21 October 2013

TRANSFORMASI UMNO

Lawatan Presiden UMNO, Dato' Sri Najib & Datin Sri Rosmah berserta anak-anak ke Gaza pada hari Selasa 10 Rabi'ul Awal 1434 bersamaan 22 Januari 2013 membuka pintu harapan kepada umat Palestin.
Salam 2 all.

Saya memanjatkan syukur kehadrat ALLAH swt atas limpah kurnianya UMNO, parti keramat bangsa Melayu telah berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab melakukan proses pemilihan barisan kepimpinan dengan baik dan sempurna.

Ini adalah bukti transformasi politik yang dilaksanakan telah diterima baik oleh ahli akar umbi UMNO.

Sebenarnya ini adalah kejayaan ahli akar umbi UMNO yang berjaya membuktikan kematangan politik yang tinggi.

Transformasi ini telah memberikan ahli akar umbi UMNO ruang untuk bersuara, dan mereka telah menterjemahkan suara mereka didalam bentuk pemilihan yang baru berlalu.

Buat pertama kali dalam sejarah politik negara, barisan kepimpinan UMNO dipilih secara langsung oleh ahli akar umbi. Tiap ahli kini boleh berbangga bahawa pemimpin mereka yang duduk di Majlis Tertinggi UMNO adalah pilihan ahli sendiri; tiap ahli ada saham dalam pemilihan yang baru berlalu!

Sebenarnya tiada istilah menang atau kalah dalam pemilihan UMNO kali ini. Ianya adalah persoalan memikul amanah dan tanggungjawab.

Kepada mereka yang baru diberi mandat oleh ahli, saya ucapkan tahniah, dan bersyukurlah. Jauhi sikap takbur, angkuh, sombong dan meninggi diri kerana itu adalah sifat iblis dan syaitan.

Sebaliknya, pastikan amanah yang diberi dipikul dan dilaksanakan dengan sempurna demi untuk memperkasakan agama, bangsa dan negara.

Jangan sesekali menganggap amanah itu sebagai jambatan untuk habuan, kedudukan atau jawatan, tetapi adalah satu amanah yang perlu disempurnakan dan akan dipertanggungjawabkan kelak.

Kepada mereka yang tidak terpilih dalam pemilihan ini, sumbangan saudara/ saudari tetap diperlukan dan pasti akan dihargai oleh UMNO.

Saya yakin suara dan sumbangan saudara/ saudari akan tetap diberi tempat dan perhatian kepimpinan didalam perjuangan UMNO.

Tiap ahli UMNO semua peringkat sebenarnya berada didalam satu keluarga besar UMNO. Tiada istilah menang atau tewas bagi mana-mana calon. Yang menang ialah UMNO kerana berjaya dalam transformasi politik disaat yang mencabar ini. Tiap ahli UMNO semua adalah pemenang.

Oleh itu sudah tiba masa tiap ahli merapatkan saf dan bersatu dalam perjuangan. Ukhwah & kesatuan yang berteraskan kepada perjuangan membela agama, bangsa & negara adalah sumber kekuatan UMNO.

Dalam memastikan kesatuan dan perpaduan parti semakin mantap, saya turut mahu mencadangkan kepada kepimpinan UMNO khususnya Dato' Sri Presiden supaya melantik Datuk Paduka Mukhriz Tun Mahathir sebagai anggota lantikan Majlis Tertinggi UMNO.

Saya percaya suara akar umbi mahu melihat Datuk Paduka Mukhriz diberi ruang dan peluang untuk menduduki barisan saf kepimpinan UMNO, dan perlantikan beliau pasti akan lebih memperkasakan UMNO insyallah.

Saya juga berharap dan berdoa agar kepimpinan UMNO yang ada kini terus memastikan perjuangan untuk memartabat dan memperkasakan bangsa Melayu dan agama Islam terus diberi keutamaan; sambil tidak melupakan tanggungjawab memastikan hak dan kebajikan kaum dan agama lain dilaksanakan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Semoga ALLAH terus merahmati dan memberkati perjuangan UMNO demi untuk agama, bangsa dan negara.

Amin Ya Rabbal 'Aalamin.


Wallahua'lam dan Wassalam.


Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
15 ZulHijjah 1434
20 Okt 2014

No comments: