Adakah pendirian kepimpinan pembangkang membenarkan kristian mengguna-pakai kalimah yang bercanggah dengan ketetapan Majlis Syura' PAS membolehkan tindakan hudud riddah dikenakan? |
Saya
melihat mutakhir ini isu perlaksanaan hudud sekali lagi menjadi bahan bahas di medan awam. Ianya bermula
apabila Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di JPM membuat kenyataan didalam
Dewan Rakyat semasa penggulungan Titah DiRaja baru-baru ini bahawa Kerajaan
(bermaksud UMNO) tidak ada halangan untuk Kerajaan PAS Kelantan melaksanakan
hudud, dan bersedia membantu.
Kenyataan
ini disambut baik oleh YAB Menteri Besar Kelantan YAB Datuk Ahmad Yaacob dengan
cadangan untuk membentangkan usul perlaksanaan hudud di Dewan Rakyat melalui
usul Ahli Parlimen PAS dalam sidang Dewan Rakyat akan datang, kemungkinannya
bulan Disember ini.
Bagaimanapun,
cadangan Kerajaan PAS Kelantan menerima tentangan hebat daripada rakan
sekutunya DAP dan PKR. DAP memberi amaran keras kepada PAS supaya tidak
melaksanakannya, dan PKR mengingatkan PAS bahawa perlaksanaan hudud bukan
agenda pakatan DAP-PKR-PAS yang telah dipersetujui.
Bermakna
sebelum membuka langkah walau setapak pun, PAS perlu menyelesaikan kemelut
dalaman pakatan pembangkang dahulu. Jika gagal mendapat persetujuan rakan
sekongkol ini, maka PAS perlu membuat pilihan samada sanggup melangkah mayat pembangkang DAP-PKR
dahulu; atau mencampakkan agenda perlaksanaan hudud ini kedalam arkib politik
mereka.
HUDUD DAN PERLEMBAGAAN
Sebenarnya,
dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara, perlaksanaan
apa-apa perkara berkaitan Islam adalah bidangkuasa dan kuasa Dewan Undangan
Negeri berdasarkan Bahagian VI Artikel 73-74 Perlembagaan Persekutuan dibaca
bersama Jadual 9 Senarai II Perlembagaan.
Kerajaan
Persekutuan langsung tidak ada kuasa atau bidangkuasa untuk melaksanakan hudud. Jadi tohmahan dan dakwaan
menyatakan UMNO tidak mahu melaksanakan hudud
di peringkat Persekutuan adalah tidak benar sama-sekali.
Berdasarkan
Perlembagaan Persekutuan, kuasa dan bidangkuasa untuk menggubal dan
melaksanakan Undang-Undang Jinayat Hudud
adalah kuasa dan bidangkuasa Kerajaan Negeri melalui Dewan Undangan Negeri.
Maka adalah satu tindakan tepat bagi Kerajaan PAS Kelantan untuk memulakan inisiatif
membentang usul untuk perlaksanaan hudud.
KATEGORI KESALAHAN HUDUD
Hudud
adalah satu bentuk perundangan jenayah (jinayat)
yang memperuntukkan hukuman yang spesifik keatas 6 bentuk kesalahan (ada juga
yang menambah satu lagi kesalahan iaitu bughah
– pemberontakan menjadikan ianya 7 kesalahan hudud) iaitu:
1. Syurb – kesalahan berkaitan peminuman
arak yang hukumannya sebanyak 40 kali sebatan (Al-Maidah 5:90) ;
2. Qazaf – kesalahan berkaitan membuat tuduhan
zina terhadap wanita terhormat (ada yang memasukkan lelaki juga) dengan
hukumannya sebanyak 80 kali sebatan (An-Nur
24:4);
3. Zina – kesalahan melakukan zina oleh
lelaki atau wanita Muslim tanpa nikah yang sah dengan hukumannya dengan rejam sampai
mati (jika ia mohsan – pernah
melakukan hubungan kelamin suami-isteri melalui pernikahan yang sah) atau
disebat 100 kali (jika ia ghairu mohsan –
atau belum pernah melakukan hubungan kelamin melalui pernikahan yang sah) (An-Nur 24:2);
4. Sariqah – kesalahan mencuri dengan
hukumannya spesifik dipotong tangan (Al-Maidah
5:38);
5. Hirabah – kesalahan merompak dengan
kekerasan dengan hukumannya dibunuh (jika ada yang terbunuh semasa rompakan
itu) atau didipotong tangan dan kaki bersilang (jika tidak ada menyebabkan
kematian) (Al-Maidah 5:33);
6. Irtiddah atau riddah – kesalahan murtad
iaitu keluar daripada aqidah Islam dengan niat dan sengaja tanpa paksa dengan
hukumannya hendaklah dihukum bunuh jika ingkar atau enggan bertaubat (Al-Baqarah 2:217);
7. Bughah – kesalahan pemberontakan
terhadap Kerajaan memerintah dengan cara kekerasan tanpa sebarang alasan yang
dibenarkan syari’e.
KESALAHAN HUDUD
DIDALAM UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Daripada
senarai kesalahan-kesalahan hudud diatas,
sebenarnya ianya sudah pun diperuntukkan didalam perundangan didalam Malaysia
seperti berikut:
1. Syurb - kesalahan meminum arak – Seksyen
19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan (dan dalam semua Enakmen
Syariah negeri) dengan hukuman denda sebanyak RM3,000-00 atau penjara 2 tahun
(jika minum) dan denda RM5,000-00 atau penjara 3 tahun dengan penguatkuasaan di
Mahkamah Syariah;
2. Qazaf - kesalahan tuduhan zina – Seksyen
41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan (dan dalam semua Enakmen
Syariah negeri) dengan hukuman denda RM5,000-00 atau penjara 3 tahun dengan
penguatkuasaan di Mahkamah Syariah;
3. Zina – kesalahan zina – Seksyen 23 Akta
Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan (dan semua Enakmen Syariah
negeri) dengan hukuman denda RM5,000-00 atau penjara selama 3 tahun atau sebat
sebanyak 6 kali dengan penguatkuasaan di Mahkamah Syariah;
4. Sariqah – mencuri – Seksyen 379 Kanun
Kesiksaan dengan hukuman penjara tidak melebihi 7 tahun penjara dan/ atau denda
dengan penguatkuasaan di Mahkamah Sivil;
5. Hirabah – merompak – Seksyen 392 Kanun
Kesiksaan dengan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan/ atau denda dengan
penguatkuasaan di Mahkamah Sivil;
6. Irtiddah / Riddah – murtad – terkandung
didalam hamper semua Enakmen Syariah Negeri-Negeri dengan hukuman berbeza
tetapi tidak melebihi denda RM5,000-00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan
dengan penguatkuasaan di Mahkamah Syariah;
7. Bughah – pemberontakan – Seksyen 121
Kanun Kesiksaan dengan hukuman bunuh dengan gantung sampai mati dengan penguatkuasaan
di Mahkamah Sivil.
Jadi
kita dapat melihat bahawa sebenarnya kesemua kesalahan hudud iaitu syurb, qazaf, zina, sariqah, hirabah,
irtiddah/riddah dan bughah sudah
pun ada peruntukkan didalam undang-undang Malaysia samada dalam bentuk
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri atau Kanun Kesiksaan.
Apa
yang berbeza ialah ialah hukumannya!
Ringkasnya, peruntukkan mengenai kesalahan hudud sudah ujud dan dilaksanakan dalam
negara ini, cuma hukumannya berbeza.
JENAYAH SYARIAH DALAM JADUAL 9 SENARAI II
PERLEMBAGAAN
Persoalannnya,
mengapa ini terjadi?
Jawapannya
ialah kerana didalam Jadual 9 Senarai II Perlembagaan Persekutuan, dimana Dewan
Undangan Negeri boleh menggubal dan melaksanakan perundangan jenayah atau jinayat dalam Islam tetapi tidak mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali
setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan.
Ini
bermakna, Perlembagaan Persekutuan membenarkan semua Dewan Undangan Negeri menggubal dan melaksanakan undang-undang
jenayah atua jinayat Islam tetapi
tertakluk kepada apa yang diberi oleh mana-mana undang-undang yang dibuat oleh
Parlimen.
Dan
undang-undang itu telah pun digubal dan dilaksanakan oleh Parlimen melalui Akta
Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang secara umum
memperuntukkan bahawa Dewan Undangn Negeri boleh menggubal dan melaksanakan
apa-apa kesalahan jenayah atau jinayat
Islam tetapi tertakluk kepada had hukuman tidak melebihi penjara 3 bulan, denda
RM5,000-00 dan/ atau sebatan 6 kali – apa yang dikenali sebagai Formula
Jinayat 356.
PERLAKSANAAN HUDUD TIDAK PERLU UNDI 2/3
MAJORITI
Berdasarkan
inilah saya berpendapat tidak perlu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan
untuk membolehkan mana-mana Dewan Undangan Negeri termasuk Kelantan untuk
melaksanakan Hudud.
Apa
yang perlu dilakukan ialah dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa
Jenayah) 1965 (Akta 355) dengan memberi bidangkuasa kepada mana-mana DUN termasuk
Kelantan untuk menggubal dan melaksanakan undang-undang jenayah atau jinayat Islam mengikut peruntukkan yang ditetapkan
didalam syara’ seperti yang termaktub didalam Al-Quran atau Hadis.
USUL PINDAAN UNTUK MELAKSANAKAN HUDUD
Sebab
itu semenjak menjadi Ahli Parlimen bagi Parlimen Kulim Bandar-Baharu dalam
PRU-12 (mulai 08.03.2008 hingga 05.05.2013) saya telah secara konsisten selama
5 tahun mengemukakan usul ke dalam Parlimen dengan usul seperti berikut (boleh
disemak dengan rekod pejabat Setiausaha bagi Dewan Rakyat):
- Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini mengambil
ketetapan agar Kerajaan mengambil langkah supaya Jadual 9 Senarai 2 (1)
Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan membuang perkataan saperti berikut:-
‘…tetapi tidak mempunyai bidangkuasa
mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang
persekutuan…’ dan diganti dengan perkataan berikut;
‘dan mempunyai bidangkuasa
mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang ditetapkan
atau diperuntukkan didalam dan menurut hukum syara’ dan undang-undang Islam
(termasuk hudud, qisas dan ta’zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan
menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang
ditetapkan oleh hukum syara’ dan undang-undang Islam serta melaksana dan
menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya’.
Dan/ atau proviso kepada Seksyen 2, Akta
Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) hendaklah dipinda
bersesuaian dengan pindaan kepada Jadual 9 Senarai 2 (1) Perlembagaan
Persekutuan saperti yang dinyatakan diatas dan hendaklah berbunyi saperti
berikut:
Mahkamah Syariah tersebut hendaklah mempunyai
bidangkuasa mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang
ditetapkan atau diperuntukkan didalam dan menurut hukum syara’ dan undang-undang
Islam (termasuk hudud, qisas dan ta’zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan
menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang
ditetapkan oleh hukum syara’ dan undang-undang Islam serta melaksana dan
menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya.
Bahawa Dewan ini mengambil maklum
umat Islam wajib melaksanakan syariat Islam termasuk undang-undang jenayahnya atau
jinayat seperti hudud, qisas dan ta’zir tanpa
sebarang pengubahsuaian dan pindaan saperti yang berlaku sekarang dan Dewan
mengambil maklum bahawa kegagalan melaksanakan sistem perundangan Islam
sepenuhnya ini boleh menjejaskan aqidah umat Islam”
[ Perdana Menteri ]
Berbeza
dengan pandangan popular, saya berpendapat bagi membolehkan pindaan kepada Akta
Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dilaksanakan untuk memolehkan hudud dilaksanakan, ianya tidak memerlukan undi 2/3 majoriti.
Sebenarnya cukup sekadar dengan majoriti mudah 112 undi daripada kalangan 222
Ahli Parlimen sedia ada.
JUMLAH AHLI PARLIMEN ISLAM CUKUP UNTUK
PERLAKSANAAN HUDUD
Dan
jika dilihat dalam konteks itu, sebenarnya pindaan itu boleh dilakukan bagi
sessi Parlimen ke 13 ini kerana kita mempunyai jumlah Ahli Parlimen beragama
Islam yang mencukupi iaitu Ahli Parlimen UMNO (88), PAS (21) dan PKR (15),
menjadikan jumlah 124 orang. Dan jika ditambah dengan Ahli Parlimen Islam yang
lain termasuk daripada PBB dan lain-lain, jumlah Ahli Parlimen beragama Islam
yang ada adalah lebih daripada mencukupi*.
Sebab
itu untuk merealisasikan impian Kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud, usulnya elok datang daripada
Ahli-Ahli Parlimen PAS terutama daripada Kelantan. Tetapi PAS secara bersendirian
tidak mungkin dapat membentangkan usul hudud
tanpa bantuan dan sokongan Ahli Parlimen beragama Islam daripada UMNO dan
PKR.
Malahan
sebenarnya UMNO mahupun PKR masing-masing secara bersendirian tidak mungkin
dapat membentangkan usul hudud tanpa
bantuan dan sokongan PAS.
Apa yang penting ialah kerjasama – iaitu
diantara semua Ahli Parlimen beragama Islam daripada UMNO, PAS, PKR dan
lain-lain parti.
Perlu diperingatkan apa juga usul persendirian untuk menggubal apa juga undang-undang hendaklah dibentangkan oleh seorang Menteri untuk dibahaskan, walaupun ianya datang daripada Ahli Parlimen back-bencher atau pembangkang.
Perlu diperingatkan apa juga usul persendirian untuk menggubal apa juga undang-undang hendaklah dibentangkan oleh seorang Menteri untuk dibahaskan, walaupun ianya datang daripada Ahli Parlimen back-bencher atau pembangkang.
CADANGAN
1. Memandangkan
dua parti utama umat Melayu-Islam iaitu UMNO dan PAS sudah bersetuju, maka apa yang penting
sekarang ialah penubuhan segera sebuah Jawatankuasa Induk Perlaksanaan Hudud, Qisas
& Ta’zir peringkat pimpinan tinggi diantara
UMNO-PAS-PKR-PBB untuk menderaf dan memperhalusi suatu Usul Perlaksanaan Undang-Undang Jinayat Hudud,
Qisas & Ta’zir yang mahu dibentangkan ke dalam Dewan Rakyat, dan yang
paling penting Jawatankuasa ini mesti memastikan mendapat jumlah sokongan
daripada Ahli Parlimen masing-masing yang cukup untuk mendapatkan majoriti yang
diperlukan bila ianya dibentangkan kelak;
2. Saya
juga mencadangkan penubuhan segera satu Jawatankuasa Teknikal Perlaksanaan Hudud,
Qisas & Ta’zir dengan keanggotaan daripada pakar syariah,
undang-undang sivil, kehakiman dan guaman syariah dan sivil dan para ulama’ samada mereka dari dalam negeri
mahupun daripada luar membincangkan dan memperhalusi deraf Undang-Undang Jinayat Hudud, Qisas & Ta’zir untuk memastikan
supaya ianya benar-benar mematuhi peruntukkan seperti yang ditetapkan oleh
Al-Quran dan Hadis;
3. Juga
sebuah Jawatankuasa Penguatkuasaan Hukuman Hudud, Qisas & Ta’zir
perlu ditubuhkan untuk mengkaji dan menggubal perlaksanaan hukuman hudud, qisas & ta’zir dengan
keanggotaan daripada pihak kehakiman dan guaman (sivil dan syariah), Polis,
Penjara dan badan-badan penguatkuasaan yang lain termasuk daripada negara yang
sudah punya pengalaman dalam perlaksanaan hudud,
qisas & ta’zir seperti Arab Saudi, Pakistan, Aceh dan lain-lain;
RUMUSAN
Saya
sebenarnya melihat tercetusnya isu hudud
mutakhir ini sebagai satu ujian ukhwah dan kesatuan umat Islam di Malaysia. Ada hikmah disebalik
cetusan isu ini.
Isu hudud telah sekelian lama dijadikan
modal politik oleh segelintir pihak didalam PAS bagi menghalang impian mencapai
kesatuan dan perpaduan umat Melayu-Islam di Malaysia.
Hudud adalah zikir harian PAS. Siang
malam pagi petang tidak kira masa dan tempat, para penceramah PAS sentiasa
menjadikan hudud sebagai modal
membelasah UMNO.
Walaupun
PAS sendiri tidak pernah melaksanakan hudud
walaupun diberi amanah memerintah Kelantan selama 23 tahun; walaupun ada
pimpinan PAS sendiri yang tidak bersetuju mahu melaksanakan hudud; malah rakan sekongkol PAS iaitu
PKR sendiri menentang perlaksanaan hudud.
Malah
PAS sendiri sebagai rakan-kongsi pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS telah
bersetuju dengan Memorandum Persefahaman Pakatan Pembangkang 20.11.2009 bahawa
perlaksanaan hudud, qisas dan ta’zir tidak
termasuk didalam agenda pembangkang jika membentuk Kerajaan; namun PAS masih
terus-menerus menjadikan UMNO sebagai kambing hitam.
Malah
ukhwah dan kesatuan umat Melayu-Islam menjadi parah apabila berlaku peristiwa
kafir-mengkafir oleh ahli dan pengikut PAS terhadap ahli UMNO akibat daripada
isu Amanat Hadi Awang 1981 yang
antara lain menyentuh isu kegagalan UMNO melaksanakan hudud dan kononnya mengekalkan ‘Perlembagaan penjajah’!
Walaupun
Datuk Seri Hadi Awang sendiri pada 18.08.2003 menyatakan dalam Amanat Pemangku
Presiden bahawa demi untuk kesinambungan talian-hayat politik pakatan
pembangkang DAP-PKR-PAS dalam menghadapi PRU-12, parti PAS bersedia menerima
dan akan melaksanakan Perlembagaan Persekutuan seperti sedia ada!
Malahan,
kekeliruan perlaksanaan hudud timbul
kerana para penceramah PAS dalam siri-siri ceramah mereka hanya menumpu kepada hudud, sedangkan dalam syariat Islam
sekiranya hudud tidak dapat
dilaksanakan akibat beberapa kekangan yang ada, maka kesalahan hudud itu boleh dibicarakan dan dihukum
dengan hukuman ta’zir. Ini terkandung
dalam Seksyen 50 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu 2002 yang digubal oleh Kerajaan PAS
Terengganu.
Dan kesalahan ta’zir inilah yang terkandung didalam
segala undang-undang dalam negara ini samada Kanun Kesiksaan, Enakmen Jenayah
Syariah Negeri-Negeri seperti yang saya sebut diatas. Maka sepatutnya tidak
timbul soal kafir-mengkafir atau pun keengganan untuk bersatu dikalangan umat
Melayu-Islam hanya kerana hudud belum
dilaksanakan.
Adakah
kita akan mengkafirkan sahabat Nabi iaitu Saidina ‘Umar r.a yang jelas didalam sirah semasa memegang amanah jawatan
sebagai Khalifah telah menggantung perlaksanaan hudud kerana kekangan pada
waktu itu tidak memungkinkan perlaksanaan hudud?
Sebab
itu apabila kepimpinan UMNO dan PAS sebagai dua buah parti besar yang mewakili
umat Melayu-Islam kini membawa satu suara dalam perjuangan untuk melaksanakan hudud, saya percaya ini adalah satu
permulaan yang baik dan hasanah bagi
umat Melayu-Islam di Malaysia terutamanya dalam soal ukhwah dan perpaduan.
Apa
yang penting sekarang ialah kedua-dua pihak mengambil sikap ikhlas, husnul-dhan dan bersangka baik terhadap
satu sama lain, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan cita-cita
untuk perlaksanaan hudud dalam negara
ini boleh dicapai; dan anggaplah ini sebagai satu permulaan kepada perlaksanaan
syariat Islam secara menyeluruh didalam negara ini.
Dan
lakukanlah ini bukan dengan semangat Islam aku sahaja yang betul, Islam orang lain tak betul; bukan dengan pemikiran sempit aku sahaja betul, orang lain salah; bukan untuk mendapat political
mileage, atau untuk sebarang jawatan, kedudukan, kuasa, harta dan/ atau
habuan. Jangan jadikan hudud sebagai talian-hayat politik kepartian
masing-masing; tetapi jadikan usaha ini sebagai jalan mencari keredhaan ALLAH
dengan ikhlas.
Semoga
ALLAH memberikan hidayah dan kekuatan kepada umat Melayu-Islam dalam usaha ini
insyallah.
Wallahua’lam
dan Wassalam.
Adios
amigos, grasias
Zulkifli
Bin Noordin
Juma'at
18
Jamadil Akhir 1435
18
April 2014
*Artikel ini telah disiarkan oleh akhbar Utusan Melayu (M) Berhad dalam dua siri pada 14 April 2014 (Bhg 1) & 15 April 2014 (Bhg 2).
*Artikel ini telah disiarkan oleh akhbar Utusan Melayu (M) Berhad dalam dua siri pada 14 April 2014 (Bhg 1) & 15 April 2014 (Bhg 2).
No comments:
Post a Comment