27 September 2011

USUL-USUL PARLIMEN


PARLIMEN MALAYSIA

SIDANG DEWAN RAKYAT KE 12, PENGGAL KE 4, MESYUARAT KE 3

USUL-USUL YANG DIKEMUKAKAN OLEH

YB DATO' ZULKIFLI BIN NOORDIN

AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BAHARU


  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan agar Kerajaan mengambil langkah supaya Jadual 9 Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan membuang perkataan saperti berikut:-

‘…tetapi tidak mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan…’ dan diganti dengan perkataan berikut;

dan mempunyai bidangkuasa mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang ditetapkan atau diperuntukkan didalam dan menurut hukum syara’ dan undang-undang Islam (termasuk hudud, qisas dan ta’zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang ditetapkan oleh hukum syara’ dan undang-undang Islam serta melaksana dan menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya’.

Dan proviso kepada Seksyen 2, Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) hendaklah dipinda bersesuaian dengan pindaan kepada Jadual 9 Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan saperti yang dinyatakan diatas dan hendaklah berbunyi saperti berikut:

Mahkamah Syariah tersebut hendaklah mempunyai bidangkuasa mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang ditetapkan atau diperuntukkan didalam dan menurut hukum syara’ dan undang-undang Islam (termasuk hudud, qisas dan ta’zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang ditetapkan oleh hukum syara’ dan undang-undang Islam serta melaksana dan menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya.

Bahawa Dewan ini mengambil maklum umat Islam wajib melaksanakan syariat Islam termasuk undang-undang jenayahnya saperti hudud, qisas dan ta’zir tanpa sebarang pengubahsuaian dan pindaan saperti yang berlaku sekarang dan Dewan mengambil maklum bahawa kegagalan melaksanakan sIstem perundangan Islam sepenuhnya ini akan boleh menjejaskan aqidah umat Islam

[ Perdana Menteri ]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-

Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan agar Kerajaan Persekutuan mengambil langkah supaya Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan menambah perkataan saperti berikut (saperti yang dihitamkan):

Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan, kecuali undang-undang dan syariat Islam, apa-apa undang-undang yang diluluskan berlawanan dengan Perlembagaan ini dan undang-undang Islam atau hukum syara’ hendaklah terbatal setakat ianya berlawanan itu’.

Bahawa Dewan mengambil maklum bahawa banyak keadaan dimana hukum syara’ dan syariat Islam telah terbatal dan atau tidak dapat dilaksanakan kerana Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan ini yang meletakkan undang-undang negara mengatasi semua undang-undang dan peraturan lain termasuk undang-undang serta syariat Islam saperti pengharaman pemakaian serban disekolah-sekolah kebangsaan, pemakaian purdah dan jilbab di jabatan-jabatan kerajaan, perlaksanaan undang-undang syarak saperi khalwat, zina, qazaf yang bercanggah dengan hukum syara’ dan lain-lain”.

[Perdana Menteri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-

Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan agar Kerajaan Persekutuan mengambil langkah segera untuk mengesahkan dan mengisytiharkan bahawa Malaysia bukan negara sekular saperti India sebaliknya sebuah negara yang mengamalkan dwi-sistem (sistem perundangan hybrid) iaitu dengan meminda Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan dengan menambah perkataan saperti berikut (saperti yang dihitamkan):

Islam adalah agama bagi Persekutuan termasuk dari segi undang-undang dan syariatnya’.

Bahawa Dewan mengambil maklum bahawa keputusan Mahkamah didalam kes Che Omar Che Soh v. Pendakwaraya dan Jamaluddin Osman v. Menteri Dalam Negeri telah banyak diputarbelit dan disalahtafsir oleh golongan tertentu untuk memberi gambaran kononnya Malaysia adalah negara sekular sedangkan hakikatnya Malaysia bukanlah negara sekular sebaliknya negara yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, maka dengan pindaan kepada Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan saperti yang dicadangkan akan memperjelaskan perihal kedudukan status negara ini tanpa sebarang keraguan lagi”.

[ Perdana Menteri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri supaya meminda Akta Mahkamah Keadilan 1964 (Courts of Judicature Act 1964) (Akta 91) dengan memasukkan peruntukkan baru di Seksyen 4 saperti berikut:

Seksyen 4A: Didalam keadaan dimana terdapat isu dan/ atau pertikaian membabitkan dan atau melibatkan agama Islam dari segi aqidah, kepercayaan, hukum-hakam, syariat dan/atau apa juga persoalan mengenai Islam, maka Mahkamah wajiblah merujuk isu, persoalan dan/ atau pertikaian itu kepada Mahkamah Syariah untuk suatu keputusan atau penghakiman; dan semua prosiding hendaklah ditangguhkan sehingga keputusan atau penghakiman Mahkamah Syariah itu dibuat, dan keputusan atau penghakiman Mahkamah Syariah bagi isu, persoalan dan/ atau pertikaian itu hendaklah mengikat Mahkamah tersebut”.

Bahawa Dewan menginsafi masalah membabitkan isu, pertikaian atau persoalan mengenai Islam jika diputuskan di Mahkamah sekular berdasarkan undang-undang sivil boleh mencetuskan salahfaham dan kekeliruan. Ini berlaku kerana isu dan persoalan membabitkan kefahaman terhadap undang-undang dan syariat Islam dalam konteks syariah dan Islam tidak difahami, dihayati dan diinsafi oleh Mahkamah sekular yang membicara dan memutuskan sesuatu isu tersebut menurut peruntukkan undang-undang sivil yang terbatas dan terhad kepada pembicaraan soal perundangan sekular semata-mata, malahan menolak untuk menerima pakai kefahaman syarie dan Islam.

Sebenarnya inilah yang telah berlaku didalam kes Maria Hertogh @ Nadrah pada tahun 1950 apabila Mahkamah sivil Singapura yang mengguna pakai undang-undang sivil British menolak untuk menerima pakai undang-undang Islam dan syariatnya dengan menolak aqidah dan keislaman Nadrah dan perkahwinan Nadrah dengan Almarhum Mansor Adabi yang mana menurut undang-undang Islam dan hukum syara’ keislaman dan perkahwinan Nadrah adalah sah kerana beliau sudah aqil baligh mengikut hukum syarak dan merupakan seorang mukallaf dan hukum taklif berlaku kepada beliau.

[Perdana Menteri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan agar Kerajaan Persekutuan mengambil langkah supaya Artikel 11 (1) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan menambah perkataan saperti berikut (saperti yang dihitamkan):

‘Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya, termasuk menukar agamanya kecuali bagi penganut agama Islam yang hendaklah tertakluk kepada undang-undang dan syariat Islam. Bagi maksud penganut ugama Islam, soal kemasukan dan kemurtadan dari ugama Islam hendaklah ditentukan oleh Mahkamah Syariah yang mempunyai bidangkuasa mutlak keatasnya”.

Bahawa Dewan ini mengambil maklum bahawa walaupun Mahkamah Persekutuan didalam beberapa kes termasuk Azlina Jailani @ Lina Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pendaftaran Negara memutuskan bahawa dalam hal ehwal dan permasalahan kemasukan atau kemurtadan daripada Islam hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa dan Mahkamah sekular tidak boleh mempunyai apa-apa bidangkuasa menurut Artikel 121 (1A), namun masih lagi ada pihak yang mempertikaikan dan membawa kes seumpama ini ke Mahkamah sekular dimana dalam kes melibatkan seorang Punjabi Muslim mayatnya terlantar di Hospital Sg. Buloh, Selangor selama sebulan kerana Mahkamah Sivil masih mahu mendengar kes-kes seumpama ini, sedangkan merupakan fadhu kifayah keatas umat Islam untuk menyegerakan pengurusan dan pengkebumian jenazah mana-mana orang Islam yang telah meninggal dunia. Dengan adanya peruntukkan seumpama diatas maka isu saperti ini tidak akan berbangkit lagi”.

[ Perdana Menteri ]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan mendesak supaya Mahkamah sekular yang diujudkan menurut Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan menghormati dan tidak mencampuri hak dan bidangkuasa Mahkamah Syariah yang diperuntukkan menurut Artikel 121 (1A) Perlembagaan termasuk hak dan bidangkuasa mutlak menentukan siapa yang boleh diterima masuk dan didaftarkan sebagai seorang Peguam Syarie. Ini adalah kerana kalau Mahkamah sekular tersebut mencampuri urusan hak dan bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam penentuan kemasukan dan pendaftaran peguam syarie, apakah itu bermakna Mahkamah Syariah boleh mencampuri urusan hak dan bidangkuasa Mahkamah sekular untuk penentuan kemasukan dan pendaftaran seseorang peguam sekular di Mahkamah sekular?”.

[ Perdana Menteri ]

*Nota: ini adalah antara usul-usul (kesemuanya 26 usul) yang telah teman failkan untuk sidang Parlimen yang akan bermula pada 03 Okt 2011 ini.

Zulkifli Bin Noordin

Selasa

29 Syawal 1432

27 Sept 2011

No comments: