04 July 2010

04th of JULY - SALAHUDDIN AL AYYUBI

Salam 2 all.

Pada tiap 04 Julai, Amerika akan merayakan hari kemerdekaan mereka. Ini berdasarkan sejarah kononnya perisytiharan kemerdekaan Amerika (Declaration of Independence) yang dibuat oleh Kongres Amerika pada 04 Julai 1776. Setiap tahun pada 04 Julai, rakyat Amerika meraikan kemerdekaan ini dengan pesta, bunga api, tarian dan persembahan. Dan ini adalah hari cuti umum bagi Amerika.

Namun bagi kita umat Islam, 04 Julai juga adalah tarikh keramat dalam sejarah moden Islam. Setelah seribu tahun lebih Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa berada dibawah pemerintahan Islam (sejak zaman Saidina 'Umar r.a), ia jatuh ke tangan kuffar pada tahun 1099. Setelah 88 tahun dibawah pemerintahan tentera salib, akhirnya muncul wira Islam moden Sultan Salahuddin Al Ayubi.

Sultan Salahuddin Al Ayubi adalah seorang Kurdis yang dilahirkan di Tikrit daripada keluarga Najm Adden Ayyub (Tikrit adalah sebuah wilayah didalam Iraq sekarang, kebetulan tempat kelahiran Allahyarham Saddam Hussein). Nama sebenar Salahuddin ialah Yussuf bin Ayyub (1137-1193).

Sebenarnya, sejarah kegemilangan pembukaan semula Kota Baitul Maqdis dan pembebasan Masjidil Aqsa daripada kuffar salibiah oleh Sultan Salahuddin bermula pada 04 Julai 1187. Pada tarikh tersebut, Sultan Salahuddin bersama tenteranya (kebanyakannya umat islam Kurdish yang bergerak daripada Dimasyq/ Damsyik) telah bertempur dalam satu peperangan besar di Hattin, menentang tentera salib dibawah pemerintahan Guy de Lusignan dan Raymond of Tripoli. Sebelum pertempuran Hattin, Sultan Salahuddin telah berjaya merobohkan benteng pertahan tentera salib di Kota Kerak (Jordan) dibawah pemerintahan Raynold de Chatillon dan tentera The Templars.

Dalam pertempuran Hattin, Raynold dan Guy telah ditangkap oleh tentera Islam. Sultan Salahuddin sendiri telah memancung Raynald tetapi tidak menghukum Guy de Lasagna. Kejayaan menumpaskan tentera salib di Hattin pada 04 Julai 1187 telah mengubah haluan sejarah dan membuka peluang kepada Sultan Salahuddin untuk membebaskan Baitul Maqdis yang berjaya dibuka semula tiga bulan selepas itu iaitu pada 02 Oktober 1187. Bagi yang berminat dengan kisah ini, bolehlah menonton filem "The Kingdom of Heaven" lakunan Orlando Bloom dan Ghassan Massoud.

Oleh itu, apabila tiba tarikh 04 Julai, janganlah kita terikut-ikut nak mengingat hari kemerdekaan Amerika, Tetapi ingatlah kepada kejayaan Sultan Salahuddin Al Ayyubi memenangi pertempuran Hattin dan sekaligus berjaya membuka semula Kota Baitul Maqdis dan membebaskan Masjidil Aqsa.

Dan saya terkenang kata-kata Sultan Salahuddin semasa ditanya oleh seorang pegawainya, "ALLAH sentiasa bersama saya kerana saya sentiasa bersama ALLAH". Sultan Salahuddin seorang yang sangat bertaqwa, sangat takutkan ALLAH, dan sentiasa mendirikan solat malam. Tidak pernah merasa dirinya hebat, sentiasa bertawaddhuk serta zuhud, dan walaupun beliau sendiri bukan seorang agamawan ataupun ulama', tetapi sentiasa mengambil nasihat ulama' dan memastikan ulama' selalu disekelilingnya.

Dalam mencapai cita-cita memartabatkan Islam, Sultan Salahuddin langsung tidak berkompromi dengan mereka yang memperkudakan Islam. Malahan sebelum memulakan ekspedisi membuka Kota Baitulmaqdis, Sultan Salahuddin terlebih dahulu menghapuskan semua pemimpin dan pemerintah beragama Islam tetapi tidak hidup mengikut Islam. Dan Sultan Salahuddin cukup yakin dengan bantuan ALLAH, sebab itu beliau langsung tidak bersekongkol dengan mana-mana musuh Islam, apatah lagi dari golongan kuffar. Beliau yakin Islam boleh mencapai kejayaan dengan sendiri, sebagaimana Rasulullah boleh mencapai kejayaan dalam perang Badar tanpa bantuan kuffar walau senafas. Walaupun tidak pernah bersekongkol dengan kuffar, namun nama Sultan Salahuddin sangat dihormati dan digeruni di Barat, yang mengenali beliau dengan nama Saladin.

Sultan Salahuddin Al-Ayubbi wafat pada 04 Mac 1193 di Kota Damsyik. Apabila peti simpanan Salahuddin dibuka untuk membiayai upacara pengebumiannya, mereka mendapati ia tidak cukup (diriwayatkan Sultan Salahuddin hanya meninggalkan sekeping wang emas dan empat wang perak semasa kematiannya. Ada juga riwayat yang menyebut wang itu henyalah wang 5 Dinar) . Sultan Salahuddin telah memberikan hampir kesemua hartanya kepada rakyat-rakyatnya yang miskin. Makamnya yang terletak di Masjid Ummaiyah, Damsyik merupakan tumpuan tarikan pelancong yang terkenal dan sering dikunjungi umat Islam di seluruh dunia.

Alangkah baiknya jika dapat umat Islam mengambil iktibar daripada perjuangan Sultan Salahuddin Al Ayyubi ini

Yang baik dari ALLAH, yang tidak dari kelemahan saya sendiri.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
21 Rejab 1431
04 Julai 2010

*Gambar atas adalah wajah Sultan Salahuddin Al Ayyubi At Tikriti, sementara gambar kanan adalah Tugu Peringatan Sultan Salahuddin di tengah Kota Damsyik. Gambar bawah adalah Maqam Sultan Salahuddin yang terletak bersebelahan Masjid Ummaiyyah, Damsyik (yang didalamnya terletak kubor Nabi Yahya dan Maqam Saidina Hussein).

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Sejarah ringkas Sultan Salahuddin Al Ayyubi

Salahuddin dilahirkan di dalam sebuah keluarga Kurdish di Tikrit dan dihantar ke Damsyik untuk menghabiskan pelajarannya. Ayahnya, Najm ad-Din Ayyub, ialah gabenor wilayah Baalbek. Selama 10 tahun Salahuddin tinggal di Damsyik di kawasan istana milik Nur ad-Din.

Salahuddin menerima latihan ketenteraan daripada bapa saudaranya, Shirkuh yang juga ketika itu merupakan panglima kepada Nur al-Din dan sering mewakili Nur al-Din dalam kempennya menentang Kerajaan Fatimiyyah di Mesir sekitar tahun 1160. Salahuddin kemudiannya mewarisi tugas menentang Kerajaan Fatimiyyah (akhirnya tumpas) daripada bapa saudaranya dan dilantik menjadi panglima pada tahun 1169. Di sana, dia mengambil alih tugas sukar mempertahankan Mesir daripada diserang tentera Salib dibawah Kerajaan Latin Baitulmuqaddis pimpinan Almaric I. Kemampuan Salahuddin diragui pada peringkat awal perlantikkannya sebagai panglima. Tiada sesiapa yang menyangka beliau dapat bertahan lama ekoran terdapat banyak perubahan dalam kerajaan dalam tahun sebelumnya seperti perebutan kuasa oleh gabenor-gabenor yang sedia ada dalam mendapat perhatian khalifah. Sebagai seorang ketua tentera asing dari Syria, Salahuddin tiada kuasa ke atas askar-askar Mesir yang terdiri daripada golongan Syiah yang ketika itu dipimpin oleh Khalifah Al-Adid.

Apabila khalifah itu meninggal dunia pada bulan September 1171, Salahuddin mengarahkan para imam mengumumkan nama Khalifah Al-Mustadi (Khalifah Abbasiyyah di Baghdad) semasa solat Jumaat. Sekarang, walaupun Salahuddin yang memerintah Mesir tetapi hanya sebagai wakil Nur ad-Din. Selepas dilantik menjadi pemimpin Mesir, Salahuddin melakukan perubahan terhadap ekonomi Mesir, menyusun semula angkatan tentera, dan menuruti nasihat ayahnya supaya mengelak daripada sebarang konflik dengan Nur ad-Din. Beliau menunggu sehingga Nur ad-Din meninggal dunia sebelum memulakan beberapa siri kempen ketenteraan. Pada awalnya terhadap beberapa kerajaan-kerajaan Muslim yang kecil kemudian ke atas tentera Salib. Dengan kewafatan Nur ad-Din pada tahun 1174, beliau menjadi Sultan Mesir. Beliau kemudian mengisytiharkan kemerdekaan daripada kerajaan Seljuk dan mengasaskan Kerajaan Ayubbiyyah. Beliau turut mengembalikan ajaran Sunah Waljamaah di Mesir.

Pada 4 Julai 1187, Sultan Salahuddin Al Ayubi At-Tikriti bertempur dalam Pertempuran Hattin menentang gabungan kuasa Guy dari Lusignan (sebutan gi bukan guy), raja negeri-negeri Salib, dan Raymond III dari Tripoli. Tentera Salib yang letih dan dahagakan air mudah ditumpaskan oleh tentera Salahuddin. Kekalahan tentera Salib ini membei tamparan yang besar buat mereka dan menjadi satu titik perubahan dalam sejarah Perang Salib. Salahuddin berjaya menangkap Raynald dan beliau sendiri memancung kepala Raynald akibat kesalahannya. Raja Guy juga berjaya ditangkap tetapi beliau tidak dipancung.
Empayar Salahuddin Al-Ayubbi dan wilayah kuasaannya ditunjukkan dalam warna merah; wilayah yang berjaya ditawan daripada tentera Salib dalam warna merah jambu. Warna hijau muda menandakan wilayah yang masih dikuasai tentera Salib.

Selepas tamatnya Perang Hattin, Salahuddin berjaya merampas kembali hampir keseluruhan kota-kota yang dikuasai tentera Salib. Beliau berjaya menawan semula Baitulmuqaddis (Jerusalem) pada 2 Oktober tahun 1187 selepas hampir 88 tahun kota itu dikuasai tentera Salib (lihat Kepungan Baitulmuqaddis). Kecuali bandar Tyre tidak ditawan Salahuddin. Salahuddin membenarkan tentera dan masyarakat Kristian pergi ke sana. Kota itu sekarang diperintah oleh Conrad dari Montferrat. Dia mengukuhkan pertahanan Tyre dan berjaya menahan dua kepungan yang dilakukan oleh Salahuddin. Pada tahun 1188, Salahuddin membebaskan Guy dari Lusignan dan menghantar beliau kembali kepada isterinya iaitu Sibylla dari Baitulmuqaddis.

Perang Hattin dan kejayaan tentera Islam menawan semula Baitulmuqaddis mengakibatkan terjadinya Perang Salib Ketiga yang dibiayai di England melalui cukai khas yang dikenali sebagai "Cukai Salahuddin". Tentera Salib ini berjaya menawan semula Acre, dan tentera Salahuddin bertempur dengan tentera Raja Richard I dari England (Richard Si Hati Singa) dalam Perang Arsuf pada 7 September 1191. Kedua-dua belah pemimpin baik Salahuddin mahupun Richard amat menghormati antara satu sama lain. Mereka juga pernah bercadang untuk berdamai dengan mengahwinkan adik perempuan Richard, Joan dari England kepada adik lelaki Salahuddin, Al-Adil, dengan kota Baitulmuqaddis menjadi hantarannya. Rundingan ini gagal ekoran kebimbangan berhubung hal-hal agama di kedua-dua belah pihak.

Kedua-dua pemimpin mencapai persetujuan dalam Perjanjian Ramla pada tahun 1192 yang mana kota Baitulmuqaddis akan terus berada dalam tangan orang Islam tetapi dibuka kepada penganut-penganut Kristian. Perjanjian itu menjadikan negeri-negeri salib hanyalah gugusan kecil di sepanjang pesisir pantai Tyre hingga ke Jaffa.

7 comments:

mail lambong said...

sejarah yg menarik

aka777 said...

Salam,

Satu artikel yang menarik. Saya amat menyanjungi jeneral Islam ini dan sentiasa mencari bahan bacaan dari sumber yang sah kerana jika mengharapkan sumber dari Barat, mereka tetap mencela Salah ad-Din atau Saladin walaupun mereka tahu kebaikannya.

Saya juga amat mengharapkan seorang pahlawan Islam dari Malaysia, tak kira apa bangsanya yang dapat menyatupadukan umat Islam di Malaysia ini khususnya kaum Melayu.

Al-Fatihah kepada Salah ad-Din Yusuf al-Ayyubi. Saya yakin akan jasanya kepada Islam, Allah S.W.T mencucuri rahmat kepada beliau.

Ya Allah, kami tahu kami tidak layak akan SyurgaMu, tapi kami amat takut pada NerakaMu.

IKLAN PERCUMA said...

terima kasih ,info yg sgt berguna

JeLoT said...

really good info..
thnx yb

Mlatkovic said...

harap Encik Zul nie boleh jadi mcm dia...AMIN...!!!

Tapi kena la pi tambah ILMU lagi...
Pi daftar belajaq Pondok Pak Ya..
Belajaq agama byk2 sket....
Belajaq apa tu Qias, Ijmak & Khilaf..
Ana takat paham sendiri2 aje, nk ajaq encik Zul tk dapek la..
Jgn asyik dok pelaga orang je..
Walk the Talk...

pro-umno said...

Saya memang suka "Kingdom of Heaven" directed by Ridley Scott. DVD pun aku ada, blue ray aje takda. Ridley Scott dikritik oleh some Christian leader during the release of the film, tapi dia tak layan. That is Sir Ridley Scott.

Gladiator & Alien pun aku suka jugak. Best!

Unknown said...

Salam YB,

Terima kasih di atas ingatan YB tentang sejarah kegemilangan Umat Islam. Sedih, we are gloating about the victories of our past rather than the current.

Apa yang lebih menyedihkan lagi muda-mudi Islam kita jahil sejarah Islam. Mereka lupas Perang salib. Contohnya baru-baru ini kita lihat muda-mudi Islam yang sanggup memakai baju jersi England sebab demam bolasepak WC '10. Mereka pergi ke masjid memakai jersi England. Mereka lupa, lambang dan corak di lengan adalah tanda salib pada jersi tersebut iaitu "St. George's Cross" yang digunakan pada perisai the Knights Templar yang dipimpin oleh Richard "The Lionheart". Salib tersebut telah diberikan oleh Pope pada ketika itu kepada Knights Templar sebagai simbol mereka yang bersal dari England untuk melawan tentera Islam dan Pope adalah orang yang bertanggungjawab membiayai tentera salib melawan pejuang Islam.

Inilah kejahilan muda-mudi Islam sekarang sampai sanggup memakai salib semasa menyembah Rabbul Jallal.

Kita apabila menyambut tetamu atau mengadap Raja, kita sanggup memakai pakaian yang hebat2 tetapi apabila mengadap Allah, Tuhan Pencipta kita, jersi bola yang ada salib di gunakan. Amat sedih sekali.

Saya harap YB dapat berbuat sesuatu dengan menyedarkan muda-mudi kita di ceramah2 YB.

Wassallam