28 September 2011

DAH BERSEDIA KAH KITA?


(Perlaksanaan hukuman dengan pancungan kepala keatas Ruyati Binti Satubi pada hari Sabtu 16 Rejab 1432/ 18.06.2011 di barat Makkah, Saudi)

Salam 2 all.

Ruyati Binti Satubi, wanita Indonesi berasal daripada sebuah perkampungan di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia. Ibu tunggal ini lahir pada 07 Julai 1957, kurang sebulan sebelum umat Islam bangsa Melayu menyambut kemerdekaan Tanah Melayu. Ruyati pernah berkhidmat sebagai Tenaga Kerja Indonesia (TKI) (dalam bahasa kita orang gaji yop) di Arab Saudi beberapa tahun sebelum peristiwa menyayat hati menimpa beliau.

Pada bulan Sept 2008, Ruyati berlepas ke Arab Saudi sebagai TKI buat kali ketiganya. Sewajarnya Ruyati tidak boleh pergi kerana sudah berumur lebih 50 tahun (51 pada masa itu). Tetapi agennya memalsukan tarikh lahir Ruyati, dan itu membolehkan Ruyati pergi walaupun tidak disenangi ahli keluarga. Namun demi survival, demi mencari sesuap nasi, Ruyati membulatkan hati pergi jua ke tanah asing.

Namun kali ini, nasib tidak menyebelahi Ruyati, tidak saperti dua majikan sebelum daripada ini. Kali ini majikannya dilapurkan sangat zalim. Rakan sebilik Ruyati bernama Warni, yang bekerja dengan majikan yang sama , menceritakan bagaimana zalimnya majikan mereka, terutamanya isteri majikan bernama Khiriya Bini Hamid Mijid, seorang berbangsa Arab.

Warni menceritakan bagaimana Ruyati sering dipukul termasuk dikepala. Malah ketika berpuasa dibulan Ramadhan, Ruyati sering dianiaya sehingga tidak diberi makan. Hinggakan Warni mahu berkongsi tamar pun dimarahi sang majikan. Gaji Ruyati juga tidak dibayar 7 bulan sebelum kejadian!

Ruyati seorang yang dikenali sangat sabar lagi pendiam. Jarang menimbulkan masalah. Sangat disenangi majikan terdahulu. Tiada aduan langsung, malah mahu diminta berkhidmat lagi. Jiran-jiran di perkampungan Ruyati di Bekasi juga menceritakan kebaikan wanita separuh umur ini.

Mungkin akibat tidak tahan dengan deraan dan seksaan berpanjangan, pada 12.01.2010 Ruyati (yang mungkin sedang disiksa dan didera ketika itu) mengambil tindakan nekad (apakah mungkin mempertahankan diri, kita tidak mendapat butirnya). Menggunakan pisau didapur, Ruyati memukul kepala sang isteri majikan Khiriya, dan menikam tengkoknya yang menyebabkan kematian Khiriya.

Ruyati dibawa ke Mahkamah dan dijatuhkan hukuman mati. Pada 18.06.2011, Ruyati dibawa ke pinggir Makkah dan dihukum pancung. Hukuman dijalankan disebuah lapangan dengan kehadiran orang awam. Hukuman dilaksanakan oleh seorang tukang pancung menggunakan sebilah pedang. Ruyati yang berbaju jubah putih, dan mata ditutup, diletakkan berlutut ditanah. Kepalanya ditundukkan, dan kemudian terus dipancung. Putuslah kepala Ruyati dari jasadnya (videoklip diatas adalah filem perlaksanaan hukuman pancung keatas Ruyati).

Setelah pancungan dilaksanakan, saksi menceritakan bagaimana tubuh jasad Ruyati tanpa kepala itu dinaikkan menggunakan helikopter untuk dilihat oleh orang ramai. Kemudian jenazah Ruyati dan kepalanya dibawa masuk kesebuah van, terus dibawa ketempat pengkebumian.

Malangnya dalam kes Ruyati, keluarga langsung tidak dimaklumkan mengenai nasib yang menimpa beliau. Sehingga kepada hukuman pancung dilaksanakan, tiada siapa mengetahuinya. Setakat ini, teman tidak tahu samada usaha keluarga untuk membawa kembali jenazah Ruyati berjaya atau tidak?

Persoalan besar yang bermain difikiran teman ialah, apakah prosedur dan amalan kehakiman dan guaman yang digunapakai dalam kes saperti ini. Kalau didalam amalan sivil, Ruyati boleh membangkitkan pembelaan mempertahankan diri, atau tiada mens-rea atau niat kerana ujudnya penderaan dan penyiksaan berpanjangan. Teman tidak pasti kalau dalam pendakwaan syari'e, apakah prinsip yang sama diterima pakai. Kalau didalam amalan sivil, walaupun seseorang itu mengaku, tetapi jika dia memberikan sebab kenapa dia bertindak saperti yang dituduh, maka pengakuan itu akan ditolak.

Teman yang risaunya yop, dalam keghairahan mahu melaksanakan hudud, kita tidak bersedia. Dan yang paling malang, kalau kita melakukan kesilapan yang boleh memalukan Islam. Contohnya dalam satu kes seorang gadis di Iran bernama Atefah yang menjadi mangsa rakusan pemandu teksi yang merakusi dan merogolnya. Atefah dikenakan pertuduhan melakukan zina walaupun dia mengadu sebenarnya dirogol. Setelah perbicaraan, Atefah dikenakan hukuman mati ditali gantung, sedangkan sang lelaki hanya dikenakan sebatan. Setelah hukuman dilaksanakan, barulah didapati Atefah baru berusia 16 tahun. Kalau di Malaysia, bawah umur 16 tahun hanya dihukum berkelakuan baik dan mungkin dihantar ke pusat pemulihan. Tetapi nasi sudah menjadi bubor. Atefah telahpun mati digantung!

Masalahnya ialah penafsiran zina yang teman percaya tidak tepat. Di Pakistan contohnya, seorang wanita yang mengadu dirogol diwajibkan membawa empat orang saksi "lelaki suci" yang melihat sendiri dia dirogol!!! Wanita yang gagal membawa 4 saksi ini akan dihukum cambuk. Akhirnya di Pakistan, banyak berlaku kes rogol yang tidak dilapur. Ramai wanita Islam yang merana di bawah "bayangan qazaf"! Yang malangnya mereka menamakan ini sebagai "Undang-Undang Syariah". Adakah benar itu undang-undang syariah, yang tidak membawa keadilan dan perlindungan kepada wanita, sedangkan Islam sangat memuliakan wanita!

Dan teman juga bertanya kepada diri sendiri, adakah mampu kita bersikap saksama dan adil. Contohnya dalam kes Saiful Bukhori Azlan, yang mengadu dirogol oleh Anwar Ibrahim. Belum pun mendengar penjelasan atau menanti perbicaraan, ada segelintir daripada kita terus menjatuhkan pelbagai macam hukuman kepada Saiful. Bukan sahaja ada yang hukum dia dengan qazaf, ada yang mengadakan solat hajat mintak la'nat kepada Saiful. Dan inilah kaum yang konon nak laksanakan hudud? Bolehkah mereka bersikap 'adil?

Begitu juga bila Datuk Eskay, rakan baik Anwar Ibrahim mendedahkan satu videoklip untuk menunjukkan manusia yang diidolakan oleh kaum ini. Belumpun tengok videoklip itu, mereka terus menghukum dan mela'nat Datuk Eskay; ada yang siap mempatwakan Datuk Eskay masuk neraka (macam syurga tu bapak dia punya). Sedangkan Datuk Eskay langsung tidak menuduh Anwar berzina; jelas beliau menyatakan bahawa videoklip itu didedahkan untuk membuktikan Anwar yang mereka "sembah" itu sebenarnya tidak layak menjadi pemimpin!

Jadi timbul keraguan kepada teman, adakah kaum ini mampu berlaku 'adil dalam nak melaksanakan hukum ALLAH. Mereka tidak berlaku adil kepada diri, agama, dan bangsa mereka sendiri. Mereka menjual kalimah ALLAH kepada kristian. Mereka gadai anakbini mereka dengan baiah talaq tiga. Mereka idolakan komunis. Mereka menjulang penganut syiah yang mereka sendiri fatwakan sebagai sesat. Mereka agongkan penganut fahaman pluralisma yang sudah difatwakan sebagai sesat dan boleh murtad.

Jadi adakah kaum ini mampu melaksanakan undang-undang ALLAH ini dengan adil dan saksama. Wallahua'lam.

Teman tidak menentang perlaksanaan hudud, qisas dan ta'zir. Malah teman antara Ahli Parlimen yang cukup konsisten dalam isu ini. Dan teman telah memfailkan Usul-Usul di Parlimen untuk memperkasa dan menobatkan Islam (usul yang sama pernah teman kemukakan beberapa kali termsuk semasa bersekongkol dengan kaum ni) walaupun mereka sendiri tidak berani mengemukakan usul yang sama kerana takutkan parti cauvinis biaDAP. Namun teman khuatir dengan keghairahan puak-puak tertentu, dan kegopohan mereka serta kegiatan politiking yang melampau, akhirnya yang akan mendapat malu ialah agama Islam itu sendiri. Agama Islam itu sempurna, yang cacat ialah pengikutnya. Wallahua'lam.

Yang baik datang dari ALLAH, yang tidak kelemahan teman sendiri.

Jazakallah & Wassalam.

Zulkifli bin Noordin
Rabu
30 Syawal 1432
28 Sept 2011

15 komentar:

Mohamad Syardanie Anuar said...

Assalamualaikum Dato'... Mohon izin untuk dikongsi info ini dalam Facebook & Twitter saya... Sekian, harap maklum...

Hani said...

berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul..semoga kita terhindar dari segala kezaliman..

Nadim said...

Salam YB,

Suatu perspektif yang sangat baik dibangkitkan oleh YB disini. Persolan bersediakah kita adalah sangat2 relevan kepada kita semua.

Inilah diantara perkara dan persoalan yang kita perlu lontarkan kepada rakyat supaya mereka mendapat kefahaman yang jitu serta persediaan mental yang mantap kepada mereka. Dengan yang demikian, saya berpendapat, usahlah kita laksanakannya dengan tergesa-gesa. Proses tarbiyah perlu diberikan dahulu sebagaimana perspektif yang dibangkitkan oleh YB. Sangat baik dan bermanfaat.

Saya juga hendak mencadangkan agar kita juga mengenengahkan proses rigid yang perlu dilalui sebelum hukuman dijatuhkan. Hukuman tersebut nampak macam tidak bertamadun dan ketinggalan sebagaimana yang didakwa ramai orang. Tapi saya yakin Allah lebih mengetahui daripada segalanya.

Kita mungkin boleh kupas bagaimana reaksi Rasullullah dalam hendak menjatuhkan hukuman ini. Contoh Kisah Muaz yang mengaku dirinya telah berzina dan minta dihukum. Rasulullah berpaling beberapa kali sehingga Baginda bertanya adakah engkau gila ya Muaz. Tetapi setelah Muaz berkali-kali mengaku dan menyatakan dia tidak gila, maka Rasullullah tiada arah lagi selain menjatuhkan hukuman. Banyak lagi cerita kisah proses sebelum seseorang itu hendak dikenakan hukuman Hudud tersebut boleh kita ketengahkan. Ia bermaksud, bukan prinsip Islam hendak menghukum. Hukuman yang dikatakan tidak bertamaddun itu berkemungkinan hanya untuk menimbulkan rasa gerun didalam diri seseorang itu sehingga dia takut hendak melakukannya. Its like preventive measures yang Allah hendak ketengahkan.

Saya mendengar kisah ini daripada Ustaz Shamsuri Ahmad melalui kaset beliau. Beliau pandai menghuraikan sehingga menusuk didalam kalbu saya betapa indahnya Islam itu. Mungkin individu seperti beliau harus kita bawa ketengah dalam kita sama2 hendak melaksanakan suruh Allah ini. Yang penting, janganlah kita bersengketa dalam hal ini. Wallahualam

abeih said...

agak-agak bila bersedia? ke tunggu masyarakat makin teruk? bukan kata laksana, nak usaha ke arah tu pun ada pemimpin umat Islam sendiri yang tak mahu.

adanhayad said...

"Kalau didalam amalan sivil, Ruyati boleh membangkitkan pembelaan mempertahankan diri, atau tiada mens-rea atau niat kerana ujudnya penderaan dan penyiksaan berpanjangan. Teman tidak pasti kalau dalam pendakwaan syari'e, apakah prinsip yang sama diterima pakai."

anda nak bgtau bahawa pendakwaan syari'e tu tak relevan? sedangkan yang menjadikan syari'e tu tak relevan dan tersasar manusia tu sendiri.

RahimHussin said...

Adakah negara2 yg terlibat dlm cerita ini melaksanakan hukum hudud seperti yg gariskan dlm al-Quran? Agaknya mereka itu bangsa arab berjiran dgn negara arab maka hukuman itu persis hukuman hudud?! Di Malaysia pun ada mahkamah syariah tapi tak laksanakan hukum seperti undang2 Islam. Laksanakan dulu hukum hudud itu, baru la proses perundangan hudud itu berkembang.Sama2 la kita memberi sokongan kpd undang2 ciptaan Allah dengan semua cendiakawan,ulama,pengamal undang2 serta ahli akademik sama2 duduk semeja mesyuarat cari peneyelesaian terbaik melaksanakannya. Tapi apa yang saya dapati cara pemikiran sudah ada jawapan negatif, belum apa2 dah buat rumusan buruk terhadap hudud, undang2 ciptaan Allah dengan mengambil contoh dari negara arab yg tidak melaksanakan hukum hudud 100%. Manusia ada kelemahannya begitu juga pemimpin. Tapi jika kita sama2 membantu agama Allah, insyaallah perintah melaksanakan hukum hudud ini boleh tercapai jika kita benar2 ikhlas dan adil.

Abdul Hayee said...

Akhirnya sebagaimana yang diduga kerajaan PAS Kelantan menarik balik hasratnya untuk melaksanakan hukum hukum HUDUD kerana akur dengan desakan Pemimpin DAP.

Nyatalah bahawa PAS amat takut kepada DAP. Mereka akan sentiasa tunduk kepada apa juga yang diarah oleh DAP. Maka sekarang terang dan nyatalah bahawasanya PAS hanya mempermainkan rakyat Kelantan. Rakyat Kelantan digula-gulakan dengan hukum HUDUD apabila menjelang pilihanraya. Tetapi sebenarnya tidak ada langsung hasrat mereka hendak melaksanakannya. Ia semata-mata dijadikan isu politik sahaja bagi memancing undi orang yang mudah terpengaruh dengan isu berbau agama.

Lepas ini siapa pula yang hendak disalahkan Nik Aziz. Nak salahkan DAP tak berani. Jadi jalan yang mudah salahkan kerajaan BN. Aku tak pernah lagi mendengar pemimpin PAS mengaku salah. Pada hal mengaku salah sangat mulia.

Tun Dr. Mahathir kerap memohon maaf sekiranya dia melakukan kesalahan. Tidak jatuh maruah dia kerana memohon maaf. Dia pernah mohon maaf pada Ummi Hafilda Ali. Dia pernah memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

YB juga pernah memohon maaf pada Ummi. Tetapi teman tak pernah dengar YB memohon maaf pada Tun Dr. Mahathir. Kalau sudah melakukannya Alhamdulillah. Teman percaya YB selalu mengumpat Tun sewaktu menjadi penyokong kuat Anwar dulu.

ainabah said...

Ya Allah...Permudahkan urusan hamba Mu ini.. Amin.

Johan Marco said...

arab saudi mmg takleh jadi role model, perempuan pun tak boleh drive ape cerita.
malah jiran depa palestine pun depa buat dek je

Remy said...

Abdul Hayee.. saya setuju dengan komen Tuan.. meminta maaf adalah satu perbuatan yg mulia dan memaafkan adalah lebih tinggi nilainya.

admin_surau said...

Satu tajuk yang tepat, relevan dan menarik untuk orang Islam. Bukan sahaja persediaan yang baik perlu dibuat, tetapi didalam zaman fitnah ini, tidak seperti dizaman terbaik Islam di zaman rasulullah, adakah kita mampu kemukakan empat saksi yang amanah?

Satu lagi perkara yang diambil mudah oleh PAS ialah membuat ijtihad bahawa hudud hanya untuk orang Islam. Mana mungkin dilakukan diskriminasi didlam perlaksanaan nya jika satu keadilan ingin dicapai, terutamanya apabila jenayah bersifat cross ethnic dan agama dilakukan. Apalagi jika ianya hanya hendak dilaksanakan di satu negeri sahaja, maka timbul masaalah jenayah cross border.
Akhirnya PAS terperangkap dengan jerat sendiri, dan mengakui bahawa didalam konteks Malaysia ianya tidak dapat dilaksanakan dengan sebab sebab yang Anwar Ibrahim sendiri huraikan.
Kesimpulannya ialah permohonan kes qazaf oleh Anwar terhadap Saiful adalah kerja sia sia sebab hudud masih belum, dan mungkin tidak dapat, dilaksanakan di Malaysia.

torpedo said...

Soal samada bersedia atau tidak bukan menjadi isu di sini. Bila seseorang itu mengaku Islam dan beriman dengan Allah, maka tidak ada ruang baginya menyatakan belum bersedia atau syak wasangka terhadap hukum Allah. Memulakan sesuatu memang payah, tapi jika tidak di mulakan, bilakah masa yang sesuai? Sewaktu nyawa telah berada di tenggorok? Astaghfirullah! Semuanya telah selesai dan sempurna dengan kewafatan Rasulullah saw, yakin lah dengan ainul yaqin dan haqqul yaqin bahawa Allah akan menunjukkan jalan yang benar bila kita berusaha di jalanNya, insyaAllah

Adib said...

Saya sangat kagum dengan artikel ini pada mulanya. tetapi saya sangat sedih apabila mesej yg hendak disampaikan diakhiri dengan acara buruk-memburukkan pihak lain yg ternyata menjauhkan lagi kita dari fokus sebenar artikel. Bukankah lebih baik kita bekerjasama mencari penyelesaian daripada sibuk menyalahkan pihak lain. Begitu- begini akhirnya apa-apa pun tak jadi. Kita orang Islam tetapi permainan politik di negara kita tidak langsung mencerminkan agama kita.

Hamba Allah said...

Assalamuallaikum

Alhamdulilah..Saya bersyukur kehadrat Allah swt kerana masih ada golongan pemimpin yang berfikiran rational dalam memperbincangkan undang-undang Islam secara ilmiah. Semoga Allah mempermudahkan urusan dato'

Bab Hudud, Qisas, Takzir dsbnya kerap dilaungkan sejak akhir-akhir ini. Tapi malangnya "orang politik" yang sibuk mempergunakannya. Penggunaannya "seasonal" atau bermusim. Mana perginya golongan ilmiah, golongan ulama dan golongan orang bijak pandai. Amat sukar untuk mendapatkan informasi tentang undang-undang Islam. Kecuali dalam kitab-kitab lama yang ditulis oleh ulama...malangnya bahasanya sukar difahami menjadi penghalang pada kita orang awam untuk memahami. Kita perlu banyakkan perbincangan ilmiah (bukan politik) dalam membahaskan dan membincangkan hal ini. Perbanyakkan forum, pakar rujuk, seminar, pameran dsbnya utk mempromosi keindahan Islam. Mempelbagaikan kaedah promosi agar Islam dapat diterap dan dipahat ke segenap manusia. Kita tiada masa.. sementara Islam masih menjadi agama rasmi negara kita. Ini wajib bagi kita untuk dilaksanakan.

Kita perlukan golongan seperti dato. Ayuh rapatkan barisan, marilah kita bersama-sama berusaha ke arah itu. Jadikan ISLAM ITU AD-DIN; Islam sebagai cara hidup.

Wassalam.. Selamat Berjihat.

pak mat/cik ina said...

Apabila kita ISlam maka wajib atas kita solah,puasa,zakat dll.Adakah kita bersedia melakukannya???? tanya diri anda semua. Nafsu kita kata TIDAK,IMAN kita YA.... Maka apabila Hudud cuba didirikan maka kita sbgi org Islam wajib menyokong walaupun nafsu kita x suka.Tp Iman kita kata 'Aku dengar dan Aku taat." Jd jangan suka2 buat ulasan sendiri,carilah ilmu sblm buat komen.
YB yg di hormati,janganlah berjuang sorang2,x ada dlm sejarah ISLAM org berjuang sorang2 dlm menegakkan Islam.Nabi Muhammad S.A.W pun ada sahabatnya.AMIn....