KERAJAAN TIDAK MENOLAK PERLAKSANAAN HUDUD
ALOR SETAR 24 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini menegaskan kerajaan tidak pernah menolak hudud sebagai hukum
yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Namun, kata beliau, banyak kekangan dan keutamaan yang perlu
diselesaikan dan diperhalusi sebelum hukum hudud itu dapat
dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum yang sebenar.
Terdapat perbezaan yang cukup ketara antara menolak hukum hudud
dengan tidak melaksanakannya kerana kekangan dan kesulitan yang
pelbagai.
Sebab itulah kita memerlukan ulama di kalangan mujtahid untuk
memperhalusi dan melakukan ijtihad baru dalam menentukan perlaksanaan
hukum hudud supaya keadilan yang menjadi matlamat mampu ditegakkan,"
katanya ketika berucap di majlis penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2014
di Dewan Seri Mentaloon di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan menyokong niat baik pihak mana
sekalipun untuk melaksanakan hukum hudud tetapi ia perlu mengambil kira
hal-hal lain yang menuju ke arah Islam yang sejati.
Sebelum melaksanakan hudud, pastikan masyarakat Islam bersedia untuk
melaksanakannya baik dari segi pemahaman, penghayatan, mental mahupun
pemikiran.
Begitu juga dengan masyarakat bukan Islam, perlu diberi kefahaman
yang betul dan menyeluruh tentang hukum-hakam Islam supaya tidak wujud
pandangan yang salah terhadap ajaran Islam yang suci ini," katanya.
Tambah beliau, pada masa yang sama, kerajaan istiqamah memartabatkan
syiar serta syariat Islam dan mengamalkan pendekatan wasatiyah yang
bercirikan keadilan, kecemerlangan dan keseimbangan.
Kerajaan juga komited melaksanakan Maqasid Syariah di dalam sistem
pentadbiran negara dengan memberi keutamaan kepada prinsip menjaga dan memelihara agama, nyawa, akal,
keturunan dan harta.
Sebagai ajaran agama samawi, syariat dan akidah bergandingan menjadi
teras dalam Islam.
Dalam syariat, inilah intipati teras daripada Allah
SWT untuk membimbing manusia dalam mengharungi kehidupan bersosial,
berpolitik dan menjalankan misi khalifah di atas muka bumi. Ini
termasuklah hukum hudud yang kembali hangat diperbincangkan, katanya.
PERBANDINGAN KENYATAAN
1. Presiden PKR - Wan Azizah Wan Ismail pada hari Rabu 23 April 2014 dalam satu sidang media masih berdolak dalik mengenai pendirian PKR berhubung perlaksanaan hukum hudud yang kini ditimbulkan semula oleh sekutu rapat mereka PAS. Beliau menyatakan isu hudud sengaja dibangkitkan untuk memecah-belahkan parti pembangkang.
"Isu ini sering dimainkan oleh pihak musuh kerana mereka ingin lihat parti dalam Pakatan Pembangkang berpecah-belah" kata Wan Azizah dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Tropicana, Bandar Utama.
Sebelum ini SUA PKR Saifudin Nasution Ismail menyatakan bahawa PKR akan terus menghormati Perjanjian Persefahaman Pembangkang yang tidak meletakkan perlaksanaan hudud sebagai agenda pembangkang!
Anwar Ibrahim pula mengambil jalan selamat dengan membuat kenyataan bahawa "PAS harus memberi penerangan tentang model dan perlaksanaan hudud yang bakal diguna-pakai oleh Kerajaan Kelantan supaya rakan komponen memahaminya sebelum boleh pakatan pembangkang mengambil keputusan untuk mempersetujuinya".
Komen: siapa musuh yang dimaksudkan? Yang mengemukakan cadangan perlaksanaan hudud ialah Kerajaan PAS Kelantan. UMNO langsung tidak ada kena mengena dengan cadangan Kerajaan PAS Kelantan mahu membawa Rang Undang-Undang Persendirian Hudud di dalam sidang Dewan Rakyat akan datang. Jadi siapakah yang Wan Azizah maksudkan sebagai musuh yang mahu memecahbelahkan pembangkang?
Bayangkan kalau pemimpin UMNO yang berkata seperti Saifudin. Sudah pasti pemimpin UMNO akan dituduh meletakkan Perjanjian Persefahaman mengatasi Al-Quran. Tetapi pelik dalam hal ini pemimpin PAS senyap tidak membidas Wan Azizah mahupun Saifudin.
2. Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan menegaskan bahawa 'DAP tidak bersetuju dengan rancangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan kerana ia tidak pernah dipersetujui ketiga-tiga Pakatan Pembangkang'. Menurut Guaneng, ketiga-tiga parti tidak pernah membincangkan soal hudud mahupun Negara Islam.
"Pendirian pakatan pembangkang tidak berubah kerana pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan hudud tidak berubah. Dibawah pakatan pembangkang, mesti ada konsensus ketiga-tiga parti dalam hal dasar", tegas Guaneng.
Malahan Timbalan Setiausaha Publisiti DAP Nga Kor Meng menyatakan PAS wajar memberi fokus kepada penubuhan Negara Berkebajikan. Ini katanya terkandung sebagai polisi dalam Buku Jingga, malah sudah diluluskan dalam Muktamar Agong PAS yang lalu.
"DAP memang tidak setuju dengan hasrat PAS menubuhkan Negara Islam serta perlaksanaan hudud. Kita juga tidak mahu penubuhan Negara Kristian, Budha atau Hindu", tegas Nga Kor Meng.
"Apa yang penting adalah semua pihak perlu hidup aman damai dengan saling hormat menghormati selaras dengan Perlembagaan Persekutuan".
Komen: tak payah komen lah. Mike boleh bayang apa yang akan berlaku jika yang bercakap tu ialah pemimpin UMNO atau BN!!!
RUMUSAN
Daripada petikan ucapan-ucapan dan pernyataan pendirian masing-masing dalam isu cadangan perlaksanaan hudud oleh Kerajaan PAS Kelantan, adalah jelas siapa yang patut PAS jadikan sahabat dan siapa sebenarnya musuh PAS.
Wa'tasimu bihablillah hi jami'aa, walaa tafarroquu - berpeganglah kamu dengan tali Allah (Al-Quran) dan janganlah kamu bercerai berai.
Tetapi...wallahua'lam dan wassalam!!!!
Tepuk dada tanyalah iman masing-masing yop!!!
Adios amigos, grasias!
Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
25 Jamadil Akhir 1435
25 April 2014
No comments:
Post a Comment