17 April 2014

BELASUNGKAWA MR KARPAL SINGH

Karpal Singh (1940-2014) - Your roar for the poor, your voice for the injustice, and your crusade for the weak will be tinted in the history of Malaysia. Goodbye my friend Mr. Karpal Singh!
Salam 2 all.

Saya terkejut pagi tadi bila menerima berita Karpal Singh terbunuh dalam satu kemalangan jalanraya di laluan ke utara di KM 301.6 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurong pada lebih kurang jam 1 pagi. Karpal dikatakan dalam perjalanan ke Pulau Pinang daripada Kuala Lumpur untuk mengendalikan satu perbicaraan Mahkamah pagi ini.

Turut terkorban ialah pembantu setia beliau. Manakala anak lelaki Karpal, Ramkarpal Singh dan pemandu MPV Alphard tidak cedera. Bagaimanapun seorang pembantu rumah daripada Indonesia yang turut bersama Karpal didalam kenderaan tersebut mengalami cedera parah dan sedang menerima rawatan.

Pada saya pemergian mengejut Karpal adalah satu kehilangan besar kepada profesyen guaman. Kematian beliau merupakan satu kerugian besar kepada suara rakyat marhaen dan golongan yang tertindas. Ngauman Karpal samada di Parlimen mahupun Mahkamah mewakili suara rakyat tertindas menyebabkan beliau diberi jolokan 'Harimau Jelutong'.

Saya secara peribadi mengenali Karpal Singh dengan dekat semasa kami bersama-sama mengendalikan kes kontroversi Puan Pendek Ahmad yang cucunya dikaitkan dengan skandal melibatkan seorang pemimpin UMNO. Sebagai peguam yang sangat junior masa itu, saya banyak mempelajari selok-belok pengendalian kes daripada Karpal Singh.

Satu sikap beliau yang saya sangat kagum pada masa itu ialah keberanian Karpal sebagai seorang peguam. Walaupun berdepan dengan pihak berkuasa, namun beliau sedikit pun tidak patah semangat atau menunjukkan rasa takut selagi beliau percaya apa yang beliau lakukan adalah mengikut Perlembagaan dan undang-undang.

Pada masa itu saya kerap ke pejabat Karpal di Jalan Pudu, sebuah bangunan yang beliau miliki. Saya agak kagum dengan koleksi buku undang-undang di perpustakaan beliau. Saya pernah terlihat sebuah katil bujang di pejabat beliau, dan bila ditanya, rupanya Karpal kadang-kadang sampai tidur di pejabat untuk mentelaah kes yang sedang dikendalikan.

Karpal begitu komited dan fokus apabila mengendalikan sesuatu kes. Dan satu pengalaman peribadi yang saya lalui sendiri dengan Karpal ialah beliau langsung tidak kedekut ilmu guaman. Walaupun beliau seorang peguam veteran dan senior yang dihormati ramai rakan guaman, namun beliau tidak punya batasan dengan peguam junior.

Pernah satu ketika saya mengendalikan satu kes pembelaan pertuduhan mengedar dadah. Saya telah meminta buah fikiran Karpal mengenai strategi dan taktik untuk mengendalikan kes itu yang saya rasa agak sukar daripada kes-kes lain yang pernah saya kendalikan. Bukan sahaja Karpal memberikan buah fikiran dan idea, dia siap bekalkan saya dengan kes-kes rujukan yang telah siap beliau fotostatkan.

Sebagai peguam, saya pernah mengendalikan beberapa kes, samada bersesama Karpal, ataupun menentang beliau. Masih teringat lagi dalam satu kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan isu bidangkuasa Mahkamah Syariah dimana saya berjaya membatalkan saman yang beliau bawa bagi kliennya.

Satu perkara yang saya tahu berkenaan Karpal ialah beliau banyak mengendalikan kes secara pro-bono; iaitu tanpa mengenakan bayaran. Ianya lebih kepada khidmat kepada masyarakat bawahan dan tertindas. Kadang-kadang tengok pejabat guaman Karpal dah macam pejabat JKM. Ada satu frame gambar besar hadiah daripada sebuah kesatuan pekerja yang melahirkan penghargaan kepada Karpal atas perjuangan mendiang membantu mereka.

Semasa menjadi Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu dalam sidang Parlimen ke 12, Karpal duduk dibarisan paling hujung berdekatan pintu keluar-masuk. Jadi tiap kali hendak masuk atau keluar, saya pasti akan berhenti menyapa dan bertanya khabar kepada Karpal. Kami mungkin ada perbezaan pendapat dan pegangan, tetapi rasa hormat dan kagum kepada beliau tetap ada.

Umum tahu saya menentang keras Karpal dalam isu berkaitan Islam; terutama dalam isu berkenaan hal-ehwal Islam dan perlaksanaan undang-undang hudud, qisas dan ta'zir. Karpal sendiri tahu saya istqomah menentang beliau dalam soal ini. Bukan sahaja di Mahkamah, malah didalam perbahasan Dewan Rakyat saya tidak pernah lekang menentang beliau dalam isu berkaitan Islam dan syariah.

Malah pernah semasa membahaskan isu penyalahgunaan kalimah Allah oleh segelintir pendakyah kristian yang turut disokong Karpal, saya pernah berkata secara terbuka kepada Karpal kalau mahu sangat guna kalimah Allah, masuk saja Islam! Seorang rakan pernah berkata tidak pernah ada orang berani membuat kenyataan sebegitu kepada Karpal Singh!

Selain itu, saya juga banyak menegur Karpal dalam pengendalian kes liwat Anwar Ibrahim. Ini adalah kerana sebenarnya Karpal adalah antara orang yang mula-mula mendedahkan isu kegiatan liwat Anwar ini didalam Dewan Rakyat pada 22.10.1997. Desakan beliau supaya Anwar disiasat akhirnya membawa kepada terbongkarnya skandal ini dan menyebabkan kejatuhan Anwar Ibrahim apabila dipecat oleh Tun Mahathir sebagai TPM pada 02.09.1998.

Samada kita bersetuju dengan mendiang atau tidak, satu perkara yang jelas ialah Karpal sangat konsisten didalam mempertahankan sesuatu isu. Contohnya didalam isu Negara Islam dan perlaksanaan hudud, Karpal tegas dalam penentangannya. Malah petikan berita terakhir beberapa hari lepas ialah kenyataan Karpal menentang cadangan pembentangan usul oleh Kerajaan PAS Kelantan di Parlimen untuk melaksanakan hudud

Saya masih ingat petikan kata-kata Karpal Singh mengenai penubuhan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam, 'over my dead body - langkah mayat aku dulu'. Dan beliau cukup konsisten dengan pendirian itu.

Dan itulah antara kualiti yang saya amalkan; konsisten. Atau didalam bahasa syara' - istiqomah. Saya sedar dan insaf bahawa Karpal Singh seorang yang sangat konsisten dalam penentangan terhadap penubuhan sebuah Daulah Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam. Dan saya konsisten menentang bukan sahaja Karpal, malah sesiapa juga yang menentang penubuhan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam dan perlaksanaan undang-undang dan syariat serta cara kehidupan Islam. Dan saya tidak akan bersikap apologetik dalam mempertahankan pendirian itu.

Seperti yang saya sebut, kematian Karpal berlaku disaat negara sedang mencatat sejarah bilamana UMNO dan PAS bersedia menjalin kerjasama dan persefahaman untuk membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan di Kelantan. Persefahaman dan kerjasama seperti ini tidak pernah berlaku didalam negara ini.

Bagaimana pun, saya tidak bercadang membuat sebarang spekulasi samada kematian Karpal Singh akan memberi sebarang kesan terhadap usahasama UMNO-PAS untuk perlaksanaan hudud di Kelantan. Namun kita tetap berdoa semoga Allah mempermudahkan sebarang usaha kearah melaksanakan syariat Islam demi mencari keredhaan Nya.

Dengan kematian Karpal Singh hari ini, negara kehilangan seorang politikus dan peguam yang terkenal - seorang tokoh yang dihormati kawan digeruni lawan. Saya percaya nama Karpal akan kekal terpahat dalam sejarah negara sebagai seorang yang cukup melakari warna-warni dunia politik dan perundangan negara.

Sejarah akan mengingati mendiang Karpal sebagai satu-satunya pemimpim pembangkang yang dengan berani menyelar Anwar Ibrahim secara terbuka. Saya masih ingat lagi semasa pembohongan konspirasi 16 Sep 2008 terbongkar, Karpal menyelar Anwar dan mendesak beliau supaya bertaubat dan berundur.

Malahan beberapa hari lepas, Karpal telah menggantung semua jawatannya didalam DAP termasuk sebagai Pengerusi setelah beliau disabitkan dengan kesalahan menghasut terhadap Tuanku Sultan Perak dan dihukum denda RM4,000-00.

Ini kerana beliau tahu Seksyen 9 Akta Pertubuhan menghalang beliau daripada memegang atau menandingi apa-apa jawatan utama parti politik. Cuma sayang beliau tidak berkesempatan menasihatkan kliennya Anwar supaya menarik diri daripada bertanding sebagai calon Presiden PKR menentang isterinya sendiri.

To Madam Gurmit Kaur and my dear friend Gobind Singh Deo and family, do accept my deepest condolence. We may have our differences, but my respect and admiration to your late father remains.

To Karpal Singh, your untiring roar for the poor, and your firm voice against injustice, your crusade for the weak, either in  Parliament or in Court will be missed  by many.

Goodbye my brethren-in-law Mr. Karpal Singh.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
17 Jamadil Akhir 1435
17 April 2014

Nota: sebagai respon kepada rakan-rakan yang bertanya setelah membaca artikel ini, saya ingin tegaskan bahawa menceritakan kebaikan Karpal disini bukan bermakna saya redha dan setuju dengan tindak-tanduk mendiang yang sering mempertikaikan perkara berkaitan Islam, syariah dan undang-undang Islam. Saya tetap dengan pendirian menentang sebarang serangan terhadap Islam dan syariat Islam oleh sesiapa sahaja samada bukan Islam mahupun Muslim. Barangsiapa yang memusuhi Allah, Rasulullah dan Islam tetap menjadi musuh umat Islam. Bagaimanapun, Islam mengajar kita supaya berkata yang baik-baik dalam menghormati kematian seseorang, walaupun dia seorang kafir. Dan itulah yang saya cuba lakukan insyallah. Adios.

(Nota tambahan ini dicatat pada hari Jumaat 18 Jamadil Akhir 1435/ 18 Apr 2014)

No comments: