24 October 2013

NORAZITA ABU TALIB

Norazita Abu Talib2
Allahyarham Norazita Abu Talib bersama suami Irwan Kamaruddin dan anak-anak

Salam 2 all.

Jam pukul 0230hrs Khamis 19 ZulHijjah 1434 bersamaan 24 Oktober 2013. Tau-tau fon saya berbunyi menerima mesej bergambar. Daripada sahabat saya di Makkah yang baru lepas menunaikan haji!

Bila membukanya, saya terkejut dengan gambar seorang wanita berbaju kurung merah, dikenali sebagai Norazita Abu Talib (37) terbaring dengan muka hampir separuh pecah, dengan berlatarbelakangkan sebuah peti besi berisi wang. Mesejnya berbunyi 'pegawai AmBank USJ Central ditembak mati oleh perompak seorang pengawal AmBank sendiri'.

Kemudian mesej itu diikuti dengan satu videoklip durasi 30 saat menunjukkan pegawai wanita itu bersama seorang wanita berbaju putih membuka peti besi dan sedang memegang sesuatu dipercayai ikatan wang tunai, tiba-tiba rebah dan muncul seorang berpakaian pengawal dikenali sebagai Ardi Bin Hamza (37) dengan senjata shot-gun meluru menarik wanita berbaju putih itu dan kemudian merampas wang didalam petibesi tersebut sebelum melarikan diri.

Sebaik melihat gambar dan videoklip itu, perasaan terkejut, sedih, marah dan kecewa bercampur baur!

Pelbagai persoalan timbul didalam pemikiran saya waktu itu:

1. Siapa pengawal keselamatan AmBank itu?

2. Syarikat Kawalan Keselamatan mana yang mengambil dia bekerja?

3. Adakah pengawal itu memenuhi syarat untuk membawa senjata?

pegawai-bank-ditembak-mati
Mayat Norazita setelah ditembak
4. Jika tidak, bagaimana pengawal itu boleh dibenarkan membawa senjata api?

5. Apa langkah SOP keselamatan pihak Bank dalam situasi seperti itu?

Beberapa fakta yang tersebar selepas itu menambah perasaan marah dan kecewa saya:

1. Norazita sudah bekerja dengan AmBank selama 16 tahun, maknanya sejak berumur 21 tahun beliau sudah bekerja dengan Ambank;

2. Semasa kejadian, hanya Norazita dan 3 kakitangan wanita AmBank diiringi pengawal keselamatan bersenjata itu ke bilik petibesi tersebut;

3. Kejadian berlaku jam 1818hrs maknanya selepas waktu bekerja biasa dalam keadaan hujan ribut baru melanda Kuala Lumpur;

4. Pengawal keselamatan itu membawa senjata pump-gun;

5. Pengawal keselamatan itu sebenarnya bekerja di Bank bersebelahan dan dikatakan menggantikan pengawal keselamatan AmBank cawangan itu yang tidak datang bekerja hari itu. Maknanya dia bukan pengawal keselamatan di AmBank cawangan itu;

6. Pengawal keselamatan itu bernama Ardi Bin Hamza mempunyai kad pengenalan warganegara Malaysia nombor 770818-12-6721 dengan alamat tercatat Jalan Apas Batu 2 No. 70 Tawau Sabah;

7. Pihak polis mendapati nama dan kad pengenalan pengawal itu tidak ada didalam sistem mereka dan dipercayai palsu!

Pelbagai persoalan timbul daripada fakta ini:

1. Bagaimana Syarikat Kawalan Keselamatan itu mengambil pengawal dengan kad pengenalan palsu?

2. Tidak adakah sistem penapisan dan pemeriksaan-timbalbalik (counter-checking system) dengan pihak keselamatan PDRM, JPN dan lain-lain;

pegawai bank ditembak
Saspek dikenali sebagai Ardi Hamza dengan IC palsu
3. Bagaimana seorang pengawal yang mempunyai kad pengenalan palsu boleh dibenarkan membawa senjata api? Kerana didalam sistem keselamatan senjata-api Malaysia yang cukup ketat, pembawa atau pemilik senjata api mesti memperolehi permit 'carry & use' sebarang senjata daripada PDRM. Dan PDRM mempunyai syarat dan kriteria yang sangat ketat dalam mengeluarkan permit itu;

4. Kalau pengawal tersebut mempunyai permit (yang buat amasa ini saya percaya tidak ada), adakah ketirisan dalam prosedur penapisan dan proses pemberian permit itu kepada seorang yang mempunyai kad pengenalan palsu? Kalau ini benar (saya berharap ianya tidak benar), maka ada sesuatu yang tidak kena dengan proses kelulusan permit tersebut. Tindakan serta merta mesti diambil jika benar ini berlaku!

5. Kalau pengawal itu tidak mempunyai permit, maka syarikat itu perlu disiasat kerana membenarkan seseorang yang tiada permit membawa dan menggunakan senjata api. Jika ini benar, tindakan tegas perlu diambil terhadap syarikat tersebut termasuk membatalkan lesen syarikat tersebut serta merta dan menghentikan semua operasi kawalan keselamatan syarikat itu; semua pegawai dan pengurus yang terlibat wajib dikenakan tindakan termasuk pertuduhan jenayah jika cukup keterangan dan bukti.

Selain menyiasat dan menangkap serta mendakwa pembunuh tersebut, saya merasakan tindakan paling wajar sekarang ini ialah dengan menggantung serta-merta lesen Syarikat Kawalan Keselamatan tersebut dan menghentikan seluruh operasi mereka sehingga siasatan menyeluruh dibuat.

Kedua, jika didapati ada kecuaian dipihak pengurusan syarikat itu, tindakan tegas mesti diambil terhadap pengurusan syarikat termasuk dikenakan pertuduhan jenayah.

Soal keselamatan tidak boleh dipermainkan atau dipandang remeh. Banyak pihak bergantung kepada kredibiliti dan kewibawaan perkhidmatan syarikat kawalan keselamatan. Mereka dibenarkan membawa dan menggunakan senjata api. Mereka dibenarkan akses ke tempat sekuriti. Mereka diamanahkan dengan keselamatan nyawa dan harta orang awam.

Nyawa, harta benda dan keselamatan orang ramai banyak bergantung kepada mereka! Tindakan tegas serta pemantauan berkala mesti dilakukan terutama dalam hal berkaitan penggunaan senjata api oleh pengawal keselamatan. Tiap pengawal yang dibenarkan membawa senjata api mesti ditapis dan diperiksa dengan teliti dan mesti disahkan oleh pihak PDRM, dan pemeriksaan berkala mesti dilakukan!

Apa pun, saya mengucapkan takziah kepada saudara Irwan Kamaruddin atas kehilangan isteri tercinta, dan kepada anak-anak yang masih kecil yang kehilangan ibu yang masih muda. Semoga ALLAH mencucuri rahmat dan keampunan Nya kepada Allahyarham Norazita Abu Talib, dan meletakkan Allahyarham dalam golongan solehah dan yang diredhai, serta dimasukkan kedalam syurga. Dan moga ALLAH memberikan kesabaran kepada saudara Irwan dan keluarga dalam menghadapi musibah dan dugaan yang hebat ini.

Innalillah hiwa inna ilai hiro ji'un - daripada ALLAH kita datang, kepada ALLAH kita kembali.

Ameen Ya Robbal 'Aalameen.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
19 ZulHijjah 1434
24 Okt 2013

Nota : selepas siaran tulisan ini, saya dimaklumkan KDN telah mengambil tindakan membatalkan lesen syarikata kawalan keselamatan tersebut serta merta. Tahniah saya ucapkan atas tindakan segera KDN. Bravo!

No comments: