10 June 2010

HENTIKAN KAPAL ISRAEL!


(Kapal kargo milik syarikat Israel Zim USA berlabuh di Pelabuhan Klang baru-baru ini)

Salam 2 all.

Saya terkejut membaca lapuran pengarang akhbar Utusan Malaysia semalam Sdr. Datuk Zaini Hassan dalam ruang popular beliau "Cuit-Cuit" semalam 09.06.2010 yang mendedahkan mengenai kapal milik syarikat Israel iaitu Zim Israel Navigation Company berlabuh dan memunggah barangan dan kargo di Pelabuhan Klang, yang paling mutakhir pada 08.06.2010 lepas oleh kapal Zim Genova. Saya mengucapkan tahniah kepada Sdr. Datuk Zaini Hassan yang mengambil tindakan berani membuat pendedahan tersebut (sila lihat lampiran dibawah).

Perkara ini disahkan oleh Menteri Pengangkutan YB Datuk Seri Kong Cho Ha dalam kenyataannya yang disiarkan oleh akhbar The Star pagi ini (sila lihat lampiran dibawah).

Keputusan membenarkan kapal-kapal pengangkut milik Israel ini memasuki dan memunggah kargo ke Pelabuhan Malaysia ini sebenarnya dibuat pada tahun 1998 dan bukan oleh Kerajaan sekarang. Dan kita semua tahu siapa pemimpin negara pada masa itu!

Saya percaya akan ada pihak yang akan memutarbelit dan mengompangkan isu ini dan menyalahkan kepimpinan sekarang. Apatah lagi bagi budak-budak ingusan yang kononnya berjuang untuk Filistin dengan sekadar melilit muffler kat tengkok!!

Apa pun, saya mengambil kesempatan ini mendesak YAB Perdana Menteri iaitu Dato' Sri Najib supaya segera membatalkan keputusan tahun 1998 itu yang membenarkan kapal-kapal kargo Israel ini daripada memasuki dan memunggah barangan dan kargo di mana-mana pelabuhan negara ini. Keputusan membenarkan kapal milik syarikat Israel ini bukan keputusan beliau, atau kabinet beliau; tetapi adalah keputusan pemimpin tahun 1998. Oleh itu tidak ada sebab untuk YAB PM meneruskan keputusan tersebut.

Kita tidak mahu umat dan rakyat Filistin merasa terpedaya dan menganggap kita bermain dengan kata-kata sahaja. Kita tidak mahu dicelah-celah kesengsaraan umat Filistin, kita dilihat sebagai negara hipokrit , yang mengutuk tindakan ganas rejim haram zionis ini, tetapi mengaut keuntungan ekonomi daripada mereka. Pada saya , kalau dek kerana membatalkan keputusan 1998 itu akan membawa kemiskinan kepada kita, lebih baiklah kita miskin tetapi dapat berdiri megah dan berintegriti, daripada kaya tetapi dilihat sebagai hipokrit.

Kita patut mencontohi negara Turki yang dengan berani mengambil keputusan menamatkan dengan serta merta semua latihan ketenteraan bersama Israel, dan memanggil Duta Israel untuk membantah tindakan zionis la'natullah ini. Beberapa tindakan lain yang telah dan sedang diambil oleh Turki jelas membuktikan ia adalah negara yang cakap serupa bikin.

Membiarkan terus kapal-kapal kargo milik Israel ini berlabuh dan memunggah barangan dimana-mana pelabuhan negara ini pada saya adalah satu penghinaan kepada kemanusiaan, satu tamparan kepada umat Filistin, dan satu tindakan yang akan memalukan umat Islam dan rakyat Malaysia.

Kepada YAB PM, please do the right thing. Stop the Israeli's ship immediately!

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin

Khamis

27 Jamadil Akhir 1431

10 Jun 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

(Komentar Sdr. Datuk Zain Hassan, Pengarang akhbar Utusan Malaysia semalam 09.06.2010)

Bendera Israel berkibar di Malaysia?

Oleh Zaini Hassan, 09 Jun 2010 

BENAR seperti kata negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kita mudah lupa. Ingat lagi semasa Gaza diserang bertalu-talu, seluruh rakyat Malaysia, terutamanya orang Islam bagai nak gila. Demonstrasi sana-sini. Minta diboikot itu dan ini, barangan yang dikeluarkan oleh Yahudi dan yang diasaskan dari Israel.

Lepas sebulan serangan ke atas Gaza tamat, pemikiran kita mula lembam, enam bulan selepas itu sedikit demi sedikit mula lupa dan selepas setahun terus lupa.

Kempen-kempen boikot dan amarah kita sudah hilang sehinggalah seminggu ini. Sejak minggu lalu kita bangkit semula. Solat hajat diadakan semula di sana-sini. Televisyen dan akhbar-akhbar penuh dengan berita dan komentari (termasuklah Cuit ini hari ini) mengenai kisah Israel, Yahudi dan kekejamannya. Jika Israel tahu mengenai sindrom mudah lupa kita, sudah pasti mereka akan ketawa terbahak-bahak. Tapi bangsa Yahudi ini bijak, mereka memang tahu tabiat kita, terutamanya umat Islam dan orang Melayu kita ini. Kita ini hanya akan melompat ikut musim. Itu pasal Israel suka menyerang ikut musim. Ada musim-musim tertentu mereka akan bertindak dan sekali gus dunia (terutamanya dunia Islam) akan melompat. Kemudian senyap.

Tujuan mereka ialah supaya semua orang ingat akan (kewujudan) negara Israel itu.

Dari segi dasar kerajaan, Malaysia memang konsisten. Kita adalah antara segelintir negara Islam dan di dunia yang tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel. Langkah kerajaan itu amat kita sanjung. Kita berharap selagi ada negara Yahudi haram itu, kita tidak akan mengiktiraf kewujudannya sampai bila-bila.

Begitu juga hubungan dagangan dengan negara itu. Secara automatik hubungan itu tidak berlaku, kerana kita tiada hubungan diplomatik. Mengikut undang-undang antarabangsa, Israel tidak boleh juga menahan rakyat kita kerana kita tiada hubungan yang sah dengannya. Dalam kes yang berlaku ke atas kapal misi kemanusiaan ke Gaza itu, rakyat Malaysia ditahan di laut antarabangsa - bukan dalam kawasan perairannya, itu lagi salah.

Namun, walaupun kita tidak mempunyai hubungan itu, difahamkan ada juga barangan dari negara rejim Yahudi ini memasuki negara ini. Mungkin bukan terus, tapi dari negara ketiga.

Tapi benarkah kapal Israel dibenarkan memasuki ke pelabuhan kita dan melakukan perdagangan dengan negara ini secara terus?

Benarkah itu berlaku? Apakan kerajaan sedar ia berlaku?

Melalui maklumat seorang sahabat yang terlibat secara terus dalam bidang perkapalan, saya melakukan siasatan. Satu maklumat kepada saya kemudiannya mendedahkan senario bagaimana halusnya rejim itu menjalinkan hubungan dagang dengan kita.

Kita jangan cakap perkakasan yang canggih dan besar-besar yang dihantar untuk kegunaan kita di sini dari negara ketiga. Kita cuma bercakap mengenai soal buah epal dan buah oren yang dihantar oleh kapal mereka ke pelabuhan kita. Rakan yang mendedahkan maklumat itu geram kerana kapal kemanusiaan kita dihalau dan diserang, sebaliknya kapal Israel sewenang-wenangnya berlayar dan berdagang di negara ini! Bolehkah pula kapal MISC kita memasuki Pelabuhan Haifa di Israel? Jawapannya, tidak.

Begini bunyi maklumat itu (yang diterjemah dalam bahasa Melayu):

Zim Israel Navigation Company ialah syarikat perkapalan milik Israel. Statusnya lebih kurang macam MISC, syarikat perkapalan nasional kita.

Maklumat mengenai syarikat perkapalan Zim boleh dilayari melalui www.zim.co.il. Di bawah tajuk sejarah, ditulis: Bermula dengan permulaan bersejarah pada 1945 sebagai kapal pengangkut imigran (kaum pendatang) dari wilayah berperang Eropah ke negara harapan bernama Israel, ZIM kini menjadi salah sebuah syarikat perkapalan terbesar yang beroperasi di seluruh dunia. (From historic beginnings in 1945 as a carrier of immigrants from war-torn Europe to the nascent state of Israel, ZIM has become one of the world‘s largest shipping companies with operations throughout the world.)

Kelmarin (7 Jun kapalnya bernama Zim Genova) berlabuh di Pelabuhan Klang membawa kargo-kargo yang besar.

Secara puratanya kapal itu panjangnya kira-kira 253 meter, lebar 32 meter dan boleh membawa muatan sebanyak 4,000 Teu atau bersamaan 4,000 buah kontena 20 kaki. Ia berlayar keluar dari pelabuhan itu kira-kira pukul 7 pagi semalam (8 Jun).

Selain Zim Genova, kapal-kapal Zim lain yang berulang-alik ke Pelabuhan Klang ialah Zim USA (didaftarkan di Israel), Zim Kingston, Zim Monaco (pelabuhan terakhir: Pelabuhan Klang enam hari lalu), Zim Dalian dan Zim Lovorno (yang kesemuanya didaftarkan di beberapa buah negara lain).

Zim USA, misalnya kali terakhir memasuki Pelabuhan Klang ialah sekitar 20 Mei lalu, kira-kira tengah hari (Sila layari http://www.marinetraffic.com/ais/shipdetails.aspx?mmsi=428000109).

Di serombong asapnya (funnel) terpampang bendera Israel – tujuh bintang yang dengan megahkan berlabuh di pelabuhan kita!

Kebanyakan pegawai kapal-kapal itu terdiri daripada rakyat Israel.

Satu lagi e-mel yang diterima berbunyi:

Zim Israel Navigation Company atau Zim Lines juga mempunyai anak syarikat penuhnya iaitu Gold Star Line. Nama kapal-kapalnya ialah: New Asia Middle East Express, China Vietnam Express, East Mediteranean Express, Far East Africa Express dan Chittagong Malaysia Express.

Gold Star Line ini berpangkalan di Hong Kong. Di negara Islam seperti Pakistan, Bangladesh, Indonesia - Zim beroperasi di bawah nama Gold Star Line.

Menurut sumber itu, ada antara kargo dari kapal Zim dikatakan melalui proses pelabelan semula (relabelling) di Singapura sebelum memasuki Malaysia. Difahamkan antara kargo yang dibawa masuk ke Malaysia ialah buah oren dan epal di bawah nama HIFA.

E-mel itu menulis lagi: Sekiranya kita tiada hubungan dua hala dengan Israel, mengapa dibenarkan kapal-kapal mereka memasuki perairan kita? Mengapa berdagang dengan mereka? Apa yang berlaku ini?

Saya tidak boleh jawab soalan itu. Saya hanya boleh tulis dan sampaikan. Jika betul, kita minta -- Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) serta pengendali pelabuhan yang diswastakan iaitu Pelabuhan Barat (West Port) dan Pelabuhan Utara (North Port) - sila jawab, jika salah sila jelaskan.

######################################

(Lapuran akhbar The Star hari ini Khamis 10 Jun 2010)

Thursday June 10, 2010
Israeli ships with permits can enter M’sia

KUALA LUMPUR: Israel-registered ships are allowed into Malaysia if they have been issued permits, said Transport Minister Datuk Seri Kong Cho Ha.

However, the ships must ensure no goods of Israeli origin were unloaded from the cargo ships.

“Israeli crew members are also prohibited from leaving the vessels when these ships dock at our ports but exemption will be given to those in emergency situations,” he told reporters after chairing the first MCA science and technology bureau meeting here yesterday.

He was commenting on a news report that Malaysian ports had been receiving Israeli cargo vessels since 1998 even though the two countries had no diplomatic ties.

Kong said these ships were also not allowed to hoist the Israeli flag.

Zim Lines of Israel has a subsidiary called Gold Star Lines which owns HS Chopin.

The latter enters Malaysia under the Asia Mediteranean Europe service.

3 comments:

aka777 said...

Salam,

Ini adalah contoh satu situasi yang mana boleh diibaratkan sebagai "cakap tak serupa bikin". Walaubagaimanapun saya berharap agar YB menyiasat perkara ini degan lebih mendalam kerana faktor-faktor berikut: -

1. Perjanjian seperti yang disebut berlaku pada tahun 1998. Pada tahun itu, semua rakyat masih ingat bahawa negara mengalami kegawatan ekonomi. Perjanjian ini MUNGKIN terpaksa dilakukan atas sebab tekanan "rakan baik" rejim Zionist iaitu AS.

2. Perjanjian ini MUNGKIN dilakukan tanpa pengetahuan TDM. Rakyat semua maklum tentang kelantangan TDM menghentam rejim Zionist dipentas dunia sehingga dibenci oleh "rakan baik" rejim ini.

3. Perjanjian ini MUNGKIN dilakukan sebelum SEPTEMBER 1998 iaitu sebelum seorang hamba Allah ini disingkirkan dari Kerajaan selaku Menteri Kewangan dan juga Pemangku Perdana Menteri. Saya berharap agar YB dapat menyiasat penandatangan perjanjian ini selaku wakil kerajaan.

Sekian, terima kasih.

Unknown said...

Terima kasih YB kerana menyiarkan berita ini. Saya tak tahu menahu. Memang PM patut stop kan kapal ni.

Abu Garcia said...

Salam,

Sesungguhnya ramai di kalangan rakyat malaysia yang masih tidak tahu menahu apa yang berlaku di gaza, palestine. Tidak mengejutkan jika ada juga di antara mereka yang tidak tahu apa itu flotila kebebasan dan gerakan-gerakan yang menentang sekatan di gaza. Mungkin perlu diadakan kajian bagi menyelidik tahap keprihatinan rakyat malaysia dalam isu kemanusiaan.

Saya ada membuat tinjauan ringkas berkenaan isu gaza dan dapati ramai muda-mudi terutama yang bukan melayu tidak tahupun insiden pembunuhan aktivis gaza sudah berlaku. Dan tidaklah memeranjatkan jika tinjauan di kalangan pekerja industri juga menghasilkan keputusan yang sama.