09 October 2013

PEMBELA KALIMAH TAUHID

ALLAH Putera? Na'uzubillah
ALLAH swt telah berfirman didalam Surah Al-Maidah 54-56:

"Wahai orang beriman! Sesiapa diantara kamu murtad (berpaling daripada agamanya), maka ALLAH akan mendatangkan satu kaum yang dicintai ALLAH dan mereka pula mencintai Nya, yang bersifat lemah lembut terhadap sesama Islam, dan bersifat tegas keras terhadap orang kafir, dan mereka berjihad (dengan berjuang bersungguh-sungguh) ke jalan ALLAH, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela.

Demikian itu adalah limpah kurnia ALLAH yang diberikan Nya kepada sesiapa yang dikehendaki Nya, ALLAH Maha Luas limpah kurnianya, lagi Maha Mengetahui.

Sesiapa yang menjadikan ALLAH, Rasul Nya serta orang beriman sebagai penolongnya, maka sesungguhnya golongan inilah, ( disebut dengan gelaran Heezbullah), yang berpegang kepada tali ALLAH lah yang pasti menang".

Salam 2 all.

Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan Malaysia telah mengeluarkan notis memaklumkan bahawa keputusan kes kalimah ALLAH telah ditetapkan pada hari Isnin, 09 Zulhijjah 1434 bersamaan dengan 14 Oktober 2013 jam 09.00 pagi di Mahkamah Rayuan, Kompleks Istana Kehakiman,Putrajaya.

Seperti yang kita semua sedia maklum, Kerajaan Malaysia telah memfailkan rayuan terhadap keputusan YA Hakim Datuk Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah pada 30 Dis 2009 membenarkan permohonan Titular Archbishop Kuala Lumpur untuk pihak gereja dan kristian menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitannya The Herald.

Keputusan ini memberi implikasi yang serius kerana dengan kebenaran itu, maka pihak gereja dan pihak kristian boleh menggunapakai kalimah ALLAH dalam apa bentuk sekalipun dalam melaksanakan dan menjalankan agama dan kefahaman mereka.

Dalam bahasa ringkas, perintah Mahkamah Tinggi itu membawa implikasi membenarkan kristian menggunapakai kalimah ALLAH dalam bentuk kefahaman triniti tiga-dalam-satu iaitu ALLAH Bapa, ALLAH Putera & ALLAH Ruh Suci!

Perbicaraan rayuan tersebut telah didengar sehari suntuk dihadapan panel Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan oleh YA Hakim Datuk Apandi Ali yang bersidang bersama YA Hakim Datuk Zawawi dan YA Hakim Datuk Abdul Aziz pada 10 Sept 2013.

Sesungguhnya keputusan Mahkamah Rayuan yang dijadualkan pada 24 Okt 2013 ini sangatlah penting bagi umat Islam.

Bagi kita umat Islam, isu ini membabitkan soal aqidah, soal keimanan.

Ini jelas daripada keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke 82. Majlis Syura' PAS yang menyatakan pendirian pada 13 Januari 2013 juga berpendirian isu kalimah ALLAH adalah soal aqidah yang tidak boleh dipolitikkan!

Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh umat Islam, tidak kira apa fahaman politik dan latarbelakang supaya hadir beramai-ramai di Kompleks Istana Kehakiman Putrajaya pada hari Isnin 14 Oktober 2013 untuk menzahirkan sokongan kita.

Dihari jutaan umat Islam seluruh dunia berhimpun dalam himpuan wuquf di Arafah, marilah kita umat Islam Malaysia berhimpun di Kompleks Istana Kehakiman Putrajaya!

Semoga kekuatan ukhwah dan perpaduan umat Islam akan memberi mesej jelas kepada dunia bahawa dalam hal aqidah, umat Islam Malaysia akan bersatu mempertahankan keimanan mereka, walau dicela oleh golongan yang mencela.

Ingatlah pesanan ALLAH dalam ayat yang saya petik diatas. Memang akan terjadi suatu masa ada dikalangan kita yang akan berpaling daripada keimanan dan Islam. Dan dalam isu kalimah ALLAH memang berlaku depan mata kepala kita sendiri bagaimana ada dikalangan kita bukan sahaja berpaling daripada Al Quran, malah berpaling daripada keputusan ulama dan pemimpin mereka sendiri.

Dalam keadaan itu, ALLAH akan melahirkan suatu kumpulan dikenali sebagai Heezbullah, kumpulan ALLAH. Ciri pertama kumpulan ini ialah ALLAH mencintai mereka, dan mereka mencintai ALLAH. Kita berharap kita termasuk dalam kumpulan ini kerana cinta dan kasih kita kepada ALLAH, dan sanggup berjuang dan berkorban demi mempertahankan kalimah Nya, dan kita berdoa moga ALLAH juga mencintai dan mengasihi kita;

Kedua. kumpulan ini sangat lembut terhadap sesama Islam. Sebab itu kita mengajak seluruh umat Islam, tidak kira parti apa, fahaman politik apa, kedudukan dan jawatan apa, asalkan mereka beriman dan mengucap La ila ha illallah - Tiada Tuhan Melainkan ALLAH; maka mereka adalah saudara kita.

Ketiga, kumpulan ini sangat keras dan tegas terhadap kaum kafir. Walaupun kita umat Islam diajar untuk menghormati penganut agama lain, tetapi apabila kafir itu berubah menjadi harbi, memerangi kita termasuk memerangi aqidah kita dengan berkeras mahu mengguna pakai kalimah ALLAH dalam bentuk triniti yang syirik lagi kufur, maka kita tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan mereka walau sebesar zahrah sekalipun;

Keempat, kumpulan ini akan berjihad, iaitu berjuang bersungguh-sungguh di jalan ALLAH. Memang untuk datang pada pada hari Isnin 14 Okt ini bukan mudah, maklumlah Sabtu-Ahad cuti, Selasa pula dah cuti sambutan hari raya 'Eiduladha. Kalau Isnin kita cuti, menjadi hujung minggu yang panjang untuk kita boleh balik ke kampung atau membuat persediaan sewajarnya untuk menyambut 'Eiduladha. Tetapi itulah pengorbanan yang perlu kita lakukan, pengorbanan yang terlalu sedikit berbanding Rasulullah saw dan para sahabat radhiallahu anhumma yang sanggup berkorban nyawa untuk mempertahankan aqidah mereka;

Kelima, kumpulan Heezbullah ini langsung tidak takut celaan mereka yang mencela. Saya akui perjuangan dan pengorbanan ini bukan mudah. Saya sendiri dipecat daripada menjadi Ahli Parlimen mewakili PKR bagi kerusi Kulim Bandar Baharu semata-mata kerana mempertahankan kalimah ALLAH. Saya dilontarkan dengan pelbagai maki hamun dan sumpah seranah, fitnah, tohmah dan pembohongan semata-mata kerana mahu memartabatkan Islam diwaktu ada dikalangan rakan-rakan saya yang begitu gila mengejar kerusi dan undi, terlalu ghairah bersekongkol dengan kafir harbi untuk jawatan, habuan dan kedudukan.

Datuk Dr Hasan Ali dipecat sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor dan sebagai ahli PAS semata-mata kerana mempertahankan aqidah umat Islam dan memerangi kafir harbi; dia dimaki hamun, ditohmah dan difitnah dengan pelbagai kecaman; Ustaz Nasharudin Mat Isa dipecat sebagai ahli Majlis Syura' PAS, malah termasuk golongan yang akan diludah jika ditemui kaum peludah ini, semata-mata kerana mahu mengusahakan ukhwah dan perpaduan dikalangan umat Islam.

Apapun, kami berdoa semoga ALLAH melindungi kami dengan limpah kurnia Nya dan memelihara aqidah dan keimanan kami insyallah.

Dan saya yakin dengan janji ALLAH yang akan memberikan kemenangan kepada kumpulan Heezbullah ini, insyallah!

Marilah kita berdoa semoga ALLAH memasukkan kita dalam kumpulan heezbullah ini, insyallah.

Semoga keputusan yang dijadualkan pada 14 Oktober 2013, yang bersamaan dengan 09 Zulhijjah 1434, adalah hadiah kemenangan hari wuquf yang terbaik daripada ALLAH kepada umat Islam di Malaysia khasnya, dan umat Islam sedunia amnya. Ameen.

Wallahua'lam dan wassalam.

Adioa amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
03 Zulhijjah 1434
09 Okt 2013

No comments: