Keberanian Najib menjejakkan kaki ke bumi Gaza berjaya memperkasa ukhwah Islammiyyah |
Petubuhan politik bangsa Melayu yang terbesar didunia, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau United Malay National Organisation (UMNO) sedang melalui proses pemilihan pimpinan semua peringkat. Dan buat pertama kalinya pemilihan pemimpin terutama peringkat nasional dibuat melalui pengundian semua perwakilan peringkat cawangan.
Ini bermakna semua perwakilan cawangan ke Mesyuarat Bahagian berhak mengundi. Caranya ialah dengan tiap perwakilan cawangan mengundi di Bahagian masing-masing untuk memilih pimpinan peringkat Bahagian dan Nasional. Tiap pengundian diperingkat Bahagian akan dikira di Bahagian itu sendiri (dengan kehadiran pemantau) dan keputusan itu dikira sebagai satu undi mewakili Bahagian tersebut.
Kemudiannya kesemua keputusan pengundian kesemua 191 Bahagian UMNO seluruh Malaysia akan dijumlahkan, barulah keputusan peringkat nasional akan ditentukan.
Bermakna kali ini kepimpinan UMNO peringkat Kebangsaan akan dipilih melalui undi akar umbi secara langsung. Ini satu transformasi politik yang sangat baik kerana bukan sahaja suara akar umbi dihargai dan mempunyai kuasa penentu, ianya juga dijangka dapat mengelakkan politik wang. Ini kerana dengan jumlah perwakilan cawangan hampir 200,000 yang layak mengundi, hampir mustahil seseorang calon itu mampu untuk membayar pengundi.
Ini berbeza dengan cara dahulu dimana hanya perwakilan Bahagian ke Perhimpunan Agong UMNO, iaitu sekitar 2,000 orang yang menentukan kepimpinan.
Apapun tahniah kepada UMNO atas keberanian melakukan transformasi politik yang real dan memenuhi kehendak suara akar umbi.
Pemilihan kepimpinan sangat penting, samada didalam UMNO mahupun dimana-mana parti politik. Terlebih-lebih lagi didalam UMNO kerana sesiapa juga yang menerajui kepimpinan UMNO akan menjadi kepimpinan negara; yang akan menentukan dasar dan halatuju negara ini.
Sebab itu saya nasihatkan ahli UMNO supaya memikirkan semasak-masaknya dalam membuat pemilihan, kerana kesilapan memilih akan mengundang padah yang lebih besar terutama dalam menghadapi PRU-14 nanti.
Ada dikalangan calon yang cukup popular dikalangan UMNO, tetapi ditolak oleh rakyat. Disinilah ahli akar umbi UMNO perlu bermuhasabah dan merenung jauh; apakah kriteria yang kita gunakan untuk memilih seseorang pemimpin?
Pemimpin ini umpama seorang gembala; a leader is a shepherd!
Gembala maknanya dia bukan empunya apa yang dia pimpin. Dia sekadar menjalankan tanggungjawab memelihara gembalaannya sebagaimana yang diarah dan ditetapkan oleh empunya gembalaan itu. Dia juga punya tanggungjawab, akauntabiliti dan pertanggungjawaban!
Seorang pemimpin harus sedar jatidiri dan asal usulnya. Sebagaimana seorang manusia perlu sedar dia hanyalah seorang hamba kepada Maha Pencipta. Dan dia adalah seorang khalifah yang dilantik untuk mentadbir dunia ini.
Seorang pemimpin UMNO perlu sedar dia dipilih oleh ahli UMNO. Dia ada di puncak kerana UMNO. Sebab itu dia perlu sedar pertanggunjawaban dia kepada UMNO. Dia perlu tahu apa dia perjuangan UMNO, dan apa yang perlu dia capai.
Untuk menjadi pemimpin UMNO seseorang itu harus sedar apa itu UMNO?
UMNO adalah sebuah parti yang ujud
kerana orang Melayu. Tanpa Melayu tidak ada UMNO!!!
Dan Melayu itu cirinya wajib Islam. Tanpa Islam tidak ada Melayu!!!
Oleh itu perjuangan UMNO yang harus disedari oleh pemimpin UMNO ialah untuk dan bagi kepentingan orang Melayu dan Islam. Ini tidak bermakna kita menafikan, apatah lagi menganak-tirikan kepentingan dan kebajikan penganut agama atau kaum lain; atau menjadikan mereka warga kelas kedua. Tidak sama sekali.
Ia sekadar bermakna kepentingan dan kebajikan bangsa Melayu dan agama Islam mesti diberi keutamaan oleh kepimpinan UMNO; terutamanya dalam memenuhi 7 Wasiat Raja-Raja Melayu dan peruntukkan Perlembagaan dan undang-undang.
Oleh itu, ahli UMNO wajib menolak mana-mana calon yang tidak meletakkan perjuangan memartabat dan memperkasa bangsa Melayu dan agama Islam. Apatah lagi mereka yang malu dan tiada keberanian meletakkan kepentingan Melayu dan Islam sebagai keutamaan perjuangan.
Ini juga bermakna perwakilan wajib menolak pemimpin-pemimpin yang korup, rasuah, menyalahgunakan kuasa, menjalani kehidupan maksiat dan mungkar. Ini adalah jenis kepimpinan yang akan menjahanamkan UMNO; merosakkan bangsa Melayu!
Percayalah, apabila kita meletakkan Islam dan bangsa Melayu sebagai kriteria utama ciri-ciri pemilihan mana-mana pemimpin, ALLAH akan memberi rahmat dan keberkatan Nya.
Soalnya bukan samada pemimpin yang hendak dipilih itu boleh membawa UMNO memenangi PRU-14 atau tidak, tapi soalnya ialah samada mereka boleh membawa UMNO kepada keredhaan ALLAH swt.
Dan apabila kita mendapat keredhaan ALLAH, nescaya ALLAH akan membuka pintu kejayaan dari segala arah dan pelusuk, termasuk daripada sumber yang kita sendiri pun tidak jangka!
Selamat menjalani proses pemilihan esok 07 Zulhijjah 1434 bersamaan dengan 12 Okt 2013.
Wallahua'lam dan wassalam.
Adioa amigos, grasias senor.
Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
06 ZulHijjah 1434
11 Okt 2013
No comments:
Post a Comment