Ukhwah kesatuan umat Islam sangat-sangat dibenci oleh iblis dan syaitan dan kaum yang sewaktu dengannya |
Saya tertarik melihat tuntutan Coalition of Malaysian NGOs atau singkatannya COMANGO iaitu pakatan pertubuhan-pertubuhan pro-kebebasan mutlak dan hak asasi tanpa batas di Malaysia didalam persidangan semakan Universal Periodic Review oleh United Nations Human Rights Council di Geneva, Switzerland yang berlangsung semalam.
Antara tuntutan mereka yang menarik perhatian dicatatkan seperti berikut:
1. menuntut Malaysia menerima International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR) yang antaranya mengandungi Artikel 18 berkaitan kebebasan beragama. Diantara komen ialah "The Committee observes that the freedom to 'have or to adopt' a religion or belief necessarily entails the freedom to choose a religion or belief, including the right to replace one's current religion or belief".
Terjemahan: Artikel 18 ini bermaksud "bahawa hak untuk menerima atau menganut sesuatu agama atau kepercayaan sewajarnya bermaksud kebebasan untuk memilih sesuatu agama atau kepercayaan, termasuk hak untuk menukar atau menggantikan agama atau kepercayaan sedia-ada seseorang".
Ini bermakna seseorang yang sedia-ada menganut agama Islam wajib diberi kebebasan menukar agama itu ke agama atau kepercayaan lain.
Ringkasnya, seorang Islam itu wajib diberi kebebasan dibenarkan murtad!
Melihat kepada tuntutan Comango ini, saya teringat tuntutan mereka yang melobi untuk penubuhan Suruhanjaya Antara Agama atau IFC sekitar tahun 2005-2006 dahulu. Antara tuntutan utama mereka ialah seperti:
1. mendesak Malaysia melaksanakan Artikel 18 United Nations Universal Declarations of Human Rights yang memperuntukkan "everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief, and freedom, either alone or in community with others and in publicor private, to manifest his religion or belief in teaching, practice, worship and observance".
Terjemahan: "setiap individu berhak kepada kebebasan berfikir, kepercayaan dan agama; ini termasuk kebebasan untuk menukar agama atau kepercayaan itu, dan kebebasan, samada secara bersendirian atau bersesama samada secara persendirian atau secara terbuka.melaksanakan agama atau kepercayaan didalam bentuk pengajaran, amalan, penyembahan dan pematuhan".
Ini bermakna seseorang yang sedia-ada menganut agama Islam wajib diberi kebebasan menukar agama itu ke agama atau kepercaya lain.
Ringkasnya, seorang Islam itu wajib diberi kebebasan untuk murtad!
Apa maksud saya memberi perbandingan tuntutan Comango dan IFC ini?
Saya mahu membuktikan bahawa tuntutan mereka sama sahaja! Malah kalau dilihat mereka yang menganggotai IFC dan Comango, boleh dikatakan pihak yang sama sahaja. Malah individu yang terlibat pun ada yang sama sahaja.
Mereka kelihatan begitu kemaruk mahu memurtadkan orang Melayu beragama Islam; setelah gagal diperingkat negara, mereka kini melobi ke peringkat antarabangsa.
Benar rupanya firman ALLAH swt dalam Al-Baqarah:120, 'sesungguhnya kafir (Yahudi & Nasara) ini sama sekali tidak akan redha dengan kamu (umat Islam) sampai bila-bila selagi kamu tidak menurut agama dan cara kehidupan mereka' - sadaqallah hal 'adheem!
Persoalannya ialah mengapa semasa tuntutan IFC, umat Melayu-Islam boleh bersatu. Parti politik Melayu-Islam seperti UMNO, PAS boleh bersatu. NGO-NGO Melayu Islam juga bersatu. Individu-individu pejuang-pejuang Melayu Islam boleh bersatu. Kita boleh menolak kefahaman sempit politik kepartian; dan bersatu mempertahankan Islam.
Malah saya masih ingat kita bersatu menjalankan Kempen Sejuta Tandatangan Umat dimana dalam tempoh sebulan dua, kita berjaya mendapatkan tandatangan lebih sejuta umat Melayu-Islam dan menyerahkan Memorandum Memperkasakan Islam kepada Majlis Raja-Raja.
Ukhwah, perpaduan dan kesatuan umat Melayu-Islam pada masa itu yang bergerak dengan satu suara satu perjuangan akhirnya menumbangkan cadangan penubuhan IFC.
Tetapi amat malang tidak sampai sepuluh tahun, ukhwah, perpaduan dan kesatuan umat Islam menjadi goyah dan goyang.
Samada dalam isu aqidah Kalimah ALLAH, kepada isu murtad seperti di DUMC, kepada isu tuntutan Comango ini, kita umat Melayu-Islam telah gagal bersatu dan berpadu. Kita tidak membawa satu suara satu perjuangan.
Kita umat Melayu-Islam yang punya Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu Qiblat, Satu Aqidah; tetapi kita gagal menjadi Satu Umat!
Dalam isu tuntutan Comango ini, kita bernasib baik kerana disana masih ada segelintir umat Melayu-Islam yang peka dan sensitif dan masih mahu membela dan memperjuangkan hak dan maruah bangsa dan agama.
Mereka bersatu tenaga dan pemikiran, dan menubuhkan sebuah badan dinamakan Muslim-Universal Periodic Review Organisation atau singkatannya Muslim-UPRo. Antara badan yang terlibat ialah seperti yang disenaraikan dibawah.
Mereka ini jelas menepati ciri-ciri yang ALLAH gambarkan didalam Surah Al-Maidah: 54-56. Dan saya yakin mereka akan diberi kemenangan oleh ALLAH swt insyallah.
Kepada parti politik, NGO, pertubuhan dan individu yang mengaku Islam tetapi berpaling daripada perjuangan memartabat dan memperkasakan bangsa dan agama Islam ini, ingatlah amaran ALLAH swt.
Kalau dunia yang kamu kejarkan, kalau jawatan habuan dan kedudukan yang kamu gilakan, dek kerana itu kamu sanggup bersekongkol dengan kafir harbi menikam bangsa dan agama kamu sendiri daripada depan dan belakang; ingatlah ALLAH berjanji akan memutuskan sebarang bantuan dan pertolongan dengan kamu; dan ALLAH tidak lagi menjadi pembimbing dan pemberi petunjuk kepada kamu.
Sesatlah kamu kelak nanti bersama golongan yang sesat, na'uzubillah.
Saya berseru kepada kamu, kembalilah kepangkal jalan. Kembalilah kepada Al-Quran. Kembalilah kepangkuan perjuangan Islam. Kembalilah kamu kepada ukhwah dan persaudaraan Islam. Kembalilah!
Wa'tasimu bihablillah hijamii'a wala tafarroquu - berpeganglah kepada tali ALLAH dan janganlah kamu bercerai-berai!
Wallahua'lam dan Wassalam.
Adios amigos, grasias senor.
Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
20 Zulhijjah 1434
25 Okt 2013
* MuslimUPRo adalah dianggotai oleh
Pertubuhan-pertubuhan Islam dan Umat Islam utama termasuk Gabungan
Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Peguam Muslim Malaysia
(PPMM), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ikatan
Muslimin Malaysia (ISMA), JATI, Majlis Amal Islami Malaysia, IKATAN, PERKIM,
Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), PEMBINA, Angkatan Belia Islam Malaysia
(ABIM), PERMIM, JATI, PERKID, PERKASA, PROMUSLIM, JAM”IYYAH, Lembaga Kebajikan
Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), ISSI
Malaysia, GABUNGAN Pulau Pinang, PINTA, Majlis Ittihad Ummah, Persatuan Ummah
Cemerlang Malaysia, Khalifah Institute, Persatuan Nur Alamiyyah, Pertubuhan
Anak Watan Malaysia (WATAN).
No comments:
Post a Comment