Salam 2 all.
Alhamdulillah dan syukur kehadrat ALLAH apabila Tuanku Sultan Selangor bertitah hari ini bahawa Baginda telah menerima lapuran lengkap daripada JAIS mengenai siasatan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama dan Baginda menegaskan tindakan JAIS adalah menepati undang-undang Selangor DAN memang terdapat unsur dakyah agama dilakukan oleh pihak DUMC terhadap umat Islam! Ini bermakna tindakan JAIS terhadap DUMC adalah berasas!
Tahniah kepada Baginda Tuanku yang mengambil sikap cukup berhemah dan matang dalam menangani isu ini. Tuanku tidak saperti kepimpinan pakatan pembangkang yang melatah tak tentu pasal, meloncat-lompat memaki hamun dan menghukum orang sebelum siasatan selesai dan lapuran lengkap diterima. Tuanku bertindak menunggu dahulu lapuran penuh daripada JAIS, barulah Tuanku bertindak menggunakan kebijaksanaan dan kewibawaan Baginda dalam membuat keputusan.
Teman ingin menyebut bahawa sikap dan tindakan Baginda Tuanku jangan disalahtafsir sebagai memihak kepada mana-mana pihak. Jangan ada yang memfitnah Tuanku anti-Kristian, atau Tuanku anti pembangkang. Sebenarnya kalau kita lihat sejarah Kesultanan Selangor, sikap menegur dan membimbing oleh Raja-Raja Pemerintah Selangor kepada Kerajaan dan pegawai pentadbir Selangor adalah konsisten sejak dahulu, samada semasa Selangor diperintah oleh Karajaan UMNO/BN, mahupun Kerajaan pembangkang.
Teman ingat sangat dahulu semasa Tan Sri Abu Hassan Omar menjadi Menteri Besar, tidak kurang teguran terbuka dibuat oleh AlMarhum Tuanku. Begitu juga semasa Tan Sri Muhammad Taib dan Datuk Seri Khir Toyo, berapa banyak teguran terbuka, malahan pernah AlMarhum Tuanku Sultan pernah memarahi Kerajaan UMNO/BN secara terbuka. Budaya dan sikap Raja yang tidak memihak kecuali untuk kepentingan dan kebajikan rakyat sudah sebati dengan Baginda Sultan Selangor. Dan teman harap janganlah isu ini dipolitikkan, apatah lagi dijadikan isu perkauman dan agama yang sempit. Berlapang dadalah, dan terimalah teguran dan bimbingan Baginda Tuanku sebagai seorang raja yang hanya mementingkan rakyat Baginda!
Kita ambil pula sikap terbalik YAB Menteri Besar Selangor.YAB Tan Sri Khalid tanpa menunggu lapuran JAIS telah mengambil sikap memihak kepada pihak DUMC dengan segera melutut meminta maaf, dan menyalahkan pihak JAIS kononnya "menyerbu gereja DUMC"! Dan segelintir kaum Anwarinas dengan segera memaki hamun JAIS dan YB Datuk Hasan Ali yang mempertahankan tindakan JAIS; sedangkan YB Datuk Hasan Ali adalah Exco Kerajaan Selangor yang mewakili PAS! Malah dema siap langkau kuasa YB Datuk Hasan Ali dan desak nak jumpa JAIS sendiri!
Sekarang sudah jelas daripada titah Baginda Tuanku Sultan Selangor bahawa tindakan JAIS itu betul dan mematuhi undang-undang! Jelas tindakan YB Datuk Hasan Ali mempertahankan JAIS adalah betul!
Sebab itu teman mendesak:
1. YAB Tan Sri Khalid dan seluruh Kerajaan Negeri Selangor wajib meminta maaf kepada Tuanku Sultan kerana keceluparan menyalahkan jabatan yang duduk dibawah naungan Tuanku walaupun belum menerima lapuran penuh.
2. YAB Tan Sri Khalid dan seluruh Kerajaan Negeri Selangor wajib meminta maaf kepada JAIS kerana bertindak terburu-buru menyalahkan JAIS walaupun belum menerima lapuran lengkap daripada JAIS;
3. Kerajaan Selangor wajib mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan dakyah DUMC ini yang jelas bertentangan dengan undang-undang;
4. Kerajaan Selangor wajib mengambil tindakan menutup segera operasi DUMC kerana sudah terbukti sekarang DUMC adalah sebuah gereja yang beroperasi tanpa permit dasn kelulusan MBPJ;
5. Kerajaan Selangor juga wajib menyiasat pertumbuhan dan percambahan gereja-gereja yang beroperasi dirumah kedai, dengan persoalan mengapa dibenarkan sedemikian;
6. Kerajaan Selangor juga wajib membatalkan "perintah tutup mulut" yang dikeluarkan terhadap Exco daripada membincangkan isu DUMC ini;
7. Pakatan pembangkang, terutamanya kaum Anwarinas wajib memohon maaf kepada YB Datuk Hasan Ali dan JAIS kerana tuduhan dan fitnah melulu yang dibuat terhadap mereka;
8. Gereja dakyah DUMC wajib meminta maaf kepada Baginda Tuanku dan umat Islam atas cubaan mendakyah terhadap umat Islam.
9. Langkah segera untuk memartabat dan memperkasakan institusi Islam saperti MAIS, JAIS dan lain-lain perlu diambil segera, termasuk menambahbaik sistem pemantauan, penyiasatan, penguatkuasaan dan pendakwaan JAIS;
Akhir kata, teman memperingatkan diri teman dan umat Islam semua apa yang difirmankan oleh ALLAH didalam Surah Al-Baqarah: 120-
"Dan tidak sesekali Yahudi & Kristian akan meredhoi kamu (wahai umat Islam) selagi kamu tidak mengikut cara hidup (termasuk agama) mereka. Katakanlah kepada mereka (kaum kafir itu), sesungguhnya cukuplah bagi kami petunjuk daripada ALLAH (Al Quran). Tetapi, jika kamu (umat Islam) masih mahu mengikut mereka (kaum kafir itu) setelah datang kepada kamu (petunjuk dan peringatan), maka perbuatlah sedemikian, namun kamu tidak akan mendapati bantuan dan pertolongan ALLAH bagi kamu".
"Sesungguhnya, ALLAH lah yang mengutus Rasulullah saw dengan petunjuk dan agama Islam yang benar, untuk dimenangkan atas agama lain, sekalipun tidak disukai oleh kaum kafir".
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Wallahua'lam & Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Isnin
12 Zul Qaedah 1432
10 Okt 2011
No comments:
Post a Comment