19 January 2010

TAKZIAH


Salam 2 all.
Sehari dua ini berita sedih kemalangan kepada kanak-kanak dan pelajar berlaku. Mutakhir semalam seorang kanak-kanak bernama A. Sanjef (4) meninggal dunia setelah terjatuh daripada Tingkat 8 Pangsapuri Larkin, Johor kerana dipercayai mencari ibunya setelah terbangun daripada tidor. Ibunya S. Saraswathy baru sahaja ke stesyen bas Larkin untuk ke Singapura menghadiri temuduga kerja. Saraswathy (29) baru sahaja kehilangan sumainya yang meninggal akibat kemalangan (berita lanjut saya lampirkan dibawah).
Sementara itu, enam orang pelajar mati lemas dalam latihan dayungan naga emas di Pulau Pinang. Mereka adalah Yong Xiang, 16, Cheah Zi Jun, 17 tahun, Brandon Yeoh, 17, Goh Yi Zhang, 15, Jason Ch'ng, 17 dan guru mereka Chin Ai Fang (20an). Mereka adalah antara 18 pelajar dari SMK Chung Ling Air Itam yang dijangka menyertai pertandingan perahu naga emas di Pulau Pinang bulan hadapan.
Saya mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga mereka yang telah pergi mendahului kita ini. Semoga mereka diberi kesabaran menghadapi dugaan dan ujian besar ini.
Zulkifli Bin Noordin
Selasa
03 Safar 1431
19 Januari 2010
*Gambar atas Puan Saraswathy yang meratapi kematian anaknya Sanjef, manakala keluarga dan rakan para pendayung perahu naga emas terlalu hiba dengan kematian 6 pelajar tersebut.
#############################################################
(Petikan daripada Harian Metro bertarikh 19.10.2010)

Maut cari ibu
Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin rudy@hmetro.com.my2010/01/19

JOHOR BAHRU: Harapan seorang ibu berhijrah ke negeri ini untuk bekerja di Singapura bagi membesarkan anak tunggalnya tidak kesampaian apabila budak lelaki berusia empat tahun itu maut selepas terjatuh dari tingkat lapan Pangsapuri Larkin Idaman di sini, kira-kira jam 7 pagi semalam.
Lebih memilukan, kejadian terbabit berlaku ketika wanita itu yang juga seorang ibu tunggal dalam perjalanan ke negara jiran bagi melapor diri pada hari pertama bekerja. Dalam kejadian itu, A Sanjef, ditinggalkan berseorangan di unit kediaman di Blok C3 pangsapuri berkenaan kerana bapa saudaranya terpaksa keluar menghantar ibunya, S Saraswasthy, 29, ke stesen bas berdekatan untuk ke tempat kerja di Singapura. Bagaimanapun, sebaik kembali ke rumahnya tidak lama kemudian, lelaki berusia 26 tahun itu mendapati anak saudaranya tiada dalam bilik dan terkejut apabila pintu gelongsor balkoni rumahnya terbuka sebelum melihat tubuh kanak-kanak itu terlentang kaku atas tanah di bawah bangunan berkenaan. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, berkata ketika ditinggalkan bersendirian di unit kediaman disewa keluarga berkenaan, kanak-kanak itu tidur dan semua pintu utama dikunci dari luar.
Bagaimanapun, katanya, pintu gelongsor dan jeriji besi pada bahagian balkoni hanya dikunci dari dalam dan kanak-kanak itu membukanya sebelum keluar dan terjatuh.
Kanak-kanak itu dipercayai mencari ibunya sebaik bangun tidur.
“Siasatan awal polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga petang tadi (semalam),” katanya ketika dihubungi. Sementara itu, seorang kenalan ibu kanak-kanak berkenaan yang enggan dikenali berkata, dua beranak terbabit baru tiga hari mendiami pangsapuri itu selepas berhijrah dari Pulau Pinang. Saraswasthy yang kehilangan suami kira-kira empat tahun lalu akibat kemalangan jalan raya berhijrah ke sini untuk mendapatkan pekerjaan bagi menyara anaknya. “Saya difahamkan dia baru saja mendapat kerja di Singapura dan hari ini (semalam) hari pertama dia melapor diri di tempat kerjanya itu,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HSA. Mayat mangsa dilaporkan akan dibawa ke Alor Star, Kedah untuk disemadikan selepas selesai bedah siasat dijalankan kira-kira jam 5 petang semalam.
###############################################################
(Petikan daripada MalaysiaKini bertarikh 19.01.2010)
Semua 6 mayat mangsa perahu terbalik ditemui
Jan 18, 10 8:53am
kemaskini 5:01pm Pasukan penyelamat menemui dua lagi mayat mangsa perahu naga terbalik - menjadikan enam orang disahkan terkorban dalam kejadian pagi semalam itu.
Dua mayat terakhir yang ditemui ialah Yong Xiang, 16, dan Cheah Zi Jun, 17 tahun.
Sebelum ini, mayat Brandon Yeoh, 17, ditemui dekat Tanjung Marina, Pulau Pinang satu kilometer dari tempat kejadian, pada 12 tengahari tadi. Manakala mayat pendayung perahu naga SMK Chung Ling Air Itam itu, Goh Yi Zhang, 15, ditemui di kawasan yang sama pagi tadi.
Semalam dua mayat ditemui iaitu guru mereka Chin Ai Fang, berusia 20-an ditemui kira-kira sejam setengah selepas kejadian dan mayat seorang pelajar yang dikenali sebagai Jason Ch'ng, 17, ditemui petang semalam. Mereka adalah antara 18 pelajar dari SMK Chung Ling Air Itam yang menjalani latihan mendayung perahu naga bagi persiapan menyertai Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa pertengahan tahun ini. Perahu naga yang mereka naiki terbalik akibat dipukul ombak pagi semalam. Kejadian itu berlaku di kawasan kira-kira 100 meter dari pantai Lebuh Macallum, dan kawasan itu sememangnya menjadi tempat pasukan pendayung sekolah berkenaan menjalani latihan mingguan. Pasukan pendayung perahu naga lelaki sekolah itu terdiri daripada 18 orang iaitu seorang guru, dua jurulatih dan 15 pelajar. Mereka memulakan latihan pada pukul 8 pagi dan perahu naga mereka dikatakan terbalik akibat dipukul ombak sebelum berlanggar dengan sebuah tongkang pada pukul 8.45 pagi semalam. Sebanyak 12 pelajar lagi terselamat setelah sempat berenang dan dibantu oleh beberapa bot di kawasan berhampiran.- Bernama

1 comment:

liz said...

Condolence to those families missing their loves ones. For once just stop and ponder is it worth to instill hates among people of all races. Lifes is so short, let us concentrate instill good will among malaysia...respect the law and be grateful for all good things that GOD bestow to us Malaysian.