(Almarhum Ustadz Ashaari bersama kami pelajar New Zealand di Wellington tahun 1983)
Salam 2 all.
Saya mengucapkan innalillah hiwa inna ilai hiroji'un dan takziah atas pemergian Almarhum Abuya Ustadz Ashaari Muhammad yang telah kembali kerahmatullah semalam di Ipoh. Jenazah Almarhum dikebumikan di kampung asal Almarhum di Kg. Pilin, Rembau, Negeri Sembila malam semalam.
Sebenarnya saya mengenali Almarhum sejak tahun 1983 lagi semasa menuntut di New Zealand. Almarhum telah datang ke Wellington dalam siri dakwah Al Arqam. Saya pada masa itu tau-tau ajelah, jenis Islam pun janji solat puasa kira okaylah tu.
Tetapi kedatangan Almarhum membuka satu tirai baru kepada saya. Almarhum adalah orang yang membezakan kepada saya Islam ritual dengan Islam haraki. Almarhum orang yang menunjukkan kepada saya perbezaan Islam mekanikal dengan Islam syumul. Almarhum membuktikan kepada saya Islam itu satu cara hidup yang praktikal dan bukan hanya disurau masjid. Ringkasnya, Almarhum membuka mata saya kepada Islam sebenarnya.
Saya sangat tertarik dengan cara Almarhum berdakwah. Nama Almarhum masa itu memang gah dan hebat. Jadi bila Almarhum dikatakan mahu datang New Zealand, kami bercadang menempatkan Almarhum di The Terrace Hotel, sebuah hotel ternama di Wellington masa itu. Kebetulan sebelum itu beberapa ustad gomen datang dan duduk memerap dalam hotel mahal ni.
Tetapi apabila sampai, Almarhum kata dia nak duduk tidur sama dengan kami pelajar di Islamic Centre Wellington, tempat program tamrin yang kami adakan. Memang kami tidur disitu masa itu. Kami semua agak terkedu dengan sikap rendah diri dan tawaddhu' Almarhum. Sepanjang bersama, Almarhum makan minum dengan kami. Itulah pengalaman pertama saya makan dalam talam, berebut kami nak makan dengan Almarhum. Tak cukup dengan itu, Almarhum turut sama membasuh pinggan, menyapu dan membersihkan centre tu. Saya perhati tengok Almarhum kekadang membasuh pakaian dia sendiri. Wajah Almarhum sungguh membawa ketenangan bila melihatnya.
Saya sendiri agak terkedu bila Almarhum nak ziarah rumah kami masa tu di No. 2 MacDonald Crescent, Wellington. Tau-taulah rumah student bujang, semua jantan pulak tu! Kami pergi naik tramp dan kena jalan kaki dekat 15minit juga mendaki bukit. Tapi Almarhum selamba aje mengikut kami berjalan. Sampai ke rumah kami, Almarhum sedikit pun tak menegur dengan papan karom dan lain-lain harta karun yang ada yang menunjukkan kami yang dok rumah tu memang jenis happy go lucky punya geng. Sebaliknya saya ingat kata Almarhum, "jadi orang muda ni memang seronok, tapi sayang umur muda datang sekali aje". Kata-kata itu walaupun sepatah dan sempoi aje, tapi terus menusuk ke jiwa saya.
Timbul persoalan takkan nak sia-siakan usia muda yang datang hanya sekali ini. Saya mula tertanya-tanya apa makna hidup ini, mengapa kita dihidupkan, apa tujuan kita, kemana kita selepas ini. Waduh..berserabut kepala masa tu.
Tapi nak jadi cerita, dalam kepala dok berserabut dengan macam-macam soalan tentang falsafah kehidupan itu, kuliah suboh pada pagi itu menjadi pembuka mata dan jiwa kepada saya. Dalam tazkirahnya, Almarhum membawa tajuk "Dua Peranan Manusia", kupasan tentang mengapa manusia dihidupkan, apa tanggungjawab dan matlamat kita, serta kemana kita nanti akhirnya. Bagaimana kata Almarhum, kita ini adalah makhluk ciptaan ALLAH yang dicipta dengan dua peranan; bahawa kita dicipta untuk memperhambakan diri kepadaNya, selain menjadi khalifah ALLAH dimukabumi ini. Bahawa sebagai hamba mahupun khalifah, ALLAH menurunkan Al Quran sebagai manual kehdiupan manusia.
Saya ingat lagi kiasan Almarhum, alangkan syarikat Toyota pencipta kereta pun memberikan manual untuk tujuan pemakaian dan penjagaan kereta ciptaannya. Kita mungkin rase kereta Mercedes tu hebat, tapi kita tak boleh pakai manualnya kepada kereta Toyota, jahanam nanti. Kita mesti tetap berpegang kepada manual Toyota walau apa pun orang nak kata.
Begitulah seorang manusia, dilahirkan dengan dua peranan dan diberi Al Quran sebagai manual kehidupan. Kita mesti berpegang kepadanya, walau macam mana dugaan dan godaan datang. Walaupun nampak cara hidup barat hebat dan menyeronokkan, tetapi itu bukan manual hidup kita. Kalau kita ikut juga, kita akan jahanam. Berpeganglah kepada manual Al Quran, kita pasti selamat! Begitu tegas tapi lembut ayat-ayat tazkirah daria jiwa Almarhum menusuk jiwa saya. Malah itulah harinya saya mula berminat untuk mendalami Islam, mengkaji agama lain untuk melihat kebenaran Islam dan berjinak-jinak dengan gerakan Islam.
Sebenarnya banyak yang boleh saya coretkan mengenai pengalaman bersama Almarhum. Walaupun saya sendiri tidak pernah menganggotai Al Arqam, namun persahabatan saya dengan Almarhum saya terus pelihara. Semasa tindakan Pusat Islam memfatwakan Al Arqam sesat, sayalah peguam yang memfailkan saman terhadap Pusat Islam untuk mengisytiharkan fatwa itu sebagai tidak sah. Bersama YM Raja Aziz Addruse masa itu, kami cuba mempertahankan institusi Al Arqam. Kalau ya sesat pun bukan Al Arqam, mungkin individu tertentu. Mengapa perlu nak dilumpuhkan Al Arqam sehingga habis segala perniagaan dan rangkaian komersial mereka turut nak dimusnahkan. Berdepan dengan suasana itu, kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk menghancurkan Al Arqam pada tahun 1994.
Saya masih ingat bagaimana Abuya diheret ke muka televisyen dalam siaran secara langsung untuk dipaksa membuat pengakuan beliau sesat. Semasa itu, Tun Mahathir adalah Perdana Menteri, dan Anwar Ibrahim adalah Timbalan Perdana Menteri. Namun langsung tiada sebarang pertolongan atau bantuan diberikan kepada Abuya atau Al Arqam. Saya tahu sebab saya terlibat secara langsung.
Malah saya teringat dalam satu pertemuan saya dengan Almarhum di Nilai Spring pada hari Ahad 14 Rejab 1428 bersamaan 29.07.2007, Almarhum semasa itu dalam keadaan terbaring dan tidak boleh bercakap melainkan melalui perantaraan Ummu Khatijah yang setia bersama Almarhum. Saya masih ingat bila nama Anwar Ibrahim disebut, Almarhum memberi isyarat yang tidak ingin saya dedahkan disini. Ia akan menjadi rahsia antara saya dan Almarhum. Sebagaimana apa yang disebut oleh Almarhum Dato' Ishak Baharom, mantan Mufti Selangor kepada saya apabila isu berkenaan Anwar Ibrahim dibangkitkan semasa kami berbual. Itu rahsia yang tetap akan saya simpan insyallah.
Tetapi sikap kasih sayang Almarhum kepada saya masih ada, dan Almarhum menghadiahkan saya sebuah buku bertajuk "POLITIK ISLAM Membawa Kasih Sayang" tulisan Almarhum sendiri. Almarhum juga menghadiahkan saya beberapa baranganan dan penulisan lain. Tetapi yang saya paling hargai ialah sehelai serban yang pernah Almarhum hadiahkan kepada saya, yang tetap saya simpan dan gunakan sekali sekala sehingga kini
Saya merindui saat bersama dengan Almarhum, walaupun hanya sekali sekala dapat bersama dengan beliau. Kata-katanya, nasihat Almarhum, gurau senda dan gelak tawanya. Setiap kali berada disisi Almarhum, saya berasa sangat tenang dan selamat. Almarhum adalah mursyid saya, guru saya, dan saperti bapa bagi saya.
Moga ALLAH memberikan rahmat dan keampunan kepada Almarhum. Semoga ALLAH meletakkan Almarhum bersama dengan para syuhada, para solihin, dan para siddiqin. Moga ALLAH melapangkan kubur Almarhum, dan menerangkan cahayaNya dialam barzakh sana. Semoga ALLAH menganugerahkan syurga buat Almarhum. Dan semoga ALLAH memberikan kesabaran kepada keluarga, anak isteri, sahabat handai dan para murid Almarhum dalam menghadapi ujian ini. Amin ya rabbal 'alamin.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
30 Jamadil Awal 1431
14 April 2010
################################
(Petikan lapuran Bernama bertarikh hari ini 14.05.2010)
Jumaat 14 Mei, 10 10:00am
Jenazah bekas pemimpin kumpulan Al Arqam yang diharamkan, Ashaari Muhammad selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Pilin dekat Rembau pada kira-kira pukul 10 malam semalam.
Jenazah Ashaari, yang dibawa dengan kereta persendirian dari Ipoh tiba bersama rombongan di kampung asal Allahyarham, Kampung Pilin pada kira-kira jam 8.30 malam.
Jenazah kemudian ditempatkan di surau kampung itu bagi membolehkan sanak saudara dan orang ramai memberi penghormatan terakhir.
Jenazah Allahyarham kemudian disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan yang terletak bersebelahan dengan surau kampung itu.
Kira-kira 1,000 orang hadir pada majlis pengkebumian.
Ashaari, 73, lebih dikenali dengan panggilan Abuya oleh para pengikutnya meninggal dunia di Hospital Pakar Ipoh, Perak pada pukul 2.10 petang semalam, tiga hari selepas dimasukkan di hospital itu kerana jangkitan paru-paru.
Kumpulan Al Arqam diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.
Apabila ajaran Al-Arqam diharamkan, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 Sept 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.
Al-Arqam diasaskan oleh Ashaari juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan aktivitinya berada di kemuncak sekitar lewat 80-an dan 90-an dan dilaporkan mempunyai kira-kira 10,000 pengikut.
Ashaari menimbulkan kontroversi kerana pernah mendakwa beliau berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW secara sedar dan meramalkan dirinya akan menjadi perdana menteri Malaysia selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kumpulan itu dilaporkan menyebarkan kegiatan dakwah Islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan,perniagaan, perubatan, dan pertanian.
- Bernama
8 comments:
salam yb dan semua,
Innalillah hiwa inna ilai hiroji'un dan takziah atas pemergian Almarhum Abuya Ustadz Ashaari Muhammad yang telah kembali kerahmatullah.
Moga dia ditempatkan di dalam golongan orang2 yg beriman dan beramal soleh.
amin.
MasyaAllah, Syukran YB Zul for sharing such an amazing story. Pengalaman bersama Abuya moga dijadikan ingatan dan panduan.
BOLEH PERJELAS SIKIT YB ZUL TENTANG NI....Nampaknya YB lebih hebat dari Majlis Fatwa Kebangsaan...
Pada 6 Oktober 1986 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam kali ke-17 telah memutuskan bahawa buku ‘Aurad Muhammadiah
Pegangan Darul Arqam, Sekaligus Menjawab Tuduhan’ oleh Asaari Muhammad
hendaklah ditahan penyebarannya, kerana ia mengandungi ajaran dan fahaman yang
bertentangan dengan syariat Islam dan mengelirukan masyarakat Islam. Dalam buku
tersebut antara lain Asaari mengatakan Syeikh Muhammad al-Suhaimi tidak mati dan
bakal diutuskan Allah SWT sebagai Imam al-Mahdi.
Setuju kebanyakan org melayu skrg menganut agama keturunan yg sgt ritual, kdg2 berpandukan "apa byk org kata" saja. agama rumours.
AlQuran sepatutnya menjadi teras pendidikan, menjadi teras cara fikir, teras mindset.
Org Islam takkan bersatu selagi AlQuran tidak dibaca utk difahami. Maka jadilah Islam berbagai2 seperti sekarang.
Seolah2 tak berada dalam frekuensi yg sama, tapi mengaku Islam.
1) Anta melihat Arqam dari luar, mmg cantik. Kami dari dalam amat tahu mmg tindakan Pusat Islam tepat.
2) Quran adalah manual pada umat. Anta dok pulun dgn UMNO ni, depa menjunjung tinggi ke `manual' yg Allah turunkan?
3) Permasalahan anta dgn YB2 PAS, adalah dari aspek yg bukan pokok Islam. Perbezaan pendapat tidak ada masalah dlm Islam. Yg tidak boleh, yang berkait dgn soal aqidah. 50 tahun lebih UMNO mengenepikan `manual' Allah ini, anta redha?
Na'uzubillah.
Besar jasa abuya dalam perkembangan dakwah islamiyah tahun 70an dan 80an. Apabila usaha2 murni dakwah disekat maka terjadilah kebejatan seperti sekarang. Al-Fatihah buat almarhum.
Masing2 mendakwa mereka orang yg melihat dari dalam, pada hal mereka telah keluar Arqam. Bila keluar biasalah mesti kutuk punye. tak kira samada PAS, UMNO atau PKR.
Janganlah mendabik dada mengatakan kita lebih tahu dari orang lain dan mendakwa kita lebih pandai dari orang lain.
Bagi jerlah hujah kalian, biar kami fikirkan, sebab2 masing menilai mengikut pengalam peribadi masing2.
Biarlah ALLAH yang menentukan untuk kita Syurga atau Neraka.!!!
Syukurlah Almarhum telah membuka satu tirai baru kepada YB Zul. Oleh itu, saya berharap benar YB Zul dapat memberi sedikit pendapat tentang judi bola yang diura-urakan oleh kerajaan baru-baru ini. Terima kasih.
Post a Comment