Salam 2 all.
Teringat teman satu rangkap nasyid,
Hari ini mesti lebih baik dari semalam
Jangan buang masa
Siapa kata kita tak boleh
Kita ada ALLAH dan Rasul
Kita ada iman & taqwa
Doa & jihad bagai senjata
Umat Islam sentiasa boleh...
Umat Islam sentiasa boleh...
YBhg Ustadz Nasharuddin Tantawi (Ketua Pemuda PAS): perlaksanaan hudud adalah tuntutan Islam. PAS tidak akan berganjak dari tuntutan ini. Polemik hudud ini timbul mungkin kerana pilihanraya dah dekat;
YB Salahuddin Ayob (Naib Presiden PAS): isu perlaksanaan hudud hanya akan dibincangkan semula jika Pakatan pembangkang mengambil alih Putrajaya! Tidak guna bercakap mengenai hudud sekarang. Lebih baik fokus kepada pilihanraya umum!
YB Khalid Samad (TPJ PAS Selangor): PAS tidak akan melaksanakan hudud tanpa persetujuan DAP & PKR!
YB Dzulkifly Ahmad (AJK PAS Pusat): Pakatan akan hancur jika terperangkap dengan isu hudud yang tidak penting buat masa ini! Lebih baik fokus kepada strategi memenangi pilihanraya!
YAB Datuk Sri Najib: kita akui hudud adalah hukum yang datang daripada ALLAH, tetapi perlaksanaannya perlu dilihat kepada keadaan semasa dan realiti masakini!
YAB Tan Sri Muhyiddin: perlaksanaan hukum hudud tidak boleh dilaksanakan didalam masa terdekat ini, mungkin akan mengambil masa!
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin: hukum hudud adalah satu kewajipan, tetapi perlaksanaannya mestilah bergantung kepada suasana yang kondusif. Nabi saw sendiri pernah memerintahkan hudud tidak dilaksanakan, contohnya semasa perang!
Teman sendiri dalam kenyataan semalam: Perlu teman tegaskan bahawa teman tidak menolak hudud, atau apa sahaja undang-undang Islam. Malah teman percaya dan yakin perlaksanaan syariat Islam serta penubuhan sebuah Daulah Islamiyyah adalah menjadi kewajipan kepada setiap individu umat Islam. Dan teman berpegang teguh kepada pendirian ini sejak dulu, kini dan selamanya insyallah. Dan teman tetap akan memperjuangkan kepada penubuhan sebuah Daulah Islamiyyah dan perlaksanaan syariat Islam, walaupun terpaksa berbuat sedemikian seorang diri.
Kalau kita melihat reaksi dan respon diatas, jelas kita melihat bahawa satu perkara yang jelas: kesemua mereka (termasuk teman) bersetuju kepada satu perkara, undang-undang hudud itu wajib. Cuma mereka berbeza pendapat. Ada yang tolak terus, ada yang kata perlu rujuk dan mendapat persetujuan rakan kafir harbinya, ada yang kata belum sesuai lagi, ada yang kata suasana belum mengizinkan.
Jadi rumusannya ialah, kenapa kita tidak guna "titik persetujuan" itu sebagai permulaan kepada satu perbincangan yang sihat, demi kebaikan Islam dan umatnya.
Dalam hal ini, kita kena ketepikan sentimen politik kepartian. Dan kita perlu bersangka baik. Walaupun teman mempunyai keraguan kepada niat Kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud (berdasarkan kepada politik yo-yo mereka sebelum ini), namun teman mengambil sikap husnul dhon dalam hal ini.
Memandangkan YAB Menteri Besar sendiri, yang juga mursyidul am PAS yang kelihatan bertegas mahu laksanakan hudud di Kelantan, mengapa kita tidak membantu beliau untuk merealisasikan impian kesemua umat Islam yang masih ada sedikit keimanan. Kenapa tidak berikan peluang kepada Kerajaan PAS Kelantan buktikan sistem keadilan Islam; moga dengan cara itu ia menjadi model bagi kita buktikan sistem perundangan jinayat Islam boleh menjadi perungkai kepada permasalahan sosial yang kita hadapi sekarang. Sistem lain telah kita cuba, dan kelihatannya gagal. Mengapa kita tidak mencuba sistem jinayat Islam pula?
Dari segi prinsip, perlaksanaan sistem perundangan jinayat Islam didalam Malaysia tidaklah sukar. Sebenarnya teman sudah beberapa kali memabawa usul untuk perlaksanaan undang-undang jinayat Islam didalam negara ini. Berikut adalah usul yang pernah teman bawa:
- Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan agar Kerajaan mengambil langkah supaya Jadual 9 Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan membuang perkataan saperti berikut:-
‘…tetapi tidak mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan…’ dan diganti dengan perkataan berikut;
‘dan mempunyai bidangkuasa mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang ditetapkan atau diperuntukkan didalam dan menurut hukum syara’ dan undang-undang Islam (termasuk hudud, qisas dan ta’zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang ditetapkan oleh hukum syara’ dan undang-undang Islam serta melaksana dan menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya’.
Dan proviso kepada Seksyen 2, Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) hendaklah dipinda bersesuaian dengan pindaan kepada Jadual 9 Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan saperti yang dinyatakan diatas dan hendaklah berbunyi saperti berikut:
Tanpa mengambil kira apa jua peruntukkan yang bertentangan didalam mana-mana Undang-Undang, Mahkamah Syariah tersebut hendaklah mempunyai bidangkuasa mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang ditetapkan atau diperuntukkan didalam dan menurut hukum syara’ dan undang-undang Islam (termasuk hudud, qisas dan ta’zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang ditetapkan oleh hukum syara’ dan undang-undang Islam serta melaksana dan menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya.
Bahawa Dewan ini mengambil maklum umat Islam wajib melaksanakan syariat Islam termasuk undang-undang jenayahnya saperti hudud, qisas dan ta’zir tanpa sebarang pengubahsuaian dan pindaan dan Dewan mengambil maklum bahawa kegagalan dengan sengaja untuk melaksanakan sistem perundangan Islam sepenuhnya ini akan dan/ atau boleh membatalkan aqidah umat Islam”
[ Perdana Menteri ]
Jadi apa perlu kita lakukan sekarang? Jawapannya mudah. Parlimen hendaklah membahas dan meluluskan usul tersebut diatas. Adakah ini boleh dilakukan? Jawapannya boleh. Kita ada 132 Ahli Parlimen beragama Islam dari pelbagai parti politik termasuk Konsensus Bebas. Pindaan Perlembagaan hanya memerlukan dua pertiga, iaitu 148 Ahli Parlimen menyokong. Jadi kita hanya memerlukan 16 sahaja lagi Ahli Parlimen untuk mencukupkan keperluan 2/3 itu. Teman cukup yakin, dengan lobi dan penerangan yang jelas, jumlah 16 itu tidak mustahil.Apa yang perlu sekarang ialah kepimpinan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Kelantan mesti duduk berbincang dahulu, kita kaji apa strategi yang perlu. Kita juga perlu pastikan semua prasarana dan modal insan untuk perlaksanaan itu cukup dan memuaskan. Kita perlu Hakim, Pendakwaraya, Peguam dan kakitangan sokongan yang terlatih dan mempunyai pengalaman. Bagi maksud itu, kita mungkin boleh membawa masuk para Hakim dari negara luar saperti Arab Saudi, Sudan, Yemen, Pakistan dan lain-lain yang sudah mempunyai pengalaman luas dalam perlaksanaan undang-undang jinayat Islam.
Kedua, kita perlukan prasarana dan keperluan logistik saperti Mahkamah, pihak berkuasa penyiasatan dan penguatkuasaan hukum. Kita perlu ujudkan "Polis Syarie" dan "Penjara Syarie". Tidak guna ada sistem tetapi tiada penyiasat dan penguatkuasaan undang-undang. Ini memerlukan latihan. Kita perlu hantar para pegawai polis dan penjara untuk latihan kepada sistem penyiasatan dan perlaksanaan hukuman syarie'. Kita tidak mahu apa terjadi didalam kes Kartika berulang. Mahkamah sudah jatuhkan hukuman sebat, tetapi rotan pun tiada, tukang sebat pun belum ujud. Ini memalukan kita. Ini bukan salah Islam, tetapi umat Islam yang tidak bersedia lagi!
Sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh kita perbincangan disini. Tetapi yang penting, ruang sudah ada. Kesediaan Kerajaan PAS Kelantan (dan diharap mereka bukan berpolitik tetapi benar-benar ikhlas) untuk melaksanakan hudud (dan termasuk undang-undang jinayat yang lain) adalah peluang untuk kita umat Islam merealisasikan impian umat Islam bangsa Melayu yang sudah lama meninggalkan sistem perundangan Islam akibat penjajahan kafir la'natullah sekian lamanya.
Oleh itu teman sarankan kepada Kerajaan Pusat supaya segera menghantar satu pasukan petugas peringkat Menteri (mungkin boleh diminta YB Datuk Seri Jamil Khir Baharom) mengetuai misi perundingan dan perbincangan dengan YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Kelantan. Memang ini akan memakan masa, tetapi kita perlu bermula daripada sesuatu. Maka alangkah baiknya kita mulakan sekarang.
Kalau kaum politikus kafir atau yang sewaktu dengannya, samada DAP, PKR, MCA, Gerakan, MIC dan lain-lain membantah, persetankan mereka. Berapa lama kita asyik nak bertolak ansur kerana mereka. Kita wajib buat apa yang kita wajib buat, iaitu laksanakan hukum ALLAH. Mungkin kita boleh ujudkan pasukan petugas untuk mengadakan siri penerangan & penjelasan kepada mereka. Dan memandangkan ada kaum Awnarinas yang begitu ghairah sangat nak berbaik dengan kafir harbi ini, teman cadangkan mintak mereka sahaja mengetuai pasukan petugas ini.
Apa pun, insyallah kalau kita memasang niat yang ikhlas, dan kita mahu membantu agama ALLAH, pasti ALLAH akan memantu mempermudahkan urusan kita, dan ALLAH sudah janjikan kemenangan bagi kita. Bagi teman, insyallah teman akan gunakan semua kudrat yang ada untuk merealisasikan impian untuk perlaksanaan undang-undang jinayat Islam dimuka bumi negara bertuah Malaysia ini. Moga ALLAH memaqbulkan doa dan harapan kita semua umat Islam yang masih ada sedikit keimanan. Ingatlah, kita umat Islam boleh melakukannya, ALLAH dan Rasul bersama kita, doa dan jihad senjata kita untuk mencapai cita-cita ini.
Wallahua'lam & wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Ahad
27 Syawal 1432
25 Sept 2011
No comments:
Post a Comment