syariah Brunei 1435-2014 yang antara lain mengandungi peruntukkan perlaksanaan hukum hudud dan pengharaman penggunaan sembilan belas kalimah terhadap non-Muslim termasuk kalimah Allah

Tuanku Sultan Brunei adalah antara manusia paling kaya dengan kurnia rezeki daripada Allah melalui limpahan minyak petrol yang mengalir dibumi Brunei.

Dengan kekayaan itu, Tuanku Sultan Brunei telah membeli banyak harta sebagai pelaburan negara, antaranya termasuk hotel-hotel mewah seperti Dochester House di tengah Kota London, dimana ramai golongan ternama termasuk artis terkenal barat suka mendiaminya.

Tuanku Sultan Brunei semasa mengumumkan perlaksanaan Kanun Penal Syariah menegaskan bahawa bagaimana kaya dan berkuasanya Baginda, namun Baginda masih kerdil dihadapan Allah. Baginda tetap hamba Allah yang tetap bertanggungjawab melaksanakan perintah Allah, apatah lagi Baginda diberi amanah kepimpinan diserta kekayan yang melimpah ruah.

Itulah sebabnya Baginda melaksanakan Kanun Penal Syariah. Baginda melaksanakannya bukan kerana kadar jenayah Brunei tinggi, bukan kerana kadar jenayah di Brunei sudah tidak boleh dikawal. Tidak!

Baginda melaksanakannya semata-mata kerana sami'na wa ato'na - aku dengar ya Allah, dan aku ta'at.

Namun segelintir mayarakat didunia ini yang kini hidup seperti dizaman kehaiwanan, dengan seks bebas diluar batasan; dengan kepercayaan kepada ketuhanan hampir luput; kadar jenayah yang sudah hampir diluar kawalan; dengan penipuan dan pembohongan melampau; dengan penyembahan kepada kehidupan material menyebabkan kadar jenayah kolar putih makin meningkat - manusia golongan kehaiwanan ini membantah keras perlaksanaan Kanun Penal Syariah Brunei.

Beberapa tokoh terkenal dunia material ini seperti Richard Bronson, tuanpunya Virgin Air, pengendali penerbangan tambah murah yang kini kaya raya membuat kenyataan akan memboikot semua hotel milik Brunei termasuk Dorchester House London. Malah beliau menyatakan tidak akan hadir apa juga acara dan program anjuran Kerajaan atau Tuanku Sultan Brunei.

Malahan, Kerajaan Amerika pimpinan Barack Hussein Obama menyatakan mereka prihatin dengan perlaksanaan Kanun Penal Syariah Brunei dan menganggap ia sebagai bercanggah dengan nilai-nilai kemanusiaan masakini!

Saya sebenarnya tidak akan terkejut kalau golongan neo-jahiliyah ini akan mengambil tindakan lebih keras dan tegas terhadap Tuanku dan Kerajaan Brunei.

Kemungkinan sekatan ekonomi dan perdagangan akan dikenakan bukan sesuatu yang mustahil. Ataupun mereka akan bekukan semua aset dan harta termasuk akaun-akaun Tuanku dan Kerajaan Brunei. Malah mungkin juga mereka akan kenakan sekatan imigrasi dan penerbangan terhadap Tuanku Sultan dan pimpinan Kerajaan Brunei termasuk kerabat Di-Raja Brunei. Mungkin juga keanggotaan Brunei Darussalam dalam PBB atau beberapa pertubuhan antarabangsa lain akan digantung, malah mungkin dipecat!

Inilah yang Rasulullah saw maksudkan bilamana akan datang suatu masa nanti apabila seseorang Muslim itu mahu melaksanakan kehidupan mengikut syariat Islam, dia akan berhadapan dengan tentangan dan bantahan serta pembantaian daripada segala sudut; sehingga nanti dia merasakan seperti sedang mengenggam bara api. Malah dia akan menjalani kehidupan terasing - diasingkan dan terpaksa mengasingkan diri daripada kehidupan manusia lain yang sudah jatuh ketahap lebih teruk daripada kehidupan kehaiwanan.

Malah nanti sampai ke satu peringkat, pernah diriwayatkan akan datang suatu zaman nanti umat Islam yang mahu menjalani kehidupan berteraskan Al-Quran dan Sunnah akan melalui kawasan perkuburan dan berkata; alangkah baik kehidupan kamu disana!

Namun apa pun kita tetap yakin dengan janji Allah - bahawa kita yang menjalani kehidupan seperti orang asing ini, dan kita yang terpaksa mengenggam bara api dalam nak meghidupkan perintah Allah, akan tetap menjadi golongan yang dimenangkan Allah - samada didunia ataupun diakhirat insyallah.

Dan saya mendoakan semoga Allah memberikan kekuatan dan petunjuk hidayah kepada Tuanku Sultan Brunei dan Kerajaan Brunei didalam menghadapi segala tribulasi dan mehnah kemanusiaan didalam melaksanakan perintah Allah ini - ameen.

Ya Allah, masukkan kami dalam golongan yang berjiwa tenang. Masukkanlah kami dalam golongan yang Engkau redhai dan kami meredhai Mu; Masukkanlah kami kedalam golongan hamba Mu, dan masukkanlah kami dalam syurga Mu - ameen!

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
09 Rejab 1435
09 Mei 2014

Nota: teman mengambil kesempatan mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham Datuk Aziz Satar @ Pak Aziz pada hari Selasa 06 Rejab 1435/06 Mei 2014 dan juga pemergian Allahyarham Pakcik Jamal Muhammad pada hari Rabu 07 Rejab 1435/07 Mei 2014. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keampunan Nya kepada mereka, dan memasukkan mereka kedalam golongan soleh, ameen!

No comments: